Wednesday, October 31, 2012

Saya tak layan desakan ‘Umno buangan’ - TG Nik Aziz

KOTA BHARU: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan beliau tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak khususnya pihak lawan supaya melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan.

Sebaliknya beliau berkata, beliau hanya akan tunduk kepada sebarang keputusan yang ditetapkan oleh pimpinan tertinggi PAS.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan program Sambutan Hari Inovasi Peringkat Negeri Kelantan ketika mengulas desakan pihak tertentu supaya beliau melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar Kelantan.

Sehubungan itu katanya, beliau tidak akan melayan desakan mana-mana pihak khususnya pihak yang disifatkannya sebagai ‘Umno buangan’ yang tidak putus-putus mahu beliau melepaskan jawatan.

Beliau mengulas mengenai desakan beberapa pihak yang mahu beliau berundur atas alasan sudah tidak mampu menjadi pemimpin setelah 22 tahun menerajui pemerintahan negeri itu.

Mengulas lanjut, Beliau yang juga Mursyidul Am PAS berkata, untuk berlawan dengan Umno tidak perlu tubuh yang sihat, sebaliknya kekuatan minda.

Katanya, sekiranya seorang pemimpin itu berkerusi roda sekalipun sebaliknya  tidak bermasaalah dengan idea atau pemikiran, ianya tidak mempunyai sebarang masaalah.

Menurutnya lagi, tugas menjaga negeri bukan hanya tertumpu pada Menteri Besar, sebaliknya turut menjadi tanggungjawab anggota-anggota exco kerajaan negeri juga.

“Bila Menteri Besar, bererti ada dia ni adalah ketua dan bila ketua pula tentu ada pegawai di bawahnya, bila orang gelarkan saya ni Menteri Besar, bererti ada menteri kecil,”ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya III PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, PAS Kelantan masih memerlukan Tuan Guru untuk terus menerajui pentadbiran negeri.

Beliau yang dipetik Sinar Harian berkata, Tok Guru adalah merupakan orang yang paling layak kerana pengalaman, ketokohan dan kebolehan serta kehormatan masyarakat kepadanya.

“Kami yang minta Tok Guru untuk terus berkhidmat walaupun sudah beberapa kali beliau menyuarakan hasrat untuk berhenti,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

“Biar kami (PAS) buat keputusan ini dan ia bukan kerja mereka kerana kami lebih tahu siapa yang boleh bertanding dan memegang jawatan tersebut,” katanya.

Sebelum ini, turut lantang membuat desakan agar Tuan Guru berundur termasuk Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali.

Marilah kita hukum MCA dan Umno pada PRU13


PAS Selangor melihat MCA sebagai sebuah parti politik yang sedang diancam kepupusan. Oleh itu mereka sedang bekerja keras untuk membuktikan relevensi mereka kepada masyarakat, khususnya masyarakat keturunan Tiong Hua, melalui isu sensasi dan kontroversi. Di antara isu sensasi adalah persoalan hutang Talam yang telah berjaya dipungut balik oleh kerajaan PR Selangor tetapi diputar belit sebaliknya sebagai usaha ‘bail-out’ untuk syarikat kroni PR. Sedangkan semua tahu, dari sudut kronisma, Talam telah dibenarkan berhutang sebanyak RM372 juta pada zaman pemerintahan BN kerana mereka merupakan syarikat kroni BN.

Rakyat Selangor telah mendapat manfaat dari pengambil balik hutang dari Talam melalui pinjaman mikro-kredit SkimSel dan MIMBAR yang dibiayai oleh sebahagian dari duit yang diperolehi dari Talam.

PAS Selangor juga hairan mengapa isu ini tidak dibawa oleh ADUN BN, 18 dari mereka dari UMNO, di dalam DUN. Sebaliknya ia dibawa oleh wakil MCA yang bukan ADUN tetapi Ahli Parlimen sambil yang di DUN diam seribu bahasa. Pada masa yang sama ianya juga tidak merupakan isu yang dibahas semasa AGM MCA dan ini membuktikan ianya hanya sandiwara untuk tatapan awam.

Isu terbaru adalah kenyataan provokasi terhadap PAS dan ajaran agama Islam. Walaupun cuba diselindungi dengan mengatakan kritikan ditujukan kepada PAS dan bukan terhadap Islam itu sendiri, hakikatnya aspek yang dipertikaikan adalah berhubung ajaran Islam khususnya perlaksanaan undang-undang hudud. Ianya ditokok-tambah pula dengan fitnah melampau berhubung kebenaran merogol wanita bukan Islam dan kebenaran berkongsi isteri.

PAS Selangor menyedari ini adalah usaha terdesak pihak MCA untuk melonjakkan imejnya di kalangan masyarakat Tiong Hua dengan kononnya ‘bertindak berani’ menegur PAS.

PAS sedar pandangan MCA tidak mewakili pandangan masyarakat Tiong Hua dan yakin taktik murahan MCA tidak akan mencapai hasrat seperti yang diinginkan mereka. Sebaliknya ianya merupakan jenis politik murahan yang akan ditolak oleh masyarakat Tiong Hua yang secara umumnya menghormati agama Islam dan tidak ingin campur tangan dalam soal ajaran-ajarannya.
Pada masa yang sama, ianya merupakan ‘red herring’ atau sesuatu yang menarik perhatian masyarakat sehingga lupa akan isu sebenar yang berada di hadapan mereka. Persoalan yang berada di hadapan masyarakat ialah persoalan pemilihan kepimpinan yang baru yang bebas dari rasuah, penyelewengan dan kronisma.

Pendedahan demi pendedahan berhubung persoalan rasuah dan kronisma tidak mampu ditangani mereka maka taktik ‘red herring’ ingin mereka gunakan dan diharap dapat membantu mereka.

Melalui isu dan tuduhan provokasi, MCA juga mengharapkan PAS akan bertindak dan menjadikan isu hudud dan Negara Islam isu utama pilihan raya sehingga meminggirkan kehendak dan aspirasi masyarakat bukan Islam yang buat masa ini hanya ingin melihat kepimpinan yang bersih dan amanah. Ia dianggap berpotensi untuk menjadikan hubungan di antara parti-parti PR tegang dan menyulitkan kerjasama.

PAS Selangor juga tidak menolak kemungkinan bahawa UMNO jugalah yang merupakan dalang di sebalik kenyataan MCA kebelakangan ini. Melalui kenyataan tersebut maka diharapkan ketegangan akan terhasil melalui mana UMNO dan BN boleh mendakwa ianya adalah kerana sikap dan pandangan PAS yang kononnya ekstrem. Dengan itu mereka boleh memujuk masyarakat Tiong Hua untuk kembali memberi undi kepada BN.

Oleh itu, PAS Selangor menyeru semua pihak, khususnya ummat Islam, untuk bertenang dan tidak bertindak melalui reaksi yang keterlaluan. Sebaliknya, marilah kita sama sama menghukum MCA dan UMNO dalam PRU ke-13 yang akan datang.

Apabila masyarakat Malaysia dibebaskan dari dikongkong pemimpin BN yang sering mengadu-domba rakyat, maka akan terhasil sebuah Negara yang benar-benar bersatu atas dasar saling hormat-menghormati dan pengiktirafan hak asasi setiap kaum dan bangsa. Ketika itu barulah keunggulan Islam mampu diserlahkan oleh ummat Islam.

WaLlahu 'Alam

Gema Aidil Adha@Berkorban Apa Sahaja.















PAS antara badan awal bantu rakyat Syria

(Dr Syed Azman bergambar dengan wajah-wajah muram anak mangsa keganasan di Syria)

IDLIB (Turki): PAS adalah antara badan awal yang telah menghulurkan bantuan kepada mangsa kekejaman Bashar Al Assad terhadap rakyatnya di Syria.

Wakil rasmi PAS iaitu Penolong Setiausaha Agong, Dr. Syed Azman Azman telah menjejakkan kaki ke bandar Idlib yang terletak di sempadan Turki-Syria bagi menghulurkan bantuan terus bagi pihak Pas kepada ribuan pelarian Syria disana.

Itu adalah misi kedua beliau bersama-sama pasukan perubatan dari Eropah yang berjaya masuk ke bandar Idlib dengan bantuan penduduk tempatan selepas berlakunya konflik politik berdarah yang sedang melanda di negara mereka.

Tidak dapat digambarkan bertapa sedihnya melihat bagaimana bandar yang sebelum ini aman dan damai ini kini menjadi medan pertempuran berdarah yang mengorbankan ribuan nyawa rakyat awam yang tidak berdosa.

Sebahagian dari rumah-rumah kediaman, pejabat-pejabat serta  bangunan kedai kini telah musnah akibat dari bedilan berterusan tentera rejim Assad dengan menggunakan kereta kebal, jet-jet pejuang dan helikopter.

Adalah dianggarkan lebih dari 200,000 ribu penduduk Idlib kini terpaksa menjadi pelarian apabila mereka terpaksa berhadapan dengan bedilan dan serangan setiap hari dan tidak menampakkan sebarang jalan penyelesaian.

Mereka juga menghadapi masalah bekalan elektrik dan air bersih yang terputus serta kekurangan bekalan makanan harian serta bahan perubatan yang amat terhad.

Sebahagian besar dari mereka telah menyeberangi sempadan Turki dan kini tinggal di Perkhemahan Yei Dardar dan Perkhemahan Bonyor Yolan yang dikendalikan oleh pemuda-pemuda Ikhwan Muslimin Syria.

Sementara itu sebahagian dari penduduk Idlib yang sempat di temui, melahirkan rasa terimakasih mereka di atas usaha yang telah di ambil oleh PAS dan seluruh rakyat Malaysia bagi membantu meringankan bebanan yang di hadapi oleh mereka.

Bantuan yang dihulurkan adalah amat kecil berbanding dengan konflik berdarah yang sedang berlaku ini, namun ia tetap memberi makna dan erti yang amat besar kepada penduduk Syria yang sedang menderita itu.

Walaupun seluruh kepimpinan PAS kini amat sibuk dengan persediaan pilihanraya, namun penderitaan dan bebanan yang sedang dihadapi oleh ribuan pelarian Syria ini tetap tidak dilupakan oleh keseluruhan pimpinan PAS.

Usaha membantu rakyat Syria tetap diteruskan dengan apa cara sekalipun, kata Dr Syed Azman.

"Semoga sedikit bantuan yang disalurkan ini akan dapat mengubat penderitaan rakyat Syria yang terus bermandi darah ini serta memastikan kita rakyat Malaysia tidak akan lupa kepada anak-anak kecil serta ibu-ibu yang kehilangan ayah dan suami mereka," katanya.

Kepada yang ingin memberikan sumbangan kepada rakyat Syria, bolehlah terus disalurkan kepada; Maybank, atas nama Parti Islam SeMalaysia, akaun no. 564070703248.

Pemuda PAS gesa OIC tegas tangani konflik Syria


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mahu Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) lebih tegas dan proaktif dalam menyelesai kemelut berdarah di Syria yang sudah berlarutan hampir 23 bulan.

Pengerusi Lajnah Antarabangsa DPPM, Dr Raja Ahmad Al Hiss berkata, tindakan segera dari OIC mampu menyelamatkan rakyat negara itu khususnya umat Islam daripada dibunuh askar regim Basyar Al Assad.

"OIC tidak boleh hanya mengambil langkah tunggu dan lihat dengan rakyat Syria setiap hari disembelih dan dibunuh dengan kejam meskipun gencatan senjata telah diisytiharkan di negara tersebut menjelang perayaan Aidil Adha.

"Umat Islam mengharapkan supaya OIC berperanan penting bagi mengembalikan keamanan ummah di negara tersebut bahkan di seluruh dunia," katanya dalam satu kenyataan.

DPPM juga, katanya,  mengutuk keras tindakan Basyar Al Asad yang membunuh rakyatnya sendiri melalui operasi serangan udara yang disasarkan ke atas orang awam.

Tindakan seperti ini tidak boleh dimaafkan sama sekali dan Basyar wajar dihadapkan ke tribunal perang melalui mahkamah antarabangsa.

"Sesungguhnya tidak ada tindakan yang lebih kejam dilakukan oleh seseorang diktator melainkan membunuh rakyat sendiri hanya semata-mata mahu mengekalkan kuasanya," kata beliau.

Sehingga kini, kemelut Syria telah mengorbankan lebih 30,000 nyawa yang kebanyakannya orang awam.
Raja Ahmad (gambar) yang juga Naib Ketua DPPM berkata, pihaknya turut menolak keras campurtangan asing khususnya Amerika Syarikat serta negara lain seperti Iran, Rusia dan China dalam kemelut Syria ini.

"DPPM menegaskan, hanya rakyat Syria berhak menentukan kehidupan dan pemimpin negara mereka tanpa campurtangan kuasa dan negara asing.

"Justeru, kerajaan Syria perlu berusaha mengembalikan keamanan di negara tersebut melalui kaedah perdamaian," katanya.

Pada masa sama, beliau turut mendesak kerajaan Jordan memberikan jaminan perlindungan keselamatan terhadap rakyat Syria di kem-kem pelarian di sempadan Jordan yang kian bertambah.

Tuesday, October 30, 2012

MCA bantu dedahkan Umno yang sebenar

KUALA LUMPUR: Kenyataan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Presiden MCA yang secara terbuka  menentang Syariat Islam,  khususnya undang-undang jenayah hudud,  adalah menyerlahkan sikap Barisan Nasional yang sebenar, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau.

Kenyataan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Presiden MCA yang secara terbuka  menentang Syariat Islam,  khususnya undang-undang jenayah hudud,  adalah menyerlahkan sikap Barisan Nasional yang sebenar.

Perlu diingat bahawa UMNO adalah parti teras dalam BN, yang wujud bersama MCA, MIC, GERAKAN dan lain-lainnya sebagaimana yang kita ulangi sudah pun diberi amanah menerajui pemerintahan negara Malaysia ini selama lebih dari lima puluh tahun.

Hakikatnya ialah, bahawa UMNO memimpin kerajaan pusat dan kebanyakan kerajaan negeri, dengan adanya Biro Agama dalam UMNO itu sendiri, dalam kerajaannya ada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam - yang diletakkan  dibawah Jabatan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO,dan ada menteri penjaganya.

Di samping diwujudkan Institut Kefahaman Islam (IKIM), Fakulti Pengajian Islam dibeberapa Universiti, diperingkat negeri pula ada Jabatan Agama Islam masing-masing danada Exco Agama daripada UMNO juga.

TETAPIsegala-galanya ini tidak mampu meletakkan Islam itu tinggi ditempat yang sebenarnya dalam urusan negara Malaysia ini dan dinegeri yang dipimpin oleh UMNO. Adapun Majlis Fatwa Kebangsaan pula hanya bebas dalam lingkungan sangkarnya, berkokok mengikut waktu yang disesuaikan dengan keselesaan UMNO yang menjadi penunggunya.


Soalannya mengapa MCA boleh membuat kenyataan terbuka begitu rupa ?.

Dalam hal ini, MCA bukanlah parti yang patut disoal atau diminta penjelasan, kerana parti ini hanya mewakili kelompok masyarakat Cina bukan Islam.Manakala hukum hududpula tidak ada dalam ajaran semua agama bukan Islam yang dianut oleh ahli MCA.

Parti UMNOlah yang secara khususnya patut dipersoalkan oleh bangsa melayu yang beragama Islam bukannya MCA, kerana  banyaknya urusan Islam didalam tubuh parti UMNOserta kedudukannya yang memimpin kerajaan pusat dan negeri.

PAS tidak merasa hairan apa yang berlaku,kerana UMNO adalah Parti Kebangsaan Melayu, di mana “Islam” hanya menjadi agama yang dianut secara peribadi kalangan ahli UMNO sahaja. Perlembagaan UMNO juga tidak meletakkan Islam menjadi dasar, matlamat dan hukum tertinggi.Sifat individualistik yang menjadi konsep kepada ahli UMNO menyebabkannya tidak boleh bertindak terhadap ahlinya yang melakukan maksiat yang besar, apatah lagi yang terlalu kecil, kerana agama adalah urusan individu.

Ahli UMNO pula boleh menjadi orang yang soleh, paling kuat beribadat, banyak sembahyang, banyak mendirikan masjid, kerap umrah dan lebih banyak peluang haji, berkebajikan dalam masyarakat dengan sebanyak-banyaknya dan sebagainya.

Tetapi ahli UMNOi tidak mampu bercakap atas nama partinya untuk menegur atau menyanggah kenyataan Presiden MCA, kerana ini akan bercanggah dengan semangat dan konsep kebersamaan dalam BN yang didukung sama oleh undang-undang tubuh UMNO yang diselaraskan dengan semua rakan-rakannya dalam Barisan Nasional.

UMNO lebih mengutamakan konsep pragmatik sekular yang didukung bersama MCA, MIC, GERAKAN  dan lain-lain, dalamgabungan parti-parti komponen Barisan Nasional. Maka Islam tidak berkuasa dan berdaulat, hanyalah sekadar  menjadicabang yang berteduh dibawah semangat Barisan Nasional.  Maka UMNO tidak ada kelayakan untuk menegur Presiden MCA sehingga dia boleh bercakap apasahaja  termasuk dalam perkara Islam yang dia terlalu jahil kerana bukan agamanya.



HUDUD

Undang-undang Hudud adalah salah satu daripada hukum jenayahdalam syariat Islam, bersama dengan hukuman Qisas dan Takzir. Perkataan “Hudud” bererti batas-batas sempadan Allah yang tidak boleh dipertikaikan oleh seseorang yang beriman, di mana hukumannya telah dinaskan oleh Allah secara nyata dalam Al Quran dan Hadith Rasulullah SAW seperti juga nas wajib sembahyang lima waktu, puasa, zakat , haji dan pengharaman arak, judi, riba dan lain-lain. Hudud tidak boleh dinamakan “Hudud PAS” seperti juga tidak boleh dinamakan “sembahyang PAS”.Hanya yang jahil murakkab sahaja boleh bercakap begitu. Allah berfirman yang bermaksud:

Maksudnya :“Dan tidaklah harus bagi seseorang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – mereka tidaklah mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.” (al-Ahzab – 36)


Perkara yang dinyatakan secara nas saperti Hudud dan Qisas tidak mungkin dicapai oleh akal manusia, maka Allah menyatakan petunjuknya secara jelas.Rasulullah SAW sendiri, para pemimpin dan ulama selepasnya wajib menerima dan pihak yang berkuasa pula wajib melaksanakannya di mana mereka tidak boleh bertelingkah atau khilaf dari segi wajibnya. Perbincangan dan berbeza pendapat hanya dalam perkara cabang dari segi mencari bukti dan proses kehakiman yang adil, bukan meninggalkannya.

Keseluruhan undang-undang jenayah Islam lebih bersifat dan berkonsepkan mendidik masyarakat, maka dikenakan syarat yang ketat sehingga sukar menjatuhkan hukuman, tetapi undang-undang dan hukumannya menakutkan sehingga Presiden MCA juga takut.Penjenayah lebih digalakkan bertaubat sebelum dibawa kemahkamah.Hukum Hudud tidak boleh diampun setelah diputuskan oleh mahkamah, kerana Hudud menjadi hak Allah bagi memelihara rukun kehidupan bermasyarakat.

Lucunya, terdapat pula kalangan yang jahil pula cuba berhujah, bahawa penjenayah akan berkeliaran atau bertambah kerana hukuman sangat sukar untuk dijatuhkan. Hakikatnya ini tidak akan berlaku kerana sebelum sesuatu kes itu dibawa ke mahkamah, pihak yang mendakwa atau pendakwa akan menentukan samada cukup kesaksian atau tidak untuk kes hudud. Sekiranya bukti tidak cukup untuk kes hudud bukan bermakna terus dilepaskan.

Bukti-bukti jenayah ini mungkin cukup untuk di bawa kes ke perbicaraan takzir – di mana hukuman takzir adalah lebih ringan dari hukuman hudud.Dalam bahasa mudah difahami waktu ini, hukuman takzir boleh wujud dalam bentuk kanun keseksaan (penal code) yang hukuman dan beban pembuktiannya jauh lebih ringan dari hukuman hudud.

Setiap penganut Islam sebelum wujudnya PAS dan UMNO wajib beriman dengan hukum hudud. Maka penganut Islam dalam UMNO wajib bertegas dan istiqamah dengan Islamnya,seterusnya bertindak sama ada memecat MCA daripada Barisan Nasional atau UMNO di pecat atau keluar daripada Barisan Nasional atau ahli-ahli UMNO yang beragama Islam keluar UMNO beramai-ramai.

PAS DAN DAP

PAS berlainan dengan UMNO dan sangat berbeza,  kerana PAS tegas mengikut undang-undang tubuhnya, menjadikan Islam (Quran, Hadith, Ijmak dan Qiyas) hukum tertinggi, dasar dan matlamat perjuangannya Islam yang sempurna, maka termasuk urusan politik negara. Sekiranya dikaji Surah Al Maidah yang diturunkan diMadinah, terdapat didalamnya undang-undang jenayah, diantaranya Hudud.

Kebanyakan sebab nuzulnya (turun ayat) adalah berkait dengan sikap penganut bukan Islam yang dijawab secara wahyu.Perkara ini dapat dirujuk dalam kitab tafsir dan sejarah Islam.

PAS berijtihad memilih Demokrasi bagi mencapai kuasa pemerintahan dan melaksanakan Islam termasuk hukum hudud,  kerana pendekatan demokrasi secara damai adalah bersesuaian bagi menyelamat manusia bersama Islam tanpa paksaan, walaupun memakan masa yang panjang sehingga beberapa generasi serta pemimpin pergi dan datang.

Maka proses pelaksanaan undang –undang termasuk Hudud dibawa kedalam Dewan Undangan Negeri Kelantan dan Terengganu setelah mendapat mandat kemenangan besar dalam pilihanraya lalu. Undang – undang  jenayah Islam termasuk Hudud dipamerkan lebih dahulu kepada masyarakat umum berbagai agama, di bentang dan dibuka kepada proses soal-jawab terlebih dahulu sebagai satu proses pendidikannya.

Ingin saya pertegaskan sekali lagi bahawa pelaksanaan enakmen Islam adalah hanya untuk orang Islam sahaja, sama sekali tidak untuk bukan Islam. PAS tidak membawa perkara ini diKedah, Perak, Selangor dan Pulau Pinang kerana tidak mencukupi syarat secara demokrasi.

DAP pula bukan parti kerajaan pusat yang berkuasa sepenuhnya seperti MCA. Ahli DAP banyak terdiri daripada masyarakat bukan Islam yang tertindas oleh kekayaan MCA,MIC dan semangat kebangsaan UMNO yang terlalu tinggi. Maka PAS lebih mudah berkira dengan DAP. Perkara hudud boleh dibincang secara ilmu dengan adil dan bebas.

Hubungan PAS dengan DAP dan PKR bukan Islam dalam Pakatan Rakyat adalah secara muafakat. Maka isu pelaksanaan Islam oleh PAS dalam negeri Pakatan Rakyat adalah berpandukankepada hukum Tahaluf Siyasi dalam Feqah Siyasah.Ini perkara yang perlu difahami oleh penyokong PAS dan rakyat seluruhnya.

PAS tetap tegas dengan perjuangan Islamnya  dan DAP pula tegas dengan perjuangannya. Dalam hal ini kerjasama berlaku dalam titik persamaan dan hak berbeza pendapat tetap dihormati dan hak penganut bukan Islam wajib diberi dengan adil.

Titik persamaan secara umum sudah disepakati, apabila DAP menerima konsep yang sudah ada dalam perlembagaan negara, termasuk kedudukan agama Islam.Bagi PAS sudah cukup menarik untuk memberi ruang perbincangan sekiranya memerintah negara.Cara ini tidak boleh dilakukan oleh UMNO dengan rakan-rakan karibnya dalam Barisan Nasional.

Malangnya perbincangan yang masih awal diganggu oleh media arus perdana khususnya berbahasamelayu mengaku Islam, yang sengaja berniat jahat untuk menghalang cita-cita Islam yang diperjuangkan oleh PAS.


Sekiranya rakyat memberi kuasa dalam Pilihanraya Umum ke-13 kepada Pakatan Rakyat, maka PAS yakin dapat membawa mesejnya dengan sempurna tanpa gangguan syaitan yang dikenali dan tidak dikenali.

----------------------------------------------------------------------------------


Penulis adalah Presiden PAS yang juga anggota Parlimen Marang.

AES wajar ditangguh, negeri Pakatan mahu kaji


KUALA LUMPUR: Kerajaan harus menangguh pelaksanaan sistem kamera automatik (AES) memandangkan 40 peratus daripada jumlah kamera tidak akan dipasang di negeri Pakatan Rakyat.

Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berkata peratusan menolak pemasangan AES sangat besar dan beliau merasakan kerajaan harus menilai semula pelaksanaan peraturan baru itu.

Katanya, negeri Pakatan Rakyat telah memutuskan untuk menangguhkan pemasangan kamera AES sehingga kajian terperinci dilakukan termasuk mendapat pandangan daripada pengguna jalan raya.

Sebanyak 331 kamera yang akan dipasang di negeri Pakatan Rakyat iaitu Kelantan, Pulau Pinang, Kedah dan Selangor.

Jumlah itu adalah 40 peratus daripada jumlah kamera yang akan dipasang seluruh negara iaitu 831 kamera.

"Kerajaan pusat melaksanakan peraturan ikut suka mereka, Pakatan Rakyat mahu bincang dan sembang bersama rakyat terlebih dahulu berhubung pelaksanaan AES," katanya dalam sidang media lewat petang ini.

Mahfuz juga menolak bahawa penggunaan kamera AES boleh mengurangkan rasuah di kalangan anggota polis.

"AES tidak boleh atasi masalah rasuah sebab akan ada 'mobile camera' yang akan diuruskan oleh pegawai yang berkemungkinan berlaku macam-macam," katanya.

Bersama dalam sidang media itu, Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng yang turut membidas Ketua Menteri Pengangkutan Kong Chong Ha yang memberikan autoriti kepada syarikat pengendali AES sehingga tempoh lima tahun.

"Kenapa perlu bagi kepada syarikat tersebut, selepas lima tahun baru kamera tersebut dikembalikan kepada kerajaan. Apa guna kita dapat balik selepas lima tahun? Saya tidak lihat apa kebaikan? Adakah kita akan guna selepas lima tahun? Pulang balik sebab sudah dapat untung," katanya.

Guan Eng turut menegaskan kerajaan pusat perlu mendapat permohonan daripada kerajaan negeri untuk memasang kamera tersebut.

"Exco sudah buat keputusan untuk tangguhkan, penangguhan bukan sekadar dapat maklumat yang terperinci bahkan perlu dibincangkan di peringkat kerajaan negeri khususnya pengguna," katanya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Beliau turut mempersoalkan tempoh saman AES akan dikeluarkan kepada pesalah trafik sama ada sebelum atau selepas pilihan raya.

"Bila saman akan sampai kepada pesalah, adakah lepas PRU? Saya dengar kerajaan sudah takut untuk keluarkan saman sebab berpuluh-puluh ribu pengguna jalan raya marah dengan peraturan ini," katanya.

Guan Eng turut menggelar kamera AES sebagai kamera 1Malaysia memandangkan ia mengenakan saman kepada rakyat 1Malaysia.

Saya sebut tutup aurat untuk Islam – TG Nik Aziz

012
KOTA BHARU: “Saya sebut tutup aurat untuk orang Islam tidak kepada bukan Islam. Kalau tak tutup aurat “padanlah” kalau kena rogol pun.

“Tapi oleh sebab dia pandang serong awal-awal lagi kepada Islam, maka dia beremosi. Ini sesuailah dengan Umno yang juga pandang serong terhadap Islam,” kata Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Mursyidul Am PAS berkata, tohmahan yang dilempar MCA terhadapnya jelas sangat beremosi dan menampakkan pandangan serong mereka terhadap Islam.

Ia juga sama dengan Umno yang memandang serong Islam, bahkan menolak Islam dalam dasar perjuangan partinya.

Beliau ditemui pada rumah terbuka sempena Aidiladha di kediamannya di Pulau Melaka semalam. Pada majlis itu Menteri Besar mengorbankan tiga lembu dan dagingnya diagih kepada penduduk kampung.

Baru-baru ini Pengerusi Wanita MCA, Heng Seah Kie dilaporkan mendakwa Tuan Guru  Nik Aziz membenarkan wanita bukan Islam dirogol sekiranya tidak mematuhi kod etika pakaian Islam.

“Apabila Umno tolak Islam, takkan pula MCA nak bantu Islam. Dengan automatik parti itu akan buat perkara-perkara yang melemahkan Islam.

“Jadi mereka tidak layak memimpin negara. Negara barat marah kepada Islam, Umno pun begitu juga. Jadi apa beza Umno dengan pandangan barat,” ujarnya.

Sementara itu ditanya sama ada beliau akan bertanding lagi pada pilihan raya umum ke-13 nanti, katanya ia terletak  kepada keputusan parti dan dirinya sendiri.

“Kalau saya rasa boleh bertanding, saya bertanding, namun kena dengar dahulu keputusan parti.

“Apabila parti buat keputusan bertanding maka bertandinglah kecuali saya kata tak boleh bertanding lagi kerana masalah kesihatan atau sebagainya.

“Tetapi selagi saya berasa masih boleh bertanding dan parti pun setuju maka saya bertandinglah,” katanya.

Menurutnya tidak ada had umur dalam perjuangan gerakan Islam kerana penamatnya ialah mati.

Mengenai calon dalam PRU-13, beliau berkata, PAS akan bertindak secara rapi dan berhati-hati berdasar kepada pengalaman lalu.

Ini kerana menurutnya negara ini bukan demokrasi sebenar sebaliknya hanya demokrasi buat-buatan sahaja.

“Kami tidak diberi lesen mengendalikan radio, surat khabar harian pun tak diluluskan permit, demikian juga dengan televisyen.

“Akses media sangat tidak adil.  Ini kerana mereka tahu perjalanan gerakan Islam adalah pada landasan yang betul.

“Apabila diberi peluang mendapat tempat dalam suratkhabar menyebabkan rakyat sedar dan menolak fahaman kebangsaan. Namun mereka sekat supaya rakyat terus jadi bodoh,” kata beliau.

Alam Ria PASTI Kg. Pek, Machang




















Asri dijemput berwacana bersama Ulamak PAS


KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat menjemput Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin untuk menyampaikan pandangan dan kritikannya kepada dewan itu dalam wacana ilmu bersama ahli-ahli Dewan Ulamak.

“Saya merujuk kepada kebimbangan Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin bahawa ulama-ulama dalam PAS dibimbangi tidak boleh ditegur apabila memerintah kerajaan pusat nanti  dalam satu wacana baru- baru ini,” kata setiausahanya, Dr Mohd Khairuddin A. Razali (gambar) kepada Harakahdaily.

Menurutnya, oleh kerana kebimbangan tersebut dilontarkan dalam wacana awam yang disiarkan isinya dalam media perdana dan mendapat respons umum pula, maka sayugia Dewan Ulamak PAS Pusat menyatakan pandangan balas terhadap kenyataan tersebut.

Jelasnya, Dewan Ulamak PAS Pusat sentiasa berlapang dada dengan sebarang pandangan, teguran dan kritikan luar terhadap apa jua tindakan yang diputuskan secara jamaei dan pandangan yang dilontarkan oleh Dewan Ulamak dengan merujuk kepada al-Quran, al-Hadis, Ijma dan Qias di samping pandangan dan ulasan ulamak-ulamak muktabar sepanjang zaman.

Hal ini, katanya sesuai dengan akhlak Islam yang menganjurkan konsep nasihat-menasihati dan arahan agar berbincang sesama muslim, antaranya Alllah berfirman yang bermaksud: “Demi masa. Sesungguhnya manusia pasti dalam kerugian melainkan orang yang beriman, beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran”. (Surah Al-Asr)

Selain itu, katanya Dewan Ulamak PAS Pusat berbesar hati menjemput Dr Asri untuk menyampaikan pandangan dan kritikan beliau terhadap Dewan Ulamak PAS Pusat dalam wacana ilmu bersama ahli-ahli Dewan Ulamak sebagai satu medan perbincangan dan bertukar-tukar pandangan.

Tambahnya, tarikh wacana boleh diberikan berdasarkan kelapangan masa Dr Asri.

“Saya akan berhubung dengan Dr Asri secara personal untuk urusan lanjut wacana tersebut. Semoga dengan itu kita boleh terus membudayakan akhlak berbincang dan bertukar-tukar pandangan seperti dianjurkan oleh Islam,” ujarnya.

Sekitar Qurban Di kolam air panas Tok bok