Sunday, December 04, 2011

Najib tinggal transformasi, ambil kembali perkauman

KUALA LUMPUR, 4 Dis: Perhimpunan Agung Umno yang berakhir semalam memperlihatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terpaksa mengikut rentak timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yasin membawa politik perkauman dan kebencian.

AJK PAS Pusat, Dr. Dzulkefly Ahmad ketika diminta mengulas keseluruhan ucapan Najib sepanjang perhimpunan itu berkata, segala tranformasi yang dicanang perdana menteri itu sebelum ini, tenggelam dalam laugan perkauman parti itu sepanjang perhimpunan tersebut.

"Akhirnya Najib kembali mengambil garis yang sama seperti Muhyiddin iaitu garis perkauman dengan memainkan 'politic of fear' seperti zaman kuno.

"(Beliau) kembali menggunakan strategi menakutkan orang Melayu dengan menjadikan DAP sebagai momokan," katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor.

Menurutnya lagi, rakyat khususnya bukan Melayu tentunya kecewa dengan pendekatan Najib yang ditunjukkan dalam perhimpunan Umno itu.

Najib yang sebelum ini ujarnya berdegar-degar dengan slogan tranformasi politik, liberalisasi dan inklusif, kini musnah sekelip mata dalam perhimpunan Umno itu.

"Rakyat tertanya-tanya mana transformasi Najib yang dia mahu bawa dahulu. Beliau kini semakin tajam perkauman dan dah jadi Melayu 'totok'.

"Najib perlu tahu bukan semua Melayu boleh ditakutkan. Hanya Melayu Umno sahaja boleh ditakutkan dengan perkauman seperti itu," katanya lagi.

Dalam pada itu, Dr. Dzulkefly mahu rakyat menilai sikap pemimpin Umno itu dan mahu membezakan dengan apa yang dibawa oleh PAS dan Pakatan Rakyat.

"Ini berbeza dengan PAS, yang membawa mesej keadilan Islam untuk semua, membawa mesej kasih sayang antara kaum, sedangkan mereka (Umno) pula bercakap tentang perkauman dan kebencian," katanya.

No comments: