PERMATANG PAUH: Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim
berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan berdepan dua
soalan maut dari wartawan dalam dan luar negara apabila menjadi Ketua
Pembangkang Parlimen Malaysia nanti.
Soalan pertama adalah kenapa
harga minyak boleh diturunkan apabila Pakatan Rakyat memerintah negara
sedangkan ketika Barisan Nasional (BN), bukan hanya mustahil untuk
diturunkan, malah berdepan kenaikan setiap tahun.
Soalan kedua
kata Anwar, bakal ketua pembangkang itu akan ditanya adakah Malaysia
akan bankrap selepas harga minyak diturunkan Pakatan Rakyat.
"Dua soalan itu pasti menjadi fokus utama takkala Najib menduduki kerusi Ketua Pembangkang.
"Wartawan
seluruh dunia inginkan penjelasan Najib yang selama ini memberitahu
rakyat bahawa kerajaan pimpinanya akan kekurangan wang ataupun boleh
bankrap jika mengisytiharkan penurunan harga minyak, " kata Anwar.
Beliau
berkata demikian ketika berucap merasmikan pelancaran jentera pilihan
raya Pakatan Rakyat Permatang Pauh di Taman Cermai, Sama Gagah, semalam.
Menurutnya,
dua soalan itu sudah memadai untuk Najib 'kecut perut' kerana selama
ini dia membohongi rakyat semata-mata mahu mengekalkan kuasa dan
hegemoni BN.
Adalah mustahil kata Anwar, jika pendapatan Petronas
RM80 bilion setahun tidak boleh membantu rakyat dengan menurunkan harga
minyak.
"Najib bila kena soalan itu pasti kecut perut sebab nak kata sokong takut Umno marah, (kalau) kata tak sokong rakyat marah.
"Begitu
juga dengan persoalan tentang adakah negara akan bankrap kalau minyak
diturunkan. Najib akan jadi serba salah, " ujar beliau yang juga Ahli
Parlimen Permatang Pauh.
Mengulas isu pemansuhan pinjaman
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Anwar turut
membawa contoh sikap Perdana Menteri Turki.
Menurutnya, apabila
perdana menteri Turki berjaya memerintah negara, beliau membuat
perubahan dengan memberikan pendidikan percuma kepada rakyat dan berbeza
dengan pemerintahan sebelum ini.
Adalah satu kelemahan besar bagi perdana menteri Turki jika tidak mampu berikan pendidikan percuma pada anak bangsanya.
Namun
kata Anwar, Perdana Menteri Malaysia langsung tidak timbul perasaan
belas kasihan terhadap pelajar yang terpaksa menanggung hutang untuk
belajar.
"Perdana Menteri Turki kata dia nak letak muka di mana
jika tidak boleh berikan pendidikan percuma pada rakyat sebab ramai yang
berada di pedalaman Turki tidak mampu.
"Cara hutang menghadkan
rakyat yang miskin memasuki univesiti. Itu baru sikap seorang pemimpin "
terangnya diikuti laungan reformasi beberapa kali.
Turut serta
berucap dalam program tersebut ialah Pesuruhjaya PAS Negeri, Datuk Saleh
Man, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman dan
Yang Dipertua PAS Permatang Pauh, Haji Omar Hasan.
No comments:
Post a Comment