Thursday, October 11, 2012

Halakan senapang kepada musuhmu...


KUALA LUMPUR: Semua ahli dan pemimpin PAS dinasihatkan supaya "Halakan peluru kepada musuhmu dan jangan kamu halakan muncung senapangmu kepada kawanmu."

Nasihat ini dikeluarkan oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Nasihat itu dikeluarkan dalam posting terbaru Facebooknya hari ini.

“Halakan peluru kepada musuhmu, dan jangan kamu halakan muncung senapangmu kepada kawanmu. Walau tiada peluru di dalamnya sekalipun,” tulis Tuan Ibrahim di laman Facebooknya.

Bagi beliau, tiada perlu yang diulaskan mengenai nasihat di atas, yang pastinya para pemimpin PAS dan ahlinya faham maksud tersirat yang perlu disampaikan.

Sekitar Gerak Kerja Pilihanraya DPPKM Bagi Pemuda PAS Dun Kemuning

































Royalti: Program R dan Amanah di Bachok 13 Okt

KUALA LUMPUR: R Malaysia dan Amanah Merdeka Malaysia (Amanah) bersetuju untuk mengadakan program bersama bagi menerangkan isu Tuntutan Royalti dan Pendaratan Minyak & Gas ke Bachok yang dinafikan sejak 1990-an lagi.
Setiausaha R Malaysia, Mohd Hisyamuddin Ghazali dalam satu kenyataan berkata, Tengku Razaleigh Hamzah, Ahli Parlimen Gua Musang yang juga Pengasas Petronas, yang menandatangani Perjanjian Petronas dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohammad Nasir pada 9 Mei 1975 lalu dan DatUK Husam Musa, Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti & Pendaratan Gas Negeri Kelantan juga telah mengesahkan kehadiran ke Ceramah Mega R dan Amanah Rakyat di Padang Istiadat, Bachok pada 9 malam, 13 Oktober ini.

Katanya, program yang bermula dengan Konvoi R Tuntut Royalti dari Kota Bharu ke Bachok yang melibatkan lebih 500 buah motosikal dengan mengibarkan bendera R dan memakai baju T dengan logo "R" dan "Amanah".

Ujarnya, dalam program itu nanti akan mengadakan jamuan rakyat di tempat yang sama bermula jam 12 tengah hari, pemberian sumbangan hamper kepada fakir miskin, golongan OKU, pelajar cemerlang dan mereka yang memerlukan bantuan sekitar Bachok.

Presiden R Malaysia, katanya Nazri Deraman juga akan hadir memberikan ucapan berkaitan gerakan R yang kini menjadi fenomena luar biasa kebangkitan rakyat Kelantan menuntut royalti yang kini berjumlah RM10.4 billion selepas kejayaan program mega R Tuntut Royalti ke Putrajaya tempoh hari.

Pengerusi Amanah Kelantan, Dr Zaiyadi Awang Noh juga akan hadir memberikan ucapan pada malam tersebut.

Menurutnya, bagi mengiatkan lagi usaha tuntutan royalti pihaknya akan mengadakan  program seluruh negara iaitu pada 12 Oktober sempena perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia antara Kelantan dengan Selangor di Stadium Shah Alam.

“Pada program ini pihak R akan mengedarkan lebih 20,000 keping sticker “R” yang menjadi rebutan anak muda Kelantan masa kini,” katanya.

Katanya lagi, pada 13 Oktober, serentak program di Bachok, R juga mengadakan Konvoi R Tuntut Royalti Di Malaysia Utara (Kedah–Perlis) di mana sebanyak 500 buah kenderaan bermula di Alor Setar, Kedah dan berakhir di Kuala Perlis melibatkan anak-anak perantauan di kedua-dua negeri itu.

Kenapa Felcra belum bayar RM200 juta kepada Kedah?


KUALA LUMPUR: Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) sehingga sekarang masih belum membuat pembayaran keuntungan RM200 juta kepada Kerajaan Negeri Kedah.

Perkara itu diungkit Ahli Parlimen Padang Terap, Mohd Nasir Zakaria sewaktu membahaskan Bajet 2013 di Dewan Rakyat.

Mohd Nasir turut mempersoalkan tindakan Felcra yang juga dilihat bermusuhan dengan kerajaan negeri apabila sehingga sekarang belum hadir mesyuarat yang diadakan oleh pihak Menteri Besar mahupun kerajaan negeri.

"Saya ingin meminta kepastian dan penjelasan kenapakah sehingga sekarang belum ada pembayaran keuntungan RM200 juta dibuat kepada Kerajaan Negeri Kedah.

"Malah dalam masa yang sama saya juga melihat seolah-olah Felcra ingin 'berperang' dengan kerajaan negeri apabila tidak menghadiri mesyuarat yang diadakan oleh pihak kerajaan negeri," katanya.

Tambahnya lagi, keengganan Felcra mahupun kerajaan menyerahkan hak milik kerajaan negeri sebanyak RM200 juta itu menimbulkan persoalan.

Malah menurut beliau lagi, terdapat perjanjian yang dibuat yang mana ada ladang-ladang yang dibangunkan oleh Felcra yang sebahagiannya diambil daripada tanah-tanah yang diusahakan oleh orang kampung.

"Dijanjikan oleh pemimpin-pemimpin politik pada ketika itu akan diberi keutamaan kepada pengusaha-pengusaha tanah yang asal yang kebun mereka sudah pun boleh mengeluarkan hasil.

"Tetapi itu tidak diberikan kepada pengusaha-pengusaha malah hasil yang dikatakan ada perjanjian 60 peratus untuk kerajaan negeri dan 40 peratus kerajaan pusat itu turut tidak diterima oleh kerajaan negeri," jelas beliau lagi.

Beliau yang berharap Felcra dan kerajaan pusat dapat bertindak dengan membuat pembayaran tersebut agar ia dapat digunakan untuk tujuan pembangunan serta keperluan rakyat di Kedah.

Mesyuarat Gerak Kerja Pilihanraya DPPKM Bagi Pemuda Dun Pulai Chondong.