Wednesday, December 12, 2012

'Kita lawan Umno, tapi Umno jadi pengadil'


PUTRAJAYA: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) hari ini menyerahkan satu memorandum kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung isu pemuda Umno memegang jawatan dalam suruhanjaya itu.

Ianya merujuk kes Ketua Penerangan Pemuda Umno Bahagian Kinabatangan, Aksyah Nasrah yang turut memegang jawatan sebagai Timbalan Pengarah (Operasi) SPR Sabah.

Memorandum itu antara lain mahu SPR bertindak profesional membersihkan suruhanjaya itu dari dikaitkan dengan parti politik tertentu apatah lagi selaku pengendali dan 'orang tengah' dalam pilihan raya.

Penyerahan itu diketuai Ketua Pemuda PAS Nasruddin Hassan kepada Timbalan Setiausaha (Pilihan raya) SPR, Datuk Noordin Che Ngah selepas pertemuan kira-kira 20 minit di pejabat suruhanjaya itu di sini hari ini. (Gambar)

Turut serta dalam pertemuan itu Timbalan Ketua Pemuda Nik Mohd Abduh Nik Aziz, Exco Adram Musa serta Ketua Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu.

"Bagi kita selaku parti yang menyertai pilihan raya, sudah tentu kita risau. Kalau dia (Aksyah) ahli biasa tidak apa, tapi ini pemimpin Umno.

"Kita nak berlawan dengan Umno dalam pilihan raya, tiba-tiba orang Umno yang menjadi 'pengadil'," kata Nasruddin.

Beliau turut menjelaskan, memorandum hari ini juga sebagai makluman awal kepada SPR agar menyiasat kemungkinan banyak lagi kes serupa membabitkan pepimpin kanan Umno yang terlibat memegang jawatan dalam suruhanjaya itu.

"Jika benar kes ini, SPR kena ambik tindakan sekurang-kurangnya individu terlibat perlu resign dalam SPR jika dia masih mahu kekal dalam Umno," katanya.

Sementara itu, Noordin dalam responsnya memberi jaminan bahawa SPR akan menyiasat kes itu.

SPR juga jelasnya, sedang membuat semakan berhubung perkara yang berbangkit itu di peringkat Sabah.

"Pengerusi SPR akan mengeluarkan kenyataan khusus tentang hal ini nanti," katanya.

No comments: