KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik
Abdul Aziz Nik Mat, menyeru masyarakat Islam khususnya rakyat Kelantan
memperbanyakkan doa sempena bulan Ramadan ini termasuk doa untuk
royalti Kelantan.
Katanya, rakyat Kelantan perlu berdoa semoga
Allah memberikan petunjuk kepada pihak yang menyekat pemberian royalti
Kelantan agar tidak terus melakukan kezaliman terhadap negeri ini.
“Oleh
yang demikian saya minta kepada rakyat doa beramai-ramai moga kezaliman
ini diangkatkan dan minta Allah memberi kefahaman kepada menteri
terbabit termasuk pegawai Petronas. Kerja menyekat itu suatu dosa,”
ujarnya.
"Kalau boleh sebutkan nama menteri atau pegawai terbabit sewaktu sujud ketika solat," katanya lagi.
Menurutnya,
pembayaran royalti telah diputuskan oleh Perdana Menteri sebelum ini
Tun Abdul Razak, bagaimanapun ianya masih disekat hingga kini.
Pada
masa yang sama, katanya Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V sendiri
bertitah ketika pembukaan sidang Dun Kelantan 1 Mac lalu, agar
pendaratan gas dan petroleum perlu didaratkan di Kelantan dan royalti
diselesaikan dengan segera.
“Tetapi reaksi dari menteri
sepatahpun berhubung perkara itu langsung tidak ada, ianya betul-betul
memalukan orang Melayu yang tidak hormat pada rajanya sendiri.
Tambah
Tuan Guru, dosa menyekat royalti bukan seperti dosa dengan individu,
sebaliknya melibatkan rakyat Kelantan lebih 1.4 juta orang.
“Kalau
menteri berkenaan yakin ianya (menyekat royalti) suatu dosa, elok
percepatkan pembayaran royalti pada Kelantan,” ujarnya lagi.
Sementara
itu, keberkatan Ramadan katanya perlu diisi sebaiknya dengan ibadah
termasuk berzikir, bertasbih dan bersedekah kerana ibadat suatu perkara
yang mudah tidak perlu mengambil waktu, tempat yang khusus.
“Berdoa
ni tidak semestinya sewaktu sembahyang (solat) di luar sembahyangpun
boleh dan tidak semestinya di masjid, sambil memandu kenderaanpun boleh
atau berjalan kaki juga boleh,”ujarnya.
Sambungnya, amat rugi sekiranya umat Islam membiarkan Ramadan berlalu pergi tanpa meningkatkan amalan masing-masing.
No comments:
Post a Comment