Thursday, February 02, 2012

Ceramah Perdana&Pelancaran Road Show Anak Muda Tolak Umno

























Awang Adek ketinggalan maklumat – Exco

KETEREH, 1 Feb: Datuk Dr Awang Adek Hussin agak ketinggalan apabila mengulangi kenyataan Yayasan Islam Kelantan (Yik) belum menghantar senarai pelajar bagi mendapatkan bantuan RM100.

Sedangkan senarai penuh sudah dihantar pada 25 Januari lalu setelah Yik menerima pekeliling Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) bertarikh 15 Januari 2012.

Malah taklimat juga diadakan kepada pengetua-pengetua pada 19 Januari lalu.

Anggota Exco, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan itu agak ketinggalan apabila tidak mendapat maklumat sebenar.

"Sebagai seorang Timbalan Menteri Kewangan II beliau mesti cermat mengeluarkan kenyataan supaya tidak menimbulkan salah faham," katanya  selepas mengumumkan keputusan peperiksaan STAM 2011 di Kolej Yik di sini, hari ini.

Baru-baru ini Awang Adek beberapa kali mengulangi kenyataan dengan mengharapkan Yik memberi kerjasama kepada Jabatan Pelajaran Negeri untuk membolehkan pelajarnya menerima bantuan persekolahan sebanyak RM100.

Pada Disember lalu ketika datang ke Kelantan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berjanji untuk memberi bantuan RM100 kepada pelajar-pelajar sekolah agama di bawah Yik seperti dinikmati pelajar lain.

Habitat Umno masyarakat tanpa maklumat



TEMERLOH, 1 Feb: Umno didakwa hanya boleh hidup di tempat yang masyarakatnya tidak bermaklumat, kata Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Pusat Ustaz Mokhtar Senik (gambar).
Beliau berkata, untuk meraih kemenangan PAS mesti menjadikan masyarakat berilmu dan celik maklumat.

Berucap merasmikan Konvensyen ICT & Media Baru PAS Pahang 2012 di Darul Amin Sungai Gau di sini Sabtu lalu, Mokhtar menambah masyarakat yang jahil dan tidak bermaklumat lazimnya sukar untuk melakukan perubahan.

“Habitat Umno ialah masyarakat yang jahil dan di situlah biasanya PAS payah nak masuk dan berkembang. PAS payah nak hidup dalam habitat jahil dan tidak bermaklumat.

“Maknanya Umno-BN akan lebih subur dalam masyarakat tidak bermaklumat kerana rakyat tidak tahu apa yang mereka lakukan. Ini berbeza dengan kita, dalam masyarakat bermaklumat PAS berkembang subur.
(Gambar: Ustaz Mokhtar melancarkan konvensyen dengan dengan mengklik tayangan slaid)

“Ini terbukti perjuangan PAS sekarang mudah diterima di bandar-bandar yang terdedah dengan maklumat darpada media baru berbanding di luar bandar yang hanya bergantung media tradisional yang terkongkong,” jelasnya.

Mokhtar menambah, dakwah Islam juga perlukan kepada masyarakat bermaklumat ini terbukti perkembangan di Eropah 3,000 orang sehari menganut Islam, berbeza dengan negara yang disekat maklumat umpamanya di China.
“Sebab itu cabaran untuk kita memperjuangkan Islam mesti mahukan masyarakat yang ada bermaklumat. Jadi cabaran kepada jentera penerangan PAS ialah mewujudkan saluran alternatif maklumat jika mahu menang besar dalam pilihan raya akan datang.

“Bagaimanapun pengamal media baru PAS mesti berdisiplin membawa berita yang benar. Kita tidak boleh mengikut rentak musuh yang menggunakan saluran untuk menyebarkan fitnah dan pembohongan,” ujarnya.

Serentak dengan itu beliau mahu PAS meneroka saluran baru melalui media baru selain daripada medium tradisional dipertingkat bagi merancakkan saluran sedia ada.
Kira-kira 200 daripada seluruh hadir mengikuti konvensyen sehari suntuk itu.
(Gambar: Lutfi dan Shuhaimi semasa dialog)

Sementara itu pembentang kertas kerja, Pengarah Jabatan ICT Pusat Suhaimi Embong berkata di malaysia ada 12 juta pengguna laman sosial facebook iaitu di tempat ke 17 tertinggi di dunia dengan 60% pengguna merupakan golongan muda.

Tambahnya, dalam konteks media baru semua orang sudah boleh menjadi agen penerangan dan maklumat iaitu melalui blog, laman web, facebook dan IPTV.

“Saya cadangkan ditubuhkan skuad gabungan tenaga untuk mobilisasi media baru secara berpasukan bermula pada peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun).

“Bahan mestilah boleh dipertanggungjawabkan kerana dengan adanya media baru ini boleh tersebar dengan cepat dan luas. Bagaimanapun di kampung yang tiada ases internet, boleh diadakan wayang pacak sebagai alternatif,” katanya.

Seorang lagi pembentang kertas kerja, Ketua Pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman, berkata pilihan raya umum (PRU) ke 13 bukan saja getir tetapi juga sukar dan kritikal kepada PAS.

Tambahnya, oleh yang demikian cabaran kita ialah menyalurkan maklumat dan berjaya mengubah persepsi orang Melayu kerana politik adalah persepsi.

Penjawat awam pusat dikerah sambut TPM esok


KUALA KRAI, 1 Feb: Kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Kampung Manek Urai Baru esok mungkin terkejut melihat projek pembesaran jambatan (gambar) yang tersasar daripada jadual asal.
Malah kenyataan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed pembinaan jambatan itu mengikut jadual, ditolak penduduk tempatan.

Biar pun kerja-kerja pembinaan dimulakan ketika menjelang kempen pilihan raya kecil Dun Galas pada Oktober 2010, namun struktur asas di sungai belum kelihatan.

Sehingga kini hanya kelihatan kerja-kerja membina gelegar jambatan dan tiang di bahagian daratan sahaja.
Difahamkan juga subkontrak yang terbabit dengan pembinaan jambatan itu sudah beberapa kali bertukar tangan.

Ketika kempen pilihan raya kecil Dun Manek Urai pada Julai 2009 Muhyiddin menganggarkan peruntukan sebanyak RM7 juta hingga RM10 juta bagi membesarkan jambatan yang sedia ada.

Namun sekarang peruntukan sudah meningkat kepada lebih RM14 juta. Projek jambatan itu dilihat senasib dengan projek jambatan kedua Sultan Yahya Petra di Kota Bharu yang sudah jauh melewati tarikh asal disiapkan.

Muhyiddin juga mungkin malu apabila melihat projek kompleks sukan di Kampung Manjor yang bernilai RM300,000 hanya sekadar disiapkan padang dan astana kecil sahaja.

Seorang penduduk tempatan, Zamri Jusoh, 43 berkata, kompleks sukan yang diuar-uarkan Umno hanya sekadar meratakan tanah dan membina astaka kecil.

“Tak kan pula sekadar meratakan padang dan membina rumah kecil membabitkan kos sehingga RM300,000. Penduduk di sini ingatkan kompleks sukan lengkap dengan pelbagai kemudahan.

“Namun ia tidak lebih sekadar gimik politik semata-mata bagi mengelabui mata rakyat,” katanya di sini.

Difahamkan juga kehadiran Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menyebabkan pihak sekolah memberi kebenaran pelajar pulang lebih awal esok bagi membolehkan guru-guru hadir pada program berkenaan.
Menurut sumber kakitangan kerajaan persekutuan di tempat-tempat lain di sekitar Kuala Krai turut diarah hadir pada program terbabit.

Penjawat awam tersebut termasuk guru, kakitangan hospital dan pelbagai lagi jabatan lain. Mereka difahamkan dibekalkan baju khas berwarna merah bagi menggambarkan gelombang merah.

Ketua Umno Kuala Krai, Datuk Ramzi Abdul Rahman sebelum ini mensasarkan seramai 15,000 orang hadir pada program itu.

Manakala guru-guru di Kota Bharu pula dikerah hadir pada program Muhyiddin di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) di Peringat pada sebelah pagi.

Kedua-dua program terbabit akan diselit dengan penyampaian bauncer Bantuan Rakyat 1Malaysia.

Sementara pada 4 Febuari ini pula guru-guru difahamkan akan dihimpunkan di Kok Lanas bagi mendengar ceramah yang akan disampaikan pemimpin Umno.

Wednesday, February 01, 2012

05 Februari 2012

04 Februari 2012

03 Februari 201

PAS Kelantan imbau detik cemas 1978

KOTA BHARU, 31 Jan: Mungkin tidak ramai mengetahui detik kejatuhan kerajaan PAS Kelantan pada 1978 kerana pengisytiharan darurat ekoran krisis politik yang berlaku pada 1977.

Bermula dari situlah politik darurat dilakukan pemimpin Umno tanpa mengadakan rundingan dengan kerajaan PAS.

Ekoran itu pada 13 Disember 1977 PAS disingkirkan daripada BN kerana enggan mematuhi Whip BN mengenai penggunaan Akta Darurat di Kelantan.

Pemerintahan darurat di bawah Majlis Gerakan Negara (Mageran) hanya ditarik balik pada 1 Januari 1978 dan pada 11 Mac 1978 kerajaan pusat mengisytiharkan pilihan raya negeri Kelantan.

Sebenarnya isu tersebut bermula lebih awal iaitu apabila Dato’ Asri Muda yang juga Yang Dipertua PAS ketika itu menerima pelawaan Tun Abdul Razak Hussin menyertai kerajaan campuran.

Ketika berada dalam kerajaan campuran, Umno menolak calon PAS dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan, sebaliknya menerima Dato’ Mohamad Nasir.

Kelibat Mohamad yang dilihat lebih mengikut telunjuk Umno dan Tengku Razaleigh Hamzah akhirnya mencetus undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, krisis terbabit menyebab berlaku perpecahan PAS.

Dan pada pilihan raya umum 1978 lahir pula Berjasa yang diketuai Mohamad dan bergabung dengan Umno (BN) menentang PAS. Bermula dari detik itulah kerajaan PAS Kelantan jatuh.

Oleh itu bagi mengenang semula detik-detik mendebarkan tersebut PAS Kelantan akan menganjurkan seminar Tiga Dekad Kebangkitan Semula PAS Kelantan (1978-2008) pada 10 Febuari ini.

Seminar tersebut akan diadakan di Pondok Pasir Tumbuh, tidak jauh dari bandar Kota Bharu.

Program bermula dengan kuliah perdana disampaikan Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Empat kertas kerja juga dibentang pada seminar sehari tersebut. Anggota parlimen Pengkalan Chepa, Dato’ Abdul Halim Abdul Rahman membentang tajuk “Pengalaman Bersama BN dan Kekalahan Pada 1978”.

Petronas dipandang tinggi jika bayar royalti Kelantan


KUALA LUMPUR, 31 Jan: Petronas sepatutnya mengutamakan tanggungjawabnya di segi perundangan dahulu sebelum melaksanakan tanggungjawab sosialnya, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Menurut beliau, walaupun pembinaan laluan pejalan kaki berhawa dingin yang menghubungkan Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dengan Bukit Bintang adalah sumbangan yang sangat dialu-alukan, tetapi lebih penting lagi Petronas mengutamakan perlaksanaan tanggungjawabnya di sisi undang-undang.

"Sehingga kini Peronas tidak melaksanakan legal responsibiliti atau tanggungjawabnya di sisi undang-undang dan membayar royalti minyak kepada Kelantan," katanya.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu yakin, jika Petronas melaksanakan tanggungjawab perundangannya itu dan membayar royalti minyak kepada Kelantan dan negeri lain yang berhak mendapat royalti tersebut, syarikat minyak nasional itu akan dipandang tinggi sebagai warga korporat yang bertanggungjawab.

Sehingga kini, kerajaan negeri Kelantan terus disekat dan dinafikannya haknya untuk menerima royalti yang termaktub dalam Akta Petroleum itu.

Menurut The Star, laluan pejalan kaki berhawa dingin bernilai RM100 juta itu dibiayai oleh Petronas di bawah program sumbangan sosialnya.

Bagaimanapun, harga RM100 juta untuk laluan berhawa dingin sepanjang 562 meter dan selebar lima meter itu dipertikaikan oleh blogger pro-Umno sendiri.

Blogger itu menyifatkan harga laluan pejalan kaki itu, iaitu RM3,307 sekaki persegi terlalu mahal.

Menurut blogger itu, harga RM3,307 sekaki persegi untuk laluan pejalan kaki itu enam kali ganda lebih mahal dari harga kondominium enam bintang di Mont Kiara.

Kos sedemikian, katanya, "lebih teruk dari kondo lembu".

Laluan pejalan kaki berhawa dingin yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu merentasi kawasan sibuk di Jalan Pinang, Jalan Perak dan Jalan Raja Chulan dengan pintu masuk bereskalator dan bertangga serta pintu keluar di lokasi strategik dan selesa.

Bahagian lainnya terdiri daripada sebuah terowong pejalan kaki dari aras concourse Pusat Konvensyen Kuala lumpur yang sekarang bersambung dengan terowong sedia ada ke kompleks beli-belah Suria KLCC.

Bankrap: Pakatan Rakyat tidak tiru cara BN


KUALA LUMPUR, 31 Jan: Pakatan Rakyat (PR) sama sekali tidak akan meniru cara BN menguruskan negara jika diberi mandat oleh rakyat, kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Ini, katanya kerana negara akan bankrap jika PR meniru cara BN.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada ucapan Datuk Seri Najib ketika bercakap di Arau yang mempersendakan kemampuan Pakatan Rakyat yang membuat berbagai tawaran yang disifatkan boleh menghancurkan negara.

“Tuduhan ini adalah lahir daripada seorang yang resah dengan tawaran demi tawaran yang dikemukakan oleh PR,” katanya kepada Harakahdaily.

Jelas Idris, pemimpin PR membuat tawaran setelah dikaji daripada mana sumber kewangan yang akan diperolehi, bukan bertindak secara membabi buta.

Setakat hari ini, ujarnya semua negeri PR tidak ada masalah, cuma yang bermasalah ialah negeri di bawah pentadbiran Umno BN.

Katanya, Sabah dan Terengganu, walaupun memiliki hasil minyak, malangnya rakyat berada di tangga pertama dan kedua dari segi kemiskinan tegar.

“Yang mengatakan negara akan bankrap pada tahun 2019  ialah Datuk Seri Idris Jala, Menteri Jabatan Perdana Menteri,” katanya.

Secara sinis katanya, memang negara akan hancur jika pemimpin PR memberi projek lembu RM250 juta kepada suami menteri yang bukan ahlinya.

Tambahnya lagi, negara bankrap jika bil elektrik rumah Perdana Menteri dan Timbalan Menteri RM160,000 sebulan dan bil air pula RM31,000 sebulan.

“Memang bankrap jika kos penyelenggaraan rumah rasmi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri tahun 2006-2010 sebanyak RM48 juta dan kos menyewa rumah Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri tahun 2006-2010 sebanyak RM33 juta,” katanya.

Beliau menambah, negara bankrap jika PR meneruskan usaha memberi subsidi loji penjana kuasa sebanyak RM19 bilion, sedangkan subsidi minyak untuk rakyat sebanyak RM11 bilion cuba dikurangkan.

Menurutnya lagi, negara bankrap jika PR tidak menghentikan amalan rasuah sehingga negara mengalami kerugian RM28 bilion setahun.

Katanya, negara akan bankrap jika pemimpin PR tidak ambil peduli setiap tahun teguran Ketua Audit Negara.

Contohnya, kata beliau Laporan Audit Negara 2006, bagaimana Kementerian Pertahanan boleh membayar kepada kontraktor sebanyak RM943.46 juta walaupun tanpa baucer.

“Jika trend ini ditiru memang negara akan bankrap,” ujarnya.

Justeru, katanya PR jangan meniru perangai buruk pemimpin Umno BN yang menjahanamkan khazanah negara.

“Negara yang kaya dengan bahan mentah dan bumi yang subur tidak sepatutnya ada rakyat yang masih tidak bertanah, malahan ada yang tinggal di dalam air seperti di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Najib patut tinggalkan saja NKRA perangi rasuah


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak patut tinggalkan sahaja Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) memerangi rasuah dalam GTP jika beliau tidak berani mewajibkan menteri-menteri dan timbalan-timbalan menterinya untuk mengisytiharkan harta mereka secara terbuka dan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kes skandal RM250 juta “lembu dan kondo” ataupun kes wang haram berjumlah RM1,077 bilion (termasuk wang rasuah) yang telah dialirkan keluar daripada negara dari tahun 2000-9.


Pada bulan April 2009, Perdana Menteri telah mengumumkan 6 NKRA dalam GTP, dan salah satu daripadanya merupakan NKRA memerangi rasuah. Selepas hampir 3 tahun, Perdana Menteri masih tidak ada kejayaan. Malah, Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) Malaysia telah menurun kepada 4.3 daripada 10 dan tangga ke-60 daripada 183 negara dalam tempoh pentadbiran beliau.

Kegagalan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), walaupun diberi bajet tahunan sebanyak lebih RM200 juta sejak 2011 hanya diatasi oleh penyalahgunaan kuasa di kalangan pegawai-pegawainya. Selain daripada dakwaan rasuah, dua kes kematian telah terjadi dalam kawasan SPRM – Teoh Beng Hock pada Julai 2009 dan pegawai kanan Kastam Ahmad Sarbaini Mohamed pada April 6 2011.

Parlimen telah memperuntukkan bajet RM202.2 juta untuk SPRM pada tahun 2011 dan hasilnya adalah kedudukan CPI terendah untuk negara kita iaitu tangga ke-60 dan juga kadar CPI terendah iaitu 4.3. Pada tahun 1996, Parlimen telah memperuntukkan bajet RM29.4 juta untuk Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan pada tahun itu Malaysia menduduki tangga ke-26 dan mencapai CPI tertinggi dalam 17 tahun iaitu 5.32.

Rakyat Malaysia berhak untuk membandingkan bajet yang diberi kepada BPR pada tahun 1996 dan SPRM pada tahun 2011, dengan CPI Malaysia pada kedua-dua tahun ini. Walaupun SPRM diberi bajet hampir 7 kali ganda apa yang diberi pada tahun 1996, kenapakah CPI Malaysia pada tahun 2011 mendapat kedudukan yang paling rendah iaitu tangga ke-60 dan kadar CPI 4.3 apabila pada tahun 1996 kita berada di kedudukan ke-26 dengan kadar 5.32?

Nampaknya lagi besar bajet, lagi ramai staf dan lagi banyak sumber yang diberi kepada SPRM, lagi teruk keadaan rasuah di Malaysia. Ke manakah perginya lebihan sebanyak RM172.8 juta dalam bajet anti-rasuah pada tahun 2011 berbanding 1996?
1996 29.5 Juta
1997 32.4 Juta
1998 32.2 Juta
1999 38.2 Juta
2000 41.8 Juta
2002 63.8 Juta
2003 67.7 Juta
2004 70.4 juta
2005 76.4 juta
2006 99.1 juta
2007 148.1 juta
2008 146.7 juta
2009 162.1 juta
2010 156.8 juta
2011 202.2 juta
2012 211.2 juta
Yang lebih teruknya adalah keengganan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menubuhkan RCI mengenai skandal “lembu dan kondo” yang melibatkan keluarga seorang Menteri Kabinet dengan alasan lemah bahawa SPRM sedang menyiasat perkara ini. Sebenarnya, RCI diperlukan untuk menyiasat skandal “lembu dan kondo” ini kerana pihak umum sudah hilang kepercayaan dalam SPRM, seperti yang ditunjukkan oleh penurunan dalam kadar dan kedudukan TI.

NKRA memerangi rasuah yang dijuarai Perdana Menteri juga nampaknya bermasalah ekoran daripada keengganan menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri untuk mengisytiharkan harta mereka secara terbuka. Pada 29.1.2012, Timbalan Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri VK Liew telah mewajarkan keengganan beliau dengan mempersoalkan kenapa Ahli-ahli MMK (Exco) Pulau Pinang mengambil masa 4 tahun untuk mengisytiharkan harta mereka secara terbuka.

Tidakkah pemimpin-pemimpin BN berasa malu kerana Kerajaan Negeri PR Pulau Pinang telah berjaya melakukan demikian selepas 4 tahun walhal BN telah gagal selepas 55 tahun? Pengisytiharan harta Ahli-ahli MMK Pulau Pinang merangkumi juga aset dan liabiliti mereka pada 8 Mac 2008 dan setakat 31.12.2011. Tambahan pula, pengisytiharan harta kita dibuat secara terbuka, dimuat naik ke dalam Internet dan telah disahkan oleh sebuah firma audit dan akauntan bebas, KPMG.

Jika Perdana Menteri tidak memberi SPRM kuasa pendakwaan bebas dan kebertanggungjawaban kepada Parlimen, menubuhkan RCI untuk skandal-skandal dan mewajibkan pengisyiharan harta secara terbuka, CPI Malaysia yang dikendalikan Transparency International akan terus merosot.

Monday, January 30, 2012

Pelancaran Anak Muda Tolak UMNO

PR perlu ambil Putrajaya elak negara bankrap


BERA, 29 Jan: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu percaya keperluan utama untuk memerintah dan menguruskan negara ini ialah dengan amanah, bukannya dengan pengalaman semata-mata.

Katanya, ini terbukti dengan negeri-negeri yang pertama kali diperintah Pakatan Rakyat (PR) iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Kedah yang menunjukkan prestasi memberangsangkan seperti dipuji Ketua Audit Negara.

(Gambar: Mohamad melancarkan penubuhan Kerabat Peringkat Parlimen Bera.)

“Kita dapat lihat Selangor berjaya memberikan kebajikan kepada rakyatnya di samping perbelanjaan berhemat kerajaan negeri menghasilkan lebihan pendapatan.

“Di Pulau Pinang pula pelaburan tertinggi berjaya dibawa masuk sehingga lebih RM10 bilion dan walaupun diperintah Cina DAP peruntukan untuk aktiviti Islam melonjak sehingga RM63 juta.
“Di Kedah hasil balak berjaya ditingkatkan sehingga pendapatan negeri meningkat berkali ganda.
“Di Kelantan sepanjang 20 tahun memerintah kerajaan negeri diisytiharkan bersih. Semua ini dipuji Ketua Audit Negara dalam laporannya,” katanya.

Jelasnya, ini membuktikan amanah adalah keperluan utama untuk memerintah bukannya pengalaman sebagaimana propaganda yang dilemparkan Umno mengenai hasrat Pakatan PR untuk mara ke Putrajaya.
Mohamad berhujah demikian semasa berceramah sempena program Sambutan 60 Tahun PAS Peringkat Parlimen Bera, di Darul Ikhwan Mengkarak malam tadi.

Turut berceramah Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Adun Sekinchan Ng Suee Lim, Pengerusi Kerabat Kolonel (B) Tengku Nazri Tengku Mokhtar, Timbalan Pengerusi PKR Pahang Ahmad Nizam Hamid dan Bendahari PAS Pahang Musaniff Abd Rahman.

Dalam pada itu Mohamad menambah, PR perlu ke Putrajaya selepas pilihan raya umum (PRU) jika rakyat tidak mahu melihat negara ini terjerumus ke dalam bankrap.

“Seorang menteri (Datuk Seri Idris Jala) sendiri memberitahu Malaysia akan bankrap pada 2019 manakala seorang penganalisis ekonomi memberitahu negara ini akan bankrap lebih awal iaitu 2015.
“Jadi rakyat mesti memilih PR untuk ke Putrajaya pada PRU ini kerana tidak ada gunanya memberi peluang mentadbir negara selepas jatuh bankrap,” katanya.

Mohamad berkata, beliau percaya negara ini boleh bankrap berdasarkan hutang yang dilonggokkan kerajaan pada masa ini berjumlah RM450 bilion, rasuah meningkat dan pengaliran wang ke luar negara menjangkau RM1 trillion sejak sepuluh tahun yang lalu.

Sementara itu Nurul Izzah dalam ceramahnya sebelum itu menggambarkan kesulitan PR untuk mempertahankan kerusi Selangor dan Wilayah Persekutuan dalam PRU akan datang dengan taktik kotor BN.
“Bayangkan di Selangor dan Wilayah pengundi baru bertambah secara mendadak sehingga 200,000 orang dan saya berani katakan sebahagian besarnya pendatang yang diberikan kad pengenalan.

“Tuan-tuan jangan ingat ini gurauan, kerajaan Bangladesh sendiri telah mengesahkan perkara ini dan penipuan ini pernah berlaku di Sabah dulu sehingga dibentuk Suruhanjaya Diraja,” katanya.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, begitulah BN yang sanggup memberi kewarganegaraan hanya semata-mata untuk menang PRU dan perkara ini perlu disedari rakyat.

Pada majlis yang sama, Mohamad diberikan penghormatan melancarkan penubuhan Kelab Kebajikan Veteran & Pesara Tentera (KERABAT) peringkat Parlimen Bera.

Penyair Amin Jagat pula diberi peluang mendeklamasikan puisinya.

Sementara itu di lokasi yang sama pada sebelah petang turut diadakan Dialog Warga Peneroka Felda bersama panelnya bekas Timbalan Pengarah BNM Dr. Rosli Yaakop, Presiden Anak Mazlan Aliman dan Peguam Peneroka Harris Abdullah.

Sambutan 60 Tahun PAS Peringkat Parlimen Bera berlangsung selama tiga hari iaitu 27, 28 dan 29 Januari dengan pelbagai pengisian.

Ladang Rakyat: Umno sengaja burukkan Kelantan

GOMBAK, 29 Jan: Usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Kelantan berhubung Ladang Rakyat sememangnya amat berfaedah kepada rakyat, tetapi sengaja dijadikan isu oleh para pemimpin Umno untuk memburukkan kerajaan negeri itu.
Isu tersebut sengaja dicetuskan oleh Umno menerusi peneroka-peneroka tanah secara haram daripada kalangan penyokong parti itu, dengan memanipulasikan kegagalannya untuk memiliki tanah ekoran tindakan mereka sendiri yang menyalahi undang-undang.

Timbalan Ketua Penerangan PAS Kelantan, Ahmad Baihaqi Attiqullah (gambar) berkata, namun usaha Umno itu tetap tidak berhasil kerana isu tersebut sudah difahami dengan jelas oleh majoriti rakyat Kelantan.

Menurutnya, dakwaan Umno yang kononnya Kerajaan Kelantan mengambil tanah rakyat untuk melaksanakan usaha tersebut ternyata tidak berasas.

Katanya, sebaliknya tanah-tanah yang digunakan oleh kerajaan negeri itu untuk melaksanakan usaha tersebut adalah tanah-tanah yang tiada pemilik atau tanah kerajaan sendiri.

"Jika tanah-tanah rakyat pula, yang dimaksudkan adalah tanah-tanah yang masih belum ada pemiliknya, tetapi diusahakan secara haram oleh para peneroka penyokong Umno.

"Walaupun permohonan telah dibuat ke Pejabat Tanah dengan disertai bayaran deposit, permohonannya tidak pun diluluskan tetapi mereka sendiri yang mengakui tanah-tanah itu adalah milik mereka yang sah.

"Sedangkan hakikatnya tidak begitu," katanya ketika berdialog bersama wartawan-wartawan Harakah cetak dan Harakahdaily pada Retreat Harakah: Persiapan Menghadapi PRU ke=13 di Hutan Lipur Sungai Tua, dekat sini, malam tadi.

Dalam proses pemilikan tanah, menurutnya, semua pihak tahu, walaupun seseorang itu telah membuat permohonan dan membayar deposit ke Pejabat Tanah tidak bererti tanah itu telah menjadi milik individu terbabit.

Sebaliknya, tegas beliau, masih banyak lagi proses-proses lain yang mesti dilalui bagi membolehkan permohonan itu diluluskan oleh Pejabat Tanah sehingga membolehkan tanah itu sah menjadi milik individu terbabit.

"Sebahagian tanah-tanah itulah sebenarnya yang terbabit dengan usaha Ladang Rakyat itu dan tak timbul soal kerajaan mermpas tanah rakyat yang sebenarnya," katanya yang juga Adun Pasir Tumbuh.

Ladang Rakyat yang diusahakan oleh Kerajaan Kelantan itu, tambahnya, diadakan di setiap kawasan Dun, manakala setiap Dun pula disertai 100 orang peserta.

"Jadi jumlah keseluruhannya 4,500 orang manakala setiap peserta pula menerima dividen RM200 setiap bulan. Ini jelas membayangkan betapa berfaedahnya usaha itu kepada rakyat," tegasnya.

Langkah Kerajaan Kelantan mengadakan Ladang Rakyat, katanya, ternyata mencemaskan Umno BN, sehingga menyebabkan para pemimpin parti itu mencetuskan pelbagai isu bagi memburukkan kerajaan negeri.

"Pada hal ia sebenarnya tak ada sebarang isu pun. Malah janji Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk memberikan tanah kepada para peneroka yang meneroka tanah sebelum tanah 1980 telah lama ditunaikan.

"Tapi itu juga telah dijadikan isu oleh para pemimpin Umno. Namun kerajaan negeri tetap bertindak bijak. Malah kepada peserta-peserta Kesedar pun turut diberikan tanah oleh kerajaan negeri," tegasnya.

Najib mula ugut rakyat untuk pertahan Putrajaya



GOMBAK, 29 Jan: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ternyata telah bertindak menyalahi undang-undang bagi mempertahankan Putrajaya agar tidak terlepas dari Umno BN dengan cara mengugut rakyat.

Dengan tindakan Najib itu ternyata Umno BN masih juga tidak berubah walaupun berjanji untuk melakukan perubahan bagi perjalanan pilihanraya di negara ini agar menjadi bersih, adil dan telus seperti yang dituntut oleh rakyat.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan terbaru Najib semalam jelas bertentangan dengan undang-undang dengan mengeluar kenyataan berbaur ugutan mengenai perkara itu.

"Pada hal dia Perdana Menteri sendiri. Mana boleh Perdana Menteri mengugut rakyat?" katanya ketika berucap pada Retreat Harakah Persiapan Menghadapi PRU ke-13 di Hutan Lipur Sungai Tua, dekat sini, hari ini.

Datuk Seri Najib seperti yang dilaporkan media semalam berkata, Umno BN akan tetap mempertahankan Putrajaya walaupun ke titisan darah yang terakhir.

Untuk mempertahankan Putrajaya, menurut Najib, pihaknya tidak mengalami kepayahan kerana Kerajaan BN ada polis, ada Rela dan ada tentera untuk digunakan.

Menurut Tuan Ibrahim, kenytaan Najib itu jelas bermaksud mengugut rakyat agar jangan menyokong PAS atau Pakatan, tetapi mesti terus menyokong BN jika tidak mahu susah.

"Tindakan Najib itu merupakan sesuatu yang amat merbahaya kepada rakyat. Ini jelas melambangkan elemen ugutan terhadap rakyat telah berlaku sekarang ketika negara kita akan menghadapi PRU Ke-13 tidak lama lagi," ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad yang juga bekas Ketua Penerangan PAS Pusat antara lain berkata, setiap wartawan Harakah sama ada Harakah cetak dan Harakahdaily perlu mempunyai rujukan yang mencukupi untuk menulis sesebuah berita dan rencana.

Beliau yang turut hadir bagi menjayakan majlis itu turut mengingatkan setiap petugas media PAS agar memainkan peranan dengan baik bagi kepentingan perjuangan PAS untuk mendaulatkan Islam di tanah air.

Katanya, sepanjang BN memerintah sememangnya terdapat pelbagai kepincangan di negara ini dalam pelbagai aspek dan di segenap peringkat.

"Kesemua itu perlu dijelaskan dengan baik oleh para wartawan Harakah cetak dan Harakahdaily berdasarkan fakta yang betul untuk diketahui oleh orang ramai.

"Isu-isu yang patut diketengahkan itu pula bukan hanya melibatkan peringkat negara, tetapi juga negeri, kawasan dan segenap pelosok desa untuk diketahui oleh orang ramai, bagi membolehkan rakyat mendapat maklumat yang tepat untuk melakukan perubahan di tanah air," ujar beliau.

Najib beri isyarat Rela 'bertempur' dengan rakyat


KUALA LUMPUR, 29 Jan: Datuk Seri Najib Tun Razak adalah Perdana Menteri yang sukakan huru-hara apabila memberi isyarat akan menggunakan Ikatan Relawan Rakyat (Rela) untuk 'bertempur' dengan rakyat yang memprotes kerajaannya.

"Kalau di negara yang bertamadun, polis akan mengambil tindakan terhadapnya kerana kenyataannya yang berbau hasutan terhadap Rela supaya bertempur dengan rakyat, buli rakyat.

"Kenyataan Najib itu membuktikan beliau adalah seorang yang suka mencetuskan kekacauan," kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Malaysian Insider melaporkan, Najib semalam memberi amaran secara terbuka kepada rakyat yang hendak berdemonstrasi apabila menyatakan Rela sentiasa bersedia mempertahankan negara dari keadaan yang pada pandangannya huru-hara.

"Jangan cetuskan kekacauan," beliau dilaporkan berkata sambil mengingatkan Rela yang "tidak akan berdiam diri" akan digunakan.

Bagi Mohamad, bukan keselamatan negara yang dibimbangkan oleh Najib tetapi keselamatan beliau sendiri dan kerajaannya yang sebenarnya mahu dipertahankan dengan memperalatkan polis, tentera, Rela malah "pasukan bomba pun dia hendak gunakan".

"Pergi tanya Najib, kalau orang-orang Umno berdemonstrasi menentang kerajaan Pulau Pinang dan mencetuskan kekecohan, adakah Najib akan kerah polis atau Rela untuk bertempur dengan mereka?" katanya.

Di Pulau Pinang, kata Mohamad, tidak henti-henti gerombolan pro Umno mengadakan pelbagai demonstrasi dan perhimpunan, tetapi kerajaan Najib bukan sahaja tidak pernah bertindak melarang mereka malah dilihat menggalakkan gerombolan itu.

Beliau bagaimanapun tidak hairan terhadap apa yang disifatkannya sebagai hasutan Najib itu.

"Dalam pilihan raya kecil Padang Terap pada tahun 1985, Najib yang pada masa itu Ketua Pemuda Umno dilihat sebagai orang yang bertanggungjawab membuat provokasi sehingga Othman Talib terbunuh dalam peristiwa di Lubok Merbau.

"Rakyat mesti tamatkan kekuasaan jenis penghasut seperti Najib. Dia sangat berbahaya," tegas Mohamad.

Beliau juga menyifatkan kenyataan Najib itu sebagai dorongan secara tidak langsung kepada gerombolan-gerombolan yang bertindak menyerang ceramah-ceramah Pakatan Rakyat (PR) supaya bertindak lebih ganas lagi.

"Sekarang sudah ada trend baru menggunakan gerombolan samseng menyerang ceramah-ceramah PR.

"Mereka berani melakukan perbuatan itu kerana mereka yakin kerajaan dan polis tidak akan bertindak kepada mereka," katanya.

Mohamad yakin, jika penyokong-penyokong PR yang menyerang ceramah-ceramah Umno, tentu pihak polis akan bertindak habis-habisan terhadap mereka.

"Kalau terhadap penyokong PR, diburu dan diganasi dengan segala kekerasan.

"Kalau orang Umno, bawa sepanduk caci raja yang kononnya mereka sanjung sebagai binatang pun sampai hari ini tidak dikenakan tindakan," katanya.