Monday, November 19, 2012

Muktamar PAS terus perkukuh Pakatan Rakyat


KOTA BHARU: PAS terus beriltizam memperkukuhkan Pakatan Rakyat dengan mengambil kira parti itu tidak boleh bersendirian di Malaysia dalam suasana masyarakat majmuk, kata Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Begitu juga kata Presiden PAS itu, Umno tidak boleh bersendirian memerintah negara dalam suasana masyarakat yang pelbagai.

“Kita memerintah dalam suasana masyarakat majmuk. Melalui Pakatan Rakyat kita berjaya menghasilkan resolusi dalam tiga konvensyen yang diadakan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan pada hari akhir muktamar di Putik hari ini.

Ucapannya mengambil masa lebih sejam itu mempertegaskan kesepakatan dalam Pakatan Rakyat menyentuh perkara yang sudah termaktub dalam perlembagaan.

Menurutnya apa yang telah ada dalam perlembagaan iaitu Islam agama persekutuan, keadilan kepada agama lain, hak istimewa bumiputera, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan raja berperlembagaan sudah disepakati.

“Kita menerima kerana ini sudah ada dalam perlembagaan. Apa yang dihalal agama lain sebaliknya diharam agama Islam, kita tidak boleh ganggu. Amalan ini sudah dilaksanakan di Kelantan dan Terengganu.

“Kita halalkan perkara halal dan haramkan perkara haram. Sebaliknya sekarang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak diketepikan.

“Misalnya bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang boleh menyatukan semua bangsa di Malaysia. Melalui bahasa dapat menyatukan antara satu sama lain, cuma kalau hendak tambah ilmu bolehlah menggunakan bahasa asing,” ujarnya.

Kata Ustaz Abdul Hadi semua orang tahu bahasa adalah jiwa bangsa.

Sebaliknya kata beliau Umno pinggirkan bahasa kebangsaan, di  mana pemimpin negara lebih berminat menggunakan bahasa asing.

Katanya, pemimpin negara lain bercakap di PBB menggunakan bahasa ibunda masing-masing, sebaliknya pemimpin negara kita lebih suka menggunakan bahasa Inggeris.

No comments: