KUALA LUMPUR: PAS melihat pengaruh mantan Perdana
Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak langsung menjejaskan undi kepada
Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang akan datang.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menegaskan, Pakatan Rakyat tidak
pernah risau apabila Dr Mahathir membuka mulut mengkritik apa sahaja
yang beliau kehendaki.
"Saya melihat Dr Mahathir memang
mempunyai pengaruh tetapi ia tidak langsung memberi kesan undi kepada
mereka yang menyokong Pakatan Rakyat.
"Tetapi ia akan memberi kesan secara langsung kepada sokongan Umno Barisan Nasional," jelasnya kepada Harakahdaily.
Jelas Mahfuz, tindakan Dr Mahathir membuka mulut atau mengkritik sebenarnya menimbulkan kerisauan kepada pemimpin Umno.
Malah, mereka beranggapan setiap kali Dr Mahathir membuat kritikan
sokongan yang mereka perolehi dari undi orang Melayu akan menurun.
"Kita lihat bagaimana Dr Mahathir mengkritik mengatakan pemberian BR1M
adalah seperti membeli undi, dan ini secara langsung akan terus
mengurangkan sokongan kepada Umno Barisan Nasional.
"Inilah
yang dirisaukan oleh Umno apabila Dr Mahathir menyuarakan pendapat,
mereka bukannya mendapat peningkatan sokongan malah semakin berkurang,"
kata beliau lagi.
Mahfuz yang menyatakan, pengaruh Dr Mahathir
adalah penentu kedudukan pemimpin Umno di dalam parti mereka sendiri
bukannya penentu kepada kedudukan Pakatan Rakyat.
"Pemimpin
Umno perlu tahu, pengaruh Dr Mahathir adalah penentu kedudukan mereka
pada pemilihan dalam Umno itu sendiri bukannya penentu kedudukan
Pakatan Rakyat.
"Pakatan Rakyat tidak pernah risau apabila Dr
Mahathir bersuara tetapi pemimpin-pemimpin Umno perlu risau kerana
kedudukan mereka belum terjamin lagi," sambung beliau lagi.
Tambahnya lagi, setiap kali Dr Mahathir mengkritik sokongan kepada
Pakatan Rakyat terus bertambah sama ada dari undi Melayu mahupun
kaum-kaum lain.
Manakala, Umno terus tertekan untuk menepis
setiap kritikan tersebut apatah lagi bila melibatkan keputusan yang
dilakukan oleh kerajaan Umno Barisan Nasional.
No comments:
Post a Comment