Monday, December 12, 2011

Menteri dakwa birokrasi punca debat UM batal

KUALA LUMPUR, 11 Dis: Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah mendakwa karenah birokrasi oleh pentadbiran Universiti Malaya (UM) punca debat Auku antara pelajar malam kelmarin dibatalkan.

Meluahkan rasa dukacita dengan tindakan pembatalan itu, beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata pihak universiti sepatutnya menjadi pemudah cara kepada aktiviti yang mahu dianjurkan mahasiswa bukan menjadi penghalang kepada mereka.

"Mahasiswa mohon kelulusan daripada Fakulti. Kelulusan tak diberi kerana kurang komunikasi Fakulti-HEP. Ini karenah birokrasi.

"Saya junjung peraturan.Tapi kita ada budi bicara. Bila mahasiswa anjur program ilmu, kita patut facilitate bukan frustrate," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sambil mendakwa telah menghubungi kedua-dua pihak termasuk penganjur dan HEP UM, Saifuddin menyifatkan kerenah birokrasi tersebut 'tak patut berlaku'.

Semalam, TNC HEP UM Datuk Rohana Yusuf menjelaskan pihaknya terpaksa campur tangan dengan meminta debat di Fakulti Undang-undang universiti berkenaan dihentikan kerana ia diadakan tanpa kebenaran.

Rohana berkata, pihaknya tidak bermaksud mahu menyekat kegiatan pelajar, tetapi seharusnya program berkenan diadakan menggunakan saluran yang betul.

Pihak penganjur pula, Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami) dan  Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) melahirkan kekecewaan mereka terhadap pentadbiran UM kerana program itu terpaksa dibatalkan ketika sedang berlangsung.

Setiausaha Agung Kami, Khairul Naim berasa terkilan dan kecewa apabila program debat yang sebenarnya bersifat akademik dan mendidik ini diganggu oleh pengawal keselamatan dan “special branch” ketika debat antara Ahmad Shukri Che’ Ab. Razab yang merupakan bekas aktivis Pro-Mahasiswa dan Syamsul Salleh iaitu bekas Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Putra Malaysia sedang rancak berjalan pada pusingan kedua.

No comments: