Mereka akan menentukan samaada calon Pakatan Rakyat dari PAS, Zulkefly Mohamad Omar atau calon Barisan Nasional (BN) dari Umno, Tan Sri Mohd. Isa Samad pilihan majoriti rakyat pantai peranginan Port Dickson ini.
Mereka terdiri dari 19.9 peratus pengundi India, kira-kira 10 peratus Cina dan selebihnya, 70 peratus adalah pengundi Melayu. Di kalangan Melayu itu, kira-kira 4,600 atau 32 peratus adalah pengundi pos.
Sehingga kini, kebanyakan pemerhati politik memberikan peluang kedua-dua pihak sehingga semalam adalah 50 : 50. Namun begitu, analisa di kalangan yang hampir dengan Umno memberikan kemenangan kepada calon mereka antara 600 hingga 1000 undi majoriti.
Ini berdasarkan andaian Isa akan mendapat 75 peratus undi Melayu, 70 peratus undi pos, India 45 peratus dan Cina 30 peratus.
Namun begitu, kajian yang dibuat oleh sekumpulan pensyarah Universiti Malaya berdasarkan 2,000 respondan secara rawak mendapati sokongan untuk PAS 56 peratus dan 46 peratus untuk BN.
Kajian yang dibuat oleh Ilham Centre pula menunjukkan Isa menjadi pilihan majoriti pengundi. Ini berdasarkan 48 peratus mereka mengenali Isa manakala Zulkefly hanya dikenali 11.7 peratus pengundi sahaja. Keutamaan cara pengundian juga adalah calon yang dikenali dan berwibawa.
Dalam pada itu, tidak kurang juga yang memberikan pendapat melampau namun tidak kurang juga asasnya. Mereka berkata Umno akan berjaa meningkat undi majoriti mereka sehngga ke 3,000 undi berbanding 2,333 undi dalam pilihan raya umum 2008 lalu.
Namun sikap melampau yang ditunjukkan oleh sesetengah juru kempen dan petugas Umno sehingga memukul petugas Pakatan Rakyat dan merobohkan khemah mereka sangat-sangat meragukan.
"Jika Umno yakin akan menang buat apa tindakan agresif sebegini? Ini tindakan orang yang tertekan dan takut dengan kekalahan," kata seorang rakan wartawan dari sebuah akhbar harian.
Tindakan ganas bermula Rabu lalu. Sekumpulan petugas Umno datang ke sebuah khemah Darul Syifa' yang ditubuhkan oleh PAS untuk memberikan perkhidmatan percuma di Taman Sirusa.
Kumpulan pertama ini memberikan amaran agar khemah itu dirobohkan dalam masa 24 jam. Selang beberapa jam datang lagi kumpulan kedua yang mengarahkan agar khemah itu dirobohkan segera bukannya dalam masa 24 jam.
Akibatnya dengan kasar khemah itu dirobohkan mereka. Petang semalam, sehari sebelum mengundi, berlaku juga pertengkaran dan pergaduhan di sini.
Kunjungan ke Taman Si Rusa Jumaat selepas itu dapat merasai betapa tegangnya keadaan antara petugas PAS dan Umno di situ. Ini kerana, markas mereka yang berdekatan antara satu sama lain.
Khemah-khemah PAS pula didirikan di tepi-tepi jalan kerana tidak ada penyokong PAS yang sedia memberikan rumah mereka kerana takut di ganggu dan diugut oleh petugas BN yang sudah lama bertapak di situ.
Pusat akhtiviti PAS adalah di sebuah Pasti di situ. Kawasan ini dijaga oleh PAS Kedah dan PAS Johor.
"Kami banyak belajar dari PAS Kedah dalam kerja-kerja politik di sini," kata Pesuruhjaya PAS Johor, Dr Mahfudz Mohamad ketika ditemui di situ.
Menteri Besar Kedah yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Seri Azizan Razak, turut turun ke situ. Beliau banyak memberikan motivasi kepada petugasnya bukan memberikan kempen politik kerana majlis itu penuh dengan petugas PAS dari Johor dan Kedah di samping petugas tempatan.
"Tugas kita adalah berkempen dengan cara terbaik. Itu kerja kita. Menang kalah itu bukan kerja kita, itu kuasa Allah...Dia yang berkuasa menentukannya," kata Azizan.
Pengundi tempatan kurang menyertai majlis ceramah terutama yang dibuat di waktu siang kerana PAS agak asing bagi penduduk di sini. Mereka hanya mendekati PAS dan Pakatan melalui media khasnya media baru iaitu laman web dan blog di internet dan sms melalui telefon bimbit.
Calon BN, Tan Sri Isa yang memberikan ucapan di Si Rusa berkata, mereka semua ini orang luar yang datang buat kacau ke kawasan mereka.
"Selepas ini, mereka semua pulang. Siapa yang nak jaga kebajikan kitaa semua melainkan Umno," kata Isa dalam ceramahnya di sebuah rumah yang menjadi pintu masuk ke taman itu. Jalan di situ jam dengan kereta yang mahu keluar masuk.
Turut terperangkap adalah kenderaan PAS yang dibawa PAS Kedah untuk berkempen di sini. Ia berupa kenderaan pacuan empat roda yang dilengkapkan dengan alat siar raya di atasnya. Ketika itu mereka sedang berkempen untuk memanggil orang ramai ke ceramah yang akan diberikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada malamnya (9 Oktober).
Adun Ladang, Terengganu, Datuk Tengku Hassan mempunyai cerita tersendiri dalam siri kempen yang dibuat di sini.
"9 dari sepuluh pengundi yang kami temui memberikan jawapan positif kepada PAS. Namun kami bimbang kalau jawapan yang sama juga diberikan kepada jurukempen Umno," kata Tengku Hassan bekas Pegawai Kanan kerajaan Terengganu itu.
Anggota Parlimen Kota Raja, Selangor, Dr Mariah Mahmud juga mempunyai ceritanya sendiri. Sejak datang ke sini kira-kira seminggu lalu, beliau tidak pulang ke kawasannya di Selangor.
"Kalau saya pulang, saya kena jaga penduduk Kota Raja. Kalau saya ada di sini, mereka faham saya bertugas dan terpaksa tangguhkan apa-apa khidmat untuk mereka buat sementara," kata Mariah.
Dr Mariah bersama pasukannya yang dibawa dari Kota Raja menjaga peti undi Ladang Seliau tempat pengundi India bermastautin. Ini berdasarkan demografi Parlimen beliau yang ramai pengundi India itu.
"Kami dah kenalpasti hampir kesemua pengundi kita dahulu dan cuba mempertahankannya di samping menambah pengundi baru," kata seorang petugas Dr Mariah yang ditemui.
Pendek kata, dalam pilihan raya kecil kali ini, petugas Umno pasti terkejut besar. Buat pertama kalinya mereka merasakan tekanan dengan juru kempen yang memenuhi kawasan yang selama ini menjadi kubu kuat Umno.
No comments:
Post a Comment