Sunday, March 17, 2013

PAS pastikan hak cipta artis tempatan terpelihara



KUALA LUMPUR: PAS akan memastikan hak cipta artis tempatan terpelihara dan dihormati oleh rakyat negara ini apabila Pakatan Rakyat diberi mandat menerajui Putrajaya pada pilihan raya kali ini.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, hanya melalui pendidikan sebagai platform yang paling berkesan untuk memberi perubahan kepada rakyat negara ini supaya menghormati hak cipta artis tempatan.

Katanya, hak cipta tidak kira sama ada dalam bidang nyanyian, lakonan atau penerbitan buku sekali pun, ianya perlu dihormati kerana ia menjaga masa depan artis tempatan.

"Di negara ini, satu perkara yang tidak dihormati oleh rakyat negara ini iaitu hak cipta. Misalnya Datuk Shahnon Ahmad yang menulis novel 'Shit" telah dicetak rompak ratusan ribu, sampai sekarang Shahnon tidak dapat apa-apa.

"Begitu juga dalam bidang nyayian, setengah besar rakyat tidak suka mengekalkan yang asli tetapi cari yang tidak 'original', ini sangat berleluasa," katanya dalam sidang media di program Malam Seni Untuk Perubahan yang berlangsung di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru, malam ini.

Tambahnya, apabila hak cipta artis ini terpelihara sekali gus ia membantu kehidupan dan masa depan artis tersebut.

"Saya ambil contoh, biduanita Saloma yang terlantar sakit di hospital, sehingga tidak mampu untuk membayar bil hospital. Anak beranak P. Ramlee juga hidup melarat," katanya.

Mohamad turut melahirkan rasa terharu atas sokongan khasnya para artis yang secara berani menyatakan sokongan kepada Pakatan Rakyat untuk melihat perubahan besar ke atas nasib mereka.

"Saya berkeyakinan penuh, mereka (artis) perlu dihargai dan mereka memerlukan perubahan melalui PAS dan Pakatan Rakyat," katanya.

Pada malam ini juga Mohamad Sabu turut melancarkan 'Sukarelawan PRU13' di mana PAS akan mensasarkan seramai mungkin penyertaan orang ramai untuk menjadi sukarelawan bagi memastikan pilihan raya berlaku adil dan saksama.

Beliau juga akan melancarkan buku 'Prima Facie' yang ditulis oleh peguam Hanipa Maidin berdasarkan pengalamannya dalam mengendalikan kes-kes di mahkamah termasuklah kes Datuk Seri Anwar Ibrahim. (Gambar atas)

Turut bersama dalam sidang media itu, Dr Muhaimin Sulam, Dr Syed Azman Syed Nawawi dan artis Ito serta Hairie Othman.

48 pemuda Dun Guar Sanji sertai PAS


Mohamad Azimar dan Zulfahmi menyerahkan borang permohonan keahlian PAS kepada Dr Haron.

ARAU: Kekuatan Umno BN Parlimen Arau dan Dun Guar Sanji tergugat lagi apabila seramai 48 orang pemuda menyerahkan borang untuk menyertai PAS, hari ini.

Majlis penyerahan borang keahlian PAS ini telah diadakan di Markas PAS Kampung Jelempok dekat sini dengan dihadiri oleh Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din.

Dalam majlis berkenaan, Dr Haron telah menerima borang keahlian yang diserahkan oleh bekas Ketua Pemuda Umno Cawangan Jelempok, Mohamad Azimar Razak dengan ditemani oleh Zulfahmi Mansor bagi pihak rakan-rakanya yang lain.

Hadir sama dalam majlis tersebut, Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin; Ketua Ulamak PAS Perlis, Ustaz Idris Yaacob serta pemimin PAS kawasan dan Dun Guar Sanji.

6 tokoh Imam Muda isytihar sokong PAS



KUALA LUMPUR: Seramai enam tokoh Imam Muda mengisytiharkan sokongan kepada PAS sempena Xpresi Ulama Muda Haraki yang berlangsung di Maahad Ehya Asy Syarif Gunung Semanggol, Perak.

Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Khairudin Aman Razali mengumumkan perkara itu di pentas expresi tersebut.

Mohd Fakhrurrazi Hussin mewakili 6 orang Imam Muda berucap dan menyatakan sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi dan berikrar akan turut membantu perjuangan Islam sehinggalah bumi Allah dapat diimarahkan dengan syariat-Nya.
Selain Mohd Fakhrurrazi (IM Fakhrul), lima lagi Imam Muda berkenaan ialah Khairul Azhar Ghazali (IM Azhar), Abdul Fattah Ridzwan (IM Fatah), Syed Faris Syed Roslan(IM Faris), Megat Mohd Zahid Megat Azmuddin (IM Megat) dan Fakhrulrazi Ibrahim ( IM Ar Razi)

Pilihan raya Umum ke-13 menjadi turning point untuk melakukan perubahan dalam negara kita dan Ulama Muda Haraki akan Memacu Kebangkitan dan Memimpin Perubahan.

Insya Allah seorang lagi tokoh ulama muda negara kita akan turut menyatakan sokongan kepada perjuangan suci ini pada sebelah malam sempena Pentas Ulama Haraki di tapak program yang sama.


Krisis air Pahang semakin meruncing


KUALA LUMPUR: Sesuatu yang amat memalukan buat negeri kelahiran Perdana Menteri yang masih bergelumang dengan isu gangguan bekalan air sehingga ke hari ini.

Setiausaha Lajnah Perumahan, Pengguna dan Alam Sekitar PAS Pahang, Huzir Sulaiman berkata, kerajaan negeri mengambil sikap mendiamkan diri walaupun Solidariti Hijau dan PAS negeri mengambil sikap terbuka untuk bekerjasama demi kebaikan rakyat di Negeri Pahang merupakan satu sikap yang amat mengecewakan.

Oleh kerana itu, ujarnya tidak ada pilihan lain buat Rakyat Pahang kecuali menolak Umno BN di dalam PRU13 ini.

“Negeri Pahang amat memerlukan mereka yang masih ada ‘telinga’ untuk mentadbir negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Berikut kenyataan beliau berhubung masalah tersebut.

Selepas Pengerusi Lajnah Perumahan, Pengguna dan Alam Sekitar (LPPAS) PAS Negeri Pahang yang dipengerusikan oleh Andansura Rabu melahirkan kekecewaan beliau terhadap kegagalan pengurusan air di negeri itu pada bulan Ogos tahun lalu akibat kekerapan gangguan bekalan air setiap kali tibanya Ramadhan dan Syawal,  80 NGO dari seluruh negara yang berpayung di bawah Solidariti Hijau dan dipimpin oleh Zulkefly Mohamad Omar bersama-sama kepimpinan PAS negeri menyerahkan pula memorandum kepada Menteri Besar Pahang pada bulan Disember tahun lalu menuntut satu reformasi segera dilakukan terhadap tahap kualiti perkhidmatan yang mengecewakan dari Syarikat Pengurusan Air Pahang Berhad (P.A.I.P) walaupun telah diswastakan beberapa tahun yang lalu.

Beberapa siri gangguan bekalan air di seluruh negeri Pahang sepanjang 2 tahun yang lalu telah pun disenaraikan di dalam memorandum yang diserahkan itu termasuklah potensi gangguan bekalan air kepada penduduk Kuantan dari operasi kilang Lynas yang dikatakan akan menggunakan 500 meter padu sejam bekalan air untuk operasi harian mereka.

Selepas penduduk Kuantan dihantui gangguan bekalan air sebelum ini akibat kerosakan teknikal di Loji Air di Empangan Kobat, paip yang kerap pecah di Felda Bukit Kuantan serta kerosakan sistem bekalan air ketika sambutan perayaan, penulis dikejutkan dengan rungutan beberapa penduduk dari Taman Bukit Pelindung dan Taman Alor Akar Kuantan semalam yang mengeluh dengan kekerapan gangguan bekalan air yang sudah berlanjutan selama beberapa minggu ini lebih-lebih lagi selepas Lynas memulakan operasinya.

Lebih 100 penduduk mengambil keputusan untuk melahirkan kekecewaan mereka secara terbuka kepada P.A.I.P petang semalam di Bukit Pelindung Kuantan, menuntut P.A.I.P untuk mengambil tindakan segera memastikan bekalan air yang stabil kepada kediaman mereka dalam tempoh 2 minggu dari sekarang sebelum satu tindakan susulan diambil terhadap P.A.I.P.

Malah mereka juga menuntut penjelasan P.A.I.P sama ada gangguan bekalan air yang sedang berlaku mempunyai kaitan secara langsung dengan penggunaan bekalan air yang tinggi dari kilang Lynas sehingga bekalan air dilihat seolah-olah dicatu oleh P.A.I.P untuk memastikan bekalan air yang mencukupi disalurkan kepada kilang itu.

Penduduk juga tidak boleh dipersalahkan kerana mempunyai beberapa andaian punca gangguan bekalan air kerana sehingga hari ini, sebahagian dari mereka masih tidak dimaklumkan oleh pihak yang berkenaan. Ramai yang tertanya-tanya, apakah puncanya? Dan sampai bilakah masalah gangguan bekalan air ini akan dapat diselesaikan?

Penulis selaku Setiausaha Lajnah Perumahan, Pengguna dan Alam Sekitar (LPPAS) PAS negeri ingin mendesak maklum balas segera dari pihak Kerajaan Negeri Pahang dan P.A.I.P terhadap memorandum yang diserahkan pada bulan Disember tahun lalu kerana sehingga hari ini, tiada satu pun maklum balas yang diterima oleh Solidariti Hijau dan PAS Negeri seolah-olah ia dibakulsampahkan oleh mereka walaupun cadangan penambahbaikan yang telah banyak disenaraikan dalam memorandum itu adalah untuk kebaikan seluruh rakyat di negeri ini.

Mengambil sikap mendiamkan diri walaupun Solidariti Hijau dan PAS negeri mengambil sikap terbuka untuk bekerjasama demi kebaikan rakyat di Negeri Pahang merupakan satu sikap yang amat mengecewakan.

Oleh kerana itu, tidak ada pilihan lain buat Rakyat Pahang kecuali menolak Umno BN di dalam PRU13 ini.

Negeri Pahang amat memerlukan mereka yang masih ada ‘telinga’ untuk mentadbir negeri ini. Sesuatu yang amat memalukan buat negeri kelahiran Perdana Menteri yang masih bergelumang dengan isu gangguan bekalan air sehingga ke hari ini.

Transformasi Najib gagal, dituduh PAS pula berdosa


TASEK GELUGOR: Akibat terlalu kecewa dengan kegagalan transformasi yang dilaksanakan oleh kerajaan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak segan silu menuduh kononnya PAS melakukan tujuh kesalahan besar di Kelantan.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa (gambar) ketika berceramah di Taman Pokok Sena, di sini malam tadi hairan tiba-tiba Najib bersuara begitu dalam keadaan PAS semakin melonjak ke persada politik tanah air dan antarabangsa.

Menurut Mujahid lagi, apa sudah jadi kepada transformasi yang dilancarkan oleh Najib sendiri dengan harapan ingin membawa Malaysia sebaris dengan negara maju.

"Hari ini tiba-tiba Najib menghalakan senjatanya pada PAS kononnya melakukan tujuh dosa besar kepada rakyat Kelantan. Sepatutnya beliau mengkaji kenapa transformasi yang diilhamkannya gagal, bukan bertindak sehingga menambah kemarahan rakyat lagi," jelasnya yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar.

Baginya, Najib tidak perlu melabelkan tujuh dosa PAS untuk menyembunyikan kelemahan pentadbiran kepimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) sebaliknya menumpukan kepada pembubaran parlimen supaya rakyat boleh menghukum mana-mana pemimpin yang tidak amanah.

Menruutnya, semasa Najib menuduh tujuh dosa besar PAS, tiba-tiba negara dihimpit dengan hutang yang berlipat kali ganda.

"Melihatkan kedudukan kewangan negara yang makin parah, Najib begitu risau untuk bubar parlimen," kata beliau.

Selain itu, ujarnya negara juga mengalami ketirisan wang yang tinggi iaitu RM23 bilion manakala moral Najib sendiri jatuh merudum ekoran rakyat mempertikaikannya terutama membabitkan pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu serta pembelian senjata ketenteraan Malaysia.

Bagi membolehkan rakyat menilai keberhasilan transformasi atau reformasi pentadbiran baru oleh Pakatan Rakyat, Njib seharusnya segera membubarkan parlimen bukannya terus menimbulkan teka teki yang berpanjangan.

PRU13: PAS sedia tanding 76 kerusi parlimen


Tuan Guru Abdul Hadi bersama Pengerusi DHPP Terengganu, Dr Bala Chandran.

KUALA TERENGGANU: PAS sedia bertanding lebih satu pertiga daripada 222 kerusi parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

Presidennya, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, PAS sebagai parti teras orang Melayu Islam akan bertanding sekurang-kurangnya 76 kerusi parlimen pada pilihan raya kali ini.

Ini bermakna, kata beliau, PAS akan bertanding lebih dari satu pertiga jumlah kerusi yang diperuntukkan sebanyak 222 di seluruh negara.

“Kerusi parlimen seluruh Malaysia ada 222 kerusi dan dari jumlah itu, saya hendak beritahu insya Allah, PAS akan bertanding sekurang-kurangnya 76 kerusi Parlimen.

“Insya Allah, mungkin akan ada lagi jika rakan-rakan kita dalam Pakatan Rakyat memberi lagi kerusi kepada kita untuk bertanding,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Khas PRU13 di pekarangan Pasar Chabang Tiga, Dewan Undangan Negeri (Dun) Bandar, di sini malam tadi.

Hadir sama pada tersebut ialah Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut, Adun Ladang, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar, Pengerusi Amanah Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah, Pengerusi DHPP Terengganu, Dr Bala Chandran, Pengarah MTD Bandar, Ahmad Shah Mohammad serta tetamu khas, mantan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, Datuk Fauzi Shaari.

Thursday, March 14, 2013

Lahad Datu: Sidang khas Parlimen perlu diadakan



Husam ketika memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Prebet Ahmad Farhan di rumah ibu bapa allahyarham di Pasir Tumbuh.

KOTA BHARU: Kerajaan disaran mengadakan sidang khas Parlimen untuk membincangkan isu keamanan di Lahad Datu, Sabah yang kini masih belum berakhir.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berkata, sidang khas itu dapat memberi ruang kepada wakil-wakil rakyat berbahas serta mendapat maklumat lanjut melalui forum Parlimen itu.

Beliau berkata demikian kepada media dalam sidang khas di Kota Darulnaim petang tadi sebagai mengulas dua anggota tentera yang berasal dari Kelantan maut ketika sedang bertugas pagi semalam.

Dengan cara itu, katanya operasi sebenar dapat dijalankan sehingga mampu membantu menamatkan operasi dengan cepat bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini.

“Saya juga berpendapat semua SOP pertahanan dapat diikuti. Dalam hal ini saya bukan pakar ketenteraan, tetapi saya melihat ianya satu perkara yang mencemaskan kita.

“Saya mengambil contoh peristiwa Sauk. Kerajaan dapat menyelesaikannya dalam tempoh empat hari dan selepas itu ianya diserahkan pada tentera,” ujarnya.

Katanya, kerajaan telah menyerahkannya kepada  tentera untuk melakukan tindakan berdasarkan kemahiran pasukan itu di bawah penyeliaan komander dan jeneralnya.

Tambahnya, berbanding dengan kes di Lahad Datu, di mana peristiwa itu telah berlangsung hampir satu bulan.

Sekarang ini, katanya operasi terpaksa dilebarkan memandangkan penceroboh juga telah berada di beberapa buah tempat.

Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan seterusnya memberitahu, isu keselamatan negara melebihi isu-isu yang lain, kerana itu ia perlu diselesaikan segera.

Beliau turut merakamkan rasa terharu di atas pemergian dua pahlawan negara yang berasal dari Kelantan itu.

Katanya, dengan berlakunya peristiwa dua hari lalu, membuktikan keamanan negara khususnya di Sabah masih belum tenteram, sambil mengharapkan masaalah akan segera berakhir.

Beliau juga turut mengharapkan kerajaan menjelaskan pada rakyat seluruhnya berhubung situasi sebenar perkembangan di sana.

“Sekiranya yang berkorban telah bergadai nyawa dengan kerelaan keluarga masing-masing jaga perbatasan negara, sudah sampai masanya kerajaan tidak teragak-agak untuk membuat pendedahan agar lebih telus,” ujarnya.

Sambungnya, mudahan dengan cara itu semua pihak dapat memberikan pandangan mereka bagi membantu menyelesaikan masalah itu.

“Semoga dengan cara ini tiada lagi insiden sedemikian berlaku, cukuplah peristiwa semalam dan ianya merupakan mangsa terakhir dalam isu ini,” ujarnya.

Pada masa yang sama, beliau turut mencadangkan pasukan tentera perlu diberikan mandat untuk menyelesaikan masalah itu.

Katanya, ini kerana mereka mempunyai kepakaran khas yang berbeza dengan pasukan keselamatan yang lain.

Prebet Ahmad Hurairah Ismail, 24, dari pasukan 7 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Tawau terkorban dalam Ops Daulat yang masuk hari kelapan semalam dan tiga pengganas mati dalam pertempuran di Sungai Nyamuk berdekatan Kampung Tanjung Batu dekat Lahad Datu.

Sementara itu, seorang anggota tentera berpangkat prebet maut selepas trak yang dipandu hilang kawalan sebelum terbabas di Kilometer 36, Jalan Lahad Datu-Tungku dekat Cenderawasih juga semalam.

Kejadian pada pukul 7.30 pagi itu mengorbankan Ahmad Farhan Ruslan dari Batalion 3 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Sandakan.

Kedua-dua jenazah berkenaan tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra kira-kira jam 9.45 pagi tadi.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan timbalannya, Datuk Ahmad Yakob, adalah antara kenamaan negeri yang hadir menyambut ketibaan jenazah.

Ceramah Menangkis Fitnah UMNO Pada 20hb Mac 2013


Syukur sangat, saya rasa nak takbir - Wan Azizah

KUALA LUMPUR: Isteri kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail memanjat kesyukuran berikutan pendedahan bapa Saiful Bukhari, Azlan Mohd Lazim bahawa anaknya itu diperguna pihak tertentu untuk menjatuhkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu Liwat II.

Presiden PKR itu yang dipetik KeadilanDaily, menyifatkan pendedahan Azlan itu sebagai anugerah Ilahi.

Katanya dengan pengakuan itu sedikit sebanyak membersihkan tohmahan jahat ke atas suaminya.

“Saya rasa bersyukur sangat, rasa macam nak takbir, Allahuakbar. Kerana saya tidak sangka.

“Allah bagi. Kita pun terkejut juga, kita tidak ada usaha cari tapi ini memanglah. Hanya Allah yang dapat gerakkan hati manusia,” katanya kepada lidah PKR ituy.

Walaupun pengakuan itu lambat, Wan Azizah yakin tindakan bapa Saiful itu sedikit sebanyak mampu mengubat keaiban yang dihadapi beliau sekeluarga.
“Tidak akan terlambat kerana selagi ada masa, kalau kita dengan Allah atau sesiapa pun tidak terlambat untuk bertaubat, beristigfar mencari keredhaan-Nya.

“Mungkin dulu ayahnya tidak mengetahui. Mungkin (sangka) anaknya jadi mangsa. Dulu mungkin rasa membela (Saiful Bukhari) tapi sekarang baru tahu. Jadi beliau buat sebagai seorang ayah yang bertanggungjawab.

“Saya kira, Alhamdulillah. Kalaulah ini dapat buka hati ramai lagi melihat kebenaran. Saya berterima kasih, bersyukur kepada Allah,” katanya yang tidak lekang dari ucapan syukur kepada Yang Maha Esa.

Beliau turut berkongsi perasaan anak-anaknya yang lega dengan pengakuan bapa Saiful.

“Anak-anak pun kata begitu. Sebab mereka tahu, mereka lebih muda daripada saya, jadi perasaan muda itu adalah marah dan berdendam kerana bapa mereka diperlaku sebegitu, diaibkan.

“Mereka lebih agresif mengatakan patutnya (pengakuan itu dibuat) dari dulu lagi,” katanya yang sedih mengenang ujian yang terpaksa dilalui anak-anaknya.

Pasukan keselamatan ucap terima kasih


KOTA BHARU: Pasukan keselamatan negara yang bertugas di Lahad Datu dan beberapa kawasan lagi merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Kelantan dan Malaysia kerana prihatin terhadap nasib mereka.

Timbalan Kelab Penyokong Kerajaan Negeri Kelantan, Drs Zainuddin Awang Hamad (gambar) berkata, sewaktu kunjungannya ke Kota Kinabalu, Kunak, Lahad Datu dan Sandakan, beliau menyatakan kerajaan Kelantan telah mengadakan solat sunat hajat keamanan untuk memohon keamanan pada rakyat Sabah dan pasukan petugas.

Beliau berkata demikian dalam taklimat dan majlis makan malam di Perdana Resort malam tadi sebaik sahaja pulang dari misi keamanan di Lahad Datu.

Beliau bersama unit Media Limbongan Purnama Ummah, telah mengunjungi Sabah mewakili kerajaan Kelantan selama lima hari bermula 8 hingga 12 Mac lalu.

Sambungnya, beliau sempat bertemu para pegawai pasukan keselamatan untuk mendapat gambaran di sana.

“Mereka mengucapkan terima kasih pada pemimpin negara kita termasuk kerajaan Kelantan dan semua pihak yang menunaikan solat sunat hajat di seluruh negara untuk keamanan mereka,”ujarnya.

Sempena kunjungan itu, beliau turut menziarahi balu anggota polis yang meninggal Sumiati Shurah, 49.

Awal Mac lalu, suaminya Sarjan Mejar Halim Hamid terkorban ketika bertugas di Semporna, Sabah.

Zainuddin membawa salam pemimpin kerajaan negeri, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pemimpin Umno kena rasional macam Musa Hitam


KUALA LUMPUR: Kenyataan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam yang mengatakan negara tidak akan bangkrap jika diambil alih Pakatan Rakyat membuktikan manifesto Pakatan bersifat rasional dan realistik.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata pengalaman Musa sebagai bekas orang nombor dua negara itu juga perlu dijadikan panduan kepada pemimpin BN dan ahli-ahlinya untuk tidak terus menakut-nakutkan rakyat.

"Apa yang dikatakan beliau itu merupakan satu pandangan yang rasional dan objekif. Yang juga bersifat negarawan, berbanding pemimpin BN lain yang sudah bersara seperti Tun Mahathir yang lebih emosional," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Tambah Salahuddin, kenyataan Musa itu perlu diterima pemimpin BN dan ahli-ahlinya bahawa jika berlaku sebarang perubahan kerajaan sekalipun, ia akan berada dalam suasana yang biasa.

"Mereka perlu terima hakikat jika berlaku perubahan kerajaan sekalipun, tiada apa yang luar biasa berlaku.  Malah, kebiasaannya apabila bertukar kerajaan ia akan menjadi lebih baik dari kerajaan sebelumnya," tegas beliau.

Tun Musa, dalam kenyataannya berkata sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya, gabungan tersebut akan berusaha sedaya upaya untuk mengekalkan ekonomi negara berkembang dengan baik.

Malah, beliau juga berkata tidak adil jika menganggap negara akan bankrap jika pembangkang berjaya memerintah negara.

Wednesday, March 13, 2013

Tahlil perdana buat prajurit di program Xpresi Ulama Muda

KUALA LUMPUR: Sempena program Xpresi Ulama Muda Haraki 2013 yang akan berlangsung pada di Maahad Ehya Asy Syarif Gunung Semanggol 16 Mac ini, penganjur juga akan mengadakan tahlil perdana buat prajurit negara yang terkorban di Lahad Datu.

"Tahlil perdana ini akan dipimpin oleh Al Fadhil Sohibus Samahah Tuan Guru Hj Salleh Sik Kedah selepas solat maghrib di tapak Xpresi Ulama Muda Haraki insyaallah.

"Semoga ruh para pejuang itu dirahmati oleh Allah swt dan dikurniakan pahala syahid di sisiNya," kata Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia Nasruddin Hassan.

Sehingga kini 10 orang dari anggota pasukan keselamatan Malaysia telah terkorban sepanjang mengendalikan operasi menentang penceroboh bersenjata di Sabah sejak beberpa minggu lalu.

Terbaru semalam dua anggota tentera gugur iaitu Kpl Ahmad Hurairah Ismail dan Kpl Ahmad Farhan Roslan.

Ahmad Hurairah terkorban dalam pertempuran dengan pengganas Sulu di Kampung Sungai Nyamuk, Lahad Datu, awal pagi semalam manakalaAhmad Farhan meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Cenderawasih ketika menghantar makanan untuk anggota keselamatan Op Daulat.

Berikut adalah nama-nama wira negara yang telah gugur sepanjang operasi tersebut setakat ini:

1- ASP Zulkifli Mamat

2- Sjn Sabaruddin Daud

3- ACP Ibrahim Lebar

4- ASP Michael Padel

5- Sjn Abdul Azis Sarikon.

6- L/Kpl Mohd Azrul Tukiran

7- Sjn Detektif Baharin Hamit

8- Kpl Salam Tugiran

9- Prebet Ahmad Hurairah Ismail

10- Kpl Ahmad Farhan Roslan

Majlis Penerangan Dan Dialog 15hb Mac 2013


Ribuan rakyat Kelantan sambut jenazah wira negara


(Menteri Besar turut mengaminkan doa yang dibaca sejurus jenazah dibawa keluar dari pesawat tentera pagi ini.)

KOTA BHARU: Kepulangan jenazah dua wira negara Ahmad Hurairah Ismail, Ahmad Farhan Roslan yang terkoban ketika misi menghapuskan penceroboh bersenjata di Lahad Datu disambut ribuan rakyat Kelantan hari ini.

Turut menanti kepulangan wira negara yang juga anak Kelantan itu adalah Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa sejak awal pagi.

Selain Tuan Guru, antara pimpinan kerajaan negeri yang sempat dirakam hadir termasuk Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yaakob, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Zainuddin Ibrahim, Speaker Dun Kelantan Datuk, Nasrudin Daud, Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Yusof serta Adun Mengkebang Abdul Latiff Abdul Rahman.

Beberapa pemimpin pusat juga turut kelihatan hadir termasuk Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Sri Mustapha Mohamed serta Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr. Awang Adek Hussin.

Jenazah kedua-dua anggota tentera itu tiba di sini kira-kira jam 9.45 pagi dengan menaiki Pesawat Charlie C130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang bertolak dari Pangkalan TUDM Subang pagi tadi.


Suasana suram mengiringi kepulangan jenazah wira yang menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia khususnya rakyat Kelantan.

Keluarga kedua-dua anggota juga turut hadir.

Prebet Ahmad Hurairah terkorban dalam pertempuran dengan pengganas Sulu di Kampung Sungai Nyamuk, Lahad Datu, awal pagi semalam manakala Prebet Ahmad Farhan meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Cenderawasih dekat Lahad Datu ketika menghantar makanan untuk anggota keselamatan Op Daulat.

Jenazah Allahyarham Ahmad Hurairah akan disemadikan di kampung halamannya di Bayu Lalang, Pasir Mas, sementara Ahmad Farhan di Taman Desa Darul Naim 2, Pasir Tumboh.

Sementara itu, Exco kerajaan negeri Datuk Husam Musa kini berada di kediaman keluarga Allahyarham Ahmad Farhan di Pasir Tumboh menanti untuk proses pengkebumian.

Pemimpin Umno kena rasional macam Musa Hitam

KUALA LUMPUR: Kenyataan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam yang mengatakan negara tidak akan bangkrap jika diambil alih Pakatan Rakyat membuktikan manifesto Pakatan bersifat rasional dan realistik.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata pengalaman Musa sebagai bekas orang nombor dua negara itu juga perlu dijadikan panduan kepada pemimpin BN dan ahli-ahlinya untuk tidak terus menakut-nakutkan rakyat.

"Apa yang dikatakan beliau itu merupakan satu pandangan yang rasional dan objekif. Yang juga bersifat negarawan, berbanding pemimpin BN lain yang sudah bersara seperti Tun Mahathir yang lebih emosional," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Tambah Salahuddin, kenyataan Musa itu perlu diterima pemimpin BN dan ahli-ahlinya bahawa jika berlaku sebarang perubahan kerajaan sekalipun, ia akan berada dalam suasana yang biasa.

"Mereka perlu terima hakikat jika berlaku perubahan kerajaan sekalipun, tiada apa yang luar biasa berlaku.  Malah, kebiasaannya apabila bertukar kerajaan ia akan menjadi lebih baik dari kerajaan sebelumnya," tegas beliau.

Tun Musa, dalam kenyataannya berkata sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya, gabungan tersebut akan berusaha sedaya upaya untuk mengekalkan ekonomi negara berkembang dengan baik.

Malah, beliau juga berkata tidak adil jika menganggap negara akan bankrap jika pembangkang berjaya memerintah negara.