KUALA LUMPUR, 1 Dis: PAS mahu kerajaan melaksanakan segala syor yang dikemukakan Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya di Dewan Rakyat hari ini pada PRU13 nanti.
Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Dr. Mohd Hatta Ramli berkata, adalah sia-sia jika syor tersebut dibentang kepada kerajaan sekiranya ia dibakul sampahkan.
"Paling penting kita minta usul yang dibahaskan ini diguna pakai untuk pilihan raya umum ke-13.
"Kalau pilihan raya bulan depan, bulan depan lah syor ini dilaksanakan," katanya yang juga ahli parlimen Kuala Krai kepada Harakahdaily hari ini.
Beliau mengulas 10 syor PSC yang dibentang di dewan rakyat hari ini.
Syor tersebut antara lain mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meminda segera peraturan pilihan raya agar dakwat kekal boleh digunakan pada PRU akan datang.
Selain itu, beberapa syor turut dikemukakan untuk menambahbaik sistem pengundian awal, pengundi tidak hadir luar negara, pengundi luar kawasan, penukaran alamat pusat mengundi, pembersihan daftar pemilih, pameran Rang Daftar Pemilih Tambahan, ketelusan proses mengundi, proses ulang kira kertas undi, penambahbaikan proses pencalonan dan pengukuhan SPR.
Mengulas lanjut, Mohd Hatta yang juga salah seorang anggota PSC tersebut berkata, jika ia tidak dilaksana, bermakna reformasi pilihan raya yang dijanjikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hanya satu pembohongan.
"Kalau tidak dilaksana, maka kerja PSC yang dipilih oleh parlimen ini hanya sia-sia. Rakyat akan menilai ini semua.
"Kalau diluluskan tetapi tidak ada apa-apa tindakan, maknanya ini satu pembohongan kerajaan BN kepada rakyat," katanya.
No comments:
Post a Comment