Thursday, July 19, 2012

Saya tak boleh lupa bendera parti - Nik Aziz



Gambar: Tuan Guru Nik Abdul Aziz memukul gendang sebagai gimik pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Sambutan Ulang Tahun Hari Kemerdekaan Ke-55 Tahun 2012 Peringkat Negeri Kelantan sambil disaksikan Mustapa Mohamed. Foto: Rizal

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau tidak boleh melupakan ‘bendera parti’ walau pun Kempen Kibar Jalur Gemilang diadakan.

Ini, katanya kerana kalau tidak ada parti, maka negara atau negeri tidak dapat diperintah.

“Zaman dahulu, zaman tidak ada parti politik.  Justeru negara atau negeri pada masa itu diperintah oleh raja-raja. Tetapi sekarang ada parti politik, maka di samping Jalur Gemilang, bendera parti ‘ada juga’," kata beliau yang juga Mursyidul Am PAS kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Sambutan Ulang Tahun Hari Kemerdekaan Ke-55 Tahun 2012 Peringkat Negeri Kelantan di Stadium Sultan Mohd Ke-IV di sini malam tadi.

Beliau juga menggesa masyarakat tidak lupa bahawa orang pertama memerdekakan tanah air, bahkan memerdekakan manusia iaitu Nabi Muhammad s.a.w.

Katanya, Nabi Muhammad s.a.w. bukan saja memerdekakan tanah air tetapi juga memerdekakan akal manusia daripada dijajah oleh keduniaan dan ‘taghut’.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata Nabi Muhammad s.a.w. walau pun baginda miskin ketika itu, namun apabila baginda sampai di Madinah disambut meriah sebagai ‘Perdana Menteri’.

“Dan ini satu benda yang pelik.  Baginda miskin, ibu bapa tidak ada, bahkan Madinah bukan negeri dia, negeri dia di Mekah, tetapi orang menerima baginda di Madinah sebagai seorang ‘Perdana Menteri’, segala kata-katanya dihormati, segala perbuatannya dihormati dan tindak-tanduknya dihormati.

“Inilah benda yang kita nak buatkan di seluruh dunia termasuklah Kelantan khasnya. Mudah-mudahan rakyat Kelantan faham bahawa Islam bukan sekadar meminta negara dimerdekakan, tetapi negara dan kalbu manusia juga dimerdekakan daripada fikiran taghut dan pemikiran keduaniaan,” ujarnya.

No comments: