Sunday, October 07, 2012

Ketiadaan Laporan Audit cacatkan Bajet 2013


TUMPAT: Bajet 2013 yang dibentang Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini dianggap tidak mempunyai ciri pembentangan belanjawan sepatutnya kerana ketiadaan Laporan Ketua Audit Negara bagi setiap anggota Parlimen.

Anggota parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar berkata, pengalamannya selama 13 tahun di parlimen, pembentangan bajet tahun ini dianggap banyak kecatatan.

“Mengapa ada arahan Laporan Audit itu dilewatkan, kononnya kata mereka bagi membolehkan anggota parlimen memberi tumpuan kepada bajet,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan dana lebuh raya rakyat di Wat Machimaran di sini hari ini.

Kamaruddin yang juga anggota jawatankuasa PAS pusat berkata, Perdana Menteri langsung tidak menyentuh mengenai hutang negara yang semakin tinggi.

Sebaliknya kata beliau bajet kali ini sarat dengan “rasuah politik” menjelang pilihan raya umum ke-13.

Menurutnya juga usaha non-muslim seperti ditunjukkan masyarakat Siam dan Cina membantu projek lebuh raya rakyat amat mengujakan sekali.

“Non muslim bukan sahaja memberi sumbangan moral dan kewangan tetapi mempamerkan kecintaan, penghormatan, kepercayaan serta keyakinan amat tinggi kepada Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku ketua kerajaan.

“Dan itu juga bermaksud sokongan kepada kerajaan PAS dan Pakatan Rakyat di Kelantan.

“Dan bukan sahaja mereka menghantar wakil seorang dua, bahkan semua Tok-Tok Raja hadir bersama dan kita melihat bagaimana penghormatan dan kemesraan yang ditunjukkan,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu tidak pernah kita lihat dalam sejarah.

No comments: