KUALA LUMPUR: Pemimpin PKR akan memohon untuk
mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar
berhubung beberapa serangan terhadap program parti itu sejak
kebelakangan ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, Pengarah
Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Setiausaha Agung PKR Datuk
Saifuddin Nasution akan menulis surat memohon pertemuan itu diadakan
dengan segera.
Semalam, bas Jelajah Merdeka Rakyat yang digunakan
Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan PKR sekali lagi diserang ketika
siri lawatan di Jasin, Melaka.
Bas tersebut dihalang sekumpulan samseng dan dilempar cat merah.
Ianya merupakan serangan kedua selepas kali pertama diserang di Kota Bharu minggu lepas.
Menurut Nik Nazmi, sebelum itu lagi, taktik samseng sama telah digunakan terhadap pimpinan PKR dan Pakatan Rakyat.
Ia
termasuk serangan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sembrong Johor,
kecederaan warga emas di Lembah Pantai apabila terkena batu yang
dilontarkan terhadap YB Nurul Izzah Anwar dan pelbagai lagi kejadian
lain.
Pun begitu katanya, sekalipun pelbagai laporan polis
dibuat, sehingga hari ini pihak polis dilihat tidak serius dalam
mengambil tindakan dalam hal ini.
"Datuk Seri Najib Razak, selaku
Perdana Menteri terus diam membisu, seolah-olah memberikan lampu hijau
untuk gejala samseng ini terus berleluasa.
"Untuk menghentikan
kejadian ini, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution akan menulis
surat rasmi kepada Ketua Polis Di Raja Malaysia Tan Sri Ismail Omar
untuk bertemu dan memastikan polis memberikan perhatian terhadap amalan
yang mengancam demokrasi negara ini," katanya.
No comments:
Post a Comment