Thursday, August 30, 2012

Alam Ria PASTI Machang


Himpunan Hijau Kelantan serentak majlis Aidilfitri

KOTA BHARU: PAS Kelantan akan menganjurkan dua program serentak pada 15 September ini, iaitu Himpunan Hijau ke Putrajaya dan majlis Jamuan Aidilfitri peringkat negeri.

Ketua Penerangan PAS Kelantan, Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kedua-dua program berkenaan akan diadakan di Dewan Majlis Daerah Machang dan Padang Majlis Daerah Machang.

Katanya, program Himpunan Hijau antara lain akan diisi dengan ceramah perdana yang akan disampaikan Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan pimpinan parti yang lain.

“Selain itu program untuk Ekspresi Hijau Anak Muda juga akan dipenuhi dengan program ceramah, motivasi anak muda, persembahan hiburan.

“Pada masa yang sama program khas yang akan diisi oleh muslimat bermula sebelah pagi,”ujarnya.

Bagaimanapun program yang bakal dianjurkan oleh Dewan Ulama yang dikenali Mimbar Ulama’ akan diadakan sehari sebelum majlis penuh, selama dua malam berturut-turut.

Beliau memberitahu  program Mimbar Ulama’ bermula pada hari Khamis malam Jumaat melalui program khas di peringkat UPU.

Sambungnya, program ini akan dikendalikan Anggota Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Kelantan peringkat negeri dengan kerjasama kawasan.

“Hari Jumaat malam Sabtu program khas untuk UPU Kawasan Machang disamping kuliah Maghrib pada hari Sabtu,”ujarnya.

Kerajaan tolak dakwaan pembangunan punca banjir

KOTA BHARU: Kerajaan negeri menafikan pembangunan sebuah pulau berhadapan Pangkalan Kerepok di Kampung Laut, Tumpat akan memberi masalah kepada penduduk di musim tengkujuh.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, dakwaan penduduk tidak tepat kerana pembangunan yang dirancang di kawasan berkenaan dijangka tidak memberi kesan berlakunya banjir.

“Berdasar kepada rekod yang ada khususnya dalam tempoh 50 tahun ini sejak 1926, hanya pada 2004 paras banjir direkod paling tinggi iaitu tujuh meter daripada paras bahaya.

“Selepas tahun itu khususnya sejak bermula projek pembangunan di Lembah Sireh, keadaan mula berubah dari segi paras banjir,” katanya selepas mesyuarat Exco, di Kota Darulnaim hari ini.

Semalam akhbar melaporkan penduduk Kampung Laut mendakwa mereka kemungkinan diancam banjir buruk pada musim tengkujuh sekiranya kerajaan negeri membangunkan sebuah pulau berhadapan Pangkalan Kerepok.

Kata mereka pulau seluas 404.7 hektar yang terletak di seberang Sungai Kelantan bermula dari Kampung Cina sehingga Kampung Kijang, Kota Bharu dibangunkan sekarang.

Timbalan Menteri Besar berkata, setiap pembangunan yang dirancang terlebih dahulu diambil kira aliran dan paras air termasuk ekologi sungai.

“Kalau nak dikira banjir besar direkod pada 1926 dan 2004, tetapi selepas kerja-kerja mendalamkan Sungai Kelantan dilakukan tidak ada lagi banjir besar yang melanda sekarang,” ujarnya.

Katanya juga kerajaan negeri turut mengambil pandangan semua pihak sebelum projek diluluskan termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran.

Salam Kemerdekaan Ke 55


Projek Penapis Air 1 Malaysia ada E.coli?

KOTA BHARU: Saban hari media harian memaparkan keprihatinan kerajaan pusat mengatasi masalah bekalan air di Pasir Mas dan Tumpat di bawah projek Penapis Air 1 Malaysia.

Projek berkenaan dikendalikan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) menggunakan penapis Ultra BIO Pure, di mana dilaporkan berharga antara RM65,000 hingga RM95,000 seunit.

Sehingga kini beberapa lokasi sudah dipasang peralatan tersebut termasuk Kampung Belukar di Pasir Mas dan Kampung Derdap, Tumpat.

Di Kampung Belukar dipasang di sebelah rumah Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan, Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP).  Dan Projek Penapis Air 1 Malaysia Padang Tok La difahamkan akan dibina berhampiran rumah Ketua Umno Pasir Mas, Datuk Hanafi Mamat.

Secara jelasnya projek berkenaan biar pun di bawah peruntukan kerajaan pusat sebanyak RM2 juta, namun ia ada kaitkan secara langsung dengan Umno.

Biar pun rakyat Kelantan di kawasan yang dikenal pasti menghadapi tekanan rendah sebelum ini sekarang menerima tambahan bekalan air melalui projek berkenaan, namun ada isu lain pula yang tidak diketahui umum.

Berdasar kepada keputusan makmal yang dikeluarkan sebuah badan daripada kajian sampel air di Kampung Derdak, Tumpat didapati banyak yang tidak menepati piawaian ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Antaranya ujian pH didapati gagal di mana keputusan didapati 6.050 sedangkan standard ditetapkan 6.5.

Begitu juga ujian baki klorin didapati gagal di mana hasil diperolehi 0.01 mg/l sedangkan ditetapkan SPAN tidak kurang 0.2 mg/l.

Manakala kandungan besi juga gagal menepati ketetapan SPAN, di mana ujian mendapati  0.62 mg/l, sedangkan sepatutnya tidak melebihi 0.3 mg/l.

Bagaimanapun menurut kajian tersebut paling membimbangkan ujian kandungan coliform didapati melebihi 200 cfu/100ml sedangkan sepatutnya tiada bahan tersebut.

Begitu juga dengan ujian kandungan  E.coli didapati terdapat 4 cfu/100ml, sedangkan sepatutnya 0 cfu/100ml.

Sumber pakar dalam industri air berkata, sepatutnya SPAN dan Jabatan Kesihatan tidak berdiam diri terhadap isu yang dibangkit tersebut kerana dibimbangi boleh memudaratkan orang ramai.

Wednesday, August 29, 2012

Syaitan: Dr Haron Din sanggah Dr Mahathir


SHAH ALAM: Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din  menyifatkan Tun Dr Mahathir membuat silap percaturan apabila berkata 'berkawan dengan syaitan yang dikenali lebih baik dari malaikat yang tidak dikenali'.

Bagi beliau, kenyataan dibuat Dr Mahathir itu ternyata memakan diri sendiri dan Umno-BN kerana umum terutamanya umat Islam mengetahui syaitan itu adalah makhluk Allah yang paling kejam dan derhaka.

Sebagai bekas pemimpin tertinggi negara dan pernah mengetuai Umno-BN untuk tempoh yang lama, tambahnya, adalah amat tidak wajar Dr Mahathir membuat kenyataan sedemikian rupa dengan melabelkan sesuatu pihak atau pertubuhan dengan nama seburuk itu.

“Di dalam Al Quran juga tidak terdapat ayat yang mengatakan malaikat sama ada dikenali atau tidak dikenali sebagai makhluk Allah yang lebih buruk atau derhaka kepada perintah Allah.

"Malaikat dijadikan Allah sebagai makhluk yang patuh dan tidak derhaka akan perintah-Nya. Mereka akan kekal begitu sejak dari awal hingga ke akhirnya.

“Ia berlawanan dengan sifat syaitan kerana mereka memang diakui sebagai makhluk yang jahat dan derhaka kepada perintah Allah,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan dibuat bekas Perdana Menteri itu yang ditulis dalam blognya www.chedet.cc pada 22 Ogos lalu yang berharap rakyat tidak memberi mandat kepada Pakatan Rakyat (Pakatan) dalam pilihan raya akan datang

Beliau berkata demikian ketika dihubungi  wartawan  hari ini bagi menjelaskan kenyataan malaikat yang tidak dikenali itu lebih buruk berbanding syaitan yang dikenali.

"Tiada istilah atau ayat di dalam Al Quran yang menjelaskan  begitu", kata nya.

Dalam tulisannya, Dr Mahathir menulis “Better the devil you know than the angel you don’t” yang membawa maksud “Lebih baik syaitan yang anda kenali daripada malaikat yang anda tidak kenali”.

Lebuh raya: Rakyat tahu Pusat sisih Kelantan


KOTA BHARU: Penolong Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata rakyat Kelantan sudah arif dengan tindakan menyisihkan mereka dari arus pembangunan oleh pihak Persekutuan selama ini.
Bahkan beliau mendakwa tindakan menindas dan menganaktirikan  Kelantan  itu adalah kerana dendam politik pihak berkenaan.

Ini kerana bagi mereka, katanya tidak guna membantu Kelantan kerana rakyat negeri ini tetap memilih PAS dan Pakatan Rakyat.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri mengulas cadangan pihak tertentu yang mahu menjadikan pembinaan lebuh raya Kota Bharu-Gua Musang sebagai agenda utama antara manifesto parti pada Pilihan Raya Umum ketiga belas (PRU13).

Takiyuddin ditemui pemberita pada sidang media sempena Pesta Makanan dan Buah-Buahan Kelantan 2012, Dataran Cintawangsa, Kuala Krai, di sini petang semalam.

Katanya, lebuh raya bukan satu-satunya ‘janji’ pihak berkenaan, bahkan apabila Kerajaan Kelantan hendak membina stadium, mereka mahu membinanya juga.

“Kita nak buat lebuh raya, dia kata nak buat lebuh raya juga. Jadi saya berkeyakinan penuh, rakyat Kelantan memang sudah tidak makan dengan janji-janji politik kosong mereka.

“Kalau betul-betul mereka hendak membina lebuh raya tersebut, kenapa semasa Kerajaan Umno-Barisan Nasional memerintah Kelantan dahulu, tidak dibina, bahkan (rancangan) lebuh raya di Kelantan itu telah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Kelima (RMK5) dahulu lagi dengan peruntukan kira-kira RM500 juta.

“Masa itu BN memerintah di Kelantan ini, kenapa lebuh raya tidak buat juga?” tanya beliau.

Oleh sebab itu, katanya sehingga kini Kelantan satu-satunya negeri yang tidak ada lebuh raya.

Namun, tegasnya Kerajaan Kelantan tidak boleh dipersalahkan kerana tidak membina lebuh raya itu.

Katanya, ini kerana diketahui bidang kuasa untuk membina lebuh raya itu adalah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

“Cuma baru-baru ini kita cuba menonjolkan isu betapa kita perlukan lebuh raya ini, bahkan kalau perlu sampai kepada peringkat kita buat sendiri, maka kena buat sendirilah lantaran betapa perlunya kepada lebuh raya itu.

Kata Takiyuddin, sekiranya BN sebagai parti yang memerintah di peringkat Persekutuan melaksanakan tanggjungjawabnya di bawah (peruntukan) Perlembagaan, khususnya dalam konteks pembinaan lebuh raya itu.

Ini, ujarnya kerana pembinaan lebuh raya di mana-mana negeri adalah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan.

“Dan ini telah ditulis di dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan,” ujar Takiyuddin yang juga pengamal undang-undang.

Kurangnya Jalur Gemilang, Merdeka ke-55 hambar

Beberapa hari sahaja lagi menjelang tanggal ulang tahun sambutan hari kemerdekaan, rata-rata orang ramai dilihat bagaikan tidak cakna dan tidak pedulikan tarikh yang dianggap “keramat” oleh pemerintah itu.

Ini dapat diukur daripada kurangnya pengibaran Jalur Gemilang di premis-premis perniagaan, rumah kediaman dan kenderaan sehingga sambutan merdeka ke-55 tahun ini dilihat paling hambar.

Memang terdapat gesaan daripada pihak kerajaan terutama melalui media televisyen menyeru rakyat mengibarkan bendera kebangsaan. Namun berdasarkan pemerhatian, gesaan tersebut hanya dipandang sepi oleh umum.

Kenapa? Adakah rakyat negara ini sudah hilang semangat patriotismenya? Atau mesyarakat sudah bosan dan jelak kerana merdeka asyik dikaitkan dengan Umno sahaja? Atau adakah rakyat masih mengambil kira kenyataan seorang profesor tahun lalu bahawa “Tanah Melayu tidak pernah dijajah?”

Persoalan beginilah yang kerap bermain di fikiran orang yang pernah menyaksikan sambutan merdeka saban tahun sejak dahulu.

“Memalukan... pihak kerajaan ada beri bendera percuma tapi orang ramai masih enggan memasang atau mengibarkannya,” kata ahli jawatan kuasa Persatuan Sejarah Pahang, Alang Ahmad Teh, 73, yang berpendapat tahun ini paling teruk sambutan merdeka yang ditunjukkan rakyat.

Katanya, terdapat tanda-tanda seolah-olah rakyat sudah ‘fed-up’ terutama golongan muda. Justeru perkara ini perlu diperbetulkan dengan segera. Tambahnya, menyambut ulang tahun kemerdekaan sepatutnya mesti datang daripada kesedaran dan kesyukuran rakyat, bukannya paksaan daripada kerajaan.

“Saya pernah ke Indonesia dan mendapati kukuhnya semangat, betapa bangga dan ghairahnya mereka apabila menjelang sambutan hari merdeka. Walau rumah berlantai buluh sekalipun mereka tetap mengibarkan bendera Sang Saka Merah melambangkan semangat dan penghargaan kepada erti kemerdekaan.”

Oleh itu, baginya sejarah yang betul perlu diajarkan sekarang kerana selama ini generasi muda disumbatkan dengan maklumat bahawa kemerdekaan hanya bermula dengan penubuhan Umno dan pemimpin parti tersebut bersama gabungannya iaitu MCA dan MIC mendapatkan kemerdekaan daripada Inggeris.

Sedangkan perjuangan berdarah yang panjang sebelum itu tidak dikaitkan langsung dengan kemerdekaan. Akhirnya kemerdekaan digambarkan milik Umno semata-mata.

“Yang kita bimbangkan ialah anak-anak muda mula naik menyampah apabila meraikan merdeka bermakna mereka meraikan kejayaan Umno. Saya nak tegaskan merdeka ini bukan dimonopoli oleh Umno saja, bahkan parti itu melaungkan merdeka setelah parti-parti yang memperjuangkan kemerdekaan diharamkan,” katanya.

Kita tidak nafikan Umno juga mendapatkan kemerdekaaan secara bertulis di London tetapi kenapa harus dilupakan jasa pencetus kemerdekaan sebenarnya?

Maknanya janganlah dipadamkan sejarah kemerdekaan kerana sejarah perjuangan kemerdekaan bukannya bermula daripada Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman saja. Ramai pejuang-pejuang lain yang berjuang menyabung nyawa menuntut kemerdekaan tetapi seolah-olah dipadamkan daripada sejarah negara.

Alang Ahmad berkata Pertubuhan Kebangsaan Melayu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) serta sayapnya Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita Sedar (Awas) dan lain-lain pertubuhan revolusioner lebih awal lagi berarak menuntut kemerdekaan  iaitu pada April 1948 di tengah-tengah bandar Temerloh, Pahang.

Ertinya sejarah tidak boleh ditipu malah sejarah yang sebenar perlu ditulis semula untuk tatapan generasi akan datang.

Seorang generasi muda Hasanal Bolkiah Hasan Basri, 31, turut berpendapat sambutan merdeka tahun ini amat hambar dan malap jika diukur daripada pengibaran bendera.

“Saya bekerja merata-rata dan dapat disaksikan begitu kurang bendera yang dipasang melainkan di pejabat-pejabat kerajaan dan sekolah, tetapi itu sudah tentu atas arahan. Tetapi jika dilihat kepada individu yang secara sukarela mengibarkan bendera, memang boleh dikira dengan jari saja,” katanya.

Beliau tidak menolak, punca membuatkan rakyat terutama generasi muda merasa tidak ghairah menyambut merdeka ialah kerana kemerdekaan itu sendiri dikaitkan dengan Umno sehingga dianggap tidak perlu menjadi keutamaan.

Tahun lalu, Timbalan Presiden PAS Hjai Mohamad Sabu ketika berceramah di Pulau Pinang pernah mempertikaikan media Umno yang lazimnya menjelang merdeka hanya mengetengahkan beberapa kerat pemimpin daripada Umno tetapi melupakan pejuang-pejuang kemerdekaan  yang lain seperti Burhanuddin Helmy, Ishak Mohamad (Pak Sako), Ibrahim Yaakob, Mat Indera dan lain-lain.

Rupa-rupanya pandangan tersebut telah dieksploitasi secukup-cukupnya oleh media Umno sehingga membawa kepada beberapa siri demonstrasi, laporan polis oleh penyokong Umno dan kes mahkamah terhadap beliau.

Ketika itu Umno yang mempengaruhi bekas perajurit seolah-olah ‘mengisytiharkan perang’ terhadap bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah itu kerana didakwa menyanjung perjuangan komunis. Sehinggalah baru-baru ini mahkamah mendengar isu mainan media itu sebenarnya palsu.


Kerajaan pula bagaikan tidak pernah serik apabila saban tahun sambutan ulang tahun kemerdekaan negara semakin kurang mendapat sambutan, terutama daripada generasi muda. Ini tidak lain disebabkan kerajaan yang ditulangbelakangkan oleh Umno begitu ghairah mempergunakan tarikh dan acara tersebut untuk kepentingan politik mereka, bukan perjuangan rakyat.

Tahun ini sambutan telah menggunakan slogan 'Janji Ditepati', iaitu slogan yang digunakan pemimpin nombor satu Umno untuk turun berkempen menjelang pilihan raya umum (PRU) ke 13 ini.

Apakah slogan pilihan Umno itu menggambarkan jerit perih rakyat dahulu untuk menuntut kemerdekaan daripada penjajah? Apakah wujud roh perjuangan kemerdekaan dalam tema tersebut?

Tidakkah menyambut kemerdekaan ertinya mengenang semula sejarah perjuangan bangsa terdahulu yang menggalang-gantikannya dengan nyawa dan darah? Tidakkah hari kemerdekaan bermakna kita meraikan bangsa bermaruah kerana mempunyai pahlawan menuntut kemerdekaan daripada penjajah?

Kenapa tidak mahu mengenepikan kepentingan politik sebentar kerana kemerdekaan adalah milik rakyat bukannya Umno sahaja?

Rasanya belum ada Perdana Menteri selain daripada Najib yang tergamak menukarkan kehebatan hari kemerdekaan negara dengan kempen Umno.

Tidak cukupkah Umno berkempen 24 jam sehari di media-media massa dan elektronik? Tidak cukupkah lagi pentas-pentas rasmi dipergunakan untuk berkempen sehingga terpaksa meletakkannya pada hari kemerdekaan negara?

Jika demikian, ini bukan sambutan hari kemerdekaan tetapi festival Umno yang menggunakan acara negara untuk berkempen PRU.

Jangan hairan selepas ini jika sambutan kemerdekaan tidak akan menjadi kebanggaan generasi muda lagi kerana mereka jelak dan jengkel dengan perangai pemimpin atasan!

Rakyat luntur semangat sambut Merdeka

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia tidak menolak kemungkinan sikap kerajaan BN menerapkan politik kepartian dalam sambutan Hari Kemerdekaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini menjadi punca lunturnya semangat rakyat menyambutnya.

Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Dr Raja Ahmad Al-Hiss berkata, hasil pemantauan pihaknya, rakyat seolah-olah tidak berminat mengibarkan jalur gemilang di seluruh negara walaupun negara kini telah 55 tahun merdeka.

“Kami merasakan hilangnya semangat mengibarkan jalur gemilang ini berikutan cara dan pendekatan Umno-BN yang menyebabkan rakyat mula sedar bahawa sambutan kemerdekaan negera ini seolah-olah menyampaikan mesej untuk BN terus memerintah negara sahaja.

“Bahkan dalam sejarah apabila tema sambutan kemerdekaan negara kali ini mengambil tema daripada Umno iaitu ‘Janji Ditetapi’,” katanya kepada Harakahdaily.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan sambutan 'suam' dari rakyat itu sebagai manifestasi kekecewaan mereka terhadap pemerintahan BN selama ini.

Mengulas lanjut, Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak itu juga melihat banyak lagi kelemahan BN walaupun rakyat telah memberikan ruang memerintah sekian lama.

“Rakyat perlukan semangat baru untuk membina negara yang semangkin hari semangkin terhakis," katanya.

Ujar beliau, tiupan semangat baru perlu diberikan kepada rakyat bagi membangunkan negara mengikut lanskap kemajuan dan keharmonian serta kebebasan daripada sistem penjajahan yang selama ini masih membelenggu rakyat tanpa disedari.

“Saya menyeru kepada rakyat khususnya orang muda agar kibarkan jalur gemilang demi menunjukkan semangat cintakan negara serta membuat satu perubahan penting bagi negara kita di masa hadapan dan untuk generasi yang akan datang demi negara tercinta,” tegas beliau

Janji Ditepati: Tak perlu arah penjawat awam hadir


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) membantah tindakan kerajaan mengerahkan penjawat awam untuk menghadiri program yang dianjurkannya.

Ini berikutan surat daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mengerahkan kakitangannya menghadiri program Himpunan Janji Ditepati pada 31 Ogos 2012 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“DPPM menganggap tindakan kerajaan sebagai menyalahgunakan kuasa terhadap penjawat awam bagi menghadiri acara keraian negara,” kata Ketua Penerangan DPPM, Riduan Mohd Nor.

Katanya, dalam keadaan penjawat awam diperah untuk bekerja di siang harinya, mereka pula dipaksa untuk menghadiri program yang di luar daripada bidang tugas mereka.

“Apakah dengan cara ini sebagai menyemai semangat patriotik terhadap rakyat khususnya penjawat awam terhadap negara?” tanya beliau dalam satu kenyataan.

DPPM, ujarnya bimbang dengan tindakan ini bukan dapat menyemai semangat cintakan negara, sebaliknya akan menambah kebencian rakyat terhadap kerajaan.

Katanya, kerajaan dianggap hipokrit kerana berusaha membuktikan kepada dunia rakyat cintakan negara dengan kehadiran yang ramai pada malam tersebut, walhal sebahagiannya adalah mereka yang dipaksa untuk hadir.

Beliau berkata, rakyat juga akan merasa tertipu dengan sambutan hari kemerdekaan negara yang kononnya gilang gemilang dan dihadiri oleh rakyat pelbagai kaum, hakikatnya sebahagiannya diisi oleh kakitangan yang dikerah hadir.

“Sepatutnya program ini dianjurkan secara terbuka dengan penyertaan daripada orang awam,” ujarnya.

Menurutnya, dengan promosi besar-besaran daripada semua media sepatutnya kerajaan tidak perlu mengerah tenaga tambahan daripada kakitangan awam untuk menghadiri program tersebut.

Katanya lagi, kakitangan awam digalakkan untuk hadir, dan terpulang kepada mereka untuk hadir atau tidak dan tidak perlu mewajibkan mereka hadir dengan rekod kehadiran dicatatkan.

Justeru itu, ujarnya DPPM menggesa kerajaan menghentikan tindakan mengerahkan kehadiran penjawat awam untuk hadir himpunan Janji Ditepati pada 31 Ogos 2012.

“DPPM menegaskan patriotik perlu disemai secara pendidikan, kempen serta promosi terhadap rakyat, bukan secara paksaan seperti ini,” katanya.

Hormati bakal jamaah haji yang sudah tunggu lama


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri diminta tidak mengganggu proses pemergian jemaah haji Malaysia ke tanah suci dengan memasukkan mereka yang ada kepentingan politik dengan beliau dalam senarai jamaah haji kali ini.

Ini kerana, jika Perdana Menteri berbuat demikian bermakna beliau menyekat hak bakal jemaah haji yang telah sekian lama menunggu untuk pergi menunaikan haji.

Demikian kata Naib Presiden PAS, Sallahudin Ayub dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily.

Salahuddin mengulas lapora media, Datuk Seri Najib akan menghantar  para imam dan ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung menunaikan haji tahun ini.

"Jika Najib berbuat demikian, ini satu dikriminasi kepada mereka yang telah sekian lama menunggu untuk mendapatkan tempat bagi menunaikan haji," kata Salahudin yang juga anggota Parlimen Kubang Kerian.

Beliau sepatutnya memberikan bantuan sahaja tetapi tidak memotong 'barisan' mereka yang telah sekian lama menunggu untuk menunaikan haji.

Kelantan kemuka 3 nama wakil JK Royalti Minyak

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan telah mencalonkan tiga nama yang bakal diangkat kepada Sultan Kelantan bagi mewakili kerajaan negeri sebagai wakil Jawatankuasa Khas Royalti Minyak.

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengakui perkara itu dan berkata ianya akan diangkat nama serta dipersembahkan kepada Sultan Kelantan.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas bila tarikh yang sesuai untuk dipersembahkan kepada Sultan Kelantan dan nama-nama yang telah dipilih.

“Adalah dalam dua tiga nama yang telah dipilih, tetapi saya tidak boleh umumlah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri majlis Istiadat Konvokesyen Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) ke-14 di Balai Islam Lundang, di sini pagi tadi.

Tuesday, August 28, 2012

Roadshow Penerangan Dun Temangan



Syaitan: Kenyataan Mahathir bahaya – Nik Aziz


MACHANG: Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mempersoalkan bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad yang mengenali syaitan berbanding malaikat.

Katanya, umat Islam diperkenalkan kedua-duanya sekali, iaitu syaitan dan malaikat.

“Syaitan ni, punyalah pandai belitnya dia, sampaikan Nabi Adam yang dah duduk dalam syurgapun terpaksa dihalau keluar kerana kejayaan godaan syaitan,” ujarnya.

Beliau menyifatkan kenyataan Mahathir itu sebagai bahaya sambil mengingatkan umat Islam supaya mengenali kedua-duanya agar tidak terpesong dengan bisikan syaitan.

“Kenyataan sedemikian memang bahaya,” ujarnya ketika diminta mengulas kenyataan Mahathir yang mendakwa baik menyokong syaitan yang dikenali daripada malaikat yang tidak dikenali dua hari lalu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis meraikan pelajar Yayasan Islam Kelantan yang bakal melanjutkan pengajian masing-masing ke Timur Tengah dan Majlis Aidilfitri di Markaz Ulama PAS (Madu), dekat sini tengah hari tadi.

Sementara itu ketika diminta mengulas kes anggota Parlimen Bachok, Nasharudin Mohd Isa, beliau enggan mengulas.

Katanya, keputusan anggota Parlimen itu biar diputuskan oleh Majlis Syura Ulamak PAS.

“Saya tak mahu ulas tentang tu, biarlah Majlis Syura sendiri yang tentukan, tak boleh saya,” ujarnya.

PAS Kelantan sumbang RM54,000 untuk pelajar Yik


MACHANG: PAS Kelantan melalui sumbangan Badan Amal Kesejahteraan Insan (Amal) membelanjakan sejumlah RM54,000 sebagai sumbangan kepada lebih 330 orang pelajar bawah Yayasan Islam Kelantan (Yik) ke Timur Tengah.

Sumbangan berkenaan disampaikan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada majlis meraikan pelajar Yik ke Timur Tengah dan Majlis Aidilfitri di Markaz Dewan Ulama (Madu), di sini tengah hari tadi.

Turut menyampaikan sumbangan pengerusi Amal, Datuk Mohd Amar Abdullah (gambar) dan Pengarah Yik, Tengku Azmi Tengku Jaafar.

Seramai 330 orang pelajar bakal melanjutkan pengajian mereka dalam bidang perubatan, Pengajian Islam, kejuruteraan di Jordan, Mesir, Morocco dan Arab Saudi.

Tuan Guru ketika berucap pada majlis itu mengingatkan pelajar berkenaan berhati-hati di bumi anbia kerana mereka akan sentiasa diuji.

Menurutnya, Timur Tengah tempat kelahiran para nabi, namun pada masa yang sama golongan taghut juga lahir di tempat yang sama.

“Guna ilmu yang kita pelajari sebaik mungkin, jangan kita pula mudah terpesong dengan ajaran yang tidak selari dengan kehendak Islam,” katanya.

Sementara itu Tengku Azmi, memberitahu, daripada 330 orang calon, seramai 59 akan melanjutkan pengajian dalam bidang kedoktoran di Mesir, 186 pelajar pula ke Jordan untuk bidang pengajian Islam dan kedoktoran.

“Manakala 17 pelajar yang lulus Imtihan Qabul akan melanjutkan pengajian dalam bidang pengajian Islam di Mesir,” ujarnya.

Air: Serang Pakatan tetapi negeri BN yang kering


(Laporan Sinar Harian masalah air di Jengka 7, negeri PM sendiri)

TEMERLOH: Ketika media Umno saban hari menyerang kononnya kerajaan negeri Selangor, Kedah dan Kelantan tidak pandai menguruskan bekalan air, media yang agak bebas melaporkan masalah bekalan air sedang  melanda negeri BN.

Hampir setiap tahun, penduduk negeri Perdana Menteri iaitu Pahang menghadapi masalah air.

Nak dikatakan air tidak cukup, Kerajaan BN lah saban hari berkempen agar projek Langat 2 dilaksanakan  kerajaan negeri Selangor untuk hadapi krisis air.

Langat 2 adalah projek untuk menyalurkan bekalan air dari Sungai Pahang melalui sungai dan terowong buatan manusia ke Lembah Klang.

Namun rupa-rupanya, penduduk Pahanglah saban hari menghadapi masalah air.

Menurut laporan Sinar Harian, penduduk Jengka 7 menghadapi masalah bekalan air hampir setiap tahun khasnya di hari raya Aidil Fitri.

Pada hari itulah mereka terpaksa berbaris panjang untuk mendapatkan bekalan air untuk minuman, membersihkan pakaian bahkan membersihkan pinggang mangkuk yang bertimbun-timbun di hari raya.

"Jika begitu, yang tidak pandai mengurus air sebenarnya kerajaan BN. Air banyak tetapi tidak sampai kepada pengguna...inilah kelemahan mengurus yang nyata," kata salah seorang mangsa ketiadaan air ini.

(Muhyidin wajar membantu Najib menyelesaikan masalah air di Pahang dahulu sebelum membuat kenyataan sebegini supaya orang tidak ketawa.)

Media Umno selalu sahaja memaparkan kerajaan negeri Selangor, Kelantan dan Kedah tidak pandai menguruskan air di negeri masing-masing.

Padahal apa yang dibangkitkan tidak ada pun bahkan sekadar reka-rekaan semata-mata dan bukan isu.

Di Selangor misalnya, kerajaan negeri mendakwa amaran Syabas untuk mencatu air di negeri itu hanya retorik politik untuk menekan kerajaan negeri dan menggusarkan rakyat Selangor.

Padahal air di empangan penuh bahkan melimpah apabila hujan turun. Semuanya bertujuan mahu menekan kerajaan negeri agar meluluskan projek Langat 2.

Bagi kerajaan negeri Selangor, mereka keberatan untuk meluluskan projek ini kerana kosnya terlalu tinggi dan tidak wajar.

Ia hanya bertujuan untuk mengisi tokoh-tokoh korporat kroni BN sahaja.

"Ia akan menyebabkan tarif air terpaksa dinaikkan nanti. Ini akan menyusahkan rakyat," kata Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Bagi penulis blog Cucu Mat Kilau (CMK), cerita ketiadaan air ini memalukan.  "Inikah yg dikatakan masyarakat 'Janji ditepati'?" soal beliau dalam blognya.

"Hari ni eksklusif keluar di Sinar Harian Pahang. Mana PM?... Kelantan dan Selangor dikatakan tidak pandai mengurus air.. Tapi di Pahang lebih teruk rupanya.. Hampir 40 tahun masa
lah berlaku... kasihan mereka yg teraniaya," tulis beliau merujuk kepada laporan Sinar Harian itu.

Lebih memalukan JBA Pahang baru dikorporatkan awal tahun ini.. sekarang dah jadi Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), tapi servis makin HANCUR dan cukup mengecewakan, tulisnya lagi.

AKSB mohon pinjaman bank tingkatkan bekalan air


PASIR MAS: Keseriusan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) mengatasi masalah bekalan air di sini dapat dilihat apabila terpaksa mendapat pinjaman bank bagi membina telaga tiub untuk menambah kapasiti pengeluaran air.

(Menteri Besar melihat Telaga Tiub yang dibina oleh AKSB)

Setiap telaga tiub bernilai RM130,000 dan sehingga sekarang tiga telaga tiub yang dibina di Loji Rawatan Air Kelar sudah beroperasi.

Dan sebuah lagi telaga tiub akan dibina di Slow Machang. Sehingga sekarang pengeluaran air di Loji Kelar sebanyak 67 juta liter padu (MLD) sehari, melebihi kadar biasa sebelum ini.

Pengurus Besar AKSB, Ir Mohamad Hanapi Mahmud berkata, kapasiti pengeluaran air di loji berkenaan akan dipertingkat kepada 80 MLD bagi menampung keperluan air bersih di jajahan ini dan Tumpat.

“Sebuah telaga jejari juga akan dibina di tepi Sungai Kelantan berhampiran Loji Kelar. Di kawasan muka sauk di Kelar juga akan dipasang empat pam baru yang berharga kira-kira RM1.2 juta.

“Selain itu AKSB juga merancang mengoperasikan semula loji lama di Kampung Lemal yang dijangka dapat menyumbang tambahan pengeluaran air sebanyak 8 MLD sehari,” katanya di sini.

Kata beliau berdasar kepada usaha berterusan dilakukan AKSB didapati pengeluaran air bersih bagi jajahan Pasir Mas dan Tumpat sudah melepasi tahap biasa.

Menurutnya juga masalah tekanan rendah yang dialami di beberapa kampung di Tumpat dijangka dapat diatasi sepenuhnya apabila Loji Rawatan Air di Wakaf Bharu yang sedang dipertingkatkan siap sepenuhnya.

Katanya, projek berkenaan yang dibiayai di bawah peruntukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar membabitkan kos RM5 juta dijangka siap sepenuhnya tahun hadapan.

Sementara itu pegawai Komunikasi Korporat AKSB, Azhari Ab Rahman berkata, tekanan air Kampung Padang Tok La dan Kampung Belukar, Kubang Bemban antara 2mH hingga 4mH.

Katanya, berdasar kepada tinjauan dilakukan kakitangan AKSB di dua kampung berkenaan semalam didapati kesemua rumah mendapat bekalan air bersih sepenuhnya.

Beliau berkata, terdapat 240 akaun pengguna di Kampung Padang Tok La dan 310 akaun pengguna AKSB di Kubang Bemban.

Dan sejak 15 Ogos sehingga semalam tiada aduan berkenaan tekanan rendah diterima Kaunter Khidmat Pelanggan, AKSB Pasir Mas,

Hanapi juga berkata, AKSB berusaha mendapatkan sumber pembiayaan bagi melaksanakan projek meningkatkan pengeluaran air di Pasir Mas.

Menurutnya masalah itu menjadi hambatan memandangkan kerajaan negeri hanya diberi pinjaman mudah hampir RM600 juta pada 2003 selepas 13 tahun dinafikan hak.