KUALA LUMPUR: PAS menjangkakan peratusan undi akan
rendah jika pilihanraya umum (PRU) ke -13 diadakan selepas cuti umum
Hari Raya Aidilfitri akan datang.
Ketua Penerangan PAS Pusat,
Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia kerana pengundi tentunya sukar
dan berfikir panjang untuk pulang kali kedua selepas pulang bercuti
Aidilfitri.
"Jika benar ia diadakan pada bulan September maka
peratusan mengundi akan merosot kerana majoriti pengundi baru sahaja
balik dari bercuti selain faktor utama adalah dari segi kewangan
mereka," katanya kepada Harakahdaily.
Menurutnya lagi, jika
perkara itu benar-benar berlaku, ianya juga seolah-olah cuba untuk
menafikan hak rakyat khususnya pengundi luar untuk pulang mengundi.
Beliau
berkata demikian ketika diminta mengulas desas-desus banyak pihak
bahawa kemungkinan PRU-13 akan diadakan selepas cuti Aidilfitri atau
lebih spesifik pada September ini.
"Kita dapat lihat pihak yang
menyokong Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin)mendesak
agar pilihanraya diadakan pada tahun ini, namun bagi Perdana Menteri
(Datuk Seri Najib Razak) dan pengikutnya berpendapat agar ia diadakah
pada tahun hadapan.
"Tetapi melihat kepada senario yang berlaku
sekarang yang mana bajet tambahan sudah diluluskan maka saya pasti ia
akan diadakan pada tahun ini," sambungnya lagi.
Gerakkan kempen balik mengundi
Sementara
itu beliau memberitahu, PAS akan melancarkan kempen besar-besaran
menyeru rakyat keluar mengundi pada pilihan raya itu nanti.
Pihaknya
juga jelas Tuan Ibrahim, akan mengerakkan seluruh jentera agar menemui
serta memberi penerangan kepada ahli dan juga pengundi-pengundi yang
berada diluar agar pulang menunaikan tanggungjawab mereka.
"Jadi
atas sebab itulah kita akan melancarkan kempen balik kampung agar setiap
ahli PAS dan pengundi dapat menggunakan tanggungjawab mereka sebagai
pengundi bagi menentukan siapa pemerintah pada masa yang akan datang,"
jelasnya.
Katanya lagi, isu yang paling besar jika pilihanraya
diadakan selepas cuti Hari Raya Aidilfitri adalah bebanan kepada rakyat
yang terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang lebih sedangkan mereka
terpaksa menanggung bebanan yang lain lagi.
"Kalau fenomena ini
berlaku maka Umno-Barisan Nasional akan menggunakan wang sebagai umpan
mereka agar pengundi dapat balik mengundi," katanya.
No comments:
Post a Comment