KUALA LUMPUR, 15 Jun: Pakatan Rakyat amat kesal dengan tindakan pihak polis yang akan melakukan tangkapan awal atau tangkapan pencegahan terhadap penganjur Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini, memandangkan ia jelas merupakan salahguna kuasa yang dilakukan oleh pihak polis di negara ini.
Tindakan seperti itu tidak sepatutnya dilakukan oleh pihak polis kerana tangkapan yang dilakukan itu bukan sekadar bercanggah dengan amalan demokrasi, tetapi juga melakukan tangkapan terhadap orang yang belum terbukti bersalah.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, Himpunan Bersih 2.0 diadakan atas tujuan yang murni bagi mendesak kerajaan melaksanakan pilihan raya yang bersih dan adil di negara ini.
Menurut beliau, pihak polis perlu faham perkara itu dan sepatutnya memberikan kerjasama yang baik kepada pihak penganjur, bukannya dengan menangkap individu yang belum terbukti bersalah bagi menghalang perhimpunan itu.
Katanya, sekiranya tindakan itu dilakukan, rakyat pasti akan menjadi lebih marah kepada kerajaan dan ia dibimbangi akan mencetuskan suasana lebih buruk di tanah air.
"Himpunan itu akan diadakan atas tuntutan rakyat. Kita nak mendesak kerajaan melaksanakan pilihanraya yang bersih dan adil. Kenapa pula polis nak melakukan tangkapan awal? Itu salah dari segi undang-undang," katanya ketika ditemui di lobi bangunan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar, seperti yang dilaporkan media tempatan hari ini.
Dalam laporan itu, Khalid berkata, pihak polis akan melakukan tangkapan awal terhadap pemimpin penganjur Himpunan Bersih 2.0 yang dijadualkan diadakan 9 Julai ini sebagai tangkapan pencegahan.
Menurut Mahfuz, tindakan tersebut jika dilakukan pasti akan turut membangkitkan kemarahan rakyat terhadap pihak polis, sedangkan pihak pembangkang atau Pakatan Rakyat tidak pernah berhasrat untuk bermusuhan dengan pihak polis.
Sementara Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PKR, Datuk Johari Abdul ketika ditemui berkata, tindakan tersebut tidak sepatutnya dilakukan oleh pihak polis kerana Himpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan oleh Gabungan Pilihanraya Adil dan Bersih itu adalah himpunan aman.
"Tujuan himpunan itu diadakan adalah untuk mendesak SPR mengadakan pilihanraya yang bersih dan adil di negara ini dan ia amat perlu didengar oleh SPR dan kerajaan.
"Kalau polis nak lakukan tangkapan awal, siapa yang nak ditangkap? Berapa orang yang nak ditangkap? Apa kesalahan mereka? Mana boleh polis tangkap begitu saja tanpa terbukti orang itu bersalah," katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani berharap agar tindakan itu tidak akan dilakukan, tetapi menyarankan pihak polis mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan pihak penganjur bagi memberikan kerjasama agar himpunan tersebut dapat diadakan dengan sempurna.
Manakala Ahli Parlimen Jelutong dari DAP, Jeff Ooi pula berkata, apa pun alasan yang digunakan oleh pihak polis bagi mengadakan tangkapan itu sama ada tangkapan awal atau tangkapan pencegahan, kedua-duanya adalah kesilapan besar jika dilakukan oleh pihak polis.
Menurut beliau, tindakan tersebut jika dilakukan jelas bersalahan dengan amalan demokrasi dan lebih menyerlahkan lagi amalan pemerintahan kuku besi di negara ini oleh kerajaan BN.
"Polis perlu peka perkara itu bukannya melakukan tangkapan awal atau tangkapan pencegahan. Himpunan itu diadakan lanjutan himpunan pertama yang diadakan pada tahun 2007 lalu.
"Menerusi Himpunan Bersih 1.0 tahun 2007 lalu, Bersih menuntut SPR dan kerajaan melaksanakan 4 perkara.
"Antara perkara yang dituntut dilaksanakan oleh SPR adalah penggunaan dakwat dalam pilihanrya, bersihkan daftar pilihanraya dan mansuhkan undi pos.
"Sehingga kini SPR masih tidak melayan tuntutan Bersih itu. Jadi jika himpunan Bersih 2.0 hendak diadakan, kenapa polis pula yang hendak menghalangnya?" tanyanya hairan.
No comments:
Post a Comment