Friday, February 24, 2012

Penyenaraian Felda dan cadangan balas Pemuda PAS

1.    Usaha mencari rezeki dan memakmurkan tanah sebagai sumber pendapatan yang halal adalah sebahagian daripada tuntutan agama Islam dan dikira sebagai salah satu daripada cabang ibadah. Di dalam lipatan sejarah Islam, banyak riwayat yang mencatitkan penglibatan nabi-nabi terdahulu di dalam aktiviti-aktiviti pertanian dan penternakan di samping melaksanakan tugasan utama mereka iaitu menyampaikan risalah dakwah kepada manusia agar mentauhidkan diri kepada Allah s.w.t.

2.    Sebagaimana Nabi Muhammad s.a.w. dikenali sebagai penggembala kambing yang paling dipercayai ketika di usia remaja, Nabi turut menggalakkan aktiviti pertanian dijalankan oleh para sahabat sebagai sumber pendapatan utama. Setelah Nabi Muhammad s.a.w. tiba di Madinah, Baginda telah menganjurkan agar usaha pertanian dipertingkatkan di bumi Madinah yang pada ketika itu sememangnya sebuah lembah wadi yang subur. Malah kaum Muhajirin yang berhijrah bersama Baginda diaturkan supaya bekerjasama dengan kaum Ansar iaitu penduduk asal Madinah di dalam usaha-usaha pertanian.

"Dari Jabir r.a. berkata: Kami biasa menyewa tanah dengan mendapatkan sebagai dari hasil (mukhabarah), kemudian kami mendapat hasil tanah itu begini dan begini. Maka sabda Rasulullah s.a.w:”Barangsiapa memiliki tanah, maka tanamilah sendiri atau suruhlah saudaranya untuk menanaminya, kalau tidak, tinggalkanlah." (Riwayat Ahmad dan Muslim)

3.    Dalam konteks di Malaysia, inisiatif yang diambil oleh Almarhum Tun Abdul Razak dalam memperkenalkan skim tanah rancangan FELDA yang bertujuan memberi pemilikan tanah kepada rakyat sebagai sumber aktiviti ekonomi yang mampan amatlah dihargai. Dasar yang penuh berwawasan ini adalah amat signifikan dalam menjayakan agenda peningkatan tahap sosia-ekonomi rakyat di luar bandar, khususnya kepada golongan belia dan yang kurang berkemampuan.

4.    Namun, tujuan asal penubuhan FELDA ini sedikit sebanyak mula terhakis dek peredaran zaman dan campurtangan politik yang menjejaskan hak dan masa depan peneroka dan generasi seterusnya.

Polemik Penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH)


5.    Pihak Dewan Pemuda PAS Malaysia (Pemuda PAS) menyambut baik perintah injunksi interim oleh Mahkamah Tinggi Kuantan dan notis pembatalan Mesyuarat Agung Perwakilan Khas KPF yang dijadualkan berlangsung pada 22 Februari 2012, serta mengucapkan sekalung tahniah kepada Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) yang gigih menyedarkan rakyat dan peneroka akan kesan buruk natijah cadangan penyenaraian ini.

6.    Pemuda PAS berpendapat cadangan penyenaraian FGVH ini perlu ditolak atas empat premis berikut:

i.        Hak tanah - Penyerahan hak tanah peneroka kepada FGVH adalah bertentangan dengan tujuan asal penubuhan FELDA dan merugikan peneroka dalam jangka masa panjang;

ii.        Peneroka membuat keputusan tanpa nasihat kewangan – Tatkala penganalisis dan pengurus dana pelaburan masih menunggu butiran cadangan penyenaraian, adalah tidak munasabah untuk perwakilan KPF untuk membuat keputusan menyokong atau membantah cadangan ini, tanpa nasihat kewangan yang menyeluruh berkenaan impak untung-rugi, seterusnya memberi mandat kepada Lembaga Pengarah untuk merunding dan memutuskan terma penyenaraian. Setiap ahli dan perwakilan KPF berhak mendapat nasihat dan butiran terperinci sebelum membuat keputusan pelaburan yang bernilai berbilion ringgit ini;

iii.        Imbuhan ‘durian runtuh’ – Laba keuntungan jangka pendek kepada peneroka yang masih belum pasti nilainya, malah tidak setimpal dengan risiko yang diambil oleh peneroka yang menggadaikan pemilikan tanah masing-masing;

iv.        Tiada keperluan ekonomi untuk penyenaraian – Lazimnya, sesebuah entiti perniagaan akan disenaraikan sebagai langkah menambah modal untuk menampung keperluan perniagaan yang lebih besar. Dalam keadaan Felda Holdings dan KPF yang mencatatkan keuntungan hasil daripada perniagaan perladangan, adalah tidak ekonomikal untuk mereka dipaksa menampung risiko dan kerugian yang ditanggung oleh FGVH.

7.    Pemuda PAS mengulangi komitmen untuk berganding-bahu dengan semua pihak khususnya ANAK serta rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat dan NGO-NGO untuk menggerakkan program penerangan dan kesedaran melalui penganjuran aktiviti santai bersama generasi belia FELDA yang telah dan akan kami laksanakan di peringkat Pemuda PAS Kawasan, antaranya siri jelajah Jom Ubah dan program ‘Orang Muda Geng Kita’.

8.    Di samping program-program turun padang, Pemuda PAS berpendapat sudah tiba masanya pihak-pihak yang prihatin ini duduk semeja untuk mencari formula terbaik bagi membantah cadangan penyenaraian FGVH dengan mengemukakan cadangan balas (counter-offer) untuk dikemukakan kepada golongan peneroka sebagai pilihan untuk menolak cadangan yang dikemukakan oleh pihak kerajaan.

9.    Pemuda PAS dengan berbesar hati tampil dengan enam gagasan berikut sebagai kerangka awal perbincangan ‘Cadangan Balas Pakatan Rakyat Terhadap Cadangan Penyenaraian FGVH’:

i.        Penstrukturan korporat - Kekalkan status 51% sedia ada (status-quo) KPF yang menjamin hak peneroka sebagai pemilik mutlak terhadap tanah, operasi, dan keuntungan FELDA;

ii.        Penstrukturan model perniagaan – Melupuskan perniagaan-perniagaan bukan teras (divestment of non-core business) yang mengalami kerugian atau menyumbangkan keuntungan yang kecil berbanding kos pengurusan yang tinggi. Ini sebagaimana yang telah diambil oleh Sime Darby dan Khazanah Nasional sebagai langkah mengoptimakan agihan modal (capital allocation) dan memaksimakan keuntungan (profit maximization) kepada pemegang saham. FELDA boleh mengambil model strategi perniagaan “more upstream, profitable downstream” (peningkatan hasil di huluan, peningkatan keuntungan di hiliran) dan langkah ini diunjurkan mampu meningkatkan 15% keuntungan dalam tempoh tiga tahun;

iii.        Partisipasi peneroka dalam aktiviti ekonomi FELDA – Keutamaan diberi kepada pihak koperasi dan anak peneroka dalam aspek peluang pekerjaan dan pemberian kontrak seperti perbekalan baja, kerja tanaman semula, perbekalan pekerja, penyelenggaraan ladang peneroka, projek landskap, penyelenggaraan aset, penternakan haiwan, tanaman kontan dan seumpamanya. Selain mampu menjana pendapatan sampingan kepada peneroka, diunjurkan hampir 300 peluang pekerjaan mampu dihasilkan di setiap 300 gugusan rancangan FELDA yang membawa kepada angka 90,000 peluang pekerjaan kepada golongan belia seluruhnya;

iv.        Sistem pewarisan – Menggantikan sistem penama pewaris yang digunapakai sekarang kepada sistem pewarisan Islam seperti wasiat, faraidh, dan waqaf. Agensi Amanah Raya boleh dilantik untuk memberi khidmat nasihat kepada pihak FELDA dan peneroka bagi memastikan 100% pemilikan tanah peneroka tidak terlepas tangan kepada pihak tidak bertanggungjawab;

v.        Etika urus tadbir dan professionalisma – Amalan tender terbuka dan penglibatan wakil peneroka di dalam jawatankuasa tender, sistem gred perahan minyak (OER) yang telus, pembudayaan etika urus tadbir dan amanah yang tinggi di peringkat pembuat keputusan dan pengurusan, memperkenalkan skim penjawatan dan gaji yang lebih kompetitif, serta mengurangkan campurtangan politik di dalam pengurusan FELDA. Keuntungan FELDA sedia ada diunjurkan mampu meningkat 25% dalam tempoh 5 tahun jika diurus tadbir dengan penuh amanah (governance);

vi.        Amalan operasi lestari (sustainability) – Mengemaskini manual kerja di ladang kelapa sawit mengikut piawaian antarabangsa RSPO dan amalan terbaik yang digunapakai oleh pemain industri perladangan yang lain seperti Sime Darby, IOI dan KLK.

10.  Sekali lagi kami Pemuda PAS tegaskan, jangan dikhianati tujuan asal penubuhan FELDA dan bersamalah kita membela hak peneroka FELDA.

------------------------------------------
1) Nasrudin Hassan adalah Ketua Pemuda PAS Malaysia. Beliau sendiri merupakan seorang anak peneroka yang membesar di rancangan FELDA Keratong, Pahang.

2) Mohd Syahir Sulaiman adalah Pengarah Institut Polisi Studi DPPM.

No comments: