KUALA LUMPUR, 31 Jan: "Hidup, hidup, rakyat Mesir!", "Turun, turun, regim Mubarak!" Begitulah antara laungan yang lantang kedengaran dari ratusan pemimpin, ahli-ahli dan penyokong Pakatan Rakyat dan NGO yang berkumpul di kedutaan Mesir, di sini, pagi ini untuk menghantar memorandum bagi mendesak regim Hosni Mubarak turun dari tampuk pemerintahannya di negara itu.
Perhimpunan aman itu diadakan sebagai menunujukkan sikap kebersamaan mereka dengan perjuangan rakyat Mesir bagi melepaskan diri dari cengkaman pemerintahan Mubarak yang penuh kezaliman sejak 30 tahun lalu.
Mereka mula berkumpul sekitar jam 10.30 pagi di kawasan letak kereta lalu berarak menuju ke pintu pagar pejabat kedutaan Mesir, tidak jauh dari situ, dengan melaungkan slogan "Down Mubarak' (Turun Mubarak) sambil membawa poster Mubarak yang mempunyai lambang regim zionis di dahinya.
(GAMBAR: Dua pemimpin Pemuda PAS memegang poster Mubarak yang dahinya bertanda lambang Israel)
Perhimpunan tersebut antara lain diwakili oleh PAS, PKR, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan beberapa NGO termasuk JIM dan ILMAM (Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir).
Antara pemimpin PAS yang hadir termasuklah Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, AJK PAS Pusat, Haji Mohamad Sabu, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan At-Tantawi.
Pemimpin PKR dan PSM antara lain diwakili oleh Ahli Parlimen Batu merangkap Naib Presiden PKR, Tian Chua dan Setiausaha Agung PSM, S. Arutchelvan, manakala NGO pula diwakili pemimpin masing-masing.
Sementara menunggu pihak kedutaan menerima memorandum itu, beberapa orang pemimpin mengambil kesempatan berucap yang mengandungi mesej jelas kutukan mereka terhadap pemerintahan regim Mubarak yang penuh kezaliman terhadap rakyat Mesir, sehingga sekian banyak orang awam dan para pejuang Islam dibunuh.
Lebih ketara lagi, 25 Disember 2008 lalu, Mubarak turut bersekongkol dengan regim Zionis Israel dengan mengadakan mesyuarat khas, sehingga menyebabkan Israel semakin bermaharajalela dalam melakukan serangan, pembunuhan dan penindasan terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.
"Kini, rakyat Mesir ternyata sudah tidak sanggup lagi berada di bawah pemerintahan regim Mubarak. Rakyat Mesir sudah bangkit menuntut haknya. Regim Mubarak pasti akan tumbang.
"Kita di Malaysia menghidu perkembangan segar ini dengan penuh kesedaran bagi menunjukkan sikap kebersamaan kita dengan rakyat Mesir. Kita juga berharap agar apa yang berlaku terhadap Mubarak sekarang diambil pengajaran oleh semua pihak supaya tidak melakukan kezaliman kepada rakyatnya sendiri dan kepada sesama manusia," kata mereka.
Sambil diselang-seli dengan laungan takbir, kata-kata "hidup rakyat Mesir", 'hancur kezaliman", 'undur Mubarak" dan beberapa ungkapan lain, mereka bergilir-gilir berucap bagi menyatakan pendirian mereka yang tidak akan bersekongkol dengan sebarang penindasan dan kezaliman terhadap sebarang pihak di serata dunia.
Sehingga sekitar jam 12 tengah hari, pintu pagar pejabat kedutaan Mesir tetap juga tidak dibuka yang membuktikan pihak kedutaan enggan menerima memorandum itu.
Sebagai simbolik penyerahan, memorandum berkenaan kemudiannya telah dimasukkan ke dalam kotak dan diletakkan di peti surat yang terdapat di muka pintu pagar kedutaan tersebut.
Sebelum memorandum itu diserahkan kepada pihak kedutaan Mesir secara simbolik, mereka yang diwakili oleh S. Arutchelvan terlebih dahulu membacanya kepada para wartawan.
Antara isinya menegaskan tentang pendirian mereka yang menyokong sepenuhnya tuntutan rakyat Mesir agar Mubarak berundur dari takhta pemerintahannya.
Mubarak sendiri perlu faham dengan tuntutan itu kerana seluruh rakyat Mesir sudah menyatakan pendirian mereka secara jelas sejak seminggu lalu, apabila mereka telah keluar ke jalan-jalan bagi menyatakan kebencian dan suara hati mereka terhadap pemimpin tersebut, sehingga tidak akan berakhir selagi Mubarak tidak memenuhi tuntutan mereka.
No comments:
Post a Comment