Sunday, December 23, 2012

Umar hantar mesej 'semangat' dari kamar besi


 
KUALA LUMPUR: Aktivis 'Occupy Dataran', Umar Muhammad Azmi yang ditahan di Penjara Kajang sejak semalam menghantar mesej kata-kata semangat buat rakan-rakan yang 'berkampung' di luar penjara itu.

Mesej tersebut berbunyi "Dunia belum kiamat, Berjuang sampai tamat," dikirim Umar kepada rakan-rakan melalui bapanya yang hadir melawatnya tengah hari tadi.

Sejak malam tadi lebih 50 aktivis mahasiswa 'berkampung' di hadapan Penjara Kajang sebagai tanda sokongan terhadap Umar.

Selain mahasiswa, turut hadir memberi sokongan siang tadi termasuk ahli politik dari Pakatan Rakyat seperti Ahli Parlimen Hulu Langat Dr Che Rosli Che Mat, Kartunis Zunar serta selebriti Abby Abadi.

Mahkamah Majistret Kuala Lumpur semalam menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM1,000 kepada Umar kerana menghalang pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalankan tugas semasa serbuan terhadap gerakan mahasiswa pada April lalu.

Insiden itu didakwa berlaku semasa serbuan mengejut DBKL ke atas perkhemahan protes di Dataran Merdeka di Kuala Lumpur pada jam 8 pagi 22 April lalu.

Aktivis siswa berkhemah di dataran tersebut sebagai bantahan mereka terhadap Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang didakwa mereka tidak adil.

No comments: