Thursday, May 10, 2012

Najib tidak lena tidur dengan Bersih 3.0


KOTA BHARU: Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mendakwa Perdana Menteri Datuk Sri Mohd Najib Tun Razak kini tidak lena tidur lantaran berdepan isu Bersih 3.0 28 April lalu.

Ini kerana beliau tidak menduga jumlah orang keluar (menyertai Perhimpunan Aman Bersih 3.0 itu) begitu ramai hingga mencecah bilangan 300 ribu orang.
(Nik Amar menyampaikan sumbangan CSR kepada salah seorang penerima dengan diperhatikan CEO PMBK)

“Jadi ketakutan dia menghadapi kesedaran dan kebangkitan rakyat inilah menyebabkan dia menganggap ini (himpunan Bersih 3.0 itu) adalah usaha untuk menggulingkan kerajaan," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri bercakap kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Skim Bantuan Imam Al-Ghazali Siri Ke-4 kepada pelajar baru sesi 2012/2013 (Corporate Social Responsibility) di Nilam Puri dekat sini petang semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) Ir Mustapha Salleh, Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK) Tengku Azmi  Tengku Jaafar, Pengetua dan guru-guru YIK.

“Memang kita nak tukar kerajaan (yang ada sekarang) tetapi melalui kaedah pilihan raya, sebab itu kita nakkan pilihan raya itu adil dan bersih," katanya.

Beliau mendakwa, pilihan raya di Malaysia ini memang tidak adil.

“Dan selagi penambahbaikan (sistem pilihan raya) ini tidak dibuat, maka selama itulah pilihan raya itu berlangsung dalam keadaan yang tidak adil.  Itu bendanya," jelas beliau.

Jadi, kata Nik Amar, perkara itulah PAS dan Pakatan Rakyat (PR) meminta supaya diperbetulkan keadaannya.

Kini Bersih 3.0 diadakan dengan harapan pihak kerajaan (Suruhanjaya Pilihan Raya) melalukan perubahan bagi menghadapi pilihan raya termasuk PRU-13.

“Sebab itulah kita meminta pilihan raya ini tidak diadakan sehinggalah pembetulan dan penambahbaikan sistem pilihan raya itu dilaksanakan," tegas beliau.

Beliau mendakwa PAS melihat sejak awal lagi bahawa pilihan raya mestilah adil dan bersih.

Dan mana-mana pihak yang nak menang, mestilah menang dengan mendapat sokongan melalui cara yang betul.

“Kalau orang ini (rakyat) sokong kerajaan dengan cara yang salah, cara tidak betul, memang tidak menjadi kerajaan yang baik.

“Sebab itulah kita mempertikaikan termasuk bagi duit (memberi wang kepada rakyat) terutama dekat dengan pilihan raya.

“Kalau nak tolong rakyat, kenapa tidak dibuat lebih awal.  Kenapa masa (hampir dengan) pilihan raya baru dibuat (diberi wang kepada rakyat),” tegasnya.

No comments: