Sunday, September 09, 2012

Ibu bapa adalah pendidik pertama – Nik Aziz


SHAH ALAM: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, ibu bapa merupakan pendidik yang pertama sebelum guru atau pensyarah bagi setiap umat manusia di atas muka bumi ini.

Katanya, apabila menyebut pendidik semua akan merujuk kepada guru tetapi terlupa bahawa ibu bapa adalah pendidik yang pertama.

"Ibu bapa akan menyebabkan anak-anak sama ada menjadi baik, nakal atau jahat. Ibu bapa orang pertama jadi pendidik kita," katanya ketika menyampaikan ucaptama di Himpunan Pendidik Islam 2012 di sini hari ini.

Katanya, Nabi Muhammad selalu menasihati umatnya supaya mencari pasangan yang beragama kerana sudah tentu dia tahu hubungan dengan Allah, suami, mentua dan keluarga.

Justeru katanya, senarai pendidik mestilah meletakkan ibu dalam senarai pertama.

Begitulah juga, katanya dalam sesebuah negara di mana kerajaan, perdana menteri dan menteri besar adalah pendidik.

"Perdana menteri rasuah, rakyat tidak ada sebab jadi perasuah. Inilah yang mustahak. Dari ibu, cikgu, menteri besar kepada perdana menteri, adalah pendidik," katanya di hadapan kira-kira 1,000 guru.

Oleh sebab itulah, katanya, ilmu adalah tenaga gergasi yang akan membentuk jiwa manusia.

Turut menyampaikan ucapan dalam himpunan itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan Negeri Selangor Halimah Ali yang turut disaksikan oleh Mustasyar Pendidik Datuk Abu Bakar Chik dan Presiden Pendidik Normala Sudirman.

Tidak lupa juga Sasterawan Negara Datuk A Samad Said atau Pak Samad turut mendeklamasikan sajak yang ditujukan khas buat warga pendidik.

Himpunan Pendidik Islam 2012 merupakan anjuran Jawatankuasa Tetap Pendidikan Negeri Selangor dan Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik kebangsaan (Pendidik) Malaysia dengan kerjasama Unisel dan MAPPIS.

No comments: