Thursday, June 23, 2011

Presiden PAS seru semua ahli sertai Bersih 2.0

KUALA LUMPUR, 23 Jun: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengarahkan semua ahli dan penyokong PAS agar datang ke Kuala Lumpur pada 9 Julai ini bagi menyertai perhimpunan Bersih 2.0.
"Saya menyeru semua ahli dan penyokong PAS menyertai perhimpunan Bersih 9 Julai ini untuk menuntut pilihan raya yang bersih dan adil," kata Abdul Hadi dalam sidang media bersama Harakah di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, sebentar tadi.
Perhimpunan Bersih 2.0 akan diadakan di Kuala Lumpur 9 Julai ini. Pengerusi Bersih 2.0 adalah bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Srenevasan. Anggotanya terdiri daripada para pemimpin NG0, manakala PAS, PKR dan DAP menyokong perhimpunan itu.
Menurut Abdul Hadi, perhimpunan tersebut mempunyai tujuan yang amat murni dan perlu disokong oleh semua pihak serta dijamin aman sesuai dengan matlamatnya yang murni.
Sehubungan itu, ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS serta setiap pihak yang menyertainya dilarang melakukan sebarang kekacauan, mengganggu ketenteraman awam dan kerosakan harta benda awam.
"Setiap ahli PAS yang menyertainya jangan sekali-kali membawa senjata. Saya juga suka mengingatkan ahli-ahli PAS agar jangan bermusuhan dengan pihak polis," katanya yang juga ahli Parlimen Marang.
Sesuai dengan nama perhimpunan itu sendiri sebagai himpunan aman, sekiranya berlaku perkara tidak diingini dalam pehimpunan itu, ia bukanlah didatangkan oleh ahli-ahli PAS dan mereka yang menyertainya.
Sebaliknya, kejadian tersebut pasti dilakukan oleh pihak lain, termasuk oleh pihak Umno dan kerajaan BN, atau provokasi yang dilakukan oleh pihak polis sendiri seperti yang telah berlaku dalam siri perhimpunan-perhimpunan aman yang diadakan sebelum ini.
"Oleh itu yang perlu dikawal oleh pihak polis dalam perhimpunan itu adalah pihak-pihak yang membuat provokasi dan bukan polis sendiri yang membuat provokasi," tegasnya.
Umno dan Kerajaan BN, katanya, tidak perlu takut dengan perhimpunan tersebut kerana ia tidak sekali-kali terfokus kepada perkara-perkara tidak diingini, tetapi hanyalah terhadap pilihanraya di negara ini.
Pilihanraya di negara ini seperti yang diketahui umum tidak pernah berlangsung dengan bersih dan adil, tetapi penuh dengan penyelewengan yang dilakukan oleh kerajaan BN yang memerintah menerusi Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR).
Keadaan yang sama turut dilakukan oleh Umno dan Kerajaan BN terhadap media, apabila media yang menyokongnya diberikan kebebasan untuk disebarkan dan dibaca secara meluas di segenap pelosok negara, tetapi media yang menyokong pembangkang atau PAS serta Pakatan Rakyat pula dihalang dengan pelbagai cara.
"Pilihanraya yang tidak bersih itu tidak boleh dibiarkan kerana ia pasti akan menimbulkan kemarahan rakyat. Itulah yang perlu dibantah dan itulah matlamat Perhimpunan Bersih 2.0.
"Matlamat tersebut sememangnya sesuatu yang baik sebab itulah PAS menyokong langkah yang diadakan oleh Bersih untuk mengadakan perhimpunan itu bagi menuntut pilihanraya yang bersih dan adil," katanya.
Pihak Umno dan Kerajaan BN, tegas beliau, perlu faham perkara itu dan tidak sepatutnya menghalang perhimpunan tersebut diadakan kerana ia juga pasti memberikan kesan yang positif kepada pihak pemerintah sendiri.
"Semua negara demokrasi yang maju di dunia ini tidak menghalang perhimpunan aman yang diadakan oleh rakyatnya. Malah ia akan dikawal dan diberikan kerjasama dengan baik oleh pihak keselamatan selagi perhimpunan itu tidak mengganggu ketenteraman awam.
"Malah di negara-negara demokrasi maju di dunia ini, pihak pemerintah sendiri turut mengambil manfaat dari demonstrasi aman yang diadakan bagi mendengar suara rakyat untuk memperbaiki kelemahan yang ada. Umno dan Kerajaan BN juga sepatutnya bersikap seperti itu demi kepentingan negara," ujar beliau.
Mengulas dakwaan sesetengah pihak bahawa perhimpunan tersebut akan mengancam mata pencarian para peniaga dan mencemarkan imej negara di mata pelancong, beliau berkata, dakwaan tersebut ternyata tidak berasas, malah perhimpunan itu sendiri akan mendatangkan keuntungan yang besar kepada para peniaga.
"Mereka yang menyertai perhimpunan itu cukup besar jumlahnya dan mereka pasti akan berbelanja. Jadi, para peniaga sendiri pasti akan mendapat keuntungan besar dengan adanya perhimpunan itu.
"Manakala sepanjang perhimpunan diadakan pula, para pelancong asing pasti akan turut tertarik melihatnya kerana ia dilakukan dengan baik dan aman sehingga mereka sendiri akan kagum dengan keamanan di negara kita.
"Tetapi jika pihak polis sendiri yang membuat provokasi, suasana itu pasti berbeza. Jadi yang mengubah keadaan itu bukannya pihak penganjur dan pesertanya, tetapi pihak polis, pihak Umno dan pihak Kerajaan BN sendiri," tegas beliau.  

Pakatan sokong Bersih, selar Najib berdiam diri

KUALA LUMPUR, 23 Jun: Pakatan Rakyat hari ini menyatakan sokongan penuh terhadap usaha Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) yang mahu mengadakan himpunan aman 9 Julai ini.
Menurut mereka, usaha Bersih itu wajar dalam usaha memperbaiki dan membersihkan sistem pilihan raya di negara ini yang didakwa tempang.
“Justeru, Majlis Presiden Pakatan Rakyat mendokong inisiatif Bersih mengadakan himpunan secara aman supaya rakyat disedarkan agar wujud perubahan dalam sistem pilihan raya di negara ini,” kata Anwar selepas mempengerusikan mesyuarat Pakatan Rakyat di pejabat Ketua Pembangkang di parlimen hari ini.
Turut serta pada sidang media itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, Penasihat DAP Lim Kit Siang, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali.
Pada sidang media sama, beliau turut menyelar sikap diam diri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, terhadap ancaman yang dikeluarkan pihak-pihak yang membantah usaha murni Bersih itu.
Ianya termasuk ancaman dari pihak polis dan kumpulan pendesak Melayu, Perkasa yang mahu bertembung dengan pihak Bersih dengan membuat perhimpunan bantahan pada hari sama.
Beliau mendakwa sikap Najib itu membuktikan Perkasa dilindungi Umno BN untuk berhadapan dengan Bersih.
“Pentadbiran Najib memperalatkan suara golongan esktrem yang bertugas bagi pihak Umno untuk memperlekeh usaha yang dilakukan gabungan Bersih.
“Ini adalah keterlaluan kerana Najib mengambil pendirian berdiam dan tidak menegur ugutan yang dibuat Polis, Menteri Dalam Negeri dan Perkasa. Jelas ini adalah permainan Umno untuk menakutkan orang ramai,” katanya.
Turut diselar termasuklah ugutan bunuh terhadap Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga dan beberapa pimpinan Pakatan Rakyat, termasuk wartawan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Mahfuz pula mendakwa tindakan kerajaan membiarkan ancaman terhadap Bersih itu menyebabkan ketakutan di kalangan pelabur.
"Saya anggap perbuatan kerajaan dan media arus perdana melakukan provokasi menakutkan orang ramai sebagai mensabotaj ekonomi negara," katanya.
Beliau juga tidak menolak bahawa trend ancaman itu serupa dengan keadaan pada tahun 1987 yang kemudiannya membawa kepada penangkapan pemimpin pembangkang dalam Operasi Lalang.

Dr Zainuddin Ibrahim SUK Kelantan baru

KOTA BHARU, 23 Jun: Setelah berkhidmat selama 33 tahun Dato’ Mohd Aiseri Alias hari ini menamatkan tugasnya sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).
Beliau yang akan bersara wajib 26 Jun ini mulai menjawat jawatan tersebut pada 10 Ogos 2004 menggantikan Dato’ Tengku Shah Buddin Tengku Mohd Maasum.
Tempatnya diganti Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Dr Zainuddin Ibrahim.
Mohd Aiseri sebelum berada di kedudukan paling tinggi sebagai pentadbir kerajaan negeri memegang pelbagai jawatan antaranya Ketua Jajahan Tanah Merah dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam.
Dr Zainuddin yang juga Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) akan mula memikul tanggungjawab baru pada 27 Jun ini sebagai SUK ke-17.
Majlis serah tugas diadakan hari ini di Dewan Teratai Kota Darulnaim dengan disaksikan Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, anggota-anggota Exco kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat dan pegawai kerajaan negeri serrta Persekutuan.
Berucap pada majlis itu Menteri Besar merakamkan ucapan terima kasih di atas peranan yang diberikan Mohd Aiseri dalam membangunkan kerajaan dan rakyat Kelantan.
”Banyak idea yang disumbangkan olehnya dapat dilaksanakan untuk kesejahteraan rakyat. Terima kasih yang tidak terhingga,” katanya

Tuntutan Bersih selari dengan Islam

KUALA LUMPUR, 23 Jun: Tuntutan Bersih yang bermatlamatkan agar pemilihan pucuk pimpinan negara melalui pilihan raya yang telus dan bersih adalah selari dengan tuntutan Islam.
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib berkata, ini adalah kerana Islam menganjurkan agar pengikut-pengikutnya tidak melakukan pengkhianatan dalam menunaikan amanah mengurus tadbir negara ini.
“Bahkan sebaliknya, perbuatan yang zalim lagi jahat yang dilakukan oleh mana-mana pihak yang beragama Islam maka hukumnya adalah haram diikuti oleh umat Islam walaupun datang dari Umno,” jelasnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.
Lapan tuntutan Bersih ialah mendesak SPR membersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, perkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.
Tegas Ustaz Harun yang juga Adun Manir, kebenaran tidak mengenal warna kulit, bangsa dan parti.
Beliau berkata, pihak Umno BN sewajibnya sedar bahawa Islam adalah agama kebenaran dan akan mempertahankan kebenaran.
Islam juga, katanya adalah agama yang bencikan kezaliman dan kejahatan.
Oleh kerana itulah, jelasnya menyebarkan dan mempertahankan kebenaran adalah suatu usaha dan jihad yang mulia.
Begitu juga, katan beliau memastikan kemungkaran dan kezaliman dihapuskan juga adalah suatu jihad yang sangat dituntut.
“Apa sahaja tindakan, perbuatan, perkataan dan pendirian yang mempertahankan kebenaran maka ianya wajib disokong dan didokong oleh seluruh umat Islam tanpa mengira perbezaan agama, warna kulit dan kepartian,” katanya lagi.
Ini, ujarnya adalah kerana Islam itu adalah benar dan benar itu adalah Islam.
“Sekalipun tindakan dan pendirian itu datang daripada mereka yang bukan Islam. Membela kebenaran dan menolak kezaliman adalah wajib.
“Ianya merupakan suatu hukum taklifi selagi mana ianya tidak bercanggahan dengan aqidah, syariat dan akhlak Islam,” ujarnya. 
Tambahnya, adapun dakwaan yang menyatakan bahawa PAS tidak konsisten dan mengamalkan Islam bermusim, maka Dewan Ulamak PAS meminta supaya pihak Umno memberikan bukti di manakah PAS telah meninggalkan prinsip Islamnya.
Beliau mengulas laporan Utusan semalam bertajuk “Bukti PAS tidak konsisten dalam perjuangan Islam”.
Akhbar tersebut mengecam tindakan PAS yang sanggup bekerjasama dengan pihak Bersih yang dipimpin oleh Datuk Ambiga Sreenevasan yang didakwa merupakan individu yang tidak mempunyai inspirasi yang selari dengan prinsip perjuangan PAS.
Utusan memetik kata-kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal yang berkata “Pas mengamalkan konteks agama bermusim dan bertempat. Jika sesuai dengan ideologi politik, mereka akan ikut. Langsung tak konsisten dari segi amalan agama dan politik.”
Tegas Ustaz Harun, seluruh rakyat Malaysia tidak buta bahawa PASlah yang memperjuangkan Islam PAS juga yang memperkenalkan hukum Islam di Kelantan dan Terengganu.
“Hukum Jenayah Kanun Islam tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya di kedua-dua negeri itu adalah kerana berpunca daripada halangan yang dilakukan oleh pihak kerajaan pusat pimpinan Umno BN.
“Senarai kegagalan Umno BN dalam membela hak Islam di negara adalah terlalu banyak yang tidak mampu ditulis oleh tinta di dalam ruangan yang terhad ini,” ujarnya.

Polis arah jangan jual baju Bersih

KUALA LUMPUR, 23 Jun: Polis malam tadi mengarahkan seorang aktivis PKR, Razali Abd Ghafur agar tidak menjual baju berwarna kuning bercetak perkataan 'Bersih' kepada orang ramai atau bakal berdepan tindakan.

Amaran tersebut yang didakwa "arahan pihak atasan" diberikan kepada beliau pada majlis ceramah Jelajah Selangor Tawan Malaysia (Jelas 2) di Kampung Sungai Merab Luar, Bangi.

Ceramah tersebut dihadiri Adun Sri Muda, Shuhaimi Shafiei, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Ketua AMK Negeri Sembilan, Nazree Yunus.

"Pada mulanya dia datang ke gerai saya, minta ambil gambar. Lepas ambik gambar, saya tanya awak siapa. Dia bagtau dia polis sambil tunjuk IC polis.

"Kemudian dia ambik dua helai baju Bersih, dan suruh saya jangan jual baju itu. Katanya arahan dari atasan," katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Menurutnya, beliau kemudiannya dijemput ke Balai Polis Datuk Abu Bakar Baginda dan dirakam kenyataan selama 20 minit.

Arahan tersebut dipercayai ada kaitan dengan rancangan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) yang mahu mengadakan himpunan aman 9 Julai ini.

Dalam respon segera, Shuhaimi turut mempersoal tindakan pihak berkuasa itu.

"Sejak bila jual baju tak boleh? Umno BN makin gila," tulisnya di Twitter.

Sebelum ini, polis juga telah memberi amaran kepada penganjur himpunan itu agar membatalkan hasrat mereka.

Ratusan laporan polis juga turut dibuat diseluruh negara termasuk oleh Umno.

Selain itu, polis juga memberi amaran akan membuat tangkapan awal sebagai pencegahan.

Bagaimanapun, Bersih sehingga kini tetap dengan pendirian akan meneruskan himpunan itu.

Wednesday, June 22, 2011

2 Julai pra himpunan aman Bersih 2.0

KUALA LUMPUR, 22 Jun: Sebagai suatu usaha menyahut seruan himpunan aman Bersih 2.0 yang bakal diadakan pada 9 Julai ini di ibu kota, Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan  menyarankan seluruh warga pemuda PAS di semua peringkat termasuklah anak-anak muda yang prihatin agar menjadikan 2 Julai ini sebagai Hari Pra Bersih 2.0 dengan memakai baju Bersih 2.0 yang berwarna kuning.
Katanya, ia sebagai warm up (persiapan) bagi membangkitkan semangat dan persediaan seluruh rakyat bagi menyertai Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini.
“Saya menegaskan bahawa pada 2 Julai ini tidak perlu diadakan sebarang himpunan, cukup sekadar setiap warga khususnya anak-anak muda memakai baju kuning Bersih 2.0 sebagai tanda sokongan kita terhadap himpunan aman ini serta persiapan mental dan spiritual sebelum turun ke medan Himpunan Bersih 2.0 kelak.
“Ayuh kita bersama-sama kuningkan seluruh negara pada 2 Julai 2011 ini.  Kepada mereka yang masih belum memiliki baju Bersih 2.0, sila dapatkannya di pasaran dan pastikan semua warga muda negara memakainya dan seterusnya turun ke Kuala Lumpur untuk menyertai Himpunan Bersih 2.0,” ujarnya.
Jelasnya, rasional seruan itu adalah sebagai warm up (raptai) permulaan bagi menghadapi Himpunan Bersih 2.0.
Tambahnya, ia juga sebagai menunjukkan sokongan rakyat Malaysia terhadap himpunan aman nanti dengan mengharapkan Malaysia menjalankan sistem pilihan raya yang bersih dan adil di masa akan datang.
Ini juga, ujarnya membuktikan bahawa semua lapisan rakyat yang akan hadir ke himpunan aman Bersih 2.0 adalah mereka yang cintakan keamanan dan keadilan sejagat tanpa menanam apa-apa sentimen sempit dan ingin menunjukkan bahawa himpunan nanti tidak memberikan kesan negatif terhadap negara.
Selain itu, katanya 2 Julai  sebagai hari memakai baju kuning sebagai tarikan atau promosi terhadap rakyat Malaysia yang lain agar turut sama mengambil bahagian menyertai himpunan itu.
“Perlu diingatkan, bahawa himpunan aman pada 9 Julai nanti adalah sebahagian daripada proses demokrasi yang matang dan menjadi hak rakyat Malaysia berhimpun bagi menunjukkan sikap dan perasaan mereka,” katanya.

Pemuda Kelantan kerah 30,000 peserta

KOTA BHARU, 22 Jun: Biar pun hampir 800 laporan polis dibuat terhadap penganjuran perhimpunan menuntut pilihan raya bersih dan adil (Bersih) 9 Julai ini, namun ia tidak mematah semangat anak muda yang prihatin.
Mereka tetap bersemangat meneruskan agenda memastikan pilihan raya umum akan datang lebih telus dan benar-benar bersih.
Sehubungan itu pemuda PAS dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) akan menghantar kira-kira 30,000 peserta pada program berkenaan.
Ketua Pemuda PAS negeri, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, setiap kawasan di Kelantan dijangka menghantar 1,000 peserta pada perhimpunan tersebut.
”Ini bermakna Pemuda PAS Kelantan menyumbang seramai 14,000 peserta bagi mencapai matlamat menghimpunkan ratusan ribu rakyat pada perhimpunan aman tersebut.
”Perhimpunan itu diyakini tidak berlaku masalah sekiranya tidak ada sebarang provoksi dibuat pihak lain.
”Pemuda kita lebih berdisiplin kerana Islam melarang sebarang tindakan kekerasan. Jadi pihak kerajaan tidak perlu bimbang dengan perhimpunan aman itu,” katanya di sini.
Sehingga kini dilaporkan sebanyak 790 laporan polis dibuat terhadap penganjuran Bersih 2.0 dilakukan badan bukan kerajaan yang baru muncul.
Dipercayai NGO berkenaan ada kaitan dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) memandangkan sebelum ini mereka langsung tidak dikenali.
Abdul Latif berkata, NGO-NGO terbabit tidak lebih sebagai nyamuk kerana wujud semata-mata untuk membuat laporan polis terhadap Bersih 2.0.
”Kita percaya mereka membuat laporan polis atas arahan politik kerana kerajaan BN begitu bimbang kebangkitan menyeluruh rakyat sekarang,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan pemuda PAS Tumpat dan Kuala Krai pula masing-masing akan menghantar peserta menggunakan perkhidmatan kereta api. Sebahagian mereka dijangka memenuhi sehingga lapan gerabak.
Difahamkan juga Bersih 2.0 akan mengadakan ’road show’ di Pasir Mas pada 2 Julai ini bertempat di Mini Stadium, dijangka dihadiri Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.
Manakala pada 4 Julai pula road show Bersih 2.0 akan diadakan di Dun Manek Urai, Kuala Krai membabitkan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasharuddin Hassan.
Sementara itu Ketua Penerangan AMK Kelantan,  Rosdi Mat Zin berkata, AMK Kelantan bersedia menghantar 30,000 peserta ke perhimpunan Bersih 9 Julai ini.
”Kami menyahut cabaran ini atas dasar kesedaran ingin mengubah lanskap politik tanah air yang dicengkam pemimpin rakus dan zalim.
”Ayuh bersama menuntut agar SPR menghapuskan undi pos, menggunakan dakwat kekal, membersih daftar pemilih dan memberi peluang akses media kepada semua pihak ketika kempen pilihan raya,” ujarnya.

Bersih 2.0: Anak Muda Sayang M’sia sahut seruan

KUALA LUMPUR, 22 Jun: Anak Muda Sayang Malaysia menyahut seruan Bersih untuk turun ke Kuala Lumpur pada 9 Julai ini bagi menyatakan sokongan kepada kelapan-lapan tuntutan Bersih.
Menurut jurucakap Anak Muda Sayang Malaysia, Muhammad Zaki Sukery, front itu terdiri daripada kelompok anak muda yang cakna dan prihatin kepada tadbir urus yang efisien dalam  pengurusan pilihan raya.
“Sokongan ini secara langsung disebabkan oleh kesemua tuntutan yang dibuat oleh Bersih menjurus ke arah satu komitmen rakyat dalam usaha menzahirkan satu sistem pilihanraya yang telus, boleh dipercayai, bebas dan berwibawa,” katanya.
Menurutnya, ditambah dengan isu-isu yang tidak berkesudahan setiap kali berbicara soal pilihan raya terutama penglibatan undi hantu, tiada jaminan ketelusan dalam undi pos dan akses media yang berat sebelah, Anak Muda Sayang Malaysia melihat bahawa ia boleh diatasi dengan mengaplikasikan kesemua tuntutan yang dibuat oleh Bersih.
Beliau menambah, Anak Muda Sayang Malaysia turut melihat bahawa sebarang usaha untuk mengapi-apikan Bersih adalah berniat songsang dan tidak berpijak di alam realiti dengan bersandarkan kepada demonstrasi pertama Bersih pada November 2007 yang berlangsung dengan baik sehinggalah diprovokasi oleh pihak berkuasa dengan tembakan water canon dan sekatan jalan raya.
“Bertambah pelik, apabila keberadaan kita di sebuah negara beridealismekan demokrasi dan hak asasi manusia, tetapi layanan yang diberikan sama sekali berbeza kepada para demonstran jika melibatkan gerakan ala pro-Pakatan,” ujarnya lagi.
Katanya, Anak Muda Sayang Malaysia turut mempersoal SPR yang dilihat cuba bermain tarik tali dalam isu tuntutan Bersih 2.0 apabila berdalih dalam soal mekanisme pilihanraya dalam keadaan satu pun tuntutan dalam Bersih 1.0 tidak ditunaikan.
Beliuau berkata, dengan keyakinan kepada pendekatan penganjur Bersih untuk bergerak secara aman termasuk langkah-langkah yang telah diambil dalam menjayakan Bersih, Anak Muda Sayang Malaysia akan sekali lagi turun bersama-sama dalam Bersih 2.0 demi kepentingan rakyat marhaen.
“Oleh yang demikian, front ini akan memobilasi lebih kurang 10,000 anak muda di kampus di seluruh negara dan turut mensasarkan anak muda yang tidak berada di lapangan universiti untuk turun di bawah payungan Anak Muda Sayang Malaysia sebelum turut sama menyertai kumpulan utama Bersih,” ujarnya.
Sambil mempromosikan tagline Anak Muda Turun Bersih, tambahnya Anak Muda Sayang Malaysia turut menjemput kepada kesemua anak muda untuk turut sama menyertai facebook ‘Anak Muda Sayang Malaysia’ dengan menekan butang ‘Like’ sebagai tanda solidariti dalam menyokong kesemua tuntutan Bersih dan turun bersama pada 9 Julai nanti. 

Monday, June 20, 2011

Bersih 2.0: Hasrat 80 NGO sangat murni

Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) menyokong penuh inisiatif lebih 80 buah NGO’s yang telah bergabung di dalam BERSIH 2.0 untuk menganjurkan satu program penting dalam sejarah tuntutan demokrasi negara ini yang juga dipanggil sebagai Walk For Democracy atau ”Berjalan Untuk Demokrasi” pada 9 Julai 2011 akan datang.
DMPP turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada seluruh Jawatankuasa Bersih 2.0 atas kejayaan Majlis Pelancaran Bersih 2.0 yang diadakan malam tadi bersamaan Ahad, 19 Jun 2011.
DMPP percaya hasrat dan tujuan mereka ini adalah sangat murni, sebagai tanggungjawab sosial mereka kepada seluruh warga dan tentulah juga merupakan manifestasi kehendak seluruh rakyat yang mahu melihat satu sistem dan perjalanan Pilihan Raya yang Bersih, Adil dan Kredibil (boleh dipercayai). Apatah lagi jika kita melihat NGO-NGO yang terbabit di dalam BERSIH 2.0 ini merupakan NGO-NGO yang aktif dalam hal-hal berkaitan hak asasi manusia, pemberdayaan wanita dan rakyat, pembela terhadap masyarakat tertindas hatta dipimpin pula oleh bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia (Bar Council) iaitu Datuk Ambiga Sreenavasan yang tentulah tahu dan faham ruang lingkup yang menjadi hak rakyat hatta batasan serta sempadan-sempadan yang ada, selari dengan undang-undang serta peraturan dalam negara.
Hakikatnya, selepas tempoh 12 kali Pilihan Raya Umum negara dan yang terbaru ialah Pilihan Raya Negeri Sarawak serta 16 kali Pilihan Raya Kecil membabitkan hampir kesemua negeri dalam Malaysia kecuali Perlis dan Wilayah Persekutuan; jelas terbukti bahawa terdapat pelbagai kelemahan ketara di dalam sistem dan perjalanan Pilihan Raya dalam negara ini. Kelemahan-kelemahan ini dapat kita lihat dan fahami melalui 8 Tuntutan yang dikemukakan oleh BERSIH 2.0.
Seandainya kelemahan tadi berterusan dan tiada usaha bersunguh untuk memperbaikinya daripada semua pihak khususnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu sendiri, maka negara akan terdedah dengan satu situasi di mana keputusan-keputusan pilihan raya itu tidak atau kurang kredibil yang seterusnya akan mewujudkan ketidakpuasan hati dan hilang kepercayaan para warga terhadap sistem dan perjalanan pilihan raya itu sendiri. Fenomena ini nantinya boleh mengakibat satu ledakan cemas dan kebangkitan rakyat. Dan andai ianya tidak terpimpin secara bertanggungjawab maka ia akan memberi implikasi buruk kepada kita semua.
Justeru, DMPP percaya bahawa tindakan Jawatankuasa BERSIH 2.0 ini dilihat bertujuan mengimbangi kemarahan serta kebangkitan rakyat dan melorongkan ”kemarahan dan ketidakpuasan hati ini” kepada satu tindakan yang lebih terarah, bertanggungjawab, terpimpin hatta mengikut lunas-lunas Perlembagaan Persekutuan khususnya yang terkandung dalam Perkara 10 berkaitan Kebebasan Bercakap, Berhimpun Dan Menubuhkan Persatuan: secara aman dan tanpa senjata.
Oleh yang demikian, DMPP menyeru pihak berkuasa Polis DiRaja Malaysia (PDRM) khususnya agar mengambil pendekatan lebih bertanggungjawab dan mesra rakyat. Tindakan berterusan mengeluarkan ”ancaman tangkap” kepada rakyat adalah suatu yang sangat tidak wajar, tidak menghormati rakyat, membelakangi semangat keluhuran Perlembagaan dan mencabuli serta menyalahgunakan undang-undang itu sendiri. ”Ancaman Tangkap” itu berbaur satu ugutan keras dan ia tidak manis untuk menjadi satu budaya kerja pasukan polis terhadap rakyat. Kalau sikap dan budaya ini berterusan, jangan salahkan rakyat jika polis menjadi satu Institusi Awam yang tidak akan lagi dihormati hatta dipandang rendah.
Sudah sampai masanya PDRM berhenti daripada menjadi ”Budak Suruhan Pihak Atasan”. Sudah sampai masanya PDRM mengambil pendekatan ”memahami dan menyantuni” kehendak rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
DMPP menyedari betapa BERSIH 2.0 sendiri telah menegaskan bahawa mereka dalam hasrat membimbing rakyat mempraktiskan hak-hak yang dijamin oleh Perlembagaan. BERSIH 2.0 juga bersedia dan sanggup bekerjasama di pihak Polis bagi memastikan program pada 9 Julai nanti akan berlangsung dalam keadaan yang aman, tertib dan terkawal. Justeru, DMPP mendesak Ketua Polis Negara agar segera membuka ruang perbincangan di antara kedua belah pihak demi kepentingan negara.
DMPP juga sangat memandang serius akan kenyataan berbau ”ancaman dan ugutan” yang dikeluarkan oleh Ibrahim Ali bersama Perkasa yang menegaskan ”mereka akan menganjurkan protes bagi menghalang rancangan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) untuk mengadakan perhimpunan”.
DMPP menyifatkan kenyataan ini adalah sangat bahaya dan mengancam keselamatan awam khususnya pada hari tersebut. Apatah lagi Ibrahim Ali secara emosional melulu menegaskan bahawa “apa sahaja boleh berlaku pada 9 Julai itu nanti”. DMPP menyifatkan kenyataan ini sangat biadap, tidak ada kelas dan bersifat kebudak-budakan. Ia juga sangat bersifat anti establishment. Amat malang ianya dituturkan oleh seorang Ahli Parlimen tidak berparti (yakni Bebas) atau dalam  konteks Malaysia kita fahami mereka ini sebagai Ahli Parlimen “Lompat” (Katak)!
Lebih malang bilamana kenyataan “ancaman dan ugutan” seperti ini tidak pula diambil sebarang tindakan oleh pihak berkuasa dan hanya menampakkan PDRM bertindak tidak professional serta double standard.
DMPP tidak berhasrat untuk menghalang sesiapapun untuk turut Turun pada 9 Julai nanti, atau berhimpun bila-bila masa dan di mana sahaja; tetapi yang penting perhimpunan itu mestilah diadakan secara aman, tanpa senjata, dengan objektif yang jelas dan bukan berniat untuk menimbulkan sebarang kekecohan atau sebarang tindakan vandalism atau anti sosial.
DMPP sangat berdukacita terhadap segala kenyataan tidak bertanggungjawab yang dilontarkan oleh beberapa Menteri terhadap BERSIH 2.0. Ini termasuklah tuduhan Rais Yatim yang mengaitkan ”Serangan Siber” ke atas beberapa laman web kerajaan baru-baru ini sebagai berkait dengan BERSIH 2.0. Manakala  Muhyidin Yassin membuat tuduhan bahawa Walk For Democracy itu adalah bertujuan untuk menumbangkan BN. DMPP melihat kenyataan-kenyataan itu sebagai sangat tidak bertanggungjawab dan hanya menampakkan bahawa UMNO BN sekarang berada pada tahap ”ketakutan yang melampau” sehingga ”bayangan sendiri difikirkan hantu!”.
DMPP mengajak seluruh rakyat dan semua pihak memahami bahawa apa yang akan berlaku pada 9 Julai 2011 itu nanti ialah satu program bersifat merakyat ; Walk For Democracy . Dan ianya secara khusus berkaitan dengan 8 Tuntutan BERSIH 2.0 untuk kita semua upaya menikmati satu sistem dan perjalanan Pilihan Raya yang bersih dan adil. Ianya bukan berkaitan persoalan politik kepartian yang sempit. Ianya bukan berkaitan persoalan individu orang tertentu. Ianya konsistant berkaitan Tuntutan Rakyat untuk SPR dan pihak berwajib bertindak segera Mereformasi Sistem Dan Perjalanan Pilihan Raya yang ada dalam negara ini agar lebih seimbang kepada semua pihak yang mengambil bahagian.
Akhirnya, DMPP menyeru seluruh rakyat jelata khususnya para wanita yang mahukan 8 Tuntutan BERSIH ini didengar dan tercapai agar hadir beramai-ramai dan bersama-sama kita BERJALAN UNTUK DEMOKRASI secara aman dan tertib. DMPP juga sedang dalam proses menggerakkan seluruh kekuatan organisasi dan jentera Dewan Muslimat PAS di seluruh negara untuk bersama menggerakkan rakyat HADHIR PADA TEMUJANJI KITA, 9 JULAI DI KUALA LUMPUR. DMPP yakin dan percaya, insyaAllah Kita akan lalui dan hadapi 9 Julai ini dengan penuh kewarasan, kejelasan tujuan dan penuh bertanggungjawab. Sungguhlah benar jihad yang paling besar adalah berkata benar di hadapan pemimpin yang zalim.
Kembalikan Kuasa Rakyat! Bersihkan Pilihan Raya! Allahu Akbar!
AIMAN ATHIRAH AL JUNDI
Ketua Penerangan
Dewan Muslimat PAS Pusat
20 Jun 2011, Kuala Lumpur .

Kerajaan guna teknik menakutkan rakyat

Hasrat aspirasi rakyat untuk memastikan proses pelantikan pemimpin negara menerusi lunas demokrasi dan pilihan raya yang adil serta telus sukar diterima oleh sebuah kerajaan yang angkuh.
PAS bersama semua parti politik pembangkang serta NGO yang menganggotai koalisi BERSIH, bersiap sedia untuk berhimpun secara aman tanpa senjata untuk menyerahkan memorandum khas kepada Yang di-Pertuan Agong.  
Kerajaan perlu jelas bahawa himpunan yang akan diadakan pada 9 Julai ini ialah satu himpunan AMAN. Ia diambil daripada ruh demokrasi yang diperuntukkan dalam Perkara 10, Perlembagaan Malaysia.
Ini bermakna, perlembagaan yang dijunjung oleh seluruh rakyat Malaysia telah menjamin dan membenarkan hak yang diberikan kepada mereka. Oleh yang demikian, BERSIH tidak melakukan tindakan yang bercanggah dengan undang-undang.
Selain daripada mensinonimkan himpunan aman dengan himpunan haram dan himpunan yang boleh mencetuskan kekacauan dan ketidakstabilan, seolah-olah satu lagi teknik yang dicipta untuk menyekat himpunan aman iaitu teknik ‘TAKUTKAN RAKYAT’.
Teknik ‘TAKUTKAN RAKYAT’ ini dilihat sebagai satu ugutan untuk menafikan hak berhimpun rakyat. Daripada pemerhatian yang dibuat, kami mendapati:
a)      Pada 13 Jun 2011, PERKASA secara agresif akan turun ke jalan raya bagi membentuk satu kumpulan untuk bertembung dengan kumpulan BERSIH. Ini bertujuan bagi meningkatkan sentimen tidak aman pada 9 Julai nanti.  
b)      Pada 15 Jun 2011, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar memberi amaran untuk tidak mengeluarkan permit termasuk membuat tangkapan awal sebagai langkah pencegahan.  
c)       Pada 17 Jun 2011, Majlis Bekas Wakil Rakyat (MUBARAK) pula mencadangkan kepada pihak polis supaya mengambil tindakan yang lebih tegas dengan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kepada perancang himpunan aman BERSIH 2.0.  
d)      Pada 18 Jun 2011, Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi, Datuk Seri Rais Yatim telah mengaitkan serangan siber atau godam terhadap laman web kerajaan bermotifkan politik dan mempunyai kaitan dengan BERSIH.  
e)      Pada 18 Jun 2011 juga, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin pula telah cuba memiripkan himpunan aman BERSIH 2.0 umpama himpunan rakyat yang dilakukan secara besar-besaran pada tahun 1998. Dia bermaksud himpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai ini tidak mustahil boleh berlaku huru hara dan pelbagai ancaman provokasi.  
f)       Pada 19 Jun 2011, Timbalan Perdana Menteri mendakwa himpunan BERSIH 2.0 adalah himpunan untuk membangkitkan kemarahan rakyat seterusnya menjatuhkan kerajaan sah hari ini.  
g)      Pada 19 Jun 2011 juga, Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) menuduh bahawa BERSIH 2.0 tidak harus mencontohi perhimpunan rakyat di negara Asia Barat seperti Mesir, Syria dan Libya.
Mereka cuba menafikan hak rakyat yang telah diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan. Maka, kedaulatan undang-undang tersebut telah dicemari. Malah, apa yang diamalkan oleh kerajaan adalah undang-undang rimba.
Ingat, kerajaan yang angkuh dan menggunakan kuasa fizikal untuk menekan hak rakyat tidak akan selama-lamanya berkuasa. Rakyat tidak boleh disekat kerana akal, budi dan jiwa mereka sebenarnya bebas. 

Buku Hijau perinci konsep negara berkebajikan

KUALA LUMPUR, 20 Jun: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub akan mengetuai satu panel khas pelaksana parti yang akan memperincikan konsep negara berkebajikan yang diketengahkan dalam ucapan dasar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada 3 Jun lalu dalam bentuk ‘Buku Hijau’ secepat mungkin menjelang pilihan raya umum ke 13.
“Kita akan dokumenkan konsep ini dalam bentuk buku dan Buku Hijau ini akan diedarkan di seluruh negara dalam masa terdekat,” kata Salahuddin, yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.
Panel tersebut yang ditubuhkan minggu lepas, katanya akan turut dianggotai oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, dua ahli jawatankuasa kerja pusat Dr Dzulkefly Ahmad dan Idris Ahmad, Pengerusi Institut Kajian Polisi PAS, Dr Zuhdi Marzuki dan Timbalan Ketua Dewan Muslimat, Dr Siti Mariah Mahmud.
“Melalui panel ini, kami akan memperincikan konsep negara berkebajikan dengan mengemukakan ciri-ciri sebuah negara berkebajikan,” tambah beliau.
Semenjak PAS membentangkan penubuhan sebuah negara berkebajikan di Muktamar ke 57, pimpinan Umno and medianya telah menyerang bertubi-tubi untuk menguasai pemikiran rakyat terhadap parti Islam tersebut dengan tuduhan kononnya PAS telah mengubah dasar perjuangan.
“Walhalnya konsep negara berkebajikan, keadilan, keselamatan, kesejahteraan, kemakmuran adalah intipati dari negara Islam,” kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataannya minggu lalu.
Meskipun ini bukan kali pertama PAS mengetengahkan konsep negara berkebajikan kerana manifesto pilihan raya umum 2008 PAS juga bersandarkan tema negara kebajikan tetapi ia tetap diserang hebat oleh Umno.
Sebagai reaksi balas, Tuan Guru Abdul Hadi berkata, negara berkebajikan boleh dibuktikan sekiranya rakyat memberikan mandat kepada Pakatan Rakyat untuk memerintah negara pada pilihan raya umum akan datang.

Sunday, June 19, 2011

Himpunan aman kecoh bila FRU tembak gas

KUALA LUMPUR, 19 Jun: Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG menegaskan, perhimpunan aman ialah hak asasi manusia, jikalau Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) masih berhimpun secara aman, tanggungjawab kerajaan dan polis ialah membantu pihak penganjur mengatur perhimpunan dan mengawal lalulintas.
“Kami berharap kerajaan bertolerasi terhadap aktiviti perhimpunan aman, bukannya menyekat saluran rakyat meluahkan perasaan,” kata presidennya, Datuk Dr Toh Kin Woon.
Katanya, sesiapa yang mempunyai pengetahunan tentang aktiviti perhimpunan aman di Malaysia akan tahu, pasukan FRU yang menembak gas pemedih mata dan meriam air adalah penyebab utama yang mengakibatkan kekecohan.
Jelasnya, perhimpunan aman tidak akan membawa sedikit pun ketidakselesaan kepada penghuni atau peniaga bandar sekiranya FRU tidak berbbuat begitu dan menyuraikan para peserta secara paksa.
Pada 26 Mac lalu, ujarnya pertubuhan-pertubuhan wanita menganjurkan perarakan “Jalan untuk Berubah”, pihak polis memberi kerjasama dengan pihak penganjur, mereka hadir dan mengawal lalulintas.
Begtu juga perarakan Hari Hak Asasi Manusia yang dianjurkan oleh Presiden Majlis Peguam, Yeo Yang Poh beberapa tahun dahulu, pihak polis juga tidak mengganggu perarakan.
“Kedua-dua perhimpunan dan perarakan ini telah berjalan secara lancar dan aman, tidak mengakibatkan kekecohan dan kesesakan lalulintas,” ujarnya.
Ini, katanya membuktikan tuduhan pihak polis terhada himpunan aman Bersh 2.0 pada 9 Julai ini adalah tidak berasas.
Oleh sebab itu, katanya Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG menyokong sepenuhnya perhimpunan aman yang dianjurkan oleh Bersih.
Pihaknya juga setuju dengan tujuh permintaan reformasi sistem pilihanraya yang dikemukakan Bersih iaitu pendaftaran pengundi secara automatik, sistem undi pos untuk para pengundi luar negara, penggunaan dakwat yang tidak dapat dipadamkan, capaian media aliran utama secara saksama untuk semua parti, tempoh kempen minimum 21 hari, kebebasan badan penguatkuasaan bertindak berhubung kesalahan pilihan raya dan menghapuskan rasuah pilihan raya.
Tambahnya, tujuh permintaan yang dikemukakan oleh BERSIH adalah indeks penting bagi mencapai pilihanraya adil dan politik berdemokrasi, parti-parti politik dan pertubuhan-pertubuhan tidak wajar membantah.
Pihaknya turut kesal serangan pemimpin politik dan Perkasa terhadap Bersih.
Perkasa mengumumkan bersama 30 pertubuhan Melayu akan turut sama berhimpun dengan Bersih pada hari yang sama bagi menghalang demonstrasi Bersih.
Katanya, tindakan Perkasa itu yang bertujuaan menggagalkan perhimpunan Bersih telah mencabul hak kebebasan perhimpunan penyokong Bersih.
Pemuda Umno pula tiba-tiba mengumumkan satu perarakan “bagi menyokong sistem demokrasi” pada hari yang sama, ini merupakan satu lagi kerja untuk bertembung dengan Bersih.
“Kami menyeru Perkasa dan Pemuda Umno memilih tempat lain atau tarikh lain menganjurkan perhimpunan membantah reformasi sistem pilihanraya, jangan membuat kekecohan secara terancang dan menggagalkan perhimpunan aman Bersih,” katanya.
Justeru, katanya Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG menyeru semua rakyat menyertai perhimpunan aman Bersh 2.0 bagi membaiki kelemahan sistem pilihan raya kini dan menyumbang kepada proses demokrasi negara kita.

Ada asas PRU 13 November 2011

TUMPAT, 18 Jun: Bayangan pilihan raya umum (PRU) ke-13 semakin hampir sekarang apabila Perhubungan Umno Negeri-Negeri difahamkan sudah diarah membuat persiapan.
Teki teka tarikh yang disebut banyak pihak sebelum ini iaitu November 2011 mungkin ada asasnya, memandangkan ketika itu Perdana Menteri baru selesai membentang Bajet 2012.
Bajet ‘gula-gula’ kepada penjawat awam dan beberapa kumpulan sasar lain dikatakan bakal menjadi modal bagi memancing hati rakyat.
Selain itu Perhimpunan Agung Umno juga selesai diadakan pada Oktober. Kemungkinan selepas Hari Raya Haji. Di pantai timur pula musim tengkujuh.
Malah Datuk Seri Najib Razak juga sudah mengadakan majlis pertunangan anaknya Nooryana Najwa dengan Daniyar Nazarbayev, kerabat kepada Presiden Kazakhstan, Nursultan Nazarbayev.
Majlis pertunangan secara inklusif itu dikatakan diadakan di Seri Perdana, Putrajaya malam semalam. Ada laporan mendakwa majlis itu membabitkan kos agak tinggi.
Satu sumber menyebut pilihan angka 11 masih tidak dapat dipisahkan dengan Najib biar pun rakyat mulai meluah rasa tidak senang terhadap kepemimpinannya sekarang.
Katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) kini hanya bergantung sepenuhnya kepada jentera kerajaan antaranya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),  Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pasukan keselamatan bagi mengekalkan kuasa.
Ini dibuktikan projek khas yang dikatakan dilaksana agensi kerajaan terutamanya JPN dan SPR di Selangor hampir selesai.
”Umno akan menggunakan apa cara sekali pun bagi memastikan Selangor dapat dirampas kembali pada pilihan raya umum ke-13 nanti.
”Projek itu tidak mampu dihalang lagi kerana mana-mana pegawai kerajaan pusat di Selangor yang kurang memberi kerjasama ditukar,” katanya di sini.
Kaedah terbabit pernah diguna di Terengganu pada PRU 2004, di mana peratusan keluar mengundi hampir 100 peratus. Kemungkinan besar ia berulang di Selangor.
Keberkesanan kaedah tersebut menjadi senjata akhir di Selangor pada PRU ke-13 nanti, biar pun agak sukar di Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.
Ini dapat dilihat apabila pembongkaran media oposisi mengenai sindiket mendaftar penduduk Sabah mengundi di Selangor begitu aktif dilakukan awal tahun ini dengan kerjasama rapat JPN dan SPR.
Malah penafian berulang kali menteri dan pemimpin Umno mengenai sindiket terbabit tidak mampu merungkai persoalan.
Suhu kemarahan rakyat mulai kelihatan ekoran kenaikan tarif elektrik sebanyak 7.12 peratus. Aada pengguna terpaksa membayar bil baru dengan kenaikan sehingga lebih 100 peratus.
Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli berkata, biar pun kenaikan tarif baru elektrik diumumkan mulai 1 Jun lalu, namun ada pengguna sudah menerima bil baru mencatat kenaikan begitu tinggi.
”Ada pengguna yang sebelum ini menerima bil elektrik sekitar RM250 sebulan sekarang menerima bil baru sehingga RM500. Sedangkan belum sampai sebulan tarikh kenaikan berkuatkuasa,” katanya.
Berucap merasmikan pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Tumpat di Pantai Sri Tujuh dekat sini malam tadi katanya, rakyat sudah merasai kesan kenaikan tarif elektrik sekarang.
Hadir sama pada program itu Yang Dipertua PAS Tumpat, Datuk Ahmad Yakob, timbalannya, Mohd Zaki Ibrahim, Naib YDP, Che Abdullah Mat Nawi, anggota parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar dan Penyelia Dun Pengkalan Kubur, Wan Rusdi Wan Ibrahim.
Program tersebut bermula dengan solat Maghrib diikuti solat hajat dan Isyak. Setiap unit peti undi PAS di Tumpat menghantar seramai 15 petugas.
Amarah rakyat dijangka berganda tahun hadapan apabila banyak lagi kesan sampingan dirasai.
Bagi mengelaknya, November depan merupakan masa terbaik selepas kemarahan rakyat disejuk dengan Bajet yang menghidangkan pelbagai janji.

Majlis Perjumpaan Pimpinan Bersama Anak Perantauan Machang