KUALA LUMPUR: Kalau tak bagi buat 'Himpunan Kebangkitan
 Rakyat' dalam stadium, kita akan buat di hadapan stadium, kata Timbalan
 Presiden PAS Mohamad Sabu.
Beliau berkata demikian ketika 
diminta mengulas kemungkinan pengurusan Stadium Nasional Bukit Jalil 
akan menolak permohonan untuk mengadakan himpunan tersebut di situ.
"Tidak ada masalah kalau pihak stadium tolak permohonan kita atas alasan hendak baiki bumbung.
"Kita
 hendak buat perhimpunan itu bulan Januari depan dan pada 3 November ini
 kita anjurkan dahulu perhimpunan pelancaran untuk perhimpunan di 
Stadium Bukit Jalil itu," kata beliau sambil menjangkakan masih sempat 
kerja memperbaiki bumbung itu diselesaikan.
Perhimpunan pelancaran pada 3 November ini, kata Mohamad, akan diadakan di Negeri Sembilan di tempat yang akan diberitahu kelak.
Akhbar
 The Sun hari ini melaporkan, pengurusan Stadium Nasional dijangka akan 
menolak permohonan Pakatan Rakyat (PR) untuk mengadakan perhimpunan 
besar-besaran yang merupakan penerusan kepada perhimpunan-perhimpunan 
menuntut pilihan raya adil dan bersih itu.
Menurut akhbar itu, 
Perbadanan Stadium Malaysia (MSC) yang menguruskan stadium tersebut 
tidak dapat memproses permohonan PR itu kerana kerja-kerja memperbaiki 
bumbung yang berterusan di stadium tersebut.
"Pihak pengurusan baru-baru ini menerima permohonan untuk mengadakan perhimpunan dari wakil PAS.
"Bagaimanapun,
 permohonan itu dan juga (permohonan) dari penganjur lain tidak mungkin 
dapat dipenuhi kerana kerja-kerja pembinaan yang sedang berjalan di 
sini," akhbar tersebut memetik sumber stadium itu.
Menjelaskan 
mengenai perhimpunan itu, Mohamad berkata, ia bertujuan untuk menggesa 
lapan tuntutan Gabungan Menuntut Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 
yang hampir tidak dihiraukan langsung oleh kerajaan Umno Barisan 
Nasional (BN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Beliau berkata,
 dua perkara pokok harus diberi penekanan oleh pemerintah terutama 
daftar pemilih yang bersih dan media yang langsung tidak berubah.
Malah,
 kata Mohamad, kempen mengutuk himpunan Bersih 3.0 berterusan di media 
utama sedangkan pendengaran awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam)
 menunjukkan anggota keselamatan langsung tidak mengikuti prosedur 
operasi standard (SOP) ketika mengendalikan himpunan 28 April lalu itu.
“Oleh
 kerana keadaan berterusan dan lapan tuntutan oleh rakyat tidak 
dihiraukan, kita akan berhimpun lagi tidak kira di dalam atau di hadapan
 stadium Bukit Jalil," katanya.
No comments:
Post a Comment