Wednesday, December 07, 2011

Pemuda pastikan sejarah 2004 tidak berulang

KOTA BHARU, 6 Dis: Pemuda PAS Kelantan bersiap sedia menggempur kubu Umno bagi memastikan sejarah pilihan raya umum 2004 tidak berulang semula.

Ketuanya Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, sehingga kini sudah ada beberapa Pemuda kawasan membuka bilik gerakan sebagai persiapan awal menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Katanya, ia menggambarkan kesungguhan pemuda PAS mempertahankan Kelantan bagi mengelakkan peristiwa 2004 berulang kembali apabila Umno/BN mendapat lonjatan besar.

Ketika itu BN mendapat 21 kerusi Dun berbanding 24 PAS. Bagaimanapun pada pilihan raya kecil Pengkalan Pasir BN mendapat tambahan satu lagi kerusi.

Abdul Latiff berkata, pelbagai program dijalankan Pemuda PAS negeri dengan dibantu pemuda kawasan mendapat sambutan begitu menggalakkan.

”Misalnya programk pemuda masuk kampung di Dun Bukit Bunga mendapat sambutan luar jangka apabila ramai anak muda datang mengebarkan bendera Bulan Purnama,” katanya pada sidang akhbar program “Maghri Pakat Ggateh D’Kuala Krai di sini kelmarin.

Abdul Latiff yang juga Adun Mengkebang berkata, Pemuda PAS Kelantan menggunakan lima pendekatan bagi mendekati golongan muda iaitu program gotong royong, ziarah dan cakna masyarakat, mesra kedai kopi, pentas Pemuda serta Bekwoh Anak Muda.

Kata beliau program tersebut mendapat sokongan padu anak-anak muda yang menggambarkan sokongan mereka tidak berubah kepada PAS dan Pakatan Rakyat seperti 2008.

Ditanya calon di kalangan pemuda, Abdul Latiff berkata, senarai nama sudah disiapkan untuk diangkat kepada Badan Perhubungan Negeri.

“Pemuda PAS tidak ketandusan calon yang berwibawa untuk diketengahkan. Bagaimanapun segala keputusan akan ditentukan pimpinan negeri dan pusat,” ujar beliau.

Sementara itu dalam perkembangan lain katanya, program “Maghri Pakat Ggateh” anjuran Urusetia Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO akan diperluaskan ke jajahan Kuala Krai.

Beliau berkata, program itu meliputi tiga Dun akan diadakan 10 Dismber ini bermula di Padang Taman Chintawangsa berhampiran Tasik Krai.

Katanya penyertaan terbuka kepada orang ramai menggunakan pelbagai jenis basikal termasuk klasik, Fixie, Mountain Bike dan sebagainya.

“Kita akan mengayuh basikal sejauh 31 km dengan merentasi laluan berbukit melalui Jalan Batu Balai-Mengkebang-Simpang Tiga Sungai Pahi-Temalir-Belangga dan kembali ke TamanChintawangsa,” katanya.

No comments: