Wednesday, December 14, 2011

Laporan Polis telah di buat di IPD Pengkalan Chepa, Kota Bharu.


Laporan Polis telah di buat di IPD Pengkalan Chepa, Kota Bharu. Pesalah melanggar aturan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, Seksyen 120 Enekmen Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu 1994, seksyen 298 dan 298A Kanun Keseksaan.

Menurut Ketua Pemuda PAS kelantan YB ustaz Abdul Latif Abdul Rahman kenapa takutkan PAS sampai sanggup menghina dan pertikai hukum ALLAH swt. Dan dimana fakta dan hujah yang dikemuka dalam video pendek itu yang mengatakan wanita kelantan adalah yang teramai dalam bidang kerja maksiat sedangkan wanita Kelantan terkenal dengan bidang perniagaan seperti mana wanita di Pasar Siti Khadijah.
- YB ustaz Abdul Latif Abdul Rahman-

Beliau juga mempertikaikan kenapa isu ini tidak dapat mendapat perhatian UMNO seperti mana isu bila lagu negaraku diperlekehkan. Adakah kerana video ini memberi kesan negatif pada Pakatan Rakyat. Sesungguhnya, hukum hudud ini hukum ALLAH swt dan isunya lebih berat lagi daro isu bendera atau isu lagu negaraku.

Kita tunggu siasatan polis, namun jika mereka terlepas di dunia ini,
sesungguhnya penyelesaian ALLAH swt segala penyelesaian.

Panel khas SPRM bincang kes Taib Mahmud

KUALA LUMPUR, 14 Dis: Panel Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengadakan mesyuarat khas tidak lama lagi, bagi membincangkan desakan dari 13 NGO supaya Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan 13 ahli keluarganya ditangkap atas pelbagai dakwaan.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, mesyuarat tersebut dijangka akan diadakan dalam masa terdekat sebaik sahaja Pengerusi AJK Panel itu, Datuk Radzi Sheikh Ahmad dimaklumkan mengenainya.

Menurutnya, permintaan agar diadakan mesyuarat tersebut akan dibuat oleh beliau sendiri kepada Radzi atas kapasitinya selaku salah seorang AJK Panel tersebut.

Katanya, tujuan mesyuarat itu diadakan adalah untuk membincangkan tindakan sewajarnya yang patut diambil oleh panel tersebut berhubung laporan berkenaan.

"Saya akan maklumkan perkara ini kepada Datuk Radzi nanti untuk meminta beliau memanggil mesyuarat khas AJK Panel Khas SPRM, bagi meminta SPRM menerangkan kepada kami mengenai laporan itu," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini. 

Semalam, media melaporkan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari enam negara mendesak supaya Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan 13 ahli keluarganya ditangkap atas pelbagai dakwaan, termasuk salah guna jawatan awam, rasuah dan konspirasi untuk membentuk sebuah organisasi jenayah.

Antara NGO yang membuat tuntutan berkenaan adalah Dana Bruno Manser (BMF), Greenpeace dan pertubuhan pemantau hutan dunia, Fern.

Mereka telah mengemukakan surat bertarikh semalam kepada Kerajaan Malaysia supaya menangkap individu berkenaan kerana dituduh dengan pelbagai dakwaan berkaitan dengan pengagihan dana awam secara haram, salah guna jawatan awam, merampas tanah kerajaan, rasuah, eksploitasi konflik kepentingan dan sebagainya.

Surat berkenaan dihantar ke Pejabat Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Ketua Polis Negara.

"Kami memohon pendakwa utama Malaysia pada kadar segera menangkap dan mendakwa Ketua Menteri Sarawak, empat anaknya, lapan adik-beradiknya dan sepupu pertamanya, Abdul Hamed Sepawi," kata NGO itu dalam surat mereka.

Selain Abdul Taib, 75, mereka yang dinamakan itu adalah anak-anaknya, Jamilah Hamidah Taib Murray, Mahmud Abu Bekir Taib, Sulaiman Abdul Rahman Taib, Hanifah Hajar Taib.

Manakala adik beradiknya pula adalah Ibrahim Mahmud, Aisah Zainab Mahmud, Zaleha Mahmud, Onn Mahmud, Mohamad Ali Mahmud, Mohd Tufail Mahmud, Amar Hajar Fredahanum Mahmud dan Raziah Mahmud.

Surat 10 muka surat itu ditandatangani oleh 13 NGO dari Malaysia, Australia, Jerman, Jepun, Switzerland dan United Kingdom serta beberapa tandatangan individu dari Malaysia.

Menurut Salahuddin, kes tersebut merupakan sesuatu yang amat serius dan pihaknya amat perlu mendapatkan keterangan lanjut dari SPRM dengan segera sama ada benar telah menerima laporan tersebut atau sebaliknya.

"Sekiranya SPRM memang telah menerima laporan itu, satu siasatan menyeluruh perlu dilakukan oleh SPRM bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil ke atas pihak-pihak terbabit," tegas beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Jom Usahawan Anok Kelate Perantauan kita berdialog dengan Kerajaan Negeri Kelantan

MB Kedah kini bergelar Datuk Seri Diraja

(Azizan dan isteri bergambar dengan Yang Dipertuan Agung dan Raja Permaisuri Agung)

ALOR SETAR, 14 Dis: Menteri Besar Kedah kini bergelar Datuk Seri Diraja Azizan Abdul Razak ekoran dianugerahkan Darjah Seri Setia Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah Yang Dihormati.

Gelaran itu dianugerahkan kepada Azizan sempena pertabalan Tuanku Sultan Kedah sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Tunku Sultanah sebagai Seri Paduka Baginda Raja Pemaisuri Agong ke-14, 12 Disember lepas.

Azizan adalah menteri besar dan juga Pesuruhjaya PAS Kedah. Sebelum ini beliau menerima anugerah yang membawa gelaran Datuk Seri.

Tuanku Abdul Halim mencatat sejarah pribadi apabila dilantik menjadi Yang Dipertuan Agung untuk kali keduanya 13 Disember semalam.

Sultan Muhmammad ke v, Sultan Kelantan pula telah dilantik menjadi Timbalan Yang Dipertuan Agung.

Azizan ketika mengulas perlantikan itu berkata, beliau yakin hubungan antara kerajaan pusat yang diperintah BN akan lebih rapat dengan kerajaan negeri Kedah yang ditadbir Pakatan Rakyat selepas perlantikan ini.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa pula melahirkan rasa gembira beliau dan rakyat Kelantan dengan kepercayaan Majlis Raja-raja untuk memilih Sultan Kelantan sebagai Timbalan Yang Dipertua Agung walaupun baru sahaja dilantik sebagai Sultan Kelantan.

Usrah PAS Kawasan Machang

NYDP PAS Machang sedang mengupas buku amal jamae dalam usrah pas kawasan.Usaha asas untak mengembalikan kekuatan jamaah.

Video hina hudud ada kaitan dengan Noh Omar?

KUALA LUMPUR, 14 Dis: Penerbit video Sembang Rakyat yang menerbitkan klip video yang  menghina hukum hudud adalah dimiliki oleh orang yang sama yang menguruskan blog Datuk Seri Noh Omar.

Penerbit video ini juga adalah orang yang sama yang menguruskan laman web Puteri Umno Selangor dan Umno Tanjung Karang di samping blog Pena Noh Omar itu.

"Besar kemungkinan dia adalah orang kuat Noh Omar," kata seorang blogger yang juga menerbitkan video klip bagi mendedahkan siapa sebenarnya di belakang video klip yang menghina hukum hudud ini.

Video klip pendedahan itu diterbitkan oleh Malaysianews di laman Youtube.

Pelbagai pihak kesal dengan tindakan pihak kerajaan tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap penghinaan yang dibuat oleh video klip sembang rakyat itu.

Drs Khalil Idham Lim mempersoalkan mengapa Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim terus membisu terhadap video yang berjudul 'Musim Hudud Pas' dan 'Lagi Hudud PAS' itu secara jelas mengelirukan umat Islam di Malaysia yang telah disebar luas di laman Facebook dan Youtube baru-baru ini.

“Kita tidak boleh nafikan bahawa sejak akhir-akhir ini media boleh direka dalam pelbagai bentuk dan corak kerana perkembangan teknologi yang pesat, tetapi seharusnya tidak boleh sehingga menghina agama lebih-lebih lagi Islam itu sendiri.

“Kita amat khuatir terhadap perkembangan sebegini memandangkan para pelakonnya terdiri dari orang Islam dan ada di antaranya berlakon yang sebagai agamawan di samping penggunaan kamera beresolusi tinggi yang sudah pastinya mahal harganya,” ujar Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak itu.

Beliau yang juga Adun Titi Serong berkata, klip video itu juga mempunyai unsur yang boleh mencetuskan salah faham serta penghinaan terhadap hukum Islam.

Menurut Malaysianews, kaitan antara video klip sembang rakyat itu amat jelas dengan Noh Omar dan Umno Selangor.

Ia mempunyai persamaan antara satu sama lain melalui emailnya iaitu " ajaff8@gmail.comThis e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it " yang ada sebagai email penerbit dan webmaster untuk kesemua laman-laman dan video klip itu.

Fidlot: NGO lapor SPRM, desak 3 menteri disiasat

SHAH ALAM, 14 Dis: NGO Jingga 13 hari ini mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat tiga menteri yang didakwa mempunyai kaitan dalam skandal Pusat Fedlot Kebangsaan (NFC).

Berkata kepada media di lobi Pejabat SPRM Shah Alam hari ini, Ketua Koordinator Jingga 13, Fariz Musa memberitahu ketiga-tiga menteri terbabit adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan juga Datuk Seri Noh Omar.

Ini kerana Noh merupakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani pada ketika ini manakala Muhyiddin dan Mustapa adalah bekas menteri di kementerian tersebut sebelum ini yang didakwa ada kaitan dengan kelulusan pemberian dana RM250 juta kepada syarikat NFC yang dimiliki suami kepada Datuk Shahrizat Abdul Jalil.

"Kami mendesak agar satu siasatan dan tindakan oleh pihak SPRM wajar diambil terhadap ketiga-tiga menteri yang memegang jawatan sebagai Menteri Pertanian sekiranya mereka terlibat dengan tindakan penyaluran wang tersebut iaitu sebanyak RM250 juta," jelas Fariz selepas menyerahkan memoranduk kepada suruhanjaya itu.

Sebelum ini siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) merumuskan 'ada yang tidak kena' dengan projek berkaitan penternakan lembu yang bernilai RM250 juta itu.

"SPRM perlu siasat kerana Muhyiddin memegang jawatan tersebut dari 2004 hingga 2008, Mustafa dari 2008 hingga 2009 dan Noh dari 2009 sehingga sekarang.

"Kita merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi PAC, Datuk Seri Azmi Khalid yang menyatakan bahawa pegawai-pegawai Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang hadir pada perjumpaan PAC memberitahu wang dikeluarkan kepada satu akaun khas sejak 2008 hingga 2009," kata seorang lagi koordinatornya Afzainizam Abd Rahman.

Tambah Afzainizam lagi, tindakan yang dilakukan oleh kementerian terbabit adalah merupakan satu tindakan salah guna kuasa yang amat nyata apabila telah menyalurkan wang kepada akaun khas NFC sebelum perjanjian dibuat seperti mana prosedur dan peraturan kewangan.

Dalam pada itu mereka juga mahu tahu siapa sebenarnya yang mengetuai mesyuarat Jawatankuasa Impak Tinggi yang didakwa dipengerusikan oleh Perdana Menteri sewaktu meluluskan pemberian dana RM250 juta itu pada tahun 2008.

Ia kerana pada waktu itu sedang berlaku peralihan kuasa antara Tuan Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak.

Sebelum itu skandal NFC telah menyebabkan Umno tidak senang duduk sehingga beberapa pemimpin mereka mendesak Shahrizat melepas jawatan sebagai Menteri Pembangunan Keluarga Wanita dan Masyarakat serta jawatannya sebagai Ketua Wanita Umno.

Mujahid: PAS ganti Umno dan Mohamad Sabu

Program PAS Ganti UMNO (PGU) telahpun dilancarkan awal tahun ini.  Ia merupakan satu slogan bagi meyakini orang ramai bahawa ketiadaan UMNO sebagai parti dominon bukanlah bererti orang Melayu hilang arah kerana PAS akan tampil untuk mengambil alih kepimpinan dan politik orang Melayu.  Ini bersandarkan kepada realiti bahawa PAS adalah merupakan parti komponen PR yang terbesar berpandukan kepada keahlian, jentera dan pengalaman.  Saya boleh bersetuju PGU dalam konteks pengambilalihan kepimpinan politik Melayu tapi awas!  Kalau ganti itu membawa makna PAS akan ganti "perangai" UMNO di tampuk pemerintahan, saya akan menolak slogan PGU.  Itulah yang diluahkan oleh Timbalan Presiden PAS dalam ucapannya yang disiarkan dalam MerdekaReview pada 5 Disember 2011, ditulis oleh Lim Hong Siang.

Jangan Ganti Perangai UMNO


Perangai buruk UMNO sebagai parti yang memerintah kerajaan persekutuan hari ini boleh disimpulkan dalam satu permasalahan yang dinamakan sebagai isu integriti.  Persoalan ini menghantui UMNO dan mendapat persepsi yang buruk di kalangan rakyat.  Apakah PAS ganti UMNO untuk rakyat nanti menyaksikan pemimpin PAS hidup mewah di luar kemampuannya?  Ataukah bakal-bakal Menteri dalam kabinet Pakatan nanti khususnya PAS akan mengulangi "perangai" minta komisyen atau salahguna kuasa yang ada?  Itukah maksud PGU?  Persoalan ini membimbangkan Timbalan Presiden PAS itu.

Islam dan Muslimin

Mohamad bin Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu melontarkan satu ide tentang bagaimana Barat lebih dilihat Islamik dari sudut tatacara kelola kewangan negara, ketelusan dan integriti sebuah kerajaan dan hak asasi manusia.  Saya teringat akan kata-kata ulamak Islam Syeikh Muhamad Abduh (1849-1905) ketika dia melawat Eropah dia mengkagumi kemajuan dan ketamadunan Eropah (Barat) yang nilainya sama dengan Islam.  Dia berkata, "I went to the West and saw Islam, I got back to the East and saw Muslims but not Islam".  Saya yakin Mat Sabu tidak berkata tanpa satu pengamatan dari susur galur kebangkitan Eropah dan zaman malap tamadun Islam.  Apa yang malang dari kenyataan Mat Sabu ialah keadaan tidak berubah sejak ia diucapkan oleh Syeikh Muhammad Abduh kurun yang lampau.

Tunjuk contoh dulu


Saya memahami bahawa apa yang disebut oleh Timbalan Presiden PAS itu didasari oleh kebimbangan melihat masa depan PAS dan Pakatan Rakyat secara umum jikalau diberi amanah untuk memerintah.  Ini adalah kerana tidak ada gunanya kita melaungkan reformasi atau islah jika kita gagal membuat perubahan dan membongkah akar umbi kebusukan yang akan ditinggalkan oleh regim lama BN.  Kalau kita mengulangi kebusukan BN maka reformasi kita hanya kosmetik dan hanya tukar baju tapi dalam penuh dengan panau dan kurap.  Saya berpendapat bahawa kenyataan Mat Sabu mewakili ramai dari rakyat yang mahukan perubahan yang tulen dan bukan palsu.

Jalan sukar

Berkenaan dengan Arab Spring Revolution yang menumbangkan kebusukan regim diktator dunia Arab, saya berpendapat perubahan regim yang berlaku akan mengalami jalan yang sukar dan berliku.  Ini adalah kerana buat sekian lama dunia Arab bukan sahaja berada di bawah pemerintahan kuku besi tetapi kedudukan sosial dan strata masyarakat serta keadaan ekonomi membentuk satu cabaran yang besar kepada order baru seperti Tunisia, Mesir, Libya dan Syria.

Pengajaran

Pengalaman kebangkitan Arab mengajar kita untuk membuat lonjakan dalam melakar perubahan regim.  Saya mencadangkan bagi mengukuhkan pandangan Mat Sabu (gambar kiri), lonjakan kita mesti melibatkan program kesedaran, pemodelan negeri Pakatan sebagai contoh dan reformasi parti-parti politik yang perlu dilihat telus dalam menyusun sistem organisasi parti.  Parti-parti politik kita khususnya komponen Pakatan masih tidak menunjukkan kesungguhan mereformasi partinya dulu sebelum mampu mengemukakan reformasi politik.

Mat Sabu saja yang tahu

Adapun kenyataan Mat Sabu yang mengatakan golongan kiri dan liberal Barat lebih dilihat bersungguh mengamalkan integriti, ia adalah satu cabaran besar kepada parti Islam yang seharusnya mengungguli prinsip integriti berdasarkan prinsip moral yang dilaungkan.  Apakah benar kebimbangan Mat Sabu itu, adakah benar dakwaan beberapa EXCO Kelantan tidak mencerminkan kehidupan sederhana yang dilaungkan oleh PAS?

Saya tidak mempunyai jawapan, hanya Mat Sabu yang tahu apakah maksud yang tersirat daripada kenyataannya.  Namun mengenali Mat Sabu, beliau adalah orang yang setia kepada parti dan tidak mempunyai apa-apa kepentingan apabila memberi pandangan.  Saya juga berpendapat Mat Sabu berada sebagai orang nombor dua parti Islam untuk menjalankan tugas mengocak air yang tenang supaya parti jangan berada di zon selesa.

54 kerusi parlimen BN di Felda tergugat

KUALA LUMPUR, 14 Dis: Peneroka Felda di seluruh negara memberi amaran akan melakukan "transformasi politik" pada pilihan raya umum ke-13 yang akan memberi kesan buruk kepada Umno BN.

Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan, Mazlan Aliman berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mesti menarik balik cadangan menyenaraikan Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGVH) ke dalam Bursa Malaysia (BSKL) jika benar-benar mahu membela kepentingan warga Felda.

Justeru Mazlan berkata, pihaknya sedang menunggu jawapan positif daripada pejabat Perdana Menteri mengenai surat permohonan untuk bertemu Najib pada 20 Disember ini.

Pertemuan itu bagi menuntut Najib memecat Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi Felda yang didakwa menyebabkan "huru-hura" dalam pengurusan Felda dan mengekalkan kedudukan Datuk Dzulkifli Abd Wahab sebagai Pengarah Besar Felda.

Tuntutan agar Isa dipecat juga kerana beliau dilihat sangat bersungguh-sungguh mahu FGVH disenaraikan ke BSKL, diyakini untuk mengaut keuntungan bagi kroninya dalam pada aset peneroka akan tergadai.

Sementara itu, arahan bercuti terhadap Dzulkifli, kata Mazlan merupakan cara untuk menyingkirkan beliau kerana dianggap sebagai penghalang usaha Isa untuk penyenaraian FGVH.

"Kami bersedia berdepan dengan golongan pengkhianat ini. Mereka adalah penjajah moden yang mahu merampas hak rakyat.

"Perdana Menteri mesti ada pendirian tegas dan meraikan warga Felda yang selama ini sabgai setia kepada kerajaan Umno BN. Jika tidak, pengundi Felda di 54 kerusi Parlimen dan 92 Dun bersedia membuat "transformasi politik" yang bakal menggegarkan keputusan pilihan raya ke-13 nanti," kata beliau selepas menyerahkan memorandum menyokong Dzulkifli di Ibu Pejabat Felda, Jalan Gurney, dekat sini, semalam.

Mazlan menegaskan, apa yang dibimbangi peneroka ketika ini adalah mengenai masa depan Felda yang semakin malap apabila FGVH disenaraikan di BSKL kerana 360,067 hektar tanah milik mereka akan dicagarkan kepada FGVH selama 99 tahun.

"Bukan itu sahaja, proses penyenaraian FGVH akan melibatkan Felda menjual kesemua sahamnya dalam FGVH. Sebab itulah Datuk Dzul menentang usaha penyenaraian ini dan peneroak tetap setia di belakang beliau," kata Mazlan.

Tambah memburukkan keadaan, tanah-tanah kosong di Felda yang selama ini dimanfaatkan untuk tanaman kontan, industri kecil, perumahan generasi kedua Felda dan projek hiliran akan menjadi milik FGVH.

Tanah yang dipohon pada masa hadapan juga menjadi hak FGVH bersimbolkan Felda manakala FGVH akan berkuasa penuh dengan istilah "diberi kenikmatan aman sentosa".

"FGVH mendapat hak kawalan mutlak ke atas tanaman, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya yang sedia ada dan pada masa depan termasuk mengenai jenis kontrak jual beli hasil dan harga.

"FGVH juga akan mengendalikan aktiviti menanam semula dan menerima segala insentif daripada kerajaan serta menyelenggara dan membina infrastruktur yang diperlukan. FGVH bakal menelan Felda," tegas Mazlan yang disertai 50 wakil peneroka daripada beberapa Felda yang hadir memberikan sokongan.

Tuesday, December 13, 2011

Kelantan bangga dengan perlantikan Timbalan Agong

KOTA BHARU, 13 Dis: Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa melahirkan rasa bangga beliau dan rakyat Kelantan atas perlantikan Tuanku Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke V,  sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Dalam satu kenyataannya, Husam yang juga Exco kerajaan negeri berkata, "Perkenan para kekanda ke Bawah DYMM Raja-Raja Melayu memilih Tuanku Sultan Kelantan selaku Timbalan Yang di-Pertuan Agong besar ertinya terhadap kedaulatan dan kebesaran Tuanku.

"Besar pula maknanya bagi seluruh rakyat Negeri Kelantan Darul Naim," kata Husam dalam satu kenyataan medianya.

Husam juga melahirkan keyakinannya,  Tuanku Faris Petra  mampu memberi makna kepada kesaksamaan kemajuan wilayah dan mengharumkan nama negeri ini dengan hemah, prihatin, bijaksana, berjiwa rakyat, mempunyai visi yang dinamik dan berdedikasi yang ada pada baginda.

"Selama ini, dalam tempoh yang singkat, Tuanku menjadi kebanggan rakyat Kelantan dan rasa bangga itu akan Insya Allah akan dikongsi pula oleh seluruh rakyat Malaysia," tegas Husam dalam kenyataannya.
Sementara itu, Dewan Pemuda PAS Kelantan juga merakamkan ‘sembah tahniah’ di atas pengisytiharan Sultan Muhammad ke V memegang jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Ketuanya, Abdul Latif Abdul Rahman, berkata pihaknya berbesar hati di atas perlantikkan itu.

“Semoga perlantikan tuanku membawa berkah dan keamanan di negeri Kelantan Tadahan Wahyu ini.

“Patik mewakili Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, merakamkan sembah tahniah kepada tuanku semoga tuanku di lindungi dunia dan akhirat,”ujarnya.
Syukur atas perlantikan Agong

Husam juga mempersembahkan ucapan tahniah dan rasa syukur di atas perlantikan DYMM Al Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah   dan DYMM Al Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, yang masing-masing selaku DYMM Yang di-Pertuan Agong dan DYMM Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang ke 14.

Selaku rakyat yang menjunjung tinggi kelangsungan Kesultanan Melayu selaku teras utama politik negara menerusi konsep Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen sejak turun temurun, saya merasa bangga dan bertuah menyaksikan perlantikan Tuanku berdua, kata Husam.

"Selaku DYMM Yang di-Pertuan Agong bagi kali yang kedua bagi Ke  Bawah DYMM Al Sultan Kedah, sudah tentu memberikan nostalgia zaman anak-anak saya dengan ketinggian budi, hemah, bijaksana  dan mesra rakyat ke Bawah Duli Tuanku sewaktu berada di atas singgahsana sebagai DYMM Yang di-Pertuan Agong bagi kali pertama dahulu.

"Insya Allah, dengan pengalaman luas dan berpandangan jauh lagi saksama yang dianugerahkan Allah kepada Tuanku, Malaysia akan terus bersatu maju, adil, makmur, maju dan aman damai," kata Husam.

Husam juga mengucapkan junjung kasih kepada DYMM  Yang di-Pertuan Agung ke 13, Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin atas khidmat baginda yang cemerlang.

"Semoga Allah melanjutkan usia baginda dalam keadaan sihat dan 'afiat serta diberikan hidayah dan taufik yang berterusan," katanya dalam kenyataan itu.

Agong baru akan rapatkan Kedah dan Pusat

ALOR SETAR, 13 Dis: Kerajaan negeri Kedah yakin, hubungan antara kerajaan negeri Kedah dengan Pusat selepas ini akan bertambah baik ekoran perlantikan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Demikian kata Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak dalam sidang medianya semalam bagi mengucapkan tahniah kepada Tuanku Abdul Halim.
Ini adalah perlantikan yang kedua kalinya buat Tuanku Abdul Halim sebagai Yang DiPertuan Agung.

Bagi Azizan, pelantikan Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim merupakan penghormatan bersejarah dan menjadi kebanggaan bagi seluruh rakyat Kedah.

Beliau berkata seluruh rakyat mendoakan agar baginda dan Sultanah Haminah Hamidun dilimpahi rahmat, dipanjangkan usia, sihat sejahtera serta dapat memerintah dengan penuh kedaulatan dan keamanan.

"Akan tetapi, rasa bangga patik-patik sekalian bercampur hiba, berat rasanya hati untuk berjauhan dengan seorang raja pemerintah, tempat sekalian patik bergantung harap selama ini," katanya ketika berucap pada Majlis Istiadat Pelantikan Jemaah Pemangku Sultan di Istana Anak Bukit di sini semalam.

Azizan berkata beliau mewakili seluruh anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, anggota-anggota perkhidmatan awam serta seluruh rakyat berikrar akan taat setia mencurahkan tenaga dan fikiran bagi menjamin kestabilan dan keharmonian negeri itu.

Katanya agenda kerajaan negeri bagi menjamin kebajikan rakyat akan terus didokong dan hubungan baik dengan kerajaan persekutuan akan terus dijaga.

"Pastinya pesanan serta pandangan Tuanku yang konstruktif, galakan dan tunjuk ajar kepada kerajaan bagi meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat serta menekankan supaya keadilan, keamanan terus ditegakkan menjadi suntikan dan panduan bagi patik mengemudikan pentadbiran negeri," katanya.
Dalam pada itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar turut merafak sembah tahniah kepada Tuanku Abdul Halim.
Katanya, perlantikan Tuanku sebagai Yang di-Pertuan Agong baru bukan sahaja menjadi kebanggaan rakyat negeri Kedah malah seluruh rakyat di negara ini.
"Kita memohon kesejahteraan kepada Tuanku untuk memerintah Malaysia.
"Kita harap pemerintahan baik Tuanku di Kedah akan disebarkan ke seluruh Malaysia," katanya.
Timbalan Agong
Sementara itu, rakyat Kelantan  menyambut baik perlantikan Sultan Kelantan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Sultan Kelantan Sultan Muhammad V, yang dilantik Timbalan Yang di-Pertuan Agong, merupakan seorang raja berjiwa rakyat dan sangat dekat di hati penduduk negeri itu.

Tengku Muhammad Faris Petra, 42, putera sulung Sultan Ismail Petra, yang sering membahasakan diri baginda sebagai "kita", telah menggunakan gelaran Sultan Muhammad V setelah dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29 pada 13 Sept 2010.

Baginda yang gemar turun padang termasuk ke kawasan pedalaman serta perkampungan Orang Asli di Gua Musang dan Jeli, sering membahasakan diri baginda sebagai "kita".

Sejak ditabalkan sebagai Tengku Mahkota Kelantan pada 6 Okt 1985, baginda lebih suka mengenakan jubah atau berbaju Melayu dengan berkain pelikat yang dikenali sebagai berbaju "gumbang", berkopiah putih ketika melawat rakyat.

Penghina hudud jangan kurang ajar - Ridhuan Tee

KUALA LUMPUR, 13 Dis: Kolumnis media Prof Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah baru-baru ini menyelar pihak yang lantang menghina Islam khususnya hudud dan memberikan amaran kepada mereka.

Tanpa menamakan secara jelas, Mohd Ridhuan dalam tulisan yang disiar akhbar Sinar Harian kelmarin menggambarkan pihak yang dimaksudkannya adalah 'penzina' dan yang 'berlatar belakang menjijikkan'.

Katanya parti-parti politik atau orang bukan Islam boleh memberikan teguran dalam perkara lain seperti salah tadbir urus, salah laku peribadi, rasuah dan sebagainya yang dilakukan oleh sesiapa sahaja, tetapi bila tiba kepada perkara berkaitan agama Islam, 'jangan terlalu kurang ajar'.

"Apatah lagi jika yang menegur itu, latar belakangnya amat menjijikkan. Seks rambang dan perzinaan sudah menjadi budaya hidupnya.

"Saya masih lagi boleh bersabar jika mereka tidak menerima ‘hudud Pas’. Tetapi cara mereka bercakap tidak menampakkan rujukan kepada ‘hudud PAS’, tetapi menghina Islam secara keseluruhan dan isi kandung al-Quran. Perbuatan ini amat melampau," tulisnya.

Biarpun tidak dinyata dengan jelas siapa sasaran tulisannya, namun ianya dipercayai ditujukan kepada Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Ini kerana, dalam tulisannya itu beliau merujuk kepada kenyataan yang mendakwa pelaksanaan hukum hudud akan membawa kepada kemusnahan ekonomi negara dan binasa diri.

Ianya termasuk dakwaan bahawa pelabur-pelabur akan meninggalkan Malaysia manakala negara akan berhadapan dengan “binasa diri” jika hukum hudud dilaksanakan di Malaysia yang pernah diucap Soi Lek pada satu forum di Wisma MCA baru-baru ini.

"Jangan bermain dengan api wahai penzina. Ini bukan kali pertama beliau mengeluarkan kenyataan yang menghina Islam. Apakah kita boleh menerima kenyataan seperti pelabur-pelabur akan meninggalkan Malaysia manakala negara akan berhadapan dengan ‘binasa diri’ jika hukum hudud dilaksanakan di Malaysia.

"Persoalan saya, apakah Malaysia akan menjadi daya tarikan pelabur-pelabur dengan lambakan pelacur-pelacur yang datang daripada Cina dan Vietnam yang datang ‘memberi khidmat’?


"Apa matlamat sebenar membawa masuk mereka ini? Apakah mungkin beliau turut melanggan kerana memang menjadi kesukaannya menyimpan mistres?" soalnya lagi.

Dalam nada tegas, beliau yang juga penyarah di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia turut mengingatkan pihak tersebut tidak mencampuri urusan orang Islam khususnya berkaitan dengan soal hudud.

Apatah lagi katanya jika seseorang itu berlainan bidang kepakaran, maka sewajarnya tidak perlu banyak mengulas tentang bidang yang lain.

"Jika bidang beliau mengenai kesihatan seperti mana jawatan yang pernah dipegang sebelum ini, lebih baik dia bercakap mengenai keburukan yang dibawa hasil seks luar nikah atau seks rambang atau penzinaan," tegasnya.

Soi lek sebelum ini juga mendakwa sistem perundangan itu tidak adil kepada semua pihak khususnya ke atas kaum wanita selain mengenakan hukuman-hukuman kejam yang jelas bercanggah dengan konvensyen antarabangsa.

Selain itu beliau turut meramalkan bahawa pasaran saham akan jatuh antara 10 hingga 20 peratus jika hukum hudud digubal dan ia juga akan memberi kesan ke atas kewangan pelabur-pelabur tempatan.

"Wah! bukan main pandai lagi beliau meramal seperti nujum.

"Justeru, tunggu apa lagi, marilah kita bersama-sama tanpa mengira parti dan ideologi, mempertahankan Islam yang semakin lama semakin berani dimamah dan diratah oleh ultra kiasu yang wujud di mana-mana, termasuk dalam Barisan Nasional," kata Ridhuan.

Peneroka tuntut Datuk Zulkifli kekal, Isa undur

KUALA LUMPUR, 13 Dis: Kira-kira 50 wakil peneroka Felda daripada beberapa negeri hari ini menyerahkan memorandum menyokong Pengarah Besar Felda, Datuk Zulkifli Abd Wahab di Ibu Pejabat Felda, Jalan Gurney, dekat sini.

Memorandum sokongan itu ekoran tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengarahkan Zulkifli bercuti dan mengikuti Kursus Pengurusan Lanjutan bagi meningkatkan prestasi untuk melakukan transformasi Felda.

Ia merupakan cadangan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad melalui surat yang dihantar kepada Najib bertarikh 21 November.

Arahan bercuti dikeluarkan melalui surat yang diikeluarkan Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri 25 November lalu.

Difahamkan, Zulkifli mula bercuti 25 November lalu dan telah berlepas ke London minggu lalu.

Memorandum yang diserahkan kepada  wakil Felda, Muhamad Ibrahim antaranya menuntut Perdana Menteri menarik balik arahan bercuti itu dan menggugurkan Isa daripada jawatannya.

Mereka diketuai Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan, Mazlan Aliman berarak kira-kira satu kilometer menuju ke bangunan Felda dengan diawasi kira-kira 30 anggota polis beruniform termasuk polis cawangan khas.

Mereka melaungkan "undur Isa Samad", "hidup rakyat" sambil membawa sepanduk bertulis "kami sayang Zul, benci Isa".

Bercakap kepada media selepas penyerahan memorandum, Mazlan berkata, pihaknya amat kesal dengan tindakan yang dilakukan terhadap Zulkifli yang dianggap sebagai seorang yang sangat amanah dan berdedikasi dalam tugasnya.

"Kami yakin tindakan ini sebenaranya penyingkiran kepada Datuk Zul.

"Ia tidak beretika dan biadap terhadap Ketua Eksekutif Kumpulan yang mempunyai 23 kakitangan," katanya yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat.

Menurut Mazlan, Isa tidak senang dengan Zulkifli kerana menganggap Zulkifli menghalang usaha penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) ke Bursa Malaysia.

"Dalam mesyuarat lembaga pengarah, Datuk Zul pernah mempersoal di mana Felda nak cari duit untuk bayar gaji kakitangan Felda RM1.5 bilion bila FGVH melabur dalam Bursa Malaysia. Isa tidak senang kerana mengganggu usahanya untuk penyenaraian," jelas beliau.

Rakyat Perak masih taruh harapan pada Nizar

KUALA LUMPUR, 13 Dis: Dewan Pemuda PAS Perak mendakwa terdapat usaha dari pihak tertentu yang akan cuba mencemarkan imej dan nama baik bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (gambar) menjelang PRU-13 nanti.
Tindakan itu, kata mereka ekoran Mohamad Nizar masih mendapat sokongan dan menjadi harapan seluruh rakyat negeri itu untuk kembali memegang tampuk kepimpinan kerajaan negeri.

Timbalan Ketuanya, Dr Raja Ahmad Al-Hiss berkata, faktor sokongan padu rakyat terhadap Nizar itu juga turut menjadi kebimbangan besar BN negeri itu terutama Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

"Pada kami, sebenarnya Barisan Nasional (BN) Negeri Perak amat bimbang perkara tersebut dan cuba memastikan imej Datuk Seri Nizar diburukkan dengan pelbagai serangan.

"Kami yakin rakyat sedang menunggu untuk menyuarakan ‘undi’ mereka bagi memastikan Datuk Seri Nizar dan PR meneruskan pentadbiran bersih yang ‘terhenti’ dalam tempoh 11 bulan sahaja," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Pada masa sama jelasnya, Umno Perak kini sedang berdepan krisis dalaman apabila ramai di kalangan pemimpin Umno negeri itu kurang senang dengan Zambry dan mahu teraju kepimpinan negeri itu diganti orang lain.

Zambry juga dikatakan bukan calon pilihan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Kebanyakkan pimpinan Umno Bahagian terutamanya kurang senang dengan kepimpinan Datuk Seri Zambry berikutan ramai dikalangan mereka adalah penyokong kepada bekas Menteri Besar Perak ke-9 iaitu Tan Sri Haji Mohammad Tajol Rosli Mohammad Ghazali.

"Kami mencabar BN Perak agar segera menamakan siapakah calon Menteri Besar jika BN Perak berjaya kembali mentadbir Perak pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti," katanya.

Mega Dinner Anak Kelantan Di Lembah Klang

BR1M: Jangan untung sehari, rugi 5 tahun

KUALA LUMPUR, 12 Dis: Rakyat dinasihatkan agar sedar bahawa Program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) hanyalah sogokan dan umpan Umno BN menjelang pilihan raya umum ke-13 yang boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja.

Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusuf (gambar) berkata, bantuan sebanyak RM500 secara one off itu hanya bersifat sementara, sebaliknya rakyat akan terus menanggung beban kenaikan harga barang dan kos sara hidup selagi menyokong Umno BN.

"Jangan rakyat untung sehari, tapi rugi lima tahun kerana berada di bawah pemerintahan Umno BN.

"Fenomena pemberian one off ini sedang rancak berlaku sekarang. Ini budaya sogok yang sudah lama berlaku dalam pemerintahan Umno BN," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Siti Zailah juga berkata, rakyat terutamanya yang mempunyai tanggungan ramai tidak seharusnya terlalu teruja dengan jumlah RM500 itu kerana ianya tidak berbaloi dengan harga barang yang tinggi.

"Rakyat kena celik sikit, pemberian cuma RM500. Kalau ada anak ramai, tak cukup pun hendak membeli keperluan sekolah dan sebagainya sedangkan dalam tempoh lima tahun lagi, terpaksa melalui masa-masa sukar," katanya yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang.

Sabtu lalu, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah melancarkan BR1M di Dewan Komuniti 1Malaysia, Chemor.

Menurutnya, jumlah isi rumah yang layak itu diperoleh daripada pangkalan data Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan permohonan akan dirujuk semula antaranya melalui semakan pihak Bank Negara Malaysia (BNM).

Menurutnya, jumlah isi rumah yang layak memohon itu diperolehi daripada pangkalan data Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan permohonan akan dirujuk semula antaranya melalui semakan pihak Bank Negara Malaysia (BNM).

"Kumpulan sasaran terdiri mereka yang berpendapatan kurang RM3,000 bagi satu isi rumah dengan ramai tanggungan, warga emas berumur 60 tahun ke atas dan anggota keluarga berdaftar di bawah program eKasih.
Sementara itu, menyentuh mengenai Umno BN yang mempersoalkan hanya sebuah masjid berjaya didirikan oleh Kerajaan Negeri Kelantan, Siti Zailah berkata, apa yang harus diberi perhatian bukan kuantiti, tetapi cara masjid itu diimarahkan.

"Kenyataan BN itu menggambarkan betapa jauhnya pemimpinnya dengan ajaran Islam.
"Dalam sejarah dulu, kaum munafik mendirikan Masjid Dirar bagi menyaingi masjid yang didirikan para sahabat dan Rasulullah mengarahkan masjid itu dibakar," katanya.

Siti Zailah berkata, Menteri Besarnya, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat lebih gemar mendidik rakyat negeri itu agar menginfakkan wang untuk membina masjid.

"Tok Guru Nik Aziz mahu masjid yang didirikan itu hasil kutipan derma daripada rakyatnya sendiri kerana pahala menderma untuk pembinaan masjid itu sampai ke akhirat," katanya.

NFC: Muhyidin kena undur bersama Sharizat

KUALA LUMPUR, 12 Dis: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berpendapat, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin lebih bertanggungjawab atas skandal yang berlaku dalam Perbadananan Feedlot Kebangsaan (NFC).

Ini kerana, ketika pinjaman mudah RM250 juta itu diberikan, Muhyidin sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani adalah pihak yang bertanggungjawab memantau projek itu.

"Shahrizat sebagai menteri dan suami kepada Pengerusi Eksekutif NFC dan ibu kepada anak-anaknya yang menjadi pengarah NFC juga bertanggungjawab, namun bagi saya Muhyidin sebagai menteri lebih bertanggungjawab.

"Oleh itu, bukan Shahrizat sahaja yang kena letak jawatan, Muhyidin juga tidak terlepas," kata Mohamad Sabu kepada Harakahdaily.
Beliau ditemui di majlis pelancaran buku Haji Subky Latif, Anak Apak, yang dilancarkan oleh Datuk A Samad Said di Mid Valley Mega Mall hari ini. (gambar)

Mohamad mengulas desakan demi desakan agar Shahrizat meletakkan jawatan ekoran skandal NFC yang melibatkan pinjaman mudah RM250 juta kerajaan tetapi digunakan untuk tujuan lain itu.

Terbaru Tun Dr Mahathir juga campur tangan yang meminta Shahrizat meletakkan jawatan sebelum dia dihalau dari Kabinet.

Sebelum itu, tiga pemimpin Umno Ghafur Salleh, Bung Mokhtar Radin dan Syed Ali Al Habshi juga mendesak Shahrizat meletakkan jawatan.

Pengerusi Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik juga mengulasnya dengan berkata, pimpinan Umno seharusnya mengambil tindakan.

NFC ditubuhkan kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke 9 (RMK-9) untuk meningkatkan hasil daging negara dari bergantung kepada negara asing.

Namun, ia semacam telah diselewengkan termasuk membelanjakan wang pinjaman itu untuk pembelian kondo dan kereta mewah serta memberikan gaji yang mahal kepada pemimpin projek itu iaitu keluarga Shahrizat.

Muhyidin selaku menteri berkaitan ketika itu diberikan tanggungjawab oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi untuk melaksanakannya.

Menteri Pertanian Industri Asas Tani sekarang, Datuk Seri Noih Omar berkata, beliau tidak tahu menahu mengenai pinjaman itu kerana ia tidak pernah diluluskan dalam Kabinet.

Ketika itu, Noh turut berada dalam Kabinet tetapi menjaga portfolio lain.

Beliau menafikan keputusan mahu menganugerahkan projek NFC pernah dibincangkan dalam mana-mana mesyuarat Kabinet.

“Saya boleh sahkan bahawa NFC (sebenarnya) terletak di bawah Jawatankuasa Projek Impak Tinggi dan ketika pinjaman diluluskan kepada NFC, ia bukan di bawah Kabinet, tidak (disebutkan) dalam mesyuarat (Kabinet),” kata beliau kepada pemberita di sini.

Noh, bagaimanapun enggan menyebut nama pegawai yang bertanggungjawab ke atas jawatankuasa yang menghalusi perkara berkenaan.

Jumaat lepas, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa mencadangkan agar kerajaan merampas harta termasuk kondo dan kereta mewah NFC untuk mengurangkan kerugian yang ditanggung kerajaan.
Mahfuz sokong
Pandangan Mohamad disokong Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) yang berkata, adalah tidak wajar jika tekanan hanya diberikan kepada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sahaja, sedangkan projek yang dianugerahkan kepada syarikat suami kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat itu diluluskan sendiri oleh kerajaan khususnya Kementerian Pertanian.

"Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) sendiri sahkan wang dikeluarkan kepada akaun khas dengan kelulusan pihak kementerian pertanian.

"Siasatan menyeluruh wajib diadakan bukan sahaja kepada dakwaan penyalahguanaan wang RM250 juta itu oleh keluarga Shahrizat, tetapi juga kena siasat pihak kementerian dan kabinet," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

PAC sebelum ini juga mendedahkan duit RM250 juta tersebut habis dikeluarkan dari tahun 2008 hingga 2009, namun perjanjian hanya dibuat pada 2010.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar sebelum ini juga menjelaskan bahawa kelulusan pinjaman RM250 juta dan penganugerahan projek tidak dibuat di Kabinet, sebaliknya di peringkat Jawatankuasa Projek Impak Tinggi yang dipengerusikan Perdana Menteri sendiri.

"Apakah jawatankuasa itu sahaja yang buat keputusan? Tanpa kelulusan kabinet?

"Muhyiddin selaku bekas menteri juga perlu dipertanggungjawab. Kita nak tahu apa bentuk perbincangan yang menyebabkan kabinet luluskan projek ini," katanya.

Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena berkata, rakyat tidak mahu kes Fidlot ini sama mengulangi apa yang berlaku pada skandal Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ) di mana kabinet hanya sedar ditipu hanya selepas menteri berkenaan bersara.

"Lepas menteri pencen baru kabinet sedar kena tipu.

"Kita tidak mahu Fidlot ini jadi macam PKFZ, sebab itu kita minta siasatan menyeluruh ketika semua menteri terlibat masih belum pencen lagi ni," katanya.
Salleh kena jelaskan
Sementara itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi meminta Pengerusi Eksekutif Perbadanan Fidlot Nasional (NFC), Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail menjawab sendiri tuduhan terbaru mengenai projek itu bagi mengelak rakyat berterusan menyalahkan kerajaan.

Katanya, sikap berdiam diri Mohamed Salleh menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung beban dituduh bersubahat sedangkan semua dakwaan melibatkan urusan syarikat.

"Saya gesa Mohamad Salleh tampil ke depan dengan segera untuk menjawab segala tuduhan baru yang tersebar di dalam blog, yang dibuat oleh pembangkang supaya rakyat tidak terkeliru dan kerajaan tidak menjadi mangsa tuduhan.

"Bila berdiam diri, tak jawab segala dakwaan, seolah-olah dia tidak bertanggungjawab, seolah-olah dia sengaja nak susahkan Umno dan kerajaan," katanya kepada Bernama Ahad.

Mohd. Puad yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, tuduhan berhubung pembelian tanah di Putrajaya, menerima elaun RM100,000 dan memberi elaun RM40,000 kepada anak sendiri serta pembelian kereta mewah, yang kesemuanya menggunakan dana syarikat, perlu dijawab segera bagi mengelakkan kekeliruan selain turut memberi kesan negatif terhadap kerajaan.

Doktor saksi ketiga kes Husam saman blogger

KOTA BHARU, 12 Dis: Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa menolak andaian peguam, nama Faisal Rohban dan Mohd Faisal Mohd Rohban Ahmad adalah orang berlainan.

Beliau berkata, blogger terbabit yang menggunakan nama Ruang Bicara Faisal (RBF) adalah orang yang sama biar pun memaparkan nama berlainan dalam blognya.

Sebelum itu peguam Adly Abdul Manas mewakili Mohd Faisal cuba menimbulkan keraguan tersebut pada perbicaraan kes itu di Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini.

Ketika awal perbicaraan Adly membantah peguam plaintif, Hisham Fauzi mahu memanggil semula saksi pertama dan kedua kes saman Husam terhadap blogger terbabit.

Bagaimanapun Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim membenarkan peguam plaintif memanggil semula saksi pertama, Husam dan saksi kedua Mohd Syahfarin Ali Rajkumar Abdullah, 40 pada prosiding berkenaan.
Hisham turut dibantu peguam Zainal Abidin Mustafa dan Hazalawati.

Faisal dalam blognya ruangbicarafaisal.blogspot.com pada 3 Oktober 2009 menulis rencana berunsur fitnah terhadap Husam yang bertajuk, “Husam dan Tamrin Balun Balak Kelantan RM15 juta.”

Husam dalam pernyataan tuntutannya menjelaskan artikel disiarkan dalam blog defendan adalah menggelirukan dan bermaksud memberi gambaran buruk serta tidak benar terhadapnya.

Ekoran itu plaintif melalui peguam mengemukakan notis menuntut defendan memohon maaf secara terbuka dan membayar gantirugi.

Husam menuntut defendan memohon maaf secara bertulis tanpa syarat kepadanya, menyiar permohonan maaf dalam blognya, mengiklan permohonan maaf dalam akhbar harian utama, membayar ganti rugi RM500,000.
Selain itu gantirugi teladan, gantirugi melampau, punitif, injuksi menghalang defendan atau agen mengulangi penerbitan kenyataan tersebut.

Husam yang juga Naib Presiden PAS berkata, pada awalnya tulisan memfitnahnya turut dipetik dalam banyak blog proUmno yang juga memuatkan gambar Faisal. Bagaimanapun selepas fail saman dikemukakan Husam memberitahu gambar Faisal dihilangkan dalam blognya dan milik group Umno.

Bagaimanapun hakim menegur peguam defendan kerana cuba menimbulkan kekeliruan mengenai siapa sebenarnya pemilik blog terbabit.

Mohd Syahfarin ketika tampil di kandang saksi bagi kali kedua juga memberitahu mahkamah, beliau cam penulis blog terbabit dan ada dalam mahkamah.

Pihak plaintif juga akan memanggil seorang lagi saksi, Dr Ahmad Sharwan Mohd Sidek yang bertugas di Hospital Raja Perempuan Zainab II. Perbicaraan bersambung pagi esok.

Peguam Anwar berjaya patah hujah pendakwa

KUALA LUMPUR, 12 Dis: AJK PAS Pusat, Datuk Kamaruddin Jaffar yang turut hadir mengikuti sesi penggulungan hujah kes liwat Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jika perbicaraan itu dilakukan secara adil akan memihak kepada Anwar.

Beliau yang ditemui di perkarangan lobi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberitahu peguam Anwar telah memberikan bukti yang begitu banyak dan dari segi teknikal amat mustahil untuk hakim membuktikan Anwar bersalah.

"Bukti-bukti begitu terperinci telah dikemukakan oleh peguam-peguam Anwar dan segala hujah pihak pendakwa sebelum ini telah dapat dipatahkan oleh barisan peguamnya.

"Begitu juga berkaitan dengan DNA ataupun bukti Saiful berada di kondominium sewaktu kejadian fitnah tersebut, malah bukti-bukti yang menimbulkan kesangsian," jelasnya.

Beliau begitu yakin dengan pengadilan yang adil akan mendapati begitu banyak keraguan yang telah ditimbulkan oleh pihak pembela hari ini.

"Sewaktu pihak pembela mengemukakan hujah pihak pendakwa tidak sedikit pun bangun untuk mencelah atau mencabar, sudah tentu mereka akan memberikan hujan mereka esok dan mereka mengatakan hanya memerlukan masa dua jam untuk mengemukakan hujah mereka.

"Dalam pada itu saya amat yakin bahawa pembelaan yang dilakukan oleh barisan peguam Anwar itu amat berkesan," katanya lagi.

Sementara itu, mahkamah yang bersidang semula jam 2 petang tadi memperlihatkan peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim, Sankara Nair berhujah dengan menyifatkan Saiful Bukhari adalah seorang penipu.

Beliau yang memulakan hujah menyatakan banyak fakta serta kenyataan yang dinyatakan oleh Saiful bersifat luar biasa, seperti menipu apabila mendakwa pintu kondominium tempat kejadian ditutup dan dikunci dengan rapat.

Menurutnya lagi, jika benar pintu tersebut dikunci rapat siapakah yang telah menghidang kopi dan karipap yang didakwa telah dimakan oleh Saiful dan Anwar selepas kejadian fitnah tersebut.

Berkenaan dengan Saiful yang mendapatkan nombor telefon bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan juga sesuatu yang aneh di mana beliau mendapat nombor telefon tersebut dengan cara mencuri dengar perbualan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada waktu itu.

Sankara berhujah, mana mungkin Timbalan Perdana Menteri tidak mempunyai nombor telefon Ketua Polis Negara ketika itu.

Dalam pada itu, Sankara bercakap kepada media menjelaskan sesi penggulungan hujah pihak pembelaan sudah selesai dan menunggu pihak pendakwa mengemukakan hujah mereka esok.

"Hari ini kita telah tamat mengemukakan hujah bagi pihak pembela dan esok pihak pendakwa akan memulakan hujah mereka sebelum Hakim menentukan tarikh keputusan.

"Selesai sahaja pihak pendakwa mengemukakan hujah, pihak pembela diberi peluang untuk menjawab hujah pihak pendakwa.

"Mungkin esok atau lusa mahkamah akan menentukan bila keputusan akan diputuskan dan kalau pihak pembela tidak dapat habiskan esok hujah terhadap pihak pendakwa kita akan meminta tempoh untuk satu hari lagi," jelasnya.

Sementara itu, Anwar memberitahu, peguamnya telah selesai mengemukakan hujah penggulungan.
"Hari ini peguam telah mengemukakan hujah penggulungan pembelaan dan kalau mengikut kepada fakta serta undang-undang maka kes ini telah habis, inilah yang kita tunggu iaitu mendengar keputusan dari hakim.

"Mereka yang kecam kita tidak pernah hadir mendengar segala perbahasan di dalam mahkamah dan kalau mereka yang mengikut perbicaraan ini secara teperinci segala hujah-hujah pihak pendakwa telah dapat dipatahkan, begitu juga segala bukti-bukti yang mereka kemukakan.

"Kita tunggu keputusan dan pihak pendakwa akan memulakan hujah mereka esok pada jam 1.30 petang," jelasnya.

Liwat II : Ucapan Najib boleh pengaruhi mahkamah

KUALA LUMPUR, 12 Dis: Peguam Karpal Singh dalam hujah penggulungannya pagi tadi mendakwa ucapan Datuk Seri Najib pada Perhimpunan Agung Umno lalu yang menyerang Datuk Seri Anwar adalah campur tangan berat dalam kes Liwat II.

Tindakan itu juga ujarnya bukan sahaja menghina mahkamah malah boleh mempengaruhi keputusan yang akan dibuat.
Sementara itu, Anwar yang ditemui juga turut menyatakan pendirian sama dan mahu mahkamah mengambil perhatian berhubung perkara itu.

"Melihat kepada perbicaraan sebelum ini kita telah menyediakan segala bukti yang mencukupi dan fakta yang jelas terhadap kes tersebut.

"Tetapi apa yang dilakukan tadi Peguam Karpal Singh telah menyatakan bahawa ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Perhimpunan Agong Umno yang lalu telah menyerang saya secara terus," kata Anwar ketika mahkamah berehat seketika tengah hari tadi.

"Ini dilihat sebagai menghina perjalanan perbicaraan kes hari ini dan ia dilihat dapat mempengaruhi rakyat serta keputusan yang akan dibuat nanti," katanya yang juga ketua pembangkang.

Selain itu, pada penggulungan pagi tadi, Karpal turut mendesak mahkamah memanggil semula Timbalan Pendakwa Raya, Farah Azlina dan penuduh Saiful Bukhari bagi memastikan keputusan perbicaraan dapat dijatuhkan dengan adil.

Menurut Karpal, mereka perlu dipanggil kerana sehingga kini kedua-duanya belum menafikan hubungan di antara mereka berdua.

Hubungan antara Farah dan Saiful menurut Karpal, membolehkan Saiful mempunyai akses kepada kertas pendakwaan.

Dalam pada itu, perbicaraan liwat II yang bermula hari ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan mendengar penggulungan hujah kedua-dua pihak.

Hujahan yang sepatutnya dijadualkan pada 23 hingga 24 November lalu berlangsung hari ini di hadapan hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Anwar, 64, dibicarakan atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26, di unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara jam 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Turut hadir mendegar penghujahan hari ini adalah Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail; Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff; Ahli Parlimen Batu, Tian Chua; dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul. Tiba lebih awal adalah Pengarah Biro Guaman PKR, Latheefa Koya, Naib Presiden N Surendran, dan Ketua AMK Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Kes Bukit Kepong: Peguam akan failkan rayuan

KUALA LUMPUR, 12 Dis: Peguam Mohamad Hanipa Maiden berkata, beliau akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan ekoran penolakan saman Mohamad Sabu ke atas akhbar Umno, Utusan Malaysia.

Ini kerana, penolakan saman oleh Mahkamah Tinggi baru-baru ini adalah isu teknikal yang sebelum ini tidak menjadi kesalahan kepada kes yang lain.

"Apa yang berlaku adalah mahkamah menyalahkan permohonan saman itu kerana saya tidak masukkan sebab penuh saman itu dalam saman tetapi memasukkannya dalam afidavit yang dikepilkan sekali.

"Semasa saya failkan kes Khalid Samad terhadap Utusan, saya menang kes itu walaupun cara yang saya buat sama sahaja.

"Jadi ia soal tafsiran yang saya rasa saya betul dan tidak menjejaskan permohonan Mohamad dan tidak menjejaskan hak pihak defendan kerananya.
(Hanipa bercakap dengan A Samad selepas pelancaran buku Subky, Anak Apak di Mid Valley Megamall)
"Oleh itu, saya akan merayu kepada Mahkamah Rayuan terhadap penolakan ini," kata Hanipa kepada Harakahdaily.
Hanipa ditemui di majlis pelancaran buku Haji Subky Latif, Anak Apak, yang dilancarkan oleh Datuk A Samad Said di Mid Valley Megamall hari ini.

Mahkamah Tinggi di sini pada 6 Disember lepas menolak Mohamad terhadap Utusan Melayu (Malaysia)Berhad berhubung penerbitan satu artikel mengenai isu komunis Bukit Kepong.

Hakim Datuk John Louis O’Hara memutuskan saman yang difailkan plaintif (Mohamad) merupakan kes biasa dan jelas untuk ditolak, tanpa adanya kenyataan sokongan yang mencukupi mengenai butiran penerbitan dalam saman itu.

Oleh itu, katanya, saman itu menyakitkan hati, tidak serius, melampau dan menyalahguna proses mahkamah.

Katanya, plaintif (Mohamad) perlu mengesahkannya dengan butiran penerbitan yang mencukupi dalam samannya, yang diperlukan di bawah undang-undang.

Papan tanda hospital sudah naik lalang

PENSIANGAN, 12 Dis: Janji manis sebuah kerajaan Barisan Nasional Sabah di daerah ini sudah tidak memberi apa-apa erti lagi.

Pembangunan sebuah hospital yang dijanjikan sejak beberapa tahun lalu kini umpama ‘hospital lalang’ yang tidak ubah mencekik duit dan nyawa rakyat.

Yang Dipertua PAS Pensiangan, Hisammuddin Sulaiman berkata, janji yang diberikan Barisan Nasional kepada penduduk kawasan Pensiangan dan Keningau ibarat ‘janji pilihanraya’ yang mencekik darah dan nyawa rakyat.

“Janji hospital 5 tahun dulu, hari ini janji lagi… nak buat klinik. Tanah yang rata dah tumbuh lalang. Bukan pendek-pendek… tapi datanglah tengok sendiri.

“Papan tanda pun dah nampak nak terbalik, macam beri signal BN akan terbalik macam itu,” katanya dalam nada yang marah.

Menurutnya, pendedahan yang dibuat oleh Ketua Daerah Nabawan, OKK Sayau dalam sebuah akhbar tempatan Utusan Borneo mengesahkan lagi mengenai ketidakupayaan sebuah kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Musa Aman yang hanya berjanji tapi tidak melaksanakan.

“Bukan saya yang dedahkan maklumat ini. Rakyat Sabah sudah baca kenyataan ini yang dikeluarkan sendiri oleh rakyat Sabah,” jelasnya.

Kata Hisammuddin, keresahan rakyat terutama golongan ibu yang mengandung yang menghadapi kesukaran mendapat bantuan di saat kelahiran bayi.

“Bayangkan ibu-ibu yang ingin melahirkan bayi terpaksa mengharungi jalan berbatu sejauh di pedalaman Sook menuju ke hospital terdekat di Keningau.

“Ada kemungkinan tidak sempat tiba di hospital, anak sudah dilahirkan dalam perjalanan,” dakwanya.
Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Sabah mendesak kerajaan negeri menyediakan prasarana yang mencukupi di Klinik Nabawan.

“Klinik ini bukan kekurangan kakitangan, malah ubat-ubatan yang diperuntukkan tidak mampu menampung keperluan penduduk,” katanya.

Monday, December 12, 2011

Negara Berkebajikan: PAS tawar hapus cukai dan tol

Negara Berkebajikan: PAS mahu rakyat jadi tuan

SHAH ALAM, 11 Dis: Konsep Negara Berkebajikan yang ditawarkan PAS adalah memperjuangkan hak rakyat di mana rakyat adalah tuan, manakala kerajaan pula hanya bertindak sebagai pemegang amanah kepada wang rakyat.

Bercakap sewaktu melancarkan buku 'Negara Berkebajikan: Tawaran PAS' di perkarangan Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di sini,  Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan konsep yang mahu dibawa PAS itu mengikut panduan yang ditetapkan dalam al-Quran.

"Kita ingin mengubah konsep sekarang yang mana kerajaan menjadikan rakyat sebagai bahan untuk diniagakan, segala sumber pendapatan negara diambil melalui rakyat mengikut cukai-cukai yang ditetapkan.

"Kerajaan adalah khadam kepada rakyat, pemimpin adalah pemegang amanah jadi kita mahu hak rakyat dikembalikan mengikut saluran yang betul," katanya.

Buku setebal 59 muka surat itu menggariskan tentang konsep, polisi dan agenda yang akan ditawarkan oleh parti itu bersama Pakatan Rakyat sekiranya diberi peluang mentadbir negara.

Dalam bahagian polisi-polisi umum, Negara Berkebajikan akan melihat dan menambahbaik polisi-polisi sedia ada termasuk dalam polisi politik, ekonomi dan sosial.

Dalam pada itu Abdul Hadi memberitahu pentadbiran kerajaan sekarang hanya berkonsepkan 'kekayaan negara berpusing kepada orang tertentu sahaja' sedangkan rakyat terus terseksa.

"Sepatutnya harta kekayaan negara disalurkan kepada rakyat selain digunakan untuk pembangunan negara, malah jika kerajaan ingin mencari sumber pendapatan maka cukai perlu dikenakan tetapi tidak semua rakyat perlu membayar cukai.

"Sebab itulah Pakatan Rakyat ingin memansuhkan terus tol kerana rakyat yang tidak sepatutnya dikenakan cukai juga turut terbeban pembayaran tol, inilah yang dijanjikan di dalam Buku Jingga serta konsep negara berkebajikan," sambungnya lagi.

Ahli Parlimen Marang itu juga menegaskan konsep negara berkebajikan ini juga akan menjadi menifesto pada pilihanraya yang akan datang dan ia selaras dengan kesepakatan di dalam Buku Jingga.

Tawar 10 agenda

Dalam buku itu juga, PAS memperincikan 10 agenda yang ditawarkan PAS yang menyentuh kerajaan beramanah, adil dan bersih, masyarakat penyayang, aman dan bersatu, serta ekonomi mampan, seimbang dan saksama.

Selain itu, Abdul Hadi yang menyentuh mengenai pendidikan berkualiti, perkhidmatan kesihatan yang cekap dan berkualiti, kebajikan langsung, menyeluruh dan mesra rakyat serta keluarga harmoni, bahagia dan bermoral.

Abdul Hadi yang juga ahli parlimen Marang turut menghuraikan mengenai belia dan pekerja produktif, kemudahan prasarana berkualiti serta pemeliharaan alam sekitar.

Buku ini juga merupakan penjelasan kepada buku pertama yang ditulis Abdul Hadi sendiri yang bertajuk "Konsep Asas Negara Berkebajikan" yang telah dilancar sebelum ini.

Kedua-dua buku tersebut adalah susulan daripada ucapan dasar yang dibentangkannya dalam Muktamar Tahunan PAS ke-57 Jun lalu yang bertemakan "Membangun Negara Berkebajikan".

"Mudah-mudahan ia akan jadi pemangkin kepada rakyat untuk menyokong PAS dan Pakatan Rakyat pada pilihanraya nanti.

"Jika rakyat menilai secara jelas negara kebajikan ini maka ia akan melancarkan laluan Pakatan Rakyat ke Putrajaya nanti," kata Abdul Hadi.

Menteri dakwa birokrasi punca debat UM batal

KUALA LUMPUR, 11 Dis: Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah mendakwa karenah birokrasi oleh pentadbiran Universiti Malaya (UM) punca debat Auku antara pelajar malam kelmarin dibatalkan.

Meluahkan rasa dukacita dengan tindakan pembatalan itu, beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata pihak universiti sepatutnya menjadi pemudah cara kepada aktiviti yang mahu dianjurkan mahasiswa bukan menjadi penghalang kepada mereka.

"Mahasiswa mohon kelulusan daripada Fakulti. Kelulusan tak diberi kerana kurang komunikasi Fakulti-HEP. Ini karenah birokrasi.

"Saya junjung peraturan.Tapi kita ada budi bicara. Bila mahasiswa anjur program ilmu, kita patut facilitate bukan frustrate," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sambil mendakwa telah menghubungi kedua-dua pihak termasuk penganjur dan HEP UM, Saifuddin menyifatkan kerenah birokrasi tersebut 'tak patut berlaku'.

Semalam, TNC HEP UM Datuk Rohana Yusuf menjelaskan pihaknya terpaksa campur tangan dengan meminta debat di Fakulti Undang-undang universiti berkenaan dihentikan kerana ia diadakan tanpa kebenaran.

Rohana berkata, pihaknya tidak bermaksud mahu menyekat kegiatan pelajar, tetapi seharusnya program berkenan diadakan menggunakan saluran yang betul.

Pihak penganjur pula, Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami) dan  Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) melahirkan kekecewaan mereka terhadap pentadbiran UM kerana program itu terpaksa dibatalkan ketika sedang berlangsung.

Setiausaha Agung Kami, Khairul Naim berasa terkilan dan kecewa apabila program debat yang sebenarnya bersifat akademik dan mendidik ini diganggu oleh pengawal keselamatan dan “special branch” ketika debat antara Ahmad Shukri Che’ Ab. Razab yang merupakan bekas aktivis Pro-Mahasiswa dan Syamsul Salleh iaitu bekas Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Putra Malaysia sedang rancak berjalan pada pusingan kedua.

Gugur Hasan Ali hanya fitnah Utusan

SHAH ALAM, 11 Dis: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menafikan laporan yang dikeluarkan oleh media milik Umno Mingguan Malaysia hari ini bahawa Datuk Dr Hassan Ali dan Nasharudin Mat Isa digugurkan dari menjadi calon pada pilihanraya nanti.

Sambil membidas laporan Utusan itu, beliau berkata ianya hanya satu tuduhan tidak benar memandangkan PAS sendiri belum membuat sebarang keputusan rasmi berhubung senarai nama calon yang akan bertanding.

"Apa yang disiarkan oleh Utusan Malaysia itu tidak benar, bagaimana ia tahu nama-nama calon sedangkan peringkat PAS Pusat pun belum memberi keputusan rasmi.

"Perkara itu tidak perlu timbul sekarang sebab semuanya belum ada keputusan rasmi dan kita tidak akan umum nama-nama yang akan bertanding selagi belum tibanya hari penamaan calon," jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perlancaran Dokumen Negara Berkebajikan: Tawaran PAS di Kompleks PKNS di sini.

Utusan Malaysia melalui Mingguan Malaysia hari ini mendakwa Hasan yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, akan digugurkan daripada menjadi calon pilihan raya umum.

Kata akhbar itu, pengguguran Hasan sebagai calon PAS pada pilihan raya umum sememangnya telah dijangka dan ia hangat diperbincangkan di blog-blog tempatan.

Sementara itu Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu secara berseloroh menyifatkan Utusan sebagai 'lebih PAS' dari pimpinan PAS apabila mengetahui perkara yang belum dibincangkan oleh parti itu.

"Saya sendiri belum tahu lagi dicalonkan atau tidak sebab tiada keputusan lagi dan pelik juga bila nama Dr Hassan disebutkan sebagai digugurkan sebagai calon.

"Kalau saya sendiri belum pasti kedudukannya maka kenyataan yang dikeluarkan oleh akhbar milik Umno itu tidak tepat dan fitnah semata-mata," katanya.

Sekitar program maghi Ggateh di Kuala Krai





















Sunday, December 11, 2011

Debat: Anwar terima, mahasiswa tunggu respons Najib

KUALA LUMPUR, 11 Dis: Perdebatan dan perbincangan berkaitan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) kini semakin rancak dibahaskan.

Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN), Mohd Syahid Mohd Zaini berkata, banyak siri perdebatan berkaitan Auku, Pilihan Raya Umum, demokrasi dan sebagainya mula diketengahkan oleh para pimpinan negara mahupun pimpinan kampus.

Ini, katanya suatu fenomena dan petanda baik kepada arena akademik dan sistem demokrasi di Malaysia.
Menruutnya, dalam keadaan rakyat dan pemimpin negara ingin terus membuka ruang demokrasi, namun mahasiswa kini kecewa dan terkilan kerana masih ada Hal Ehwal Pelajar (HEP) di kampus yang masih belum boleh memberikan peluang dan ruang untuk mahasiswa bebas berakademik mahupun melaksanakan program-program sendiri tanpa gangguan mereka.

“Pihak pentadbiran sekarang perlu lebih terbuka dan memberikan kepercayaan kepada mahasiswa dalam mengendalikan sesuatu perkara kerana mahasiswa ialah insan yang intelek dan mampu untuk berfikir sendiri dengan rasional,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, rentetan dari insiden debat di Universiti Malaya (UM) yang diganggu oleh pengawal keselamatan atas arahan TNC HEP itu, gerakan kebebasan akademik tetap akan terus untuk melaksanakan debat perdana antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Tambahnya, tajuk yang disepakati di peringkat mahasiswa untuk mereka bahaskan ialah ‘Mahasiswa, Universiti dan Negara’ pada 15 Disember ini di Dewan Himpunan Cina, Kuala Lumpur.

Makluman terkini, katanya Anwar telah menerima pelawaan tersebut sebagai pembahas di peringkat Pakatan Rakyat.

Namun, ujarnya sehingga kini masih tiada sebarang respons balas dari surat jemputan mahasiswa kepada Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang juga merupakan Perdana Menteri Malaysia sekarang mewakili Barisan Nasional.

“Selaku Perdana Menteri yang disegani, mahasiswa sentiasa berharap agar pelawaan untuk berdebat berkaitan isu mahasiswa itu diterima.

“Sekaligus penerimaan itu akan membuktikan bahawa Datuk Seri seorang yang sentiasa peka dan perihatin terhadap isu-isu mahasiswa,” katanya.

Beliau menambah, dalam kondisi pilihanraya umum yang semakin hampir, para pemimpin negara kedua-dua parti perlu lebih mendekati anak muda terutama mahasiswa.

Ini, ujarnya kerana jatuh bangun pemimpin yang akan bertanding dalam PRU 13 nanti akan ditentukan oleh para pengundi.

Justeru, kata beliau mereka perlu ingat bahawa kuasa pengundian mahasiswa juga besar kesannya kepada kejayaan seseorang pemimpin itu dalam PRU 13 nanti.

“Semoga impian rakyat dalam mengimpikan Malaysia yang sejahtera dan universiti yang subur dengan budaya ilmu dan intelektual akan terus direalisasikan oleh para pemimpin negara dengan baik.

“Berikan ruang berakademik dengan sebaiknya kepada para pensyarah dan mahasiswa, pasti hasilnya negara kita akan lebih hebat dan makmur di masa depan,” ujarnya lagi.

Kemeriahan Ijtimak Tarbawi Pilihanraya Petanda Awal Putrajaya Kembali ke Pangkuan Jalan

KUALA LUMPUR, 10 Dis – Ijtimak Tarbawi Pilihanraya yang diadakan di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) di sini membuktikan PAS sudah bersiap sedia sepenuhnya menghadapi PRU 13. Acara yang berlannsung selama sehari ini dihadiri oleh seluruh pimpinan dan wakil dari segenap kawasan.

Semangat perjuangan untuk mempertahankan Islam sebagaimana termaktub dalam perlembagaan PAS sentiasa dalam fikrah dan tindakan Ahli-ahli PAS di semua perigkat. Amanat YAB Mursyidul Am PAS  Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz, teguhkan jemaah dan teruskan jihad. Kertas panduan tarbiyaah oleh pengarah tarbiyyah dan perkaderan PAS pusat, peranan tarbiyyah kepada petugas pilihanraya. Sementara itu kertas 2 pula dibentang oleh  YB Ust Abd Halim Abd. Rahman Bendahari PAS Pusat tentang Jihad dan penghayatannya dalam bertekad memenagi PRU 13.




Program diakhiri dengan amanat Presiden Tuan Guru Haji Abdul Hadi yang menekankan kesepaduan fikrah dan amal jama’ie dalam menghadapi PRU 13 memberi momentum baru ke arah memrealisasikan konsep hijrah sebagaimana di dalam pengajaran sirah Rasulullah SAW.