Tuesday, March 12, 2013

MB ziarah SU DHPP Kelantan di HUSM



KOTA BHARU: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melawat Setiausaha Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Kelantan, Tharuman Arjunam yang masih tidak sedarkan diri akibat kemalangan jalan raya semalam.

Menteri Besar meluangkan masa menziarahinya di wad rawatan rapi, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian sekembali daripada menghadiri mesyuarat di Kuala Lumpur tengahari tadi.

Ketika menemui ayah mangsa, Arjunam Tuan Guru Nik Abdul Aziz meminta beliau dan keluarga bersabar ekoran kejadian yang menimpa anaknya itu.

“Saya berharap Tharuman cepat sembuh,” katanya kepada keluarga mangsa. Turut hadir Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, Abdul Rahman Yunus, Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Ahmad Fadhli Shaari dan Pengerusi DHPP Kelantan, Lim Guan Seng.

Menteri Besar turut menyampaikan sumbangan peribadi dan kerajaan negeri kepada Arjunam.

Tharuman, 35 terbabit dalam kemalangan jalan raya kira-kira 2.30 pagi semalam di jalan Pasir Mas-Kota Bharu, dekat Salor ketika memandu sendirian pulang ke rumah di Jalan Kubur Kuda.

Sementara itu Arjunam kelihatan tidak dapat menahan sebak di atas kunjungan Tuan Guru Nik Abdul Aziz biar pun sibuk dengan tugasan harian.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih di atas kunjungan Menteri Besar. Menurutnya juga, biar pun anaknya masih tidak sedarkan diri namun keadaannya stabil.

Tharuman yang juga kakitangan Urussetia Penerangan Kerajaan Negeri turut patah tangan kiri akibat kemalangan tersebut.

No comments: