Monday, November 19, 2012

Saya rela mati selepas Islam menang - Presiden PAS


KOTA BHARU: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, beliau tidak berminat untuk menjadi perdana menteri dan "biarlah Islam menang dahulu sebelum beliau mati."

"Saya minta tuhan jadikan cita-cita saya menangkan Islam dahulu, lepas tu nak mati-matilah," ujarnya ketika dalam ucapan penangguhan
Muktamar Tahunan PAS kali ke-58 di Putik, petang tadi.

Beliau memberi respons itu ekoran ada perwakilan mencadangkan Abdul Hadi diangkat menjadi Perdana Menteri sekiranya menang dalam pilihan raya nanti.

Ustaz Hadi bagaimanapun mengucapkan ribuan terima kasih diatas kepercayaan Dewan Ulamak untuk melihat beliau menjaedi perdana menteri tetapi katanya, yang lebih penting Islam yang menang.

Sewaktu ucapan penangguhan hari ini, wakil Ulama dan Muslimat sekali lagi menegaskan hasrat itu.

Abdul Hadi sebelum ini, juga memberitahu beliau sanggup menjadi nelayan semula dan seboleh-bolehnya mahu menjadi khadam rakyat.

Ucapan Tuan Guru Abdul Hadi kali ini disifatkan yang terbaik pernah beliau berikan dengan pelbagai ragam ucapan dan gelak ketawa dan kadang-kadang serius.

"Bagi saya, Ustaz Hadi telah berjaya menjadi ayah kepada semua pemimpin, ahli dan pihak-pihak dalam PAS dalam ucapannya kali ini," kata seorang pemerhati muktamar ini.

Para petugas media juga membuat penilaian yang sama dan mereka menyifatkan ini adalah ucapan terbaik dari Presiden PAS yang berlangsung kira-kira satu jam itu.


Hanya satu parti Islam




(Sebahagian pemerhati muktamar yang setia sehingga akhir muktamar)

Dalam pada itu, Abdul Hadi turut bangga apabila PAS satu-satunya parti Islam yang terus bertahan di Malaysia sehingga hari ini.

"Kita berjaya wujudkan satu sahaja parti Islam di negara ini. Di Indonesia, lebih dari satu parti Isam wujud. Kita bersyukur hanya PAS satu-satunya, tetapi kita ada banyak NgO Islam yang turut memberi pandangan kepada kita,"katanya.

Di akhir penangguhan itu, Abdul Hadi turut berpesan kepada para perwakilan agar membuat persiapan pilihan raya mengikut kemampuan dan kewangan yang ada tidak semestinya sama dengan musuh.

Tetapi katanya, dengan kesediaan dan keikhlasan yang ada, pasti akan datang pertolongan daripada Allah SWT.

"Kena ingat, BN jadi kuat dan menang pun sebab mereka pakai tongkat, dengan penipuan, politik wang, guna jentera kerajaan.

"Umpama kalau kita main bola, pemain BN 30, penjaga gol mereka 10 orang, lepas tu pula pengadil pun sepak bola masuk gol yang dijaga oleh seorang sahaja penjaga gol," katanya diringi sorakan dan tepukan para perwakilan.

Justeru, beliau mengajak semua perwakilan terus yakin dengan PAS kerana PAS merupakan bahtera yang paling kukuh dan kuat kerana dapat bertahan sehingga ke hari ini.

"Bahtera PAS terus bertahan walaupun menghadapi perjalanan yang jauh dan dilanda ribut. Tetapi jangan kita terjun! Kalau mabuk makan ubat kalau pening rehat sebentar. Jangan terjun sebab dibawah ada jerung!," katanya yang disambut Allahuakbar para perwakilan.

Saya orang pertama sokong istihar harta


PAS siap hadapi PRU di tahap maksima

(Ustaz Hadi bersama Mohamad Sabu dan Mustafa menjawab soalan dari para perwakilan dalam sidang media selepas selesai muktamar)

KOTA BHARU: Persiapan PAS bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 berada pada tahap maksimum di seluruh negara, kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, persediaan rapi bukan sahaja ditunjukkan di negeri-negeri di bawah PAS tetapi juga di negeri-negeri di bawah pemerintahan BN.

"Saya bukan sahaja melihat mood perwakilan tapi melawat seluruh negara, ke kawasan-kawasan parlimen dan saya dapati persediaan pilihan raya sangat baik dan sangat memuaskan hati saya.

"Bukan sahaja di negeri-negeri PAS sudah memerintah tetapi termasuk di negeri bukan PAS memerintah termasuk Sabah dan Sarawak," kata beliau pada sidang media sejurus berakhirnya Muktamar Tahunan PAS kali ke-58 di Putik hari ini.

Muktamar PAS yang berakhir petang ini dalam suasana yang sangat ceria di kalangan semua pihak yang menyertainya kali ini.

Ucapan penggulungan yang dibuat oleh Presiden PAS dianggap yang terbaik dan memberikan motivasi kepada semua.

Muktamar dewan-dewan bermula Khamis lalu dengan pelbagai warna telah ditutup dengan paling baik oleh Tuan Guru Abdul Hadi.

Perwakilan dan semua pemimpin PAS telah berdiri tanda penghormatan di atas ucapan beliau yang amat bermakna itu.

Menang tumpuan utama


Menjawab soalan wartawan yang membangkitkan isu bakal Perdana Menteri selepas Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya pula, Ustaz Hadi tetap menegaskan ia bukan fokus utama.

"Tiada ketetapan siapa jadi Perdana Menteri," jawabnya ringkas lalu disambut Setiausahanya, Datuk Mustafa Ali, "nak jadi Perdana Menteri kena menang sebanyak mungkin. Kalau tak menang tak boleh jadi Perdana Menteri,"

Muktamar berakhir kira-kira jam 2.30 petang selepas ucapan penangguhan dari Ustaz Hadi.

PAS bukan parti kampung, sedia tadbir negara

KOTA BHARU: PAS bukan ‘parti kampung’ bahkan sebuah parti yang kini bersedia untuk mentadbir Malaysia, kata Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa.

Beliau berkata PAS kini didukung ahli dari pelbagai lapisan termasuk pegawai tinggi kerajaan dan pegawai keselamatan yang telah bersara.

(Gambar: Husam bersama petugas Harakah di muktamar.)

Husam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri Kelantan berkata Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Tahunan PAS ke-58 meletakkan PAS bukan saja untuk PAS tetapi juga PAS untuk semua.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Muktmar Tahunan PAS ke-58 yang berakhir di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik) dekat sini petang semalam.

“Hendak membentuk sebuah kerajaan mesti ada pelbagai aliran kekuatan termasuk pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan pegawai dari pasukan keselamatan yang telah bersara.

“Dan ini membuktikan PAS tidak lagi sebuah ‘parti kampung’ tetapi sebuah parti yang bersedia untuk mentadbir kerajaan secara yang baik,” ujarnya.

Katanya,, ucapan penggulungan Presiden PAS menunjukkan beliau seorang pemimpin sudah teruji, bahkan bersedia untuk memimpin rakyat Malaysia pelbagai kaum serta menguasai isu-isu governance dengan cekap.

Beliau turut mengulas isu ‘pengkhianatan Umno’  terhadap Melayu.

Husam mendakwa itu merupakan isu besar yang akan diikuti follow-up program-program yang lain selepas ini.

Ini, ujarnya penting supaya rakyat di luar bandar boleh faham bahawa sebenarnya selama ini mereka adalah terpinggir kerana kecuaian atau pun pengkhianatan Umno.

Mengenai calon PAS untuk PRU13, beliau berharap calon itu mestilah seorang berbudi baik dari perspektif Islam,  beriman, bertaqwa dan ada track record serta rapat dan mesra dengan pengundi.

Muktamar PAS terus perkukuh Pakatan Rakyat


KOTA BHARU: PAS terus beriltizam memperkukuhkan Pakatan Rakyat dengan mengambil kira parti itu tidak boleh bersendirian di Malaysia dalam suasana masyarakat majmuk, kata Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Begitu juga kata Presiden PAS itu, Umno tidak boleh bersendirian memerintah negara dalam suasana masyarakat yang pelbagai.

“Kita memerintah dalam suasana masyarakat majmuk. Melalui Pakatan Rakyat kita berjaya menghasilkan resolusi dalam tiga konvensyen yang diadakan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan pada hari akhir muktamar di Putik hari ini.

Ucapannya mengambil masa lebih sejam itu mempertegaskan kesepakatan dalam Pakatan Rakyat menyentuh perkara yang sudah termaktub dalam perlembagaan.

Menurutnya apa yang telah ada dalam perlembagaan iaitu Islam agama persekutuan, keadilan kepada agama lain, hak istimewa bumiputera, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan raja berperlembagaan sudah disepakati.

“Kita menerima kerana ini sudah ada dalam perlembagaan. Apa yang dihalal agama lain sebaliknya diharam agama Islam, kita tidak boleh ganggu. Amalan ini sudah dilaksanakan di Kelantan dan Terengganu.

“Kita halalkan perkara halal dan haramkan perkara haram. Sebaliknya sekarang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak diketepikan.

“Misalnya bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang boleh menyatukan semua bangsa di Malaysia. Melalui bahasa dapat menyatukan antara satu sama lain, cuma kalau hendak tambah ilmu bolehlah menggunakan bahasa asing,” ujarnya.

Kata Ustaz Abdul Hadi semua orang tahu bahasa adalah jiwa bangsa.

Sebaliknya kata beliau Umno pinggirkan bahasa kebangsaan, di  mana pemimpin negara lebih berminat menggunakan bahasa asing.

Katanya, pemimpin negara lain bercakap di PBB menggunakan bahasa ibunda masing-masing, sebaliknya pemimpin negara kita lebih suka menggunakan bahasa Inggeris.

Boleh murtad jika perlekeh Islam

KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, sesiapa sahaja orang Islam yang memperlekeh agama Islam dengan sengaja maka ia boleh jatuh kepada murtad (terkeluar dari Islam).

Katanya, tindakan memperlekeh Islam boleh berlaku dengan banyak cara termasuk menolak Islam sebagai dasar perjuangan kerana menganggap Islam itu sudah lapuk dan tidak sesuai lagi zaman ini.

"Tak kira siapa pun kalau tok guru berserban berjanggut sekalipun kalau tolak islam dengan hati yang sengaja, dia kata Islam tak guna, dia murtad sekalipun tak ada mufti bagitau dia.

"Umno tolak Islam maka nampak dia telah memperlekeh Islam. Dia buang Islam macam buang ubat habis tempoh. Boleh jadi yang tolak Islam tu murtad dah, boleh jadi dia jahil, boleh jadi dia tak faham," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Muktamar Tahunan PAS kali ke 58 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) di sini hari ini.

Menteri Besar Kelantan itu juga berkata, bagaimana PAS boleh percaya dengan ajakan Umno untuk bersama-sama mereka membela Islam sedangkan sejarah membuktikan Umno sendiri menolak ulamak dalam biro agama Umno waktu perjuangan kemerdekaan dahulu.

"PAS bukan dicipta oleh orang PAS tapi oleh biro agama Umno. Kami hanya jaga sahaja.

"Sekarang (Umno) nak ajak PAS (bersama-sama) bela Islam. Alim ulamak kamu pun kamu tolak, takkan kamu nak terima ulamak kami pula. Itu logiknya," tegasnya memberi analogi.

Sementara itu, dalam sidang media berasingan, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang turut ditanya wartawan berhubung kenyataan Mursyidul Am PAS itu yang mengaitkan Umno dengan murtad.

Presiden PAS itu bagaimanapun berkata, huraian berhubung murtad boleh dirujuk dalam Kitab Mustika Hadis yang diterbitkan Jabatan Perdana Menteri.

"Baca kitab itu, ada hukum mengenai orang yang memperlekehkan Islam. Itu kitab yang ditandatangani Tun Dr Mahathir," katanya tidak mahu mengulas panjang.

Carian Harakahdaily terhadap kitab dimaksudkan itu mendapati, bahagian kedua di bawah tajuk 'Iktikad kepercayaan yang bertentangan dengan dasar-dasar Islam', menyebut;

Melalui percakapan, iaitu tiap-tiap perkataan yang mencaci, menghina, merendah-rendah, mengecil dan mempermain-mainkan nama Allah, sifat-sifat-Nya, malaikat-malaikat-Nya, rasul-rasul-Nya, kitab-kitab-Nya, ayat-ayat-Nya dan hukum-hukum-Nya serta hukum-hukum yang diterangkan oleh rasul-Nya.

Dan juga perkataan yang menolak, menafi dan mengingkari segala perkara yang sekata alim ulamak mensabitkannya atau menafikannya serta diketahui oleh orang ramai bahawa perkara itu dari agama.

Misalnya seperti katanya mengenai mana-mana hukum Islam:

1. “Hukum apa ini?”

2. “Hukum ini sudah lapuk.”

3. “Zaman sekarang tak patut diharamkan riba kerana mnghalangi kemajuan.”

4. “Dalam zaman yang serba maju ini kaum wania tak perlu dibungkus-bungkus.”

5. “Berzina kalau suka sama suka apalah haramnya?”

6. “Minum arak kalau dengan tujuan hendak menyihatkan badan untuk beribadat apa salahnya?”

7. “Berjudi kalau masing-masing sudah rela menerima untung ruginya apa salahnya?”

8. “Kalau hendak sangat menurut hukum-hukum Islam sampai kiamat kita tak maju.”

9. Berkata: “Perbuatan yang demikian tidak beradab” – apabila diceritakan bahawa Nabi Muhammad s.a.w selepas makan: menjilat sisa makanan dijarinya.

10. Berkata: “Aku tak mahu memotong kuku sekalipun sunat” – apabila diberitahu bahawa memotong kuku adalah sunat.

11. Berkata: “Si anu dah mulai menyalak” – semasa ia mendengar azannya.

12. Membaca ayat-ayat suci, hadis-hadis Nabi dan nama-nama Tuhan dengan cara mempersenda dan mempermain-mainkannya.

13. Kata-kata mengkafirkan seseorang Islam, pada hal orang itu tidak diyakini ada padanya sesuatu sebab yang menjadikannya kafir, sebagaimana yang diterangkan oleh hadis Ibnu Umar yang diriwayatkan oleh Muslim.

Sunday, November 18, 2012

Undi calon bukan Islam untuk politik Islam


KOTA BHARU: Majlis Syura Ulama PAS mengarahkan ahli parti mengundi calon PAS dari bukan Islam bagi melawan BN pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Naib Ketua Dewan Ulama, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed berkata, Majlis Syura Ulama sudah berijtihad bahawa PAS boleh bekerjasama dengan parti bukan islam dalam mencapai matlamat politik Islam.

"Untuk mencapai matlamat politik Islam, ulama telah berijtihad untuk menentukan wasilahnya.

"Antaranya ulama dalam PAS berijtihad dengan merujuk kepada ijmak dan qias telah membenarkan tahaluf siyasi dengan parti lain baik parti Islam atau bukan Islam sebagai satu wasilah mencapai kemenangan dalam PRU ke-13.

"Rentetan daripada tahaluf siyasi maka ahli PAS diarah mengundi calon-calon bukan Islam daripada DHPP dalam pilihan raya akan datang," katanya sewaktu menyampaikan ucapan penangguhan di Muktamar Tahunan PAS kali ke-58 di Putik hari ini.

Justeru beliau mengingatkan ahli PAS agar tidak mempertikai ijtihad yang ditetapkan Majlis Syura Ulama.

"Jangan sesiapa mempertikai ijtihad yang telah ditetapkan oleh Majlis Syura Ulama.

"Kalau ada ahli yang berceramah mempertikai tahaluf siyasi maka dia tidak walak pada Majlis Syura," tegasnya yang juga Pesuruhjaya PAS Johor..

Sementara itu, Dr. Mahfodz turut melahirkan rasa gembira apabila seluruh perwakilan menunjukkan keprihatinan terhadap Dewan Ulama.

"Ulama rasa syukur dan gembira kerana perwakilan ambil perhatian serius tentang kepimpinan ulama.

"Naib-naib presiden pun kata tak ada seorang pun tolak kepimpinan ulama dan saya yakin semua beri sokongan kepada kepimpinan ulama," katanya.

Felda jual sawit ke Israel, PAS akan serah memo


KOTA BHARU: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman menunaikan janjinya untuk mendedahkan bukti penjualan kelapa sawit oleh Felda kepada syarikat yang dimiliki oleh negara haram Israel ketika negara itu sedang membunuh umat Islam Palestin di Gaza.

(Mazlan menunjukkan invois jualan kelapa sawit Felda kepada Israel)


Beliau mendedahkan dokumen berupa invois jualan itu semasa berucap di Muktamar Tahunan PAS yang ke 58 di Putik hari ini.

Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh pimpinan dan ahli parti bersama-sama menyertai penyerahan memorandum ke pejabat Felda di Kuala Lumpur, 23 November ini.

Beliau berkata, memorandum itu bagi membantah tindakan Felda menjual minyak sawit kepada syarikat Yahudi dan menuntut penjelasan Felda berhubung RM400 juta saham syarikat judi, Genting Berhad dalam Felda.

Mensasarkan 5,000 rakyat ke penyerahan memorandum tersebut, Mazlan yang juga Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) berkata, Anak akan bergabung dnegan NGO-NGO lain berarak ke ibu pejabat Felda di Jalan Semarak di ibu negara.

"Saya menyeru pimpinan dan ahli bersama-sama Anak berarak dari masjid berdekatan pejabat Felda ke pejabat Felda di Jalan Semarak untuk menyerahkan memorandum kepada Felda.

"Anak akan gerakkan jentera dan bergabung dengan NGO untuk penuhkan masjid sekurang-kurangnya 5,000 orang untuk serah memorandum mendesak penjualan minyak sawit kepada syarkat Yahudi sejak 2010," katanya sewaktu perbahasan usul di Muktamar Tahunan PAS Kali ke-58 di Putik, hari ini.

Sementara itu, Mazlan juga mencabar pimpinan Umno menafikan perkara ini dalam Perhimpunan Agung parti itu akhir bulan ini.

"Tak perlulah Umno berkokok lagi dan kita cabar di perhimpunan agung untuk Umno jawab seperti yang dia nafikan sebelum ini.

"Saya ada bukti invois penjualan minyak sawit ini dan pasal saham Genting pun saya ada bukti," katanya.

Konsert Hijrah @ TMK 2012


















Pemuda tubuh dana khas untuk guru Pasti


KOTA BHARU: Setelah dikritik di dalam Muktamar Dewan Muslimat Khamis lalu berhubung masalah gaji atau elaun guru-guru Pasti yang rendah, hari ini Dewan Pemuda PAS Pusat mengambil inisiatif menubuhkan dana khas bagi membantu nasib mereka.

Ketuanya Nasruddin Hassan ketika ucapan penggulungan di Muktamar Tahunan PAS berkata, dengan adanya dana ini beliau percaya ia boleh mengatasi masalah gaji guru-guru Pasti.

Malah beliau juga mencadangkan agar mana-mana kerajaan dalam Pakatan Rakyat menyumbang satu dana khas melalui dana pendidik terus kepada Pasti.

Jelasnya, guru-guru Pasti pada asasnya diberi gaji antara RM400 hingga RM800 sebulan bagaimanapun ia tertakluk kepada pengurusan cawangan Pasti masing-masing.

"Gaji mereka ini bergantung kepada jumlah murid dan jumlah yuran yang dibayar oleh murid.

"Sebab itulah ada yang dapat gaji lebih dan ada yang dapat gaji kurang," katanya.

Tambahnya, Pemuda juga memberi kenaikan elaun sebanyak lima peratus malah juga memberi bonus hari raya dan permulaan masuk sekolah kepada guru-guru Pasti.

Khamis lalu, Dewan Muslimat di dalam penggulannya mendesak Dewan Pemuda agar mengambil serius berhubung masalah gaji guru-guru Pasti memandangkan 99.9 peratus yang terlibat di dalam Pasti adalah di kalangan muslimat.

Muktamar lulus 14 usul, sedia tuju Putrajaya

(Perwakilan muktamar PAS ke 58)

KOTA BHARU: Muktamar Tahunan PAS ke-58 yang berlangsung di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) kali ini, meluluskan 14 usul dengan enam usul dilulus dengan bahas manakala lapan lagi usul dilulus tanpa bahas.

Enam usul yang dibahas itu adalah, satu usul dari Dewan Ulamak, dua dari pemuda, satu muslimat dan dua PAS Pusat.

Dewan Ulamak PAS Pusat membawa usul organisasi agar Majlis Syura Ulamak PAS menubuhkan satu unit audit syariat bagi tujuan mengaudit perjalanan badan eksekutif yang terdiri daripada wakil ahli jawatankuasa PAS Pusat, Badan Perhubungan PAS Negeri dan kerajaan negeri yang ditadbir PAS.

Pengauditan ini menurut mereka perlu merangkumi semua aspek pentadbiran supaya semuanya memenuhi pematuhan syariat dan tidak melakukan perkara yang bertentangan dengan syariat bagi memastikan kualiti kepimpinan kerajaan negeri ditadbir PAS.

Usul itu telah dibentang dan dibahas semalam dan telah dipersetujui sebulat suara oleh para perwakilan muktamar.

Dewan Pemuda PAS pula membawa usul mendesak kerajaan supaya Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) ditangguhkan serta merta bagi mengelakkan pengainayaan kepada rakyat.

Usul itu juga mendesak agar kerajaan mewujudkan satu tatacara kelola trafik yang baru berdasarkan kajian dan juga piawaian negara maju yang lebih bersifat mendidik pengguna jalan raya.

Satu lagi usul yang dibawa dewan itu adalah usul mendesak kerajaan Malaysia menerima usul tergempar berkaitan Palestin dan Rohingya.

Usul tersebut juga menggesa kerajaan melalui OIC, Liga Arab dan PBB mengambil tindakan segera terhadap isu ini.

Kerajaan juga digesa menyatakan sikap yang tegas serta menggunakan seluruh mekanisma operasi untuk membantu krisis kemanusiaan yang berlaku di kedua-dua negara ini.

Kedua-dua usul pemuda tersebut juga telah dibentang dan dibahas semalam dan juga telah diterima sebulat suara para perwakilan.

Usul dari Dewan Muslimat PAS Pusat pula bagi mendesak Kementerian Pelajaran Malaysia menangguhkan perlaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Ini kerana perlaksanaan itu masih kabur sehingga menimbulkan tekanan kepada guru yang hampir 80 peratus dari mereka sebenarnya tidak faham.

Mereka juga menuntut agar hak yang adil dan sama rata kepada seramai 800,000 pelajar Sekolah Agama Rakyat (SAR) dalam PBS ini serta memastikan akses internet 1 Bestari Net yang menggantikan School Net di sekolah diatasi dengan sebaiknya sebelum perlaksanaan dilakukan.

Usul tersebut yang dibentang pagi ini juga diterima sebulat suara oleh perwakilan.

PAS Pusat pula membawa usul agar memperhebatkan siri penerangan pengkhianatan Umno kepada orang Melayu melalui semua medium yang ada.

Pada masa yang sama, PAS juga perlu meyakinkan pengundi Melayu bahawa PAS mampu menjaga Melayu lebih baik daripada Umno serta menerangkan segala pembohongan Umno.

PAS juga perlu menonjolkan kemampuan memerintah dengan memberi contoh Kelantan yang telah diperintah 22 tahun dan Kedah yang telah berjaya menunjukkan prestasi yang baik walaupun terpaksa menanggung beban hutang RM1.8 bilion peninggalan BN.

Satu lagi usul PAS Pusat adalah agar PAS mengukuhkan sokongan ke atas Jawatankuasa Bersih yang telah mengemukakan lapan tuntutan untuk membersihkan pilihan raya.

Usul terssebut juga mahu PAS mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan Umno BN untuk memenuhi kesemua tuntutan Jawatankuasa Bersih.

Pada masa sama, jentera PAS juga perlu terus membongkar penyelewengan Umno melalui daftar pemilih dan terus memberi tekanan kepada SPR untuk membersihkan kesemua daftar undi sebelum PRU-13.

Usul yang juga dibentang pagi ini itu juga diterima sebulat suara oleh para perwakilan.

Sementara itu, lapan usul yang diterima tanpa bahas adalah usul memperkasa Harakah, usul mengutuk Presiden MCA Dr Chua Soi Lek yang berterusan menghina Islam, serta usul agar Pakatan Rakyat mengutamakan seluas-luasnya aspek pendidikan di dalam pentadbiran di negeri-negeri yang dikuasai.

Selain itu, usul-usul agar usaha dakwah terhadap bukan Islam dimaksimakan, usul pembantu rumah tempatan dimartabatkan, usul calon Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) diberi peluang bertanding dalam PRU-13 juga dilulus tanpa bahas.

Dua lagi usul juga dilulus tanpa bahas adalah usul menghapuskan Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta usul agar diadakan satu himpunan besar-besaran pembabitkan parti-parti dalam Pakatan serta NGO bagi mendesak kerajaan memastikan pilihan raya adil dan saksama.

Pemuda tetapkan mekanisme isytihar harta

KOTA BHARU: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) menetapkan mekanisme berhubung pengisytiharan harta yang diumumkan minggu lalu.

Perwakilan DPPP Syahir Sulaiman berkata, ketetapan itu dibuat bagi memudahkan proses pengisytiharan harta yang disifatkan sangat wajar bagi menjaga integriti dan amanah di kalangan pemimpin pemuda.

"Seluruh pemuda bersetuju dengan pengisytiharan harta untuk menjaga nilai integriti dan amanah dengan mengambil tiga ketetapan.

"Pemuda akan menggunakan format yang digunakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam iaitu pengisytiharan harta di setiap agensi diserahkan kepada ketua pemuda dan ketua pemuda akan menyimpan maklumat tersebut dan dipantau oleh sebuah badan hizbah.

"Dari semasa ke semasa akan diserahkan kepada presiden dan mursyidul am. Selesai proses pemilihan calon pilihan raya, pemuda secara sukarela akan mempamer borang deklarasi pengisytiharan harta untuk dinilai secara keseluruhan," katanya sewaktu membahaskan ucapan dasar presiden di Muktamar Tahunan PAS Kali ke-58 di Putik, semalam.

Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan mengisytiharkan hartanya kepada khalayak ramai semasa ucapan penggulungan di Muktamar Pemuda PAS Khamis lalu.

Nasrudin, 42 mengisytiharkan, beliau bersama isteri mempunyai pendapatan sebanyak RM2,800 and RM4,000 sebulan.

Beliau juga memberitahu bahawa beliau mempunyai RM9,000 di dalam simpanan semasa.

Sementara itu, Syhir berkata, DPPP akan menyediakan kepakaran dalam pelbagai bidang bagi membantu ahli parlimen dan Adun merangka dasar dan polisi negara.

"Pemuda berbesar hati mengukuhkan kumpulan pakar di kalangan pemuda dalam agenda mengisi kemenangan dan kami menawarkan sukarelawan cerdik pandai pemuda untuk ahli parlimen dalam merangka polisi," katanya.

Muktamar Tahunan PAS Ke 58 , PUTIK Kelantan