Sunday, April 15, 2012

PTPTN: Mahasiswa berhimpun hingga suara mereka didengari



(Mahasiswa berkhemah menuntut kerajaan memenuhi tuntutan mereka)

KUALA LUMPUR, 14 April: Sekumpulan mahasiswa yang menuntut pendidikan percuma di negara bertindak memasang khemah di Dataran Merdeka, sementara menunggu perhimpunan Bersih 3.0, 28 April ini.

Mereka juga bernekad tidak akan berganjak dari Dataran sehingga pihak kerajaan turun padang menemui mereka bagi mendengar keluhan mahasiswa terhadap isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Perhimpunan anjuran Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang diketuai Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (Gamis) itu pada mulanya berkumpul di persekitaran Masjid Jamek Kuala Lumpur, sebelum berarak ke kompleks membeli-belah Sogo.
Sepanjang Jalan Raja Laut menuju Sogo, kumpulan lebih 500 mahasiswa itu melaungkan pelbagai slogan bagi menarik perhatian pengguna jalan raya, antaranya 'Hidup Mahasiswa', 'Jahanam Kapitalis', 'Najib Altantuya', 'Mansuh PTPTN', 'Bangkit Mahasiswa' sambil memegang pelbagai kain rentang.

Tiba di Sogo, kumpulan tersebut mula berucap bagi menyatakan pendirian mereka terhadap PTPTN yang disifatkan mereka hanya melahirkan 'graduan hutang'.

Sebelum itu, mereka meletakkan kalungan bunga pada potret Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Tindakan tersebut dikatakan sebagai simbolik  kepada 'kematian' peranan dua menteri tersebut dalam usaha menyelesaikan isu PTPTN yang dibantah mahasiswa.

Antara pemimpin mahasiswa yang berucap Pengerusi SMM, Mohd Safwan Anang; dan mahasiswa yang digantung pengajiannya di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Adam Adli Abdul Halim.

Kumpulan itu kemudiannya kembali berarak ke Dataran Merdeka melalui Jalan Tuanku Abdul Rahman, dan memasang lima buah khemah di Dataran serta mendirikan solat Asar berjemaah.

Kira-kira 30 anggota polis hanya memerhatikan kumpulan mahasiswa tersebut berhimpun tanpa sebarang provokasi daripada mereka.

Sementara itu, Safwan ketika ditemui media, berkata himpunan hari ini sebagai tanda amarah rakyat terhadap isu PTPTN yang didakwa lebih memberi keuntungan kepada kapitalis, sekaligus membebankan mahasiswa.

Ketika ditanya mengapa perhimpunan hari ini turut mengaitkan isu PTPTN dengan kepimpinan kerajaan sedia ada, Safwan berkata sekiranya mahasiswa mahu mengubah kerajaan, itu merupakan hak mereka sebagai pengundi.

"Kita tidak tahu bebanan masing-masing, tapi fokus isunya ialah PTPTN.  Kalau mahu ubah kerajaan, itu hak mereka.  Kita pun setuju, kalau kerajaan tidak mahu memberikan komitmen tentang hal (PTPTN) ini.  Kita kata kerajaan perlu diubah,  dan ia mesej jelas daripada mahasiswa," tegas beliau.

Justeru, kata beliau mahasiswa akan terus berkhemah di Dataran Merdeka sehingga pihak kerajaan respons terhadap tuntutan mereka.

"Kita akan teruskan protes ini di sini.  Kalaupun dihalau, kita akan meneruskan protes.  Kalau bukan di sini, di tempat lain yang akan diputuskan nanti," kata beliau.

Himpunan mahasiswa ini turut disertai pemimpin Pakatan Rakyat, antaranya Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar; Tian Chua; Timbalan Ketua Penerangan AMK, Rozan Azen Mat RasipRozan; dan pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr. Jeyakumar Devaraj.

Manakala, bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dijangka hadir ke Dataran Merdeka, malam ini bagi menyatakan sokongan kepada golongan mahasiswa.

Parti ajaran sesat: Pemuda PAS sedia muzakarah



(Nasrudin....sedia bermuzakarah dan buat road show)

KUALA LUMPUR, 14 April: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) bersedia untuk menerima cabaran mana-mana pihak dari Umno  untuk bermuzakarah dalam isu  PAS: parti ajaran sesat yang sedang dipropagandakan oleh Umno Terengganu.

Ketuanya Nasruddin Hassan berkata, Umno sengaja menciptakan propaganda itu dan ia tidak perlu diperdebatkan sebaliknya perlu bermuzakarah.

"Kita tidak mahu cabar Umno berdebat dalam isu ini kerana tidak 'padan' sebab Umno sengaja cipta isu ini," katanya kepada media petang tadi.

Malah katanya, pada tahun 1984 sudah timbul isu kafir mengkafir waktu itu PAS anjurkan muzakarah dengan Umno akhirnya dibatalkan kerana Umno tidak mahu bersemuka dengan PAS.

"Kita cabar Umno kali ini, kalau berani kita bermuzakarah apa yang mereka bangkitkan, melalui ini kita tahu siapa yang sesat sebenarnya," kata beliau.

Malah katanya, DPPM akan mengadakan 'road show' seluruh negara untuk menangkis tohmahan jahat Umno BN yang cuba memburuk-burukan PAS.

"Umno sepatutnya sedar propaganda yang sengaja diciptanya itu telah memakan diri mereka sendiri apabila, rata-rata rakyat negeri itu mula menyampah dengan politik kotor Umno ," katanya.

Katanya PAS juga boleh menjawab segala tohmahan tersebut dengan platform ilmiah melalui penerbitan buku 'Siapa Yang Sesat?' yang akan diterbitkan tidak lama lagi.

Sebelum ini, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata, program “Pas: Parti Ajaran Sesat (P:PAS)” yang bermula di Terengganu semalam akan diteruskan ke seluruh negara.

Beliau menjelaskan program P:PAS secara besar-besaran akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur tidak lama lagi.

"Program P:PAS tidak hanya setakat di Terengganu, tetapi kita akan bawa ke seluruh negara. Kita akan adakan perhimpunan besar-besaran di PWTC lepas ni,” katanya.

Ahmad, ketika berucap pada majlis menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia di Kijal pada Rabu lepas, dilaporkan berkata, perjuangan Pas kini tersasar jauh daripada perjuangan Islam sebenar dan menyifatkan Pas sebagai "parti ajaran sesat".

Salahudin diraikan di Kubang Kerian



(Husam menyampaikan saguhati khas kepada Salahudin)

KOTA BHARU, 14 April: Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub hari ini diraikan dalam mesyuarat agung PAS Kubang Kerian, kawasan parlimen yang beliau wakili.

Ini kerana, selepas ini Salahudin tidak lagi akan mewakili kawasan itu tetapi akan pulang ke Johor untuk bertanding di sana.

Salahudin menerima cenderamata khas dari Yang Dipertua PAS Kubang Kerian, Datuk Husam Musa.

Sebelum ini, Pesuruhjaya PAS Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat telah menyatakan kesediaan PAS Kelantan untuk melepaskan beliau.

Salahudin telah dua penggal mewakili parlimen Kubang Kerian iaitu sejak pilihan raya umum 2004 dan 2008.

Beliau akan bertanding di Johor dalam pilihan raya ke 13 bagi memantapkan pasukan PAS Johor dalam menjayakan hasrat untuk menawan Putrajaya.


Najib tidak yakin

Ketika bercakap kepada pemberita, Salahudin mendakwa  walau pun banyak ‘habuan’ dicurahkan termasuk BR1M namun Perdana Menteri dirasakan tidak ada keyakinan untuk membubarkan Parlimen dalam masa terdekat bagi memberi laluan kepada Pilihanraya Umum ketiga belas (PRU-13).

Bahkan, kata Salahuddin,  akan datang dilakukan penyenaraian Felda Global Ventures tetapi mereka dihambat dan dihantui pelbagai isu yang mereka sendiri tidak yakin.

“Jadi saya rasa, ini keadaan yang malang bagi Umno-BN, dan keadaan ini akan menjadikan rakyat lebih melihat jauh ke hadapan untuk mereka menukar driver walau pun Najib kata tak perlu tukar driver.

“Namun dalam hal demikian, mereka lihat Najib semakin tidak yakin (untuk membubarkan Parlimen dan meraih kemenangan dalam PRU-13)," katanya.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu bercakap kepada pemberita selepas  Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Kubang Kerian kali ke-38 di Pasir Tumboh dekat sini pagi tadi.

Turut hadir Adun  Salor yang juga Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa.

Justeru Salahuddin mendakwa beliau cukup yakin rakyat Malaysia akan melihat Pakatan Rakyat (PR) sebagai pilihan mereka ke Putrajaya.

KP warga asing: PAS bimbang kecoh di hari mengundi

KOTA BHARU, 14 April: PAS melahirkan kebimbangannya terhadap langkah memberikan taraf kewarganegaraan kepada warganegara asing secara berleluasa tanpa dibendung akan mengundang huru-hara terutama semasa pilihan raya berlangsung.

Justeru Penolong Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyudin Hassan yang juga pengamal undang-undang menegaskan Kerajaan Pusat perlu bertanggungjawab dengan apa yang bakal berlaku.

(Takiyudin menyampaikan hadiah dalam Pertandingan Kerajinan Tangan Wanita Dun Bunut Payong)


“PAS Pusat telah membuat satu keputusan untuk mendesak pihak Kerajaan Malaysia khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang bertanggungjawab dalam hal ehwal kad pengenalan supaya memberikan respon kepada dakwaan kita," katanya.


Beliau mendakwa PAS mempunyai bukti kukuh bahawa pegawai-pegawal tinggi kerajaan di beberapa agensi bukan saja di Jabatan Pendaftaran Negara tetapi juga Majlis Keselamatan Negara serta Jabatan Perdana Menteri itu sendiri terbabit.

“Mereka (dengan pegawai-pegawainya sendiri) diarah untuk membuat sebanyak mungkin pemberian I.C warganegara kepada warganegara asing itu khususnya bagi ‘menampung kekurangan’ yang mereka rasa wujud di beberapa Parlimen termasuk di Parlimen Pekan, Pahang sendiri.

“Kita mempunyai bukti bahawa di Parlimen Pekan sendiri, warganegara daripada beberapa negara, antaranya Burma dan juga Bangladesh sedang diberikan taraf kewarganegaraan yang membolehkan mereka itu mengundi.

“Dan yang lebih berat lagi apabila diberikan kewarganegaraan, kad pengenalan, mereka itu didaftarkan terus  dalam kawasan parlimen-parlimen tertentu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bunut Payong bercakap kepada pemberita pada Majlis Perasmian Penutup Pertandingan Kerajinan Tangan Wanita Dun Bunut Payong di Astaka JKR 10 Kediaman Rasmi Menteri Besar di sini tengahari tadi.

Beliau mengulas perkembangan menjelang PRU-13 membabitkan pemberian kad pengenalan kepada warganegara asing yang berada di negara ini oleh golongan tertentu.

Beliau mendakwa perkara itu juga berlaku di Kelantan di mana warganegara jiran yang diberikan kad pengenalan diletakkan terus di Dun tertentu dan dijadikan pengundi di situ.

“Dan kita memberi peringatan kepada Kerajaan Malaysia, kalau sekiranya mereka teruskan juga keadaan itu, (dipercayai) akan berlaku suasana huru-hara terutamanya samasa pilihanraya, bahkan akan adanya bantahan.

“Orang yang tidak tinggal dalam kawasan-kawasan pilihanraya tertentu itu, bahkan bukan berasal di situ dan tidak ada niat untuk tinggal di situ menjadi pengundi dalam kawasan itu, maka saya nampak akan jadi satu keadaan huru-hara dan Kerajaan Pusat perlu bertanggjungjawablah," katanya.

Mengulas lanjut, beliau mendakwa apabila disebut  kempimpinan tertinggi negara (terbabit dalam perkara itu), mereka itu secara automatiknya adalah ‘pemimpin tertinggi parti’ terutamanya Umno-Barisan Nasional (BN).

‘Perkuburan 1Malaysia’ ada di kawasan Najib?


KUALA LUMPUR, 14 April: Penulis blog, Anak Sungai Derhaka menyebut gara-gara taksub dengan konsep ‘1Malaysia" yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, akhirnya agama Islam itu sendiri menjadi carca merba.


Sehubungan itu, beliau di dalam blognya, http://darisungaiderhaka.blogspot.com membongkarkan berita panas yang untuk memberi kesedaran kepada seluruh rakyat Malaysia kenapa perlu mereka menolak Umno BN pada Pilihan raya Umum akan datang.

Tulisnya, jika rakyat terus membiarkan mereka berkuasa, maka akhirnya agama akan terus diperkotakkatikkan sesuka hati oleh mereka yang berkuasa.

“Terbaru, kami berjaya membongkarkan sebuah kawasan tanah perkuburan ‘1Malaysia’ di Parlimen Pekan iaitu kawasan Najib itu sendiri.

“Sungguh mengejutkan apabila tanah perkuburan di Tanjung Agas itu menempatkan kubur Islam, Budha dan Kristian dalam satu kawasan tanah perkuburan, tanpa ada perasaan bersalah oleh pihak terbabit,” tulis beliau.

Menurutnya, selama ini ramai di kalangan mereka yang lalu lalang di sekitar kawasan terbabit tidak perasan dengan lokasi berkenaan.

Memang, katanya banyak kawasan seperti itu terdapat di sepanjang jalan dari Pekan ke Rompin, namun difahamkan ia melibatkan kubur Orang Asli.

“Namun, apa yang berlaku di Tanjung Agas ini agak menakjubkan, kerana ia bukan tanah perkuburan orang Asli tetapi juga menempatkan kubur orang Islam biasa.

“Soalnya sekarang, apakah Najib sedar dengan apa yang berlaku ini?” soalnya.

Justeru, katanya tidak timbul persoalan mereka iaitu orang Islam itu adalah Orang Asli atau tidak.


Apa yang penting mereka telah memeluk agama Islam, malah terdapat nama pada batu nisah tertera "Kechik Binti Muda" (kiri) yang letak bersebelahan dengan jirat Cina (bukan Islam).

Malah, tulisnya lagi terdapat juga kubur-kubur orang Kristian lain di kawasan terbabit.

Menurutnya, umum mengetahui bahawa kawasan Tanjung Agas itu kini majoritinya didiami oleh warga Kemboja yang diimport sebagai ‘pengundi tetap’ Najib di Parlimen Pekan.

Makanya, ujar beliau kemungkinan besar kubur Islam yang terdapat di situ ialah adalah orang Melayu Islam Kemboja.

“Anehnya, kenapa perkara ini terjadi?" tanya beliau.

Beliau juga mempersoalkan ke mana perginya Jabatan Agama Islam Pahang dan Majlis Ugama Islam & Adat Resam Melayu Pahang  yang sepatutnya memantau kegiatan seperti itu.

Baginya, ternyata apa yang berlaku itu sungguh memalukan dan amatlah mengecewakan umat Islam sebenarnya, tambahan pula ia terjadi dalam kawasan PM, Najib Razak.

Tuesday, April 10, 2012

PTPTN: Pemimpin BN hilang kreativiti


KUALA LUMPUR, 9 April: Penegasan Perdana  Menteri  untuk tidak menghapuskan pinjaman PTPTN seperti diumumkan di Batu Pahat Sabtu lalu menunjukkan kepupusan daya kreativiti pemimpin Barisan Nasional (BN).

Demikian kata Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa (gambar) dalam kenyataannya kepada Harakahdaily.

Menurut Husam, jumlah RM43 bilion yang disebut oleh Perdana Menteri juga adalah tidak benar dan mengelirukan. 

Ini kerana, dengan jumlah peminjam seramai 1.9 juta orang,  jumlah keseluruhan pinjaman yang dikeluarkan sejak ia mula dikeluarkan sehingga akhir 2012 hanya berjumlah RM28 bilion sahaja.

"Bukan RM 43 bilion  seperti disebut," kata Husam yang juga Exco Ekonomi dan Kebajikan kerajaan negeri Kelantan.

Beliau mempertikaikan, mengapa PM sanggup memberikan angka yang silap?

"Adakah sengaja untuk mengeliru dan menakutkan rakyat jelata?" soal beliau.
Husam juga menjelaskan, jumlah keseluruhan RM28 bilon sehingga akhir 2012 tidak semestinya dilunaskan serta merta keseluruhannya sebaik Pakatan Rakyat mengambil alih kuasa.

Antara tindakan yang boleh diambil, kata Husam  ialah mengambil alih pinjaman PTPTN atau memberikan jaminan pembiayaan tahunan sama jumlah dengan tanggungan PTPN kepada institusi kewangan yang memberikan pembiayaan kepada PTPTN.

Dengan itu, katanya, kos tahunan kepada kerajaan adalah masih dalam tahap kemampuan kerajaan pusat sebagaimana PTPTN mempunyai jadual  pembayaran tahunan yang tertentu.

Bagi beliau, gambaran bahawa negara tidak mampu kerana menjelaskan RM43 bilion sekaligus adalah amat mengelirukan dan menunjukkan PM tidak memahami mekanisma kewangan yang lazim diamalkan termasuk memberi undertaking dan menjadual semula pinjaman.

Jangan petik buah putik, jangan tunggu buah buruk

Setelah tiga tahun dilancarkan, Government Transformation Programme (GTP) yang diilhamkan oleh YAB Datuk Seri Najib Tun Razak mula dibentangkan hasilnya kepada rakyat. Semasa program ‘Jelajah Janji Ditepati’ di Johor baru-baru ini, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa pencapaian GTP berdasarkan 6 National Key Result Area (NKRA) telah melebihi target yang disasarkan dalam tempoh yang singkat.

Antara yang dibentangkan di dalam laporan itu ialah Malaysia diisytiharkan sebagai negara paling aman di asia tenggara dan juga negara paling selamat antara 19 buah negara. Sudah pasti prestasi sebegini menyerlahkan kemajuan cemerlang yang dicapai di bawah NKRA Mengurangkan Jenayah. Turut dicatatkan, berlaku pengurangan sebanyak 39.7% Jenayah Jalanan dan 11.1% Jenayah Indeks.

Namun begitu, sehingga ke saat mayat Dirang yang ditemui rentung dalam sebuah lubang berhampiran kediamannya pada 8 Mac lalu, angka-angka ini ternyata tidak mampu melegakan hati rakyat. Saban hari, kes rompakan, rasuah, ragut, lari dari rumah, pembunuhan, rogol dan buang bayi berselang-seli menjadi tajuk utama di dada akhbar dan siaran berita di televisyen.

Keadaan ini sudah pasti menimbulkan tanda tanya dan rasa sangsi rakyat terhadap laporan yang telah diuar-uarkan. Lebih membimbangkan adalah, adakah kami semua selamat untuk menjalani kehidupan seharian? Ataupun pasti sekali kami juga akan menjadi mangsa, cuma ‘tunggu’ giliran?

Tidak dapat dinafikan bahawa masalah jenayah ini ada hubungkaitnya dengan keadaan ekonomi sesebuah negara dan rakyatnya. Antaranya berpunca daripada tekanan hidup akibat peningkatan kos sara diri dan bebanan hutang. Secara tidak langsung, ia menjadi punca kepada individu-individu tertentu untuk melakukan sesuatu tindakan luar jangka yang membahayakan orang lain.

Lebih parah lagi apabila rakyat dapat melihat dengan jelas bahawa jenayah-jenayah yang sering dibawa kepada muka pengadilan hakikatnya lebih tertumpu kepada rakyat bawahan. Apabila melibatkan orang kenamaan atau berjawatan, semacam ia selesai dalam diam.

Ini membuktikan kegagalan sistem kehakiman dan undang-undang dalam menangani masalah ini dan barangkali juga ia adalah cara golongan atasan untuk mengalih perhatian umum terhadap penindasan yang berlaku.

Program atau rancangan hiburan yang tidak dikawal dan melampau juga telah  menyumbang kepada berkembangnya budaya hidup yang merosakkan seterusnya kemungkinan berlakunya pelbagai jenayah.

Sebagai contoh,  penganjuran konsert artis antarabangsa, Girls Generation dari Korea Selatan baru-baru ini yang terkenal dengan penampilan yang menjolok mata dan tarian mengghairahkan. Hal ini pasti sekali memberi pengaruh negatif kepada anak-anak muda khususnya dalam cara pemakaian dan pergaulan mereka.

Di sisi yang lain pula, berlaku gejala sosial meruncing yang akhirnya menjerumuskan mereka sehingga ke tahap melakukan penzinaan dan pembuangan serta pembunuhan bayi. Hiburan yang diketengahkan sepatutnya mestilah dalam kerangka untuk membina perpaduan dikalangan masyarakat serta sebagai medium pendidikan dan lebih penting daripada itu mestilah mematuhi norma masyarakat setempat dan batasan agama.

Tentang keselamatan di jalan raya juga seharusnya diberi perhatian. Soal infrastruktur atau sikap pengguna, kedua-duanya perlu diselesaikan bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya. Saman umpama tidak lagi berkesan sebagai cara untuk menyelesaikan masalah ini. Kerajaan perlu segera mengambil langkah proaktif dalam hal ini.

Menyedari hakikat ini, kerajaan perlu menilai kembali usaha yang dijalankan agar hasilnya selepas ini bukan sahaja sekadar mampu membentangkan angka-angka yang sedap mata memandang dan telinga mendengar, tetapi mestilah sehingga hilang rasa ragu dan sangsi serta lahir perasaan percaya dan yakin rakyat Malaysia bahawa Malaysia benar-benar sebuah negara yang aman dan selamat.

Apa yang lebih menarik, mutakhir ini menunjukkan bagaimana respon anak muda terhadap ceramah-ceramah agama di Youtube khususnya oleh Ustaz Azhar Idrus, mendapat sambutan yang cukup menghangatkan.

Ini membuktikan bahawa anak-anak muda hari ini sudahpun menunjukkan isyarat dan menyatakan kesediaan mereka untuk menerima Islam sepenuhnya sebagai cara hidup mereka, termasuklah dalam pelaksanaan syariat Islam.

Tinggal lagi, bagaimana usaha kerajaan untuk memanfaatkan peluang ini bagi menyediakan suasana yang lebih kondusif pada masa hadapan ke arah pelaksanaan Undang-undang Jenayah Islam yang pasti dapat menjamin keselamatan negara dan rakyat Malaysia untuk hidup bahagia di dunia dan selamat di akhirat. Jangan Petik Buah Putik, Jangan Tunggu Buah Buruk.

Wallahua’lam


Penulis ialah Pengerusi Inspirasi Anak Muda Malaysia (Inspirasi) dan Naib Presiden Gamis

Apabila artis dan sasterawan sertai PAS


KUALA LUMPUR, 9 April: Jika anda ingin melihat kejatuhan sesebuah kerajaan, tunggulah apabila golongan sastrawan dan artis juga menyertai usaha menjatuhkannya.

Kini, semua ramuannya sudah mencukupi. Golongan sastrawan dan artis berbondong-bondong menyertai gerakan untuk mengubah wajah negara ini.

Pihak sastrawan diketuai oleh Sastrawan Negara, Tan Sri Samad Ismail turun ke gelanggang. Ia sudah setahun berlalu.

Kini, golongan artis pula yang berbondong-bondong menyertai PAS.

Terbaru, penyanyi suara emas, Aishah atau nama penuhnya Wan Aishah Wan Ariffin (gambar atas) menyertai PAS.

Bukan itu sahaja, beliau telah bercakap di atas pentas PAS bahkan di Markas Tarbiyah PAS, Taman Melewar pula.

Setahun lalu, apabila Bob Lokman mengumumkan penyertaannya ke dalam PAS, ramai yang tidak memandang serius penyertaan beliau.

Namun selepas satu tahun, kesan yang dibawa oleh Bob Lokman jelas kelihatan.

Bukan Aishah sahaja, gitaris paling hebat negara, Sham Kamikazi juga menyertai PAS.

"kontroversi saya masuk PAS ni. Tambah-tambah pula berucap lagi di Markas Tarbiyah PAS ni," kata Aishah dalam ucapannya kira-kira setengah jam di Taman Melewar Jumaat lepas.


(Aishah bergambar dengan banner XPDC Dakwah PAS Batu ke Cambodia)

Menurut Aishah beliau mula serius mendekati PAS apabila mendapat layanan kurang baik dari seorang menteri wanita yang beliau dekati untuk mendapatkan pertolongan dan nasihat ekoran masalah penjagaan anak-anaknya selepas beliau berpisah dengan suaminya yang bukan Melayu.

"Saya jumpa Datuk Seri bukan nak minta lembu...tetapi untuk kepentingan aqidah anak saya," cerita Aishah.

Selepas beliau memakai tudung, Aishah berkata, pihak yang paling awal menyambutnya adalah Nisa'.

"Saya lihat kumpulan ini jauh berbeza," kata Aishah memuji pendekatan yang diambil oleh kumpulan NGO yang rapat dengan PAS itu.

Menurut Aishah, menyertai PAS bukannya satu kerja mudah bagi beliau kerana beliau menerima tentangan dari kaum keluarga yang rapat dengan beliau sendiri.

Sepupu beliau menyindir bahkan mempetikaikan langkahnya itu.

Melihatkan kepada reaksi mereka, membuat beliau terfikir, "apa yang kita nak terangkan kepada mereka macam ni..

"Bagi mereka taat kepada pemerintah seperti taat kepada raja, bila kita bantah, seperti kita menderhaka...

"Nasib baik mak saya dah tak da ...kalau dia tahu dan berceramah pulak, di markas lagi ni...saya tak tahulah," cerita Aishah.

Menurut Aishah, menyokong pembangkang juga dianggap salah di negara ini padahal ini adalah hak demokrasi masing-masing.

Kerana keengganan beliau untuk bersalam dengan bukan muhrim sahaja beliau telah cuba digam dari sebuah stesyen TV.

"Bila kita sokong pembangkang, kita dianggap jahat...

"sebelum ni saya tak ambil pot lah apa yang berlaku di negara ini...tetapi bila dah kena batang hidup sendiri, ini tak boleh jadi, tak kan nak biar je.." tegas Aishah dalam ucapannya itu.

Turut berucap di majlis 'Artis Berubah, Rakyat Merobah, BN Rebah' adalah Bob Lokman sendiri serta Naib Pengerusi DHPP, Vincent Lee.

Mengapa arah pindah RM308,700 ke akaun CEO TH?


KUALA LUMPUR, 9 April: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) mempersoalkan mengapa terdapat arahan pindahan wang RM308,700.00 dari akaun Tabung Haji (TH) kepada akaun Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)nya, Datuk Ismee Ismail.

Ketika bercakap kepada media di lobi parlimen hari ini, beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena mempersoalkan apakah alasan arahan pindahan wang itu.

"Mengapa? Untuk apa? Adakah ini bonus kepada CEO TH kerana kepandaiannya mengurus pelaburan TH dalam Silverbird?

"Kalau benar pindahan wang itu adalah bonus untuknya, adakah pelabur-pelabur TH kerugian berjuta-juta ringgit, CEO pula dapat bonus?!" kata beliau.

Dalam ucapannya mengenai TH di Dewan Rakyat pula, Mahfuz membangkitkan beberapa isu yang penting dalam permaslahan TH iaitu kerugian yang dihadapi anak syarikatnya, Silverbird Bhd akibat penyelewengan wang syarikat, penggunaan wang TH berjumlah kira-kira RM500 juta untuk kompleks bangunan pejabat-pejabat kerajaan di Putrajaya dan arahan pindahan wang tersebut.

Mengenai Silverbird, beliau sekali lagi mempersoalkan mengapa penyelewengan kewangan di dalam syarikat tersebut tidak disedari oleh wakil-wakil TH dalam Lembaga Pengarah Silverbird?

"Apa tindakan disiplin dan tata tertib yang diambil oleh TH terhadap wakil-wakilnya dalam lembaga pengarah Silverbird?

"Adakah elaun Ahli Lembaga Pengarah diambil tetapi tidak ada akauntabiliti?" soal Mahfuz.

Beliau juga mempersoalkan mengapa TH tidak menempatkan wakilnya dalam pengurusan Silverbird sebagai Pengarah Eksekutif?

"Jika terdapat wakil Tabung Haji dalam pengurusan Silverbird kemungkinan pemyelewengan tersebut tidak berlaku," katanya.

TH merupakan pemegang saham terbesar dalam Silver Bird iaitu sebanyak 22.19 peratus manakala Koperasi Permodalan Felda Bhd pula mempunyai 12.7 peratus saham dalam syarikat pembuat roti dan kek itu.

Kejatuhan saham syarikat pembuat roti dan kek itu berpunca dari akaun syarikat itu yang tidak teratur yang melibatkan jumlah yang dianggarkan sehingga RM111.5 juta.

Silverbird kini diklasifikasikan sebagai syarikat PN17 iaitu syarikat bermasalah yang mesti mengemukakan pelan pemulihannya kepada Bursa Malaysia.

"Apa tindakan pemantauan Jabatan Perdana Menteri terhadap isu ini dan terhadap kealpaan lembaga pengarah dan pengurusan TH sehingga menyebabkan kerugian berjuta wang pendeposit-pendeposit TH?

"Mengapa CEO TH tidak dipertanggung jawabkan terhadap kerugian Tabung Haji dalam Silverbird?

"Atau adakan JPM juga menghadapi Sindrom JK?!" katanya.

Mahfuz bagaimanapun tidak menjelaskan adakah sindrom JK itu merujuk kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Mengenai pembinaan kompleks pejabat kerajaan dengan menggunakan dana TH, beliau mempersoalkan adakah kerajaan akan menyewa kompleks tersebut daripada TH?

"Kalau sewa, berapa sewanya dan berapa tahun pula baru dapat diperoleh semula kos binaan dan membuat untung?

"Kalau TH sewa kepada kerajaan, sila bentangkan perjanjian penyewaan dalam Parlimen," katanya.

Mahfuz juga mahu dibentangkan resolusi lembaga pengarah TH dalam pembinaan kompleks tersebut.

Tahniah PM ‘lantik’ Najib pangku Menteri Wanita

KUALA LUMPUR, 9 April: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana ‘melantik’ dirinya sendiri sebagai pemangku Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

‘Pelantikan’ itu dibuat bagi menggantikan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang tamat tempoh perkhidmatannya sebagai senator, semalam.

“DPPM merasakan jawatan Datuk Seri Najib sebagai pemangku Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat amat sesuai dengan dirinya memandangkan tidak ada lagi pemimpin Umno dari kalangan wanita yang layak menggantikan tempat Datuk Seri Shahrizat,” kata Ketua Penerangan DPPM, Riduan Mohd Nor (gambar).

Menurutnya, mungkin semua pemimpin lain yang ada dalam Umno mahupun Barisan Nasional tidak sehebat dan setanding dengan Najib, ataupun mungkin kesemua pemimpin Umno yang lain tidak boleh dipercayai untuk dijadikan menteri.

Katanya, kehebatan Najib sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat membuktikan bahawa sememangnya beliau pemimpin serba boleh sehinggakan portfolio yang berkaitan dengan wanita juga beliau perlu jaga.

“Pelantikan ini melengkapkan tiga portfolio kabinet yang dipegang oleh beliau iaitu Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan kini Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,” katanya kepada Harakahdaily.

Malah, ujarnya DPPM juga mencadangkan supaya Najib membolot semua jawatan Menteri Kabinet yang lain.

“Cadangan ini penting supaya membolehkan beliau dikenali dan menjadi popular di kalangan rakyat Malaysia.

“Menteri-menteri kabinet yang lain boleh dikesampingkan, kerana yang pentingnya Datuk Seri Najib popular dan diminati ramai, bukan pemimpin-pemimpin Umno yang lainnya,” kata Riduan lagi.

Paling penting, kata beliau adalah untuk memastikan Najib menang dalam PRU ke-13, tidak kisah apa jadi kepada Umno atau pemimpin yang lainnya.

Mungkin juga, ujarnya Datuk Seri Najib boleh mengagih-agihkan tugasan sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kepada isterinya.

“Mana-mana program yang tidak sempat dihadirinya boleh diserahkan kepada isterinya, kerana isterinya juga bukan calang-calang orang.

“Dengan itu, isterinya boleh diangkat setanding dengan menteri-menteri kabinet yang lain, serta boleh menentukan dasar dan polisi negara,” katanya lagi.

Selain itu, kata Riduan banyak idea dan projek negara serta peruntukan-peruntukan besar boleh ‘disalurkan’ melalui isterinya.

“Ini barulah dinamakan ‘perkongsian bijak’ antara suami dan isteri yang boleh mem’faraid’ kan portfolio menteri antara keduanya,” katanya.

Guna kedudukan Exco dapatkan tanah kerajaan?

TUMPAT, 9 April: Pada tahun 1950-an seramai 45 penduduk mendirikan rumah sebagai tempat berteduh di atas tanah milik kerajaan di pekan ini.

Malangnya selepas Umno dan Barisan Nasional (BN) mentadbir Kelantan pada 1980-an tiba-tiba tanah tersebut dipindah milik kepada seorang pemimpin BN, Datuk Foo Chow Yong.

Sedangkan tanah berkenaan terletak berhampiran Pasar Tumpat dan Masjid Ismailiah menjadi kediaman penduduk Melayu sejak sebelum merdeka lagi.

Semasa pilihanraya 1980-an, Foo Chow Yong calon tunggal daripada MCA menang di kerusi Dun Sungai Keladi, Kota Bharu kemudian dilantik sebagai anggota Exco kerajaan negeri.

Difahamkan dengan kedudukan sebagai anggota Exco membolehkan pemimpin terbabit mengambil kesempatan memiliki tanah diduduki penduduk kampung.

Mengulas isu berkenaan Adun Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim (gambar) berkata, kemungkinan pemimpin terbabit menggunakan kedudukannya sebagai anggota Exco mendapatkan tanah bagi kepentingan peribadi dan keluarga.

Katanya, berdasar maklumat banyak tanah dimiliki keluarga pemimpin berkenaan di jajahan Tumpat.

“Ketika itu pemimpin Umno dan BN boleh melakukan apa sahaja termasuk mengambil tanah-tanah diduduki rakyat bagi kepentingan peribadi.

“Mereka tidak kira tanah tersebut diduduki penduduk kampung atau tidak. Mungkin ini yang berlaku di Tumpat sekarang apabila 45 keluarga terpaksa berpindah biar pun sebelum merdeka sudah menduduki tanah berkenaan,” katanya di sini.

Kes berkenaan dibawa ke mahkamah oleh keluarga pemilik tanah. Pengurusan kes berkenaan ditetapkan pada 26 Mac lalu. Bagaimanapun penduduk berharap mendapat perintah membolehkan tempoh perpindahan dilanjut dan dibayar pampasan.

Prosiding kes berkenaan dijangka berlangsung di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, esok. Adun Kelaboran menyediakan khidmat peguam bagi mewakili penduduk.

Dfahamkan sebahagian besar penduduk Melayu yang tinggal ditanah milik keluarga Foo Chow Yong merupakan penyokong Umno.

“Mereka datang menemui saya menceritakan isu berkenaan apabila keluarga mendiang Foo mengarahkan mereka supaya berpindah di atas tanah yang mereka diami sebelum merdeka.

“Penduduk akur tanah tersebut bukan lagi menjadi milik mereka biar pun lebih awal meneroka di situ, namun mereka menuntut keadilan dibayar pampasan setimpal dan tempoh masa berpindah lebih sesuai,” kata Mohd Zaki.

Difahamkan perkampungan Melayu itu akan hanya tinggal nama sahaja sedikit masa lagi apabila rumah-rumah diroboh bagi membolehkan bangunan perniagaan dibina.

Monday, April 09, 2012

Ceramah Isu - Isu Semasa Di Machang

Ceramah Di Machang 12/4/2012

Forum Bicara Islam

Najib pangku Menteri Wanita beri laluan kepada isteri?


KUALA LUMPUR, 8 April: Adakah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memangku jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Kelulaluan pada arga dan Masyarakat dengan tujuan untuk membolehkan isterinya mendapat laluan menguasai kementerian berkenaan, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) mempersoalkan.

Tindakan itu juga, kata beliau, menunjukkan tidak ada Ahli Parlimen atau tokoh Wanita Umno yang mendapat kepercayaan Najib untuk memegang jawatan itu sehingga menyebabkan beliau mengambil keputusan memangku jawatan itu.

"Najib tak percaya sesiapa pun dari kalangan Ahli Parlimen wanita yang ada dari Umno dan Barisan Nasional (BN) dan tidak ada tokoh wanita lain dari Umno dan BN yang dipercayainya untuk dilantik sebagai senator dan seterusnya memegang jawatan sebagai menteri berkenaan," kata Mahfuz.

Sebelum itu, Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil terpaksa melepaskan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat apabila tempoh perkhidmatannya sebagai senator untuk penggal pertama tamat pada 8 April dan tidak disambung oleh pentadbiran Najib dipercayai berikutan kes National Feedlot Corporation (NFCorp) yang melibatkan keluarganya.

Tindakan Najib yang memangku sendiri jawatan yang dikosongkan oleh Shahrizat itu dilihat oleh Mahfuz sebagai usaha  membentuk pemikiran rakyat bahawa semua liabiliti kes lembu NFCorp bukan hanya ditanggung oleh Shahrizat seorang sahaja, tetapi hendaklah ditanggung sama oleh semua wanita Umno.

"Sekali lagi Najib memuaskan kehendak hobinya yang tidak berkesudahan iaitu menonjolkan dirinya sebagai penyelamat ketika beliau menunjukkan bahawa beliau tidak percaya sesiapa pun dari kalangan wanita Umno dan wanita BN untuk memegang jawatan tersebut," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mahfuz juga menolak alasan kononnya Najib tidak sempat hendak membuat pilihan berikutan pengunduran Shahrizat dari jawatan itu.

"Najib sudah tahu awal-awal lagi tarikh tamatnya tempoh perkhidmatan Shahrizat sebagai senator.

"Alasan tidak sempat membuat pilihan tidak diterima sama sekali dan tidak boleh dipercayai," katanya.

Alasan sebenarnya, kata Mahfuz, bukan kerana tidak sempat membuat pilihan.

"Alasan yang dilihat umum ialah Najib tidak percaya sesiapa pun dari kalangan wanita Umno dan wanita BN untuk memegang jawatan itu.

"Najib hanya percayakan (isterinya, Datin Seri) Rosmah (Mansor) sahaja.

"Tindakannya memangku jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dilihat akan membolehkan isterinya melebarkan lagi cengkaman pengaruhnya," kata beliau.

Selepas ini, kata Mahfuz, Rosmah tidak hanya menguasai secara tidak langsung pelbagai bahagian di Jabatan Perdana Menteri di samping menguasai secara tidak langsung Kementerian Kewangan, malah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga akan dikuasainya secara tidak langsung.

Selain menjadi Perdana Menteri, Najib juga adalah Menteri Kewangan dan kini pemangku Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Rosmah dilihat sebagai isteri Perdana Menteri yang paling berpengaruh dan paling berprofil tinggi salamn sejarah politik Malaysia.

Walau dikecam sebagai berlebihan termasuk dari kalangan tokoh-tokoh Umno sendiri, tidak ada sesiapa pun yang berani menghalang kehendak Rosmah termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri walaupun beliau dilihat begitu lantang bersuara.