Thursday, March 01, 2012

Kuliah Perdana Sempena Tahun Melawat Kelantan

Mengundi wajib, sokong tegak Islam juga wajib


KUANTAN, 29 Feb: PAS Pahang mengalu-alukan kenyataan Mufti Negeri Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman (kiri) hari ini bahawa tanggungjawab untuk mengundi pada pilihan raya umum (PRU) adalah wajib demi memilih sebuah kerajaan membela kesucian agama dan keamanan.


Ketua Penerangannya, Ustaz Suhaimi Saad (kanan) berkata, lanjutan daripada itu wajib juga memilih calon dan kumpulan yang memperjuangkan dan menegakkan Islam kerana barulah menepati kehendak kefarduan mengundi itu sendiri.

“PAS alu-alukan kenyataan Mufti Pahang itu bahkan itulah yang PAS perjelaskan selama ini.

“Cuma wajib juga bagi individu muslim supaya memilih calon yang tidak rasuah, tidak mengkhianati hak rakyat, tidak pecah amanah serta amar makruf nai mungkar kerana itulah ciri-ciri Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mufti Pahang hari ini bahawa warga negara yang layak mengundi adalah wajib berbuat demikian.

Seperti yang disebut melalui agensi berita Bernama, mufti itu berkata mereka yang layak mengundi wajib berbuat demikian dalam membentuk sebuah kerajaan yang dapat membela kesucian agama dan keamanan.

Tambahnya, pada zaman Rasulullah SAW dahulu ketika baginda wafat, waktu untuk pengebumian terpaksa ditangguh sebentar sebelum dikebumikan bagi melantik seseorang yang boleh memikul tanggungjawab sebagai khalifah.

"Daripada situ kita sudah dapat melihat betapa penting pelantikan khalifah itu kepada masyarakat untuk melaksanakan agenda seterusnya ke jalan yang benar," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata mengundi adalah satu fardu kifayah, bagaimanapun sekiranya ramai tidak melaksanakannya sehingga boleh menjejaskan pembentukan sesebuah kerajaan, maka tanggungjawab itu akan menjadi fardu ain.

Suhaimi berkata, dalam konteks sebuah negara yang majoritinya umat Islam sudah tentu kumpulan yang memperjuangkan Islam wajib diundi manakala pemimpinnya diangkat menjadi pemimpin negara.

“Jika dalam sebuah negara Islam bagaimana mahu dipilih pemimpin yang belum beramal sepenuhnya dengan hukum Islam seperi membiarkan isteri tidak menutup aurat, berkata bohong atau mengamalkan rasuah.

“Jadi jika dikaitkan pentingnya memilih pemimpin yang boleh memikul tanggungjawab sebagai khalifah, sudah tentu yang dilantik itu sendiri mestilah berkeperibadian muslim.

“Itu yang saya katakan mengundi wajib, memilih pemimpin yang memperjuang dan mengamalkan Islam juga wajib,” ujarnya.

Majlis Pelancaran Bilik Gerakan Pemuda PAS Dun Temangan


Mahathir tak perlu gelabah, kaitkan orang lain


KUALA LUMPUR, 29 Feb: Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dinasihat tidak gelabah sehingga menuding jari kepada orang lain berhubung desakan audit dijalankan ke atasnya ekoran kerugian hampir RM100 bilion dana awam di zamannya.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Riduan Mohamad Nor berkata, tindakan gelabah Dr Mahathir itu hanya memperlihatkan diri beliau semakin tersepit dengan desakan itu.

"DPPM merasakan Tun Dr Mahathir berada dalam keadaan terdesak sehingga terpaksa mengeluarkan kenyataan sedemikian.

"Beliau seharusnya bertenang... beliau tidak seharusnya merasa panik dengan cadangan tersebut kerana ia boleh menyelesaikan isu yang berbangkit," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Dr Mahathir hari ini yang mahu sebarang siasatan audit berhubung kerugian dana awam semasa pemerintahan 22 tahunnya, mesti juga membabitkan siasatan ke atas semua mereka yang bergelar Tun, atau bekas perdana menteri.

Desakan audit terhadap Dr Mahathir itu sebelum ini dicadangkan penasihat DAP Lim Kit Siang

Dr Mahathir berkata demikian sebagai mengulas desakan pemimpin supremo DAP Lim Kit Siang.

Mengulas lanjut, Riduan berkata kenyataan Dr Mahathir hari ini itu sebagai mengalih pandangan dan cuba mengaitkan pemimpin negara yang pernah dan sedang berada di puncak kuasa supaya mereka juga turut disiasat.

Katanya lagi, ini termasuklah Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai bekas Perdana Menteri serta Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini menjadi Perdana Menteri.

"Datuk Seri Najib adalah anak kepada Tun Abdul Razak, Perdana Menteri yang kedua. Ia seakan memberi mesej bahawa kesemua mereka perlu diaudit dan disiasat secara terperinci kerana turut terbabit dengan dakwaan kerugian dana awam bernilai RM 100 bilion di bawah pemerintahannya.

"Ia juga sebagai suatu peringatan bahawa kesemua mereka juga bermasalah dan perlu disiasat seperti mana beliau," kata Riduan lagi.

Sambil menyokong audit dijalankan terhadap Dr Mahathir, beliau juga menasihatkan bekas perdana menteri itu bersedia dinilai oleh rakyat.

Lagipun kata Riduan, dakwaan terhadap Dr Mahathir itu membabitkan dana rakyat dan negara dan jumlahnya terlalu banyak, iaitu RM100 bilion yang boleh menyebabkan negara menjadi muflis dan rakyat papa kedana.

"Tun Dr Mahathir tidak perlu risau dengan cadangan ini dan pelaksanaannya nanti sekiranya beliau benar tidak bersalah," tegasnya.

The Star tidak hirau sensitiviti umat Islam


KUALA LUMPUR, 29 Feb: Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) membantah keras penyiaran gambar artis Amerika Syarikat, Erykah Badu di akhbar The Star yang secara jelas tidak langsung menghiraukan sensitiviti umat Islam di negara ini.
“Sehubungan dengan itu, PKPIM melihat bahawa isu ini sangat berkait rapat mengenai kebebasan media-media yang semakin hari meracuni pemikiran golongan pelajar terutamanya dalam pembentukan pemikiran dan pembacaan yang negatif,” kata setiausaha agungnya, Mohd Shazni Abdullah (gambar).

Katanya, PKPIM khuatir jika perkara itu tidak dibendung dari awal secara serius akan menyebabkan wabak itu timbul lagi pada masa akan datang.

Beliau menambah, PKPIM melihat bahawa kenyataan maaf yang dikeluarkan sebelum itu sememangnya tidak cukup untuk sekadar melepaskan batuk di tangga.

Menurutnya, merujuk kepada artikel juadah berbuka puasa yang juga sebelum ini dikeluarkan oleh The Star, mereka seolah-olah cuba memulakan permainan mereka.

Katanya lagi, walaupun pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mendapatkan keterangan, tetapi dengan hanya menyiarkan kenyataan maaf sudah cukup untuk membisukan umat Islam di Malaysia.

Akibatnya, tambah beliau mereka sekali lagi berani mencuba untuk memaparkan gambar Erykah Badu yang bertatoo dengan kalimah Allah di dadanya dan meminta maaf buat kali kedua.

Justeru, ujarnya PKPIM sekali lagi menegaskan bahawa pembentukan generasi pada masa hadapan perlu didasari dengan ilmu-ilmu pengetahuan dan pemahaman yang jelas tentang kefahaman Islam.

“Kita tidak mahu pelapis pada hari ini sering dibaja dengan bahan-bahan bacaan umum yang bersifat tidak langsung mendidik pemikiran yang sihat,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pembinaan budaya kefahaman Islam yang  sering dilakukan pada hari ini kadang kala diruntuhkan juga oleh pelbagai pihak dan anehnya  mendapat sokongan luar biasa pihak berwajib.

Oleh itu, tegasnya PKPIM mendesak agar tindakan yang sewajarnya perlu diambil agar perkara itu tidak berulang lagi.

“Semoga ia menjadi pengajaran kepada semua golongan yang berada di arus perdana agar mereka peka dan bertanggungjawab terhadap kenyataan yang dikeluarkan,” ujarnya.

Indeks kemiskinan Kelantan 4.8, Sabah 19.2

KOTA BHARU, 29 Feb: Laporan Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri menjelaskan indeks kemiskinan di Kelantan 4.8 iaitu lebih rendah berbanding Perlis (6.0), Kedah (5.3) dan Sarawak (5.3).

Bahkan jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan Sabah yang mencatat paling tinggi iaitu 19.2.

Laporan itu berdasar Jadual 6, Insiden Kemiskinan Mengikut Etnik, Strata dan Negeri Malaysia 1970-2009.

Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latiff Abdul Rahman (gambar) berkata, sekiranya dibuat perbandingan, nyata sekali Kelantan bukannya negeri termiskin.

“Apakah Perdana Menteri tidak diberi maklumat yang betul sedangkan Unit Perancang Ekonomi berada di bawah dagunya sendiri melaporkan sebaliknya.

“Atau sememangnya Dato’ Seri Najib sengaja mengundang kemarahan rakyat Kelantan dengan melontarkan penghinaan sebelum ini,” katanya di sini.

Ketika berucap merasmikan Mini Estet Sejahtera di Kampung Nala, Lahad Datu di Sabah pada 18 Februari lalu Perdana Menteri menyifatkan Kelantan sebagai negeri yang termiskin di Malaysia.

Abdul Latif yang juga Adun Mengkebang berkata, Pengarah Sektor Pembangunan Manusia Bank Dunia (Asia Timur dan Pasifik), Emmanuel Jimenez turut mengesahkan Sabah merupakan negeri termiskin di Malaysia.

Katanya, kenyataan itu dibuat berdasar kepada kajian yang dibuat dan pada pengamatannya Sabah dijangka terus kekal sedemikian dalam tempoh agak lama berdasar perkembangan ekonominya sekarang.

Menurut beliau fakta tersebut bukan bertujuan menghina Sabah, sebaliknya pelbagai masalah melanda negeri itu termasuk kebanjiran warga asing di bawah kerajaan BN sekarang.

Selain itu skandal pemberian kad pengenalan dikatakan begitu berleluasa sekali.

“Rakyat Kelantan tidak boleh menerima penghinaan seorang Perdana Menteri yang mengeluarkan kenyataan tanpa berasaskan kepada fakta.

“Apakah lawatan Datuk Seri Najib ke Kelantan pada 2 Mac ini cuba mengulangi penghinaan serupa,” katanya.

Menurutnya tidak wajar sama sekali seorang Perdana Menteri melontarkan penghinaan sebegini kepada sebuah negeri yang termaktub dalam perlembagaan berada di bawah persekutuan Malaysia.

Kata Abdul Latif juga kerajaan BN meninggalkan pentadbiran Kelantan pada 1990 dengan hutang sebanyak RM700 juta. Selain itu dinafikan pelbagai hak termasuk royalti minyak.

“Kami menuntut agar Perdana Menteri menarik balik kenyataannya sebelum ini dan memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Kelantan di atas penghinaan tersebut,” ujarnya.

Red Warriors tak bayar sewa KTC RM72,000

KOTA BHARU, 29 Feb: Peminat pasukan The Red Warriors jangan terkejut apabila restoran milik Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) di Kelantan Trade Centre (KTC) di sini tertunggak hutang hampir RM72,000.

Restoran tersebut menyewa lot perniagaan di KTC Convention & Apartment Sdn Bhd bermula 1 April tahun lalu dan tempoh perjanjiannya bakal berahir 31 Mac ini.

Kadar sewaannya sebanyak RM5,000 sebulan, memandangkan lokasi begitu strategik.

Ketua Pegawai Operasi KTC, Aziz Desa berkata, pelbagai usaha dilakukan termasuk menghantar surat peringatan kepada Kafa, namun mereka masih tidak mengedahkan.

Katanya, surat ‘mesra’ kepada Setiausaha Agung Kafa sudah dihantar bertanyakan status restoran berkenaan, namun tiada sebarang jawapan diterima.

“Sebagai sebuah restoran yang menjadi kebanggaan penyokong dan pengurusan pasukan berwibawa, kita berharap Kafa lebih komited kepada perjanjian yang dipersetujui.

“Jika Kafa ada masalah kewangan, kami sedia mendengar dan bukan terus berdiam diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Restoran tersebut terletak bersebelahan dengan Dewan Konvensyen KTC dan tidak jauh daripada Stadium Sultan Muhammad Ke-IV serta Hospital Pakar Perdana.

Oleh itu Aziz berharap Kafa segera memberi maklum balas sama ada mahu terus mengusahakan Restoran The Red Warriors atau sebaliknya.

Menurutnya mengikut perjanjian, Kafa perlu mengemukakan notis dalam tempoh tiga bulan kepada KTC sama ada ingin meneruskan operasi atau tidak.

Bagaimanapun, tambahnya sehingga kini Kafa gagal mematuhi perjanjian yang dimenterai bersama.

Sunday, February 26, 2012

Pakatan batal Lynas jika kuasai Putrajaya



KUANTAN, 26 Feb: Pakatan Rakyat hari ini mengumumkan akan membatalkan pembinaan loji pemprosesan nadir bumi di Gebeng oleh syarikat Lynas Advanced Material Plant (Lamp) sebaik mengambil alih pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Perkara itu diumumkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di hadapan lebih 20,000 peserta Himpunan Hijau 2.0 di Padang Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 4, pagi ini.

"Kami dari Pakatan Rakyat hari ini mengumumkan, sebaik Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya, Lynas akan dibatalkan.

"Kami juga memberi jaminan semua tindakan merosakan alam sekitar, menibdas rakyat, merosakkan rakyat...akan kami tentang," tegasnya di atas pentas disambut laungan 'lawan tetap lawan' oleh para hadirin.

Pengumuman itu juga dilihat sebagai kemuncak kepada himpunan yang dihadiri pelbagai kaum hari ini.

Sebagai menyokong kempen Anti Lynas juga, Anwar yang juga Ketua Umum PKR berkata, satu usul tergempar akan dikemukakan di Dewan Rakyat pada persidangan parlimen Mac ini.

"Pada persidangan parlimen Mac ini, kita juga akan mengemukakan usul tergempar bagi menuntut kerajaan Barisan Nasional membatalkan Lynas," katanya yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Isu Lynas, ujarnya bukannya isu perkauman seperti yang sering didakwa Umno, tetapi adalah isu keselamatan rakyat Malaysia berbilang kaum.

Sehubungan itu, beliau turut mendesak pihak kerajaan mendengar suara dan bantahan rakyat berhubung isu itu.

Ijtimak Pilihanraya Ke 13 Guru PASTI Malaysia 2012












Khalwat: Penjelasan Dr Badrulamin Baharom


Saya menafikan dengan sekeras-kerasnya dakwaan media bahawa saya ditangkap khalwat oleh pegawai Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) di Kuantan.

Saya ke Kuantan untuk menghadiri Temurapat Pemimpin Parti Keadilan Rakyat pada 24 Februari sehingga 26 Februari 2012. Saya mengambil peranan aktif di dalam Temurapat ini.

Pada petang 24 Februari 2012, wanita tersebut telah menghubungi saya dengan nada cemas dan menyatakan hasrat beliau untuk melarikan diri daripada rumah kerana bimbangkan keselamatan diri beliau. Saya dengan tegas menasihatkan beliau untuk tidak berbuat demikian.

Walau bagaimanapun pada jam 2.00 pagi 25 Februari 2012, beliau telah menghubungi saya memaklumkan bahawa beliau sudah tiba di lokasi Temurapat Pemimpin Keadilan.

Saya telah mengenali pasangan suami isteri ini sejak lebih setahun lalu semasa wanita itu bersama keluarganya mengikuti rombongan umrah saya. Pasangan suami isteri ini sering berhubung dengan saya bagi mendapatkan nasihat mengenai masalah keluarga yang mereka hadapi termasuk kes keganasan rumah tangga. Di dalam usaha membantu pasangan ini, saya dan isteri pernah menziarahi keluarga ini di Rompin.

Di atas rasa tanggungjawab melihat wanita tersebut bersama anaknya di awal pagi, saya membantu beliau mendapatkan bilik penginapan. Pada jam 2.30 pagi suami wanita tersebut bersama lebih kurang 20 orang yang tidak dikenali menyerbu dan menyerang saya. Suami wanita tersebut kemudiannya telah membawa isteri dan anaknya pergi secara paksa.

Lelaki-lelaki bersikap ala samseng ini berhenti memukul saya apabila pihak keselamatan tiba dan menghalang mereka. Namun mereka masih tidak membenarkan saya keluar dari bilik. Hanya setelah 20 minit dikurung oleh samseng tersebut, pegawai Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) tiba dan menahan saya yang berseorangan di dalam bilik.

Kenyataan Timbalan Pengarah JAIP bahawa saya ditahan oleh pegawai JAIP ketika berkhalwat adalah tidak benar sama sekali. Saya beranggapan bahawa kejadian ini merupakan satu tindakan terancang untuk memerangkap dan mengaibkan saya. Saya hanya dipanggil untuk membantu siasatan JAIP pada 27 Februari 2012. Saya akan hadir bersama peguam untuk memberi kerjasama penuh kepada siasatan ini.

Dengan penjelasan ini, saya berharap semua pihak menghentikan tohmahan dan fitnah terhadap saya. Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang membuat tuduhan dan fitnah terhadap saya.

Dr. Badrulamin Bahron