Friday, July 15, 2011

Bersih gelombang ketiga boleh berulang

RANTAU PANJANG, 14 Julai: Dewan Muslimat PAS Pusat turut membayangkan kemungkinan gelombang ketiga Bersih berulang sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terus angkuh dan enggan berubah.
Ketuanya, Siti Zailah Mohd Yusuf berkata, berdasar kepada situasi sekarang nampaknya rakyat tidak teragak-agak meneruskan gelombang Bersih 3.0.
“Mungkin gelombang itu akan lebih hebat lagi.  Kita melihat keangkuhan SPR dan kerajaan seolah-olah mengenepikan pandangan rakyat,” katanya ketika ditemui selepas perasmian Masjid Al-Mujahidin dan penyampaian kelulusan hak milik tanah kepada penduduk di Kampung Kubang Kual, hari ini.
Perasmiannya disempurnakan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Hadir sama Adun Gual Periuk, Mohamad Awang, wakil-wakil rakyat dan pegawai kanan kerajaan.
Tanggal 9 Julai lalu menjadi detik bersejarah apabila puluhan ribu rakyat menghadiri perhimpunan anjuran Bersih 2.0 biar pun dihalang pasukan polis.
Malah lebih 100 pemimpin Pakatan Rakyat dan orang ramai ditangkap lebih awal hanya kerana memakai baju Bersih 2.0 dan berwarna kuning.
Siti Zailah yang juga anggota parlimen Rantau Panjang berkata, kerajaan juga seperti tidak menghiraukan titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong supaya perhimpunan rakyat berlaku secara aman.
Menurut beliau sekiranya perhimpunan rakyat itu dibiarkan berlangsung secara aman tanpa gangguan polis seperti di negara lain, sudah tentu tidak berlaku kecederaan dan kematian.
Namun malangnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak disifatkan tidak mempunyai kematangan berpolitik sehingga menganggap perhimpunan anjuran Bersih sebagai musuh negara.
“Tindakan provokasi dan serangan gas pemedih mata dan tembakan air berkimia menyebabkan rakyat marah,” katanya.
Menurutnya himpunan Bersih 1.0 pada 2007 membuktikan tiada sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa kerana provokasi polis tidak berlaku.
Oleh itu beliau mencadangkan satu suruhanjaya khas perlu diwujudkan bagi menyiasat dakwaan kekasaran pasukan polis sehingga di luar batasan kemanusiaan.
Manakala di Kota Bharu semalam, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Zulkifli Mamat berkata, imej Perdana Menteri kini semakin tercalar biar pun baru dua tahun menduduki kerusi tersebut.
Katanya, sikap berdolak dalih Najib dan Menteri Dalam Negeri menghalang perhimpunan aman Bersih 2.0 diadakan di Stadium Merdeka menyebabkan rakyat marah.
“Rakyat melihat ketidakupayaan Perdana Menteri menunaikan janjinya bagi menyediakan tempat kepada Bersih 2.0 menyebabkan orang ramai begitu kecewa.
“Sekali kata boleh dan di masa lain pula kata tidak boleh. Ini sudah tentu menimbulkan kemarahan rakyat,” katanya selepas majlis penyerahan tugas sukarelawan Festival Makanan Antarabangsa Kelantan Cheng Ho di pekarangan Bazar Tok Guru, petang semalam.
Turut hadir Presiden Pertubuhan Sukarelawan Hijau Kelantan (Green-V), Mohd Adilan Mat Jusoh dan timbalannya Norsham Sulaiman.
Zulkifli yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat berkata, sebagai pemimpin tertinggi negara Najib perlu konsisten dalam mengeluarkan kenyataan.
Beliau juga menyokong cadangan banyak pihak supaya ditubuh Suruhanjaya Diraja bagi mengkaji tuntutan Bersih 2.0 dan keganasan pasukan polis terhadap orang ramai 9 Julai lalu.

No comments: