KOTA BHARU:
Kelantan membentang anggaran Bajet 2013 dengan lebihan sebanyak RM45.83
juta ketika Belanjawan 2013 kerajaan pusat defisit 16 tahun
berturut-turut.
Sedangkan pada belanjawan 2012 dianggarkan mencatat defisit sebanyak
RM83.23 juta. Ini bermakna berlaku kenaikan hasil sebanyak 35.21
peratus.
Buat pertama kali juga pendapatan daripada hasil royalti petroleum
sebanyak RM200 juta dimasukkan dalam bajet bertema Bajet Negeri
berkebajikan.
Pembentangan bajet dilakukan anggota Exco Kerajaan Negeri, Datuk
Husam Musa mewakili Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik
Mat, mengambil masa hampir sejam pada persidangan Dewan Undangan Negeri
(Dun) hari ini.
Bajet dianggarkan dengan perolehan hasil sebanyak RM581.77 juta dan perbelanjaan mengurus sebanyak RM535.95 juta.
Anggaran hasil sebanyak RM581.77 juta meliputi hasil cukai sebanyak
RM296.80 juta, hasil bukan cukai RM171.57 juta, manakala terimaan bukan
hasil (RM113.41 juta).
“Peningkatan hasil pada 2013 berpunca daripada tuntutan hasil royalti
petroleum yang sepatutnya dibayar kerajaan persekutuan kepada kerajaan
negeri sebanyak RM200 juta atau sebanyak 34.38 peratus daripada hasil
negeri.
“Kerajaan negeri memutuskan untuk memasukkan RM200 juta sebagai
pendapatan dari royalti petroleum, di mana sebelum ini diletak sebagai
token sebanyak RM10.
“Ini bertujuan untuk melonjakkan lagi harapan kerajaan dan rakyat
Kelantan untuk mendapatkan hak serta meletakkan tiang pacak bahawa
Kelantan berhak terhadap pengeluaran gas di telaga Kamelia yang akan
memulakan pengeluaran Isya-Allah pada Mac 2013,” kata Menteri Besar.
Medan tersebut berada dalam Blok PM 301 yang paling hampir dengan
pantai Kelantan, di mana pengeluaran tahunannya sebanyak 110,000 kaki
padu setahun.
Husam ketika ditemui kemudian berkata, tidak salah untuk memasukkan
hasil daripada sumber royalti petroleum sebanyak RM200 juta memandangkan
ia adalah hak Kelantan.
Katanya, perkara itu pernah berlaku di Terengganu ketika di bawah
kerajaan PAS apabila perolehan daripada royalti turut dimasukkan dalam
anggaran bajet negeri.
“InsyaAllah kita akan mendapat hak tersebut kerana sumber gas dan minyak terbabit berada di perairan Kelantan,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment