Thursday, February 28, 2013

Kuliah Bulanan PAS Kawasan Machang 02hb Mac 2013


Protes: Rosmah Mansor ‘diserang’ siswi UKM


BANGI: Sekumpulan mahasiswi daripada Ikatan Studi Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (ISIUKM) hari ini telah melakukan protes aman di hadapan Dewan Canselor Tun Abdul Razak (Dectar) terhadap isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Lebih kurang 50 orang mahasiswi telah berkumpul di hadapan dewan tersebut bagi menyatakan protes terhadap penyelewengan yang telah dilakukan oleh isteri pemimpin nombor satu negara itu.

Rosmah yang dikatakan hadir ke UKM bagi merasmikan program bersama mahasiswa UKM telah menerima tekanan hebat apabila sekumpulan mahasiswi telah berkumpul di luar dewan sambil memegang sepanduk dengan mesej menolak penyelewengan dan pembaziran duit rakyat yang didakwa telah dilakukan oleh beliau.

Mahasiswi itu dikatakan telah mula berkumpul di luar dewan pada jam 4 petang sebelum menyambut Rosmah yang dijadualkan akan habis program pada jam 4.30 petang.

Sekumpulan pengawal keselamatan bersama staf kakitangan UKM cuba untuk menghalang protes itu daripada terus berlaku namun ternyata mereka gagal mengekang kehendak mahasiswi tersebut untuk terus melakukan protes secara aman itu.

Walau bagaimanapun, apa yang menghampakan mahasiswi tersebut adalah ‘ketakutan’ Rosmah untuk bertemu dengan mereka apabila beliau telah dibawa keluar secara senyap-senyap melalui belakang kereta-kereta yang diletakkan di sekitar dewan tersebut.

Rosmah yang hadir ke UKM dengan menaiki kereta Mercedez Benz mewah terpaksa balik dengan kenderaan biasa selepas terpaksa keluar dari dewan secara sembunyi.

“Perkara yang kita mahu hari ini hanya untuk menyatakan hasrat rakyat terhadap Datin Seri Rosmah, namun ternyata beliau begitu takut untuk bersemuka dengan kami.

“Walaupun kami tidak berjaya untuk bersemuka dengan Rosmah pada hari ini, namun kami telah berjaya membuat Rosmah balik dengan cara yang itu. Ini baru permulaan dari kami,” tegas Hamiza Hani Omar, Pengerusi Hal Ehwal Siswi ISIUKM merangkap Timbalan Setiausaha Agung Gamis.

Ceramah Isu - Isu Semasa 28/2/2013


4 pemuda PAS direman gara-gara kain rentang


Kan rentang yang menjadi punca pertelingkahan tersebut.

MARANG: Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu berkumpul bersama ahli keluarga dan kenalan mangsa tahanan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah Marang, hari ini.

Ketuanya, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata Pemuda PAS Terengganu melahirkan rasa simpati dan memberi sokongan moral 100 peratus kepada empat individu terbabit serta ahli keluarga masing-masing.

Katanya, kejadian tersebut dapat dielakkan jika semua pihak bersikap matang serta tidak melakukan sebarang provokasi melampau hingga mencetuskan keresahan masyarakat.

Menurutnya, mutakhir ini kejadian provokasi dan pengkhianatan semakin menjadi-jadi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab termasuk dari Umno BN.

“Kami hadir ke balai polis Marang ini untuk sama-sama beri sokongan moral kepada mangsa tahanan reman dan ahli keluarga mereka.

“Semua ini tidak berlaku jika pihak Umno BN bersikap matang dan tidak melakukan provokasi dalam mempamerkan kain rentang atau banner kempen untuk parti mereka,” ujarnya kepada Harakahdaily ketika ditemui di pekarangan balai polis berkenaan.

Justeru, katanya, tuduhan PAS membenarkan kalimah suci Allah itu dipergunakan sewenang-wenang untuk kempen Bible dalam Bahasa Melayu adalah fitnah yang direka Umno BN.

Harakahdaily dimaklumkan, kesemua suspek berusia antara 28 hingga 38 tahun termasuk tiga adik-beradik ditahan reman selama lima hari.

Mereka terdiri daripada Roslam Abdullah, 35, Rosdi Abdullah, 34, Muhammad Lukman Abdullah, 28, dan Muhamad Musa, 38, yang bekerja sendiri adalah pemuda PAS Cawangan Kampung Jerung

Mereka ditahan gara-gara pemasangan kain rentang bersifat provokasi yang dipasang oleh pengerusi penaja Umno Cawangan Bukit Chempedak.

Pengerusi penaja itu telah membuat satu laporan polis yang mendakwa kononnya empat individu terbabit menyerang, mencekik serta membuat ugutan bunuh ekoran pertikaman lidah pada kira-kira jam 6.30 petang 25 Feb lalu berhubung kain rentang itu.

Malah, keempat-empat individu berkenaan turut difitnah mahu mencederakan ahli keluarganya serta mahu membakar rumahnya.

Selepas kejadian tersebut dipercayai pihak terbabit segera menurunkan kain rentang berkenaan yang jelas tertera logo Umno dan Barisan Nasional (BN) termasuk lambang 1Malaysia.

Manakala, Ketua Pemuda PAS Marang, Ustaz Mohammad Khalil Abdul Hadi menafikan laporan media mengaitkan tragedi pergaduhan tersebut kerana PAS tidak berpuas hati dengan penubuhan penaja Umno Cawangan Bukit Chempedak.

Katanya, laporan media itu tidak tepat kerana yang menjadi punca adalah pemasangan kain rentang berbentuk provokasi terhadap PAS dalam penggunaan kalimah Allah.

“Ini kerana, laporan media sebelum ini tidak tepat kerana yang menjadi punca pergaduhan itu bukan kerana Umno tubuh cawangan baru. Hakikat sebenarnya, berpunca dari kain rentang atau banner berbentuk provokasi yang dipasang oleh pihak Umno dan Barisan Nasional (BN).

“Kain rentang itu berkait dengan kalimah Allah. Mereka (Umno) kata (tulis) AWAS!!!!!! Anda Undi PAS bermakna Anda Sokong Allah Digunakan Dalam Bable Bahasa Melayu.

“Kita akan membuat laporan polis terhadap kain rentang itu dan harap pihak terbabit diambil tindakan sewajarnya,” jelasnya yang juga AJK Pemuda PAS Malaysia.

Mesyuarat Jentera Pilihanraya MTD Pulai Chondong


Manifesto Pakatan Rakyat mesra anak muda


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melihat 10 perkara penting yang ditekankan di dalam manifesto Pakatan Rakyat (PR) adalah bagi tawaran kepada anak muda khasnya dan rakyat amnya untuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 ini nanti.
“Ianya sudah tentu bagi menjamin peranan dan keperluan anak muda di era perubahan dan keyakinan atas sokongan kepada PR bagi membina Negara yang lebih berprinsipkan keadilan dan berkebajikan,” ujar Naib Ketua DPPM, Dr. Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss (gambar).

Katanya, antara intipati yang menarik yang boleh dikongsi bersama anak muda adalah jaminan PR untuk memastikan 1 juta peluang pekerjaan baru untuk rakyat khasnya.

Malah, ujarnya penekanan bagi perlaksanaan gaji minima juga diambil berat dan penubuhan tabung dengan peruntukan RM2 bilion bagi permudah pelaksanaan gaji minima.

Tambahnya lagi, antara penekanan lain juga adalah untuk memastikan 1 juta tenaga kemahiran terlatih dari kalangan lepasan sekolah diwujudkan.

PR juga, ujar beliau melihat perlunya universiti teknikal di negara ini dan akan menyediakan lima buah universiti tersebut.

“Penyediaan latihan kepada 1 juta belia dan lepasan sekolah akan dirangka oleh kerajaan PR jika diberikan mandat oleh rakyat kelak, malah penyediaan 25 sekolah vokasional juga sebahagian daripada perancangan untuk generasi belia dalam negara kita,” katanya lagi.

Beliau menambah, bagi rumah mampu milik juga menjadi fokus utama untuk semua lapisan masyarakat dan golongan anak muda yang telah mendirikan rumah tangga juga mengisi keperluan tersebut.

Selain itu, ujarnya PR bersedia untuk melihat dasar automotif yang akan menguntungkan rakyat khasnya bagi tujuan keperluan kenderaan.

“Malah PR juga berjanji agar Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dihapuskan. Penumpuan ke atas pakej pengajian dan perkhidmatan awam juga dipastikan bagi kemudahan dalam negara kita.

“Kami yakin pengisian di atas manifesto PR akan menjamin dan memelihara Negara kita agar lebih berdaya saing dan menjadi negara maju di masa hadapan,” katanya.

Tambah beliau lagi, ia juga mengisi kehendak dan peranan yang dimainkan oleh generasi muda khasnya yang menjadi aset penting di dalam negara kita.

Tidak terlintas berundur dari PAS - Haron Din


Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din menjadi perhatian apabila Majlis Syura Ulamak menjelaskan pendirian mengenai kalimah Allah. Untuk menunjukkan berlaku pertelingkahan pendapat yang ketara, bukan saja dalam Pakatan Rakyat, khususnya dengan DAP, malah dalam PAS sendiri, media sering mengutip pandangan beliau, ada kalanya di luar konteks.

Melalui internet, Dr Haron Din juga dihebohkan telah keluar PAS. Wakil Harakah, AHMAD LUTFI OTHMAN, SAIDAH HAIRAN dan jurugambar WAN ZAHARI WAN SALLEH berkunjung ke rumahnya di Bandar Baru Bangi, pada 18 Februari lalu, bagi mendapatkan penjelasan lanjut. Hampir dua jam beliau berkongsi cerita. Berikut adalah petikan daripada wawancara tersebut.


HARAKAH:  Macam-macam khabar angin disebarkan, antara lain  dalam internet, kononnya, Ustaz berhasrat meninggalkan PAS. Ramai yang bertanya dengan kami, minta dipanjangkan dengan Ustaz sendiri.

DR HARON DIN: Memang banyak khabar angin tersebar. Ketika isu kalimah Allah muncul, dikatakan dua Haron akan tinggalkan PAS. Datuk Haron Taib dan saya  tidak bercakap apa-apa pun. Malah hari ini, adik ipar dari Perlis telefon isteri saya, nak pastikan benarkah Haron Din meninggal dunia?

Orang sengaja buat berita sensasi di waktu kita masih ada. Saya tidak ada niat menjelaskan kepada akhbar kerana saya percaya ia tidak akan menyelesaikan masalah, dan kadang-kadang boleh menjadi lebih buruk lagi. Sebelum ini dua tiga kenyataan saya diterbalikkan dan ini cukup memalukan.

Bagaimana muka depan Utusan Malaysia hari ini, Ustaz lawan Karpal Singh?

Selepas solat Subuh di surau, ada orang tanya, bila ustaz buat kenyataan lawan Karpal Singh. Bila pula ... itu diambil ketika saya berceramah di Taiping. Memang saya sebut akan pertahankan kalimah Allah kerana Allah tidak boleh dikufurkan kerana Allah itu Ahad. Itu keluar dalam Youtube.

Tentang keluar PAS, tidak terlintas dalam benak saya, bahawa saya akan keluar PAS dalam menghadapi isu  ini. Melawak tidak pernah, bercakap pun tidak pernah. Selepas bersama dalam perjuangan, tidak terfikir hendak keluar PAS.

Selalu disebut beberapa penulis bahawa Haron Din nampak lembut tapi apabila buat keputusan dia amat tegas. Ketegasan saya itu dilihat sebagai permulaan untuk saya akan berkeras dengan pihak pimpinan PAS. Mungkin faktor itu menyebabkan saya ditafsirkan akan keluar meninggalkan perjuangan.

Dalam menghadapi isu kalimah Allah ini atau apa sahaja isu, saya tidak pernah, malah tidak pernah terfikir untuk meninggalkan perjuangan bersama PAS. Kalau ada orang tidak senang dengan sikap dan pendirian saya, itu cerita lain.

Dimainkan media, tentang kalimah Allah, seolah-olah pendirian Tuan Guru Presiden PAS yang dibacakan selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan,  bercanggah dengan  Majlis Syura Ulamak?


Sekarang ada pihak melagakan seolah-olah Presiden PAS mengambil langkah yang silap dalam menyokong dan membuat deklarasi Majlis Presiden Pakatan Rakyat yang membenarkan penggunaan kalimah Allah kepada orang yang bukan Islam.

Saya hendak betulkan, saya tengok sendiri kenyataan bertulis Tuan Guru Abdul Hadi. Dia sebut pada saya, mana-mana orang termasuk orang kafir boleh menggunakan kalimah Allah dengan syarat tidak menyalahgunakan perkataan itu.

Pemberita sengaja mengambil ayat pertama dan meninggalkan ayat kedua. Dengan lain perkataan, apabila ambil yang pertama saja, iaitu mana-mana orang termasuk orang kafir boleh menggunakan perkataan Allah, memang itu menjadi masalah.

Syarat tidak menyalahgunakan perkataan itu tidak pula disebut. Syarat itu bermakna pendirian Presiden sama dengan pendirian Majlis Syura.

Saya mengolah dan mengatakan bahawa, betul saya juga berpandangan dengan beliau, cuma ayat saya menggunakan ayat negatif dahulu, "tidak boleh dibenarkan ...." Presiden menggunakan ayat positif; "Boleh menggunakannya, tapi dengan syarat tidak menyalahgunakan."

Isu asalnya, pihak Kristian meminta pihak berkuasa agama di Malaysia ini membenarkan mereka menterjemahkan perkataan-perkataan God dalam Bible itu dengan Allah. Itu itu asalnya, kita jangan lari.

Saya sebut banyak kali, Allah menurut kefahaman, amalan dan pegangan kita, bahawa Allah itu selama-lamanya Tunggal, Esa, Ahad.

Selain surah al-Ikhlas, menjadi amalan kita dalam wirid selepas memberi salam solat, maksudnya, "Tidak ada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Dia, Allah yang Esa ... tanpa ada syirik dengan-Nya." Wirid ini kita ulang selepas solat 10 kali.

Apabila sebut Allah sahaja mestilah Allah itu Esa, tidak boleh di tempat God, ia bukan yang satu, bukan yang Esa. Jadi, Presiden sudah tegaskan dari awal, tidak boleh salahguna.

Sebab itu tidak sepatutnya menjadi pertelingkahan sesama kita kerana ia adalah benda yang senang difahami.

Adakah isu kalimah Allah ini akan menyebabkan terjejasnya sokongan kepada Pakatan apabila rakyat menyaksikan bertelingkah pendapat sesama sendiri?

Saya lebih melihat  isu ini sengaja dibesar-besarkan untuk menunjukkan pimpinan Pakatan tidak bersatu, lebih-lebih lagi PRU13 sudah di ambang pintu.

Memang agenda lawan untuk melaga-lagakan kita. Kekuatan Pakatan semakin meningkat dan  boleh menggugat kerajaan BN yang ada.  Jadi bagaimana hendak mengalahkan Pakatan  supaya tidak boleh kuat sampai boleh menumbangkan BN dengan mudah? Satu sahaja caranya, iaitu pecah-belahkan Pakatan. Jika Pakatan bersatu, ia  memang ancaman besar yang boleh menyebabkan Umno-BN  tersungkur.

Mencari jalan supaya Pakatan  berpecah memang agenda utama media. Dari dulu hingga sekarang, jika ada saja peluang untuk dilagakan sesama rakan kongsi dalam pembangkang, Umno-BN akan lakukan. Kebetulan timbul, antaranya isu kalimah Allah sekarang. Memang isu ini menyentuh perasaan dan hati nadi umat Islam.

Kita berpegang kepada tahaluf siyasi, iaitu kita berkongsi dan bermuafakat menghadapi musuh politik yang sama. Hendak mengalahkan mereka memang agak sukar tapi dengan bersatu kita boleh. Di sinilah kita berpakat dan tidak berlawan sesama kita dalam pilihan raya.

Yang kedua, ada kena mengena dengan dasar bagi setiap parti komponen Pakatan. Mungkin dalam DAP ada pegangan dia dan ada perkara yang mereka tidak boleh bertolak ansur.  Dalam Pakatan Rakyat pun sama. Sama juga dalam PAS, kita ada al-Quran ada as-Sunnah. Sesuatu yang melanggar al-Quran, kita tidak boleh bertolak ansur.

Matlamat terdekat Umno-BN, untuk menghadapi pilihan raya yang sengit ini, maka Pakatan akan digambarkan  tiada persepakatan dan bertelagah sesama sendiri. Macam mana mereka hendak memerintah Malaysia jika bercakaran sesama parti komponen dalam Pakatan?

Itulah  gambaran media. Sedangkan  pertelagahan lebih teruk berlaku sesama Umno. Begitu juga Umno dengan MCA, Umno dengan Gerakan tetapi tidak diuar-uarkankan media, yang dikawal ketat parti pemerintah.

Sepatutnya rakyat Malaysia telah lama faham, ini bukan kali pertama kita menghadapi mainan media. Malah dari dulu lagi, setiap kali pilihan raya, maka  akhbar atau media arus perdana, termasuk pilihan raya kecil apatah lagi pilihan raya umum, misalnya akan disiarkan hari ini 50 orang PAS masuk Umno.

Selang sehari 100 orang PAS masuk Umno. Kalau kita kumpulkan berita orang PAS masuk Umno, mungkin dah tak ada orang dalam PAS. Tapi bila pilihan raya kita menang juga, atau kalau kalah, hanya kita kalah sedikit.

Maknanya, berita seupama itu tidak ubah sebagai perang psikologi. Nak menggambarkan betapa lemahnya parti pembangkang, tapi sebenarnya tidaklah begitu. Saya mengharapkan rakyat, khususnya ahli dan penyokong PAS boleh faham situasi sebenar dan tidak terpengaruh dengan apa yang digambarkan sebagai pertelagahan dalam PAS, begitu juga khabar angin saya atau orang lain akan tinggalkan PAS.

Bagaimana Ustaz melihat kesediaan pimpinan Pakatan Rakyat menangani perbezaan pandangan yang timbul, dengan kesedaran media sememangnya menunggu masa untuk mengeksploitasinya?

Perbezaan pandangan dan pendapat dalam suatu organisasi besar, terutama apabila tiga parti membentuk satu gabungan, tidak mungkin selama-lamanya mereka bersatu pendapat.

Hatta dalam rumahtangga, kita dengan isteri misalnya, sepatutnya tidak berlaku pergeseran kerana kita berkongsi hidup, berkongsi rumah, berkongsi anak, tapi kita berselisih pendapat juga.

Yang penting, jika timbul perselisihan pendapat, kita boleh duduk bincang dan selesaikan. Macam kita selesaikan masalah pembahagian kerusi.

Begitu juga dalam isu kalimah Allah. Kita ada landasan agama yang cukup jelas. Alasan yang kita pegang memang tidak boleh diubah. Sebab itu kita kena terima hakikat bahawa  mereka juga yang ada benda, yang akan kita jumpa nanti, yang tidak boleh diubah.

Saya lihat, ada perkara yang sepatutnya kita lebih awal duduk berbincang dan bermuafakat dalam semua masalah.  Katakanlah, kita senaraikan apa yang menjadi halangan untuk kitaterus bersatu, bukan sahaja isu kalimah Allah, malah  isu-isu lain juga.

Sebelum  keluar dalam akhbar dan akan menjadi bahan mainan media, ada eloknya kita berjumpa atau ketua-ketua parti berbincang lebih awal dan bawa balik kepada parti masing-masing terlebih dahulu supaya dapat kita buat langkah berjaga-jaga. Elok jangan dihebahkan kepada media sebelum persetujuan dapat dicapai.

Kena kerap ada perjumpaan dan perbincangan dalaman dan jika perlu dirujuk kepada Majlis Syura, rujuk dulu. Dalam politik kadang-kadang hal yang remeh pun sengaja dijadikan isu.

Sebenarnya ketetapan Majlis  Syura banyak melegakan pihak dalaman kita. Kita kata perkataan Allah tidak boleh diterjemah. Jika ia diterjemah dengan perkataan apa pun, maka ia akan rosak. Bukan rosak makna sahaja tetapi ia akan merosakkan akidah.

Dalam al-Quran ada lebih 3,000 perkataan Allah. Dalam Bible satu kalimah Allah pun tidak ada. Mereka ada God sahaja. Kenapa pulak hendak dirosakkan hubungan baik antara kedua-duanya sejak sekian lama.

Dalam organisasi kita, ada adab-adab berjemaah. Kalau dibuat keputusan oleh Majlis Syura,iaitu badan tertinggi, sepatutnya mengikut adab berjemaah, semua ahli kena sokong.  Jikayang tidak sokong kerana ada pendirian peribadi, maka sepatutnya dia diam sahaja.

Kalau timbul perpecahan dan sebagainya, takkan kita hendak ambil tindakan? Adab berjemaah itu mengkehendaki supaya kita akur apabila kita sudah ada keputusan.

Media dan Umno sendiri memang meletakkan PAS sebagai sasaran utama, bagi memalitkan imej buruk terutama pada kaca mata umat Islam. Mereka mahu gambarkan PAS sentiasa berundur ke belakang apabila timbul bantahan berkaitan Islam.

Memang menjadi mainan media hendak menggambarkan PAS dalam Pakatan Rakyat ini sentiasa berada dalam keadaan defensif. Apabila diserang kita digambarkan berundur ... sebenarnya tidak begitu. Macam kalimah Allah, kita mara ke hadapan dan tidak ke belakang. Kita pertahankan.

Sewaktu heboh dikatakan Ustaz keluar PAS, difahamkan sebenarnya Ustaz sudahpun diptuskan bertanding dalam PRU13 di Perlis. Ustaz terima tawaran itu?

Saya pernah menawarkan kepada kepimpinan PAS Perlis agar tidak disenaraikan untuk bertanding dalam PRU13 kerana tidak cukup sihat fizikal. Semua orang tahu. Tidak ada orang di Malaysia jantung dibedah lima kali, saya seorang saja (ketawa).

Umur sudah lanjut memang saya terasa banyak kekurangan. Lagi pula sibuk dengan kerja dakwah Darussyifa yang mempunyai banyak cawangan di seluruh Malaysia.

Perhubungan PAS Perlis memanggil saya bersemuka. Saya diputuskan kena bertanding Dun dan Parlimen. Malah Ustaz Hashim Jasim dan Rus'sele Eizan menawarkan Dun yang dimenangi mereka. Saya juga ditawarkan Parlimen Arau. Pada 2008 saya kalah 300 undi sahaja.  Saya tolak tawaran itu.

Mesyuarat tidak terima pandangan saya, mereka kata akan bantu dan tampung kelemahan saya. Akhirnya saya terima satu sahaja, iaitu Parlimen Arau.

Kalau saya berhasrat menarik diri daripada perjuangan, tentulah saya tidak bersedia bertanding. Lagi pun tiada alasan saya hendak meninggalkan perjuangan. Saya sendiri telah mendukungnya sejak 1975, iaitu apabila dicalonkan bertanding Jawatankuasa Agung PAS. Saya dapat undi terbanyak. Ketika itu umur saya 35 tahun.

Saya pegang jawatan sampailah pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dilaksanakan.  Auku mulanya tidak keras, masih boleh pegang jawatan. Sampailah saya  dapat surat, jika hendak bergiat politik, silakan, tapi kena bayar balik biasiswa PhD, nilainya 10 kali ganda.

Apabila  cukup umur 55 tahun pencen, saya tidak mohon bekerja  ‘part time’ seperti lazimnya. Saya aktif semula, dengan jawatan awal Ketua Penerangan PAS Pusat. Kemudiannya dilantik Timbalan Mursyidul Am, sampailah hari ini.

Ia menggambarkan saya tetap bersama dengan kepimpinan dan saya akan bagi sumbang bakti sampai Allah menentukan apa kesudahannya.

Nasihat Ustaz kepada masyarakat Islam yang masih sangsi dengan perjuangan Islam PAS?

Tidak dinafikan PAS sebagai parti Islam tidak mendapat dukungan sepenuhnya umat Islam. Keahlian PAS sendiri walaupun sudah berumur lebih setengah abad sekitar sejuta lebih.

Ini kerana masyarakat Islam di Malaysia lebih banyak termakan asakan media dan tawaran penghidupan  berasaskan nilai  kebendaan, yang meremehkan nilai kerohanian dan tidak menggambarkan Islam itu sebagai wadah yang wajib diimani dan dilaksanakan dalam kehidupan.

Mesej ikrar kita dalam solat, bahawa setiap Muslim tidak boleh terpisah dengan Allah SWT dalam semua gerak kerjanya, tidak dihayati. Isu lama, agama suku politik suku sebenarnya antara yang menjadi punca besar masalah ini.

Maka PAS sebagai sebuah parti Islam, wadah perjuangan kebenaran,  tidak sampai kepada orang ramai melainkan yang dirosakkan oleh media tentang PAS memperalatkan agama untuk kepentingan diri dan sebagainya.

Kemampuan kita untuk menyampaikan mesej parti terhalang. Apapun kita tetap bersyukur, keahlian PAS makin bertambah. Bukan ahli kita sahaja bertambah, sokongan pengundi juga bertambah.

Mutakhir ini dengan adanya media baru, seperti laman web, blog, Facebook dan Youtube, ia telah mengubah persepsi masyarakat kepada perjuangan kita. Penggerak parti turut menunjukkan komitmen tinggi melaksanakan dakwah dan kerja-kerja penerangan di seluruh pelosok negara.

Masyarakat juga semakin jelas dengan propaganda murahan  Umno yang mendakwa memperjuangkan nasib dan kepentingan orang Melayu. Selama lebih 55 tahun mereka berkuasa, ternyata agama kita rugi, ekonomi kita rugi, masalah sosial bertambah parah. Kita masih terkebelakang berbanding orang lain.

Kesedaran itu kini menghambat Umno. Sekarang mereka berhempas pulas hendak mempertahankan kuasa dengan apa jua cara, tetapi rakyat semakin sedar.  Rakyat tidak mudah ditipu atau diperbodohkan lagi.

Atas asas itulah kita tidak boleh berhenti berjuang, media kita kena terus giat memberi penjelasan. Aktivis kita harus lebih proaktif bergerak. Salah faham selama ini mesti diperbetulkan. Kita akan memimpin umat Islam untuk mereka hidup bahagia dunia sampai akhirat.

Jangan lupa kita akan bangun di Padang Mashyar dan akhirnya kita akan masuk syurga. Jadi kalau kita tinggalkan penghayatan hidup beragama dan hanya pentingkan dunia sahaja, macam Umno mengajak orang kepada dunia sahaja, maka masyarakat akan rugi.

Nampaknya seperti ada pendekatan baru Umno menyerang PAS sehingga mereka berani mendakwa bahawa haram menyokong PAS. Juga dikatakan ada barisan ulama muda dalam Umno bagi berdepan dengan PAS dalam isu-isu agama.

Adanya ulama muda dan tua tidak menjadi benda yang ganjil. Sebab manusia selama-lamanya akan terpengaruh dengan kepentingan peribadi.

Orang yang mendakwa mengundi PAS itu haram dan mengundi Umno itu wajib, kita nak tengok juga alasan mereka terlebih dahulu. Mereka  menggunakan alasan PAS bersekongkol dengan DAP yang jelas menentang hudud, maka dengan itu dikatakan undi PAS adalah haram.

Jika  PAS dikatakan bersekongkol dengan orang yang menentang hudud, dan dengan itu haram sokong PAS, maka bagaimana pula Umno sendiri yang menentang hudud.  Yang dikatakan wajib menyokong Umno ... sedangkan Umno itu sendiri menentang hudud, iaitu lebih teruk daripada DAP menentang hudud.

Saya masih ingat surat Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kepada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, pada 1993, ketika Kanun Jenayah  II Kelantan hendak dilaksanakan.

Surat itu memberi amaran keras jika  kerajaan Kelantan melaksanakan hudud, kerajaan Pusat tidak teragak-agak mengambil tindakan keras.

Surat itu tidak ditarik balik sampai ke hari ini. Maknanya, bukan sahaja pemimpin agungUmno yang menentang hudud, malahan orang-orang Umno juga mempermain-mainkan hudud.

Kita juga pernah dengar, misalnya ucapan siapa nak sup tangan, pergilah ke Kelantan. Jelas mereka menentang hudud.  Umno yang memegang kuasa selama 57 tahun ini, pernahkah mereka mengatakan hendak laksanakan hudud. Dengan sendirinya mereka termasuk dalam kelompok orang yang menentang hudud.

Ya, jika PAS yang masih tetap mempertahankan Islam, cuma berkawan dan bertahaluf dengan pihak yang menentang hudud, maka dikatakan haram menyokong PAS, maka  Umno yang menjadi ketua kepada BN,  dia sendiri menentang hudud, bagaimana pula? Sepatutnya kalaulah alasan itu dipakai, maka undi PAS pun haram dan undi Umno pun haram juga.

Ini yang kita bincang, dalam istilah politiknya tahaluf siyasi. Bila tahaluf siyasi, maka kita bertahaluf dengan bukan Islam.

Boleh atau tidak kita bertahaluf dengan bukan Islam? Nabi jawab boleh. Sebab Nabi bertahaluf dengan Bani Quraizah. Apabila Bani Quraizah melanggar tahaluf, baru  Nabi berperang dengan mereka.

Tahaluf itu kerjasama. Boleh atau tidak orang Islam bekerjasama dengan orang kafir? Orang kafir ini selamanya tidak akan terima Islam. Jawapannya, boleh. Nabi semasa hendak berpindah ke Madinah bekerjasama dengan orang kafir.

Kenapa Nabi bekerjasama dengan orang kafir untuk tunjuk jalan ke Madinah? Apakah Jibril tidak boleh tolong tunjuk jalan kepada Nabi? Apakah Nabi tidak boleh dapat wahyu tunjuk jalan ke Madinah. Mengapa ambil orang kafir untuk tunjuk jalan?

Nabi juga bekerjasama dengan orang kafir dalam muamalat. Nabi gadai baju besi kepada Yahudi. Sampai Nabi wafat, baju besi itu ada pada orang Yahudi itu. Adakah tidak ada orang Islam  yang boleh tolong Nabi sehingga  kena gadai baju? Tidakkah menantunya Uthman Affan kaya, bapa mentuanya, Umar Al-Khattab kaya.

Tapi ia bukan soal kaya miskin. Nabi nak beritahu umat Islam boleh bekerjasama dengan orang kafir. Jadi, dari mana datangnya haram bertahaluf dengan bukan Islam itu?

Sedangkan haram hukumnya jika kita mengharamkan benda yang tidak haram atau mengharamkan barang yang dihalalkan Allah. Tahaluf itu tetap halal disebabkan Nabi buat.  Apabila Nabi buat,  maka halallah apa yang kita buat ini kerana ia menurut tindakan Nabi.  Jika kita haramkan barang yang Allah halalkan, itu  dosa yang amat besar.

Maka sebab itu undi PAS dibolehkan, diharuskan, malah disyariatkan, dan ada masanya wajib hukumnya.

Wednesday, February 27, 2013

Najib tolak, tiada sebab sokong Umno BN Selangor


KUALA LUMPUR: Perlantikan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak sebagai Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional Selangor membuktikan pemimpin Umno di negeri itu tidak mempunyai kelayakan.
Sehubungan itu, Persuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman (gambar) 'bersimpati' dengan kepimpinan Umno di Selangor kerana lantikan tersebut menunjukkan Najib seolah-olah hilang kepercayaan kepada mereka.

Malah menurutnya lagi, keputusan yang diambil itu juga membuktikan Umno Selangor tidak mempunyai seorang invidu yang betul-betul berkaliber untuk memegang jawatan tersebut.

"Sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor saya bersimpati dengan pimpinan Umno Selangor atas perlantikan tersebut seolah-olah mereka tidak mempunyai calon yang berkaliber untuk memegang jawatan tersebut.

"Najib yang dari jawatan Perdana Menteri perlu jadi Pengarah Pilihan Raya negeri seolah-olah menunjukkan beliau hilang kepercayaan kepada Umno mahu pun Barisan Nasional negeri bagi menghadapi pilihan raya nanti," jelasnya kepada Harakahdaily.

Kata Abdul Rani lagi, tidak ada alasan kukuh boleh dipertikaikan kerana orang Selangor lebih mengetahui apa yang berlaku di negeri itu, justeru kenapa Najib perlu mengambil peranan itu kalau bukan kerana hilang kepercayaan kepada Umno negeri.

Katanya, desas desus wujudnya perbalahan dalam kepimpinan Umno di Selangor juga terbukti sehingga Najib perlu menanggung risiko bagi mengelakkan ia bertambah parah.

"Dalam keadaan ini rakyat boleh menilai bahawa Umno Selangor sudah hilang ketokohan dan kepercayaan sehinggakan Najib terpaksa turun padang memegang jawatan itu.

"Atas sebab itu jugalah rakyat perlu membuat pilihan yang tepat pada pilihan raya nanti dan terus menolak Umno Barisan Nasional, apa sebab untuk kita memilih mereka sedangkan Najib sendiri pun tidak mempercayai kepimpinan Umno Barisan Nasional Selangor," sambung beliau lagi.

Ceramah motivasi di Dewan Majlis Daerah Machang.Penceramah Motivasi YB Dato Dr Johari Mat dan Dr Wan Zawawi Bin Wan Ismail










Umno hadapi perang dengan jeneral tempang

Umno nampaknya terpaksa menyertai pilihan raya umum ke 13 dalam keadaan serba pincang.

Dengan kumpulan tukang kempen utama mereka iaitu Wanita Umno lumpuh ekoran tragedi lembu masuk kondo dan tanah LTAT, Umno hilang penggerak utama mereka.

Sekarang ini ke mana Wanita Umno bergerak dalam baju merah puteh mereka, bunyi 'mooo' akan dibuat.

Skandal tanah Ketua Wanita Umno Selangor pula memperlihatkan bagaimana Umno mengorban kepentingan anggota tentera untuk kroni mereka.

Pada awal April 2012 lalu, Datuk Raja Ropiah Raja Abdullah, Wanita Umno Selangor yang juga Exco Wanita Umno Malaysia dilantik sebagai senator yang baru.

Beliau menggantikan Datuk Seri Shahrizat Jalil, Ketua Wanita Umno yang terpaksa berundur kerana skandal lembu masuk kondo.

Namun, selepas itu meletus skandal LTAT yang didedahkan oleh bekas rakan perniagaan isteri perdana menteri, Deepak Jaikishan dan diperjelaskan lagi oleh Rafizi Ramli yang sebelum itu 'membunuh' kerier politik Shahrizat.


Pemuda lumpuh

Ketika tukang kempen mereka lumpuh, Pemuda Umno juga tidak kelihatan bergerak.

Kalau selama ini bilik gerakan Umno banyak dipenuhi oleh tenaga muda mereka, kini Pemuda juga sunyi sepi.

"Tidak ada wang bang, macamana nak gerak," kata seorang pemimpin muda Umno kepada penulis.

Berikutan tindakan pimpinan Umno yang terlalu takut kepada Tun Dr Mahathir, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin sehingga kini tidak mendapat sebarang jawatan dalam kerajaan.

Akibatnya, sumber kewangan untuk menggerakkan Pemuda Umno terputus langsung.

Sedangkan semua tahu memang menjadi budaya dalam Umno tanpa wang semua kerja tidak boleh jalan.

Keadaan itu semakin parah apabila semua ketua-ketua pemuda Umno negeri juga dilantik Khairy.

Hasilnya sebagaimana Khairy bermasalah di pusat, ketua-ketua pemuda negeri pula bermasalah di negeri masing-masing.

"Masalah paling besar kepada pemuda adalah apabila Khairy diketepikan, tidak ada mana-mana pihak yang berani mendekati atau membantu Khairy.

"Ini kerana mereka tidak mahu dilihat membantu atau bersama Khairy kerana takut diserang oleh orang PM dan juga orang Tun (Dr Mahathir).

"Hasilnya Khairy sedang mati perlahan-perlahan bersama seluruh jentera pemudanya," kata sumber itu.

Yang terakhir, apabila pemuda mencalonkan 25 nama dari kalangan mereka untuk dijadikan calon dalam polihan raya ini, hanya dua nama saja yang lekat.

Kini pemuda menunggu masa saja untuk bertindak, apatah lagi kalau pemilihan calon ini menjadi realiti nanti.


Azalina


Di samping pemuda dan wanita, semua terasa sejak Datuk Azalina Othman Said meninggalkan Puteri Umno, sayap Umno untuk wanita muda ini seolah-olah sudah tidak ada.

Dengan berketuakan pemimpin dari Sabah, Puteri Umno seolah-olah sudah tidak ada lagi di medan.

Serangan Najib terhadap Azalina ketika beliau baru mengambil alih pucuk kepimpinan negara dari Pak Lah benar-benar menghiris Azalina.


(Puteri Umno ketika berada di zaman kegemilangannya)

"Kita bukan mahu melihat muka menterinya, kita hendak melihat tempat-tempat pelancongan," begitulah kira-kira kata Najib membidas bilboard pelancongan yang dipasang Azalina untuk membuat promosi ke atas kawasan pelancongan di negara ini.

Hasilnya tidak lama selepas itu semua bilboard ini jatuh bersama jatuhnya Azalina dari arus perdana politik Umno dan Malaysia.

Namun manusia ini sama saja. Ia lebih  mudah melihat kesilapan mereka yang bekerja tetapi sukar untuk melihat mereka yang tidak bekerja dan diri mereka sendiri.

Kalau dulu Najib marah kerana muka Azalina dalam bilboard pelancongan, sekarang muka Najib bukan di bilboard saja bahkan di mana-mana. Hatta pintu tandas pun ditampal gambar Najib.

Tidak cukup dengan itu, semua pengundi baru akan menerima surat bermuka Najib memujuk dan merayu mereka agar memberikan peluang sekali lagi kepada BN.

"Terharunya...takkan sampai merayu begini sekali. Sampai minta maaf segala," kata seorang gadis yang menerima surat Najib. Beliau adalah antara kira-kira 5.2 juta pengundi baru yang bakal mengundi buat pertama kalinya.

Selain wanita, pemuda dan puteri, ramai yang beranggapan, Putera Umno hanya tingga Datuk Azeez (Abdul Rahim) seorang sahaja.

Ini kerana, inilah saja muka dipromokan termasuklah kononnya dilantik menjadi duta oleh negara Palestin. Padahal lebih 1,000 orang telah dilantik oleh kerajaan Hamas untuk menjadi duta kepada negara dan perjuangannya.

Dengan ketiga-tiga sayap utama lumpuh dan sayap Putera tinggal Azeez seorang, bagaimanakah Umno mahu meneruskan peperangan ini.

Najib bukan sahaja berdepan dengan Deepak Jaikishan, sekarang PI Bala juga balik untuk meranapkan lagi kredibiliti beliau. Hantu Altantuya akan mengejar ke mana-mana beliau pergi.

Hatta perbelanjaan jutaan ringgit untuk membawa penyanyi Gangnam Style, Psy, juga masuk ke dalam longkang sahaja apabila penonton sepakat berkata "NO" kepada Barisan Nasional.

Memang Tun Dr Mahathir berusaha untuk menukar jeneral perang Umno ini, namun dengan satu kes sahaja dibuka, iaitu RCI Sabah, Mahathir terpaksa melutut kepada Najib.

TV3 dengan bangganya melaporkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad antara tetamu VIP yang turut menyambut kepulangan Perdana Menteri Malaysia dari luar negara.

Inilah dilema besar Umno. Muhyidin Yassin dimalukan di Sabah bahkan Ng Yen Yen juga dimalukan di majlisnya sendiri di Jonker Walk, Melaka.

Umno hadapi perang kali ini dengan semua jeneralnya tempang...yang tinggal hanya tukang raba yang sedang mencatur dalam War Room Umno.

Kelantan ‘zon selesa’ bersama kepimpinan ulama

Zainuddin melawat gerai pameran.

KOTA BHARU: Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Kelantan, Drs Zainuddin Awang Hamat berkata perkembangan politik berada pada tahap ‘zon selesa’ di bawah kerajaan  kepimpinan ulama berteraskan Membangun Bersama Islam, meletakkan negeri ini salah satu lokasi terbaik perkembangan ekonomi dan tahap keamanan.

Persamaan budaya masyarakat negeri ini dengan masyarakat Selatan Thailand menjadi faktor meningkatnya keupayaan ‘kerjasama politik’ , ekonomi dan kebudayaan.

Bahkan Zainuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Limbongan berkata, kegiatan budaya masyarakat Kelantan itu merancakkan lagi sumber pelancongan negeri.

“Kedatangan pelancong ke negeri ini kira-kira empat juta orang setahun, selaras dengan target Kerajaan Negeri,” katanya ketika ditemui pada Pesta Makanan Thai 2013 di Dataran Muhammadi di sini, malam tadi.

Bagi pihak kerajaan negeri, beliau berterima kasih kepada pihak Selatan Thailand yang berjaya menganjurkan pesta makanan kali keempat itu bermula 25 Februari hingga 3 Mac ini.

Sebanyak 80 booth usahawan dan peniaga masyarakat Selatan Thailand,  sekaligus  mengangkat  ‘aras industri kreatif’ peserta.

“Kita lihat masyarakat Thailand khususnya dari sudut perkembangan ekonomi masyarakat kampung itu sendiri berkembang maju.  Produknya banyak, semuanya menunjang ke tahap pendapatan masyarakat luar bandar tanpa mengira sama ada muslim dan non-muslim.

“Jadi dengan adanya festival ini, kita di Kelantan ’boleh duplicate’,” katanya.

PR akui kesilapan royalti minyak tertinggal

(Anwar membetulkan manifesto Pakatan dengan diperhatikan Nazri di Pasir Puteh petang tadi)

KOTA BHARU: NGO 'R' mengucapkan syabas kepada pimpinan Pakatan Rakyat kerana berfikiran terbuka dan bersedia mengakui kesilapan serta sanggup memperbaikinya demi menjaga kepentingan rakyat.

Ini ekoran pengakuan pimpinan Pakatan bahawa mereka tertinggal memasukkan tuntutan untuk mendapatkan 20 peratus royalti minyak  kepada negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang bukannya Sabah dan Sarawak sahaja.

"Saya ingin menyampaikan komen ikhlas saya kepada pimpinan tertinggi dalam PAS, PKR & juga sekritariat PR dengan ucapan syabas kerana berfikiran terbuka da bersedia mengakui kesilapan serta sanggup memperbaikinya demi menjaga kepentingan rakyat," kata Presiden R, Nazri Deraman (gambar).

R hari ini menyerah surat kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar Pakatan Rakyat mengubah manifesto Pakatan Rakyat dengan memasukkan peningkatan Royalti daripada 5% kepada 20% untuk Negeri Negeri Pengeluar Minyak dan Gas, iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak serta negeri negeri lain yang mengeluarkan minyak di Malaysia pada masa akan datang.

R juga meminta jasa baik Anwar Ibrahim membuat pindaan dan tandatangan atas buku Manifesto Pakatan Rakyat di majlis 1 Jam Datuk Seri Anwar Bersama Rakyat Pasir Puteh pada jam 5.30 petang tadi, di Restoran Bonda, Sebelah Masjid Ibrahimi, Pasir Puteh.

Sehubungan itu, R mengucapkan terima kasih kepada Anwar dan pimpinan Pakatan Rakyat kerana responsif terhadap suara rakyat di negeri pengeluar minyak dan gas.

Bayaran Royalti 20 peratus kepada negeri Kelantan, Terenganu & Pahang tidak dimasukkan dalam Menifesto PR yang dibentangkan semalam.

"Alhamdulillah sebaik sahaja perkara ini disedari.. ramai aktivis R telah menyatakan pandangan dan perkara ini telahpun pihak R sampaikan kepada pimpinan tertinggi PAS, PKR & sekritariat PR.

"Saya telah menerima penjelasan, ianya suatu kesilapan teknikal, tertinggal semasa semakan terakhir dan akan diperbetulkan segera," beritahu Nazri dalam satu kenyataannya.

Katanya, pihak pimpinan yang menghubungi beliau dan  beberapa pimpinan teringgi R menyatakan kesanggupan untuk memperbaiki kesilapan dengan memasukkan janji bayaran 20 peratus royalti kepada semua negeri-negeri pengeluar minyak ke dalam manifesto PR.

Ia tidak terhad kepada Sabah dan Sarawak sebagaimana yang telah dijanjikan dalam manifesto PR sempena PRU13 yg telah dibentangkan semalam, kata Nazri.

Namun begitu, kata Nazri, beliau sendiri bersama aktivis R akan bertemu dengan Datuk Sri Anuar Ibrahim hari ini bagi menyampaikan surat secara rasmi berhubung perkara ini bagi membayangkan hasrat rakyat negeri-negeri pengeluar minyak agar perjuangan rakyat ini terus diberikan perhatian oleh PR.

Ceramah Pakatan Harapan Rakyat Di Dewan Majlis Daerah Machang


Anwar bertemu 1 jam dengan TG Nik Aziz

KOTA BHARU: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perjumpaan kira-kira satu jam dengan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik  Aziz di JKR 10 hari ini.


(Perbincangan tertutup antara Anwar dengan TG Nik Aziz di JKR 10)

Pertemuan tertutup itu diadakan sempena dengan program Jelajah Anwar ke negeri ini hari ini.

Turut serta mengiringi Anwar adalah Penolong Setiausaha PKR, Rosli Abdullah dan anggota Parlimen Ketereh, Abdul Aziz.

Di pihak kerajaan negeri Kelantan pula, Tuan Guru Nik Aziz disertai oleh Exco Datuk Husam Musa dan Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan,  Haji Zulkifli Mamat dan beberapa lagi.

Namun selepas itu, Anwar mengadakan perbincangan tertutup dengan Tuan Guru Nik Aziz.

Program Jalinan Mesra Antara Kaum bersempena sambutan tahun baru cina peringkat DUN Temangan 2013











Manifesto PR: 'Negara bankrap' skema jawapan BN

KUALA LUMPUR: Ketika Datuk Seri Najib Tun Razak terkial-kial mencari tarikh pembubaran Parlimen, Pakatan Rakyat pula berjaya melancarkan Manifesto yang menyentuh untuk keperluan rakyat semalam.

Seperti biasa, di dada-dada akhbar arus perdana hari ini pula mula menyiarkan komen-komen dari pemimpin BN mengecam tawaran Pakatan Rakyat itu.

Namun bagi AJK PAS Pusat, Idris Ahmad, komen-komen kecaman tersebut sudah boleh dijangka sejak awal lagi.

"Kita sudah dapat menjangka komen yang diberikan oleh pemimpin BN, iaitu negara akan bankrap jika ikut manifesto Pakatan Rakyat.

"Inilah skema jawapan pemimpin Umno BN apabila setiap kali kita keluarkan tawaran untuk rakyat," katanya.

Menurut Idris, pemimpin BN hanya 'pejam mata' melihat ketirisan dan penyelewengan yang dilakukan oleh kerajaan selama ini seperti yang didedahkan saban tahun oleh Ketua Audit Negara.

Menurutnya Audit Negara 2008 mendedahkan berlaku ketirisan RM28 bilion manakala sebanyak RM871.4 bilion wang haram mengalir keluar antara 2001 hingga 2010.

Tambah beliau lagi, ketika kerajaan Selangor memberi air percuma kepada setiap rakyat, pemimpin Umno lantang mengatakan Selangor akan bankrap.

"Selangor buktikan walaupun wang dihabis untuk rakyat, namun rizab Selangor bertambah daripada RM400 juta tahun 2008 telah meningkat RM2.57 bilion pada tahun 2013,' katanya.

Pulau Pinang ujarnya berjaya membayar hutang lapuk RM600 yang ditinggalkan BN sehingga sekarang berbaki RM30 juta.

Kelantan yang dikatakan miskin pula mampu mentadbir negeri hampir 23 tahun dan berjaya menurunkan kadar kemiskinan daripada tempat kedua kepada tempat keempat.

"Maka barang pasti jika PR perintah diperingkat pusat lebih mampu kerana hasil mahsul lebih banyak.

"Semua tawaran PR tidak boleh dilaksanakan oleh kerajaan BN kerana pemerintahan yang penuh korup, utamakan kroni, menindas rakyat yang tidak sealiran dan pilih kasih.

"Sebab itu pemimpin Umno BN mengatakan negara bankrap kerana mereka fikir pemimpin PR perangai seperti mereka," katanya.

Tuesday, February 26, 2013

Pantun Presiden PAS dapat tepukan gemuruh


SHAH ALAM: "Lebah bukan sebarang lebah, lebah terbang di tepi paya, ubah bukan sebarang ubah, ubah kita ke Putrajaya".

Pantun yang diberikan oleh Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ini mendapat tepukan gemuruh para peserta Konvensyen Pakatan Rakyat ke 4 semalam.

Selain itu, beliau juga berpantun:

Daripada cempedak baiklah nangka,
kerana nangka panjang tangkainya,
daripada 'dedak' baiklah jingga,
kerana jingga panjang akalnya.

Dalam ucapannya, Ustaz Hadi berkata Pakatan Rakyat bertanggungjawab mencerdikkan rakyat melalui agenda Buku Jingga setelah lebih 50 tahun rakyat diperkudakan oleh Umno BN.

"Kita tidak mahu rakyat dihina dan diperkudakan. Buku Jinggalah akan menyelesaikan masalah. Insyallah rakyat tidak boleh dibodohkan. Tanggungjawab kita mencerdikkan rakyat," katanya.

Jelasnya, Buku Jingga menekankan konsep rakyat dimampukan bukannya rakyat diajar menjadi pengemis, di mana melalui agenda buku ini akan menyelesaikan masalah pengangguran bukannya menambah pengangguran supaya senang membeli undi.

"Cara BR1M tidak membijakkan rakyat. Rakyat dibijakkan terima BR1M tetapi jangan undi BN. BR1M itu duit kamu bukan duit poket BN, ambil," katanya yang diikuti tepukan gemuruh para perwakilan.

Malah Hadi turut membacakan sepotong ayat Al-quran yang menceritakan semula kisah Nabi Musa berhubungan kekayaan Firaun yang digunakan untuk menyesakkan rakyat bukannya untuk membela rakyat.

"BR1M bukan cerita baru, Al-quran sudah sebut lebih lima enam ribu tahun yang lalu. Firaun pernah bagi BR1M. Firaun telah mengerahkan rakyatnya.

"Dikumpul beramai-ramai lalu Firaun berucap. Tidakkah aku menjadi pemerintah berkuasa di Mesir ini? Sungai-sungai mengalir di kampung-kampung adalah projek aku. Di bawah penguasaan aku.

"Aku yang bagi. Satu lagi projek aku. Al-Quran berkata maka Firaun menjadikan rakyat ringan akal dan membodohkan rakyat," katanya diiringi ketawa yang menggamatkan dewan konvensyen.

Tentera yakin peralihan kuasa secara aman


SHAH ALAM: Tentera dan polis yakin Pakatan Rakyat akan menang pada Pilihan Raya Umum ke 13, kata Leftenan Jeneral (B) Datuk Abdul Ghafir Abdul Hamid (gambar).

“Risikan dari tentera dan polis mengatakan bahawa mereka yakin Pakatan akan menang.

“Mereka juga merangka rancangan bagaimana untuk menjaga keamanan negara,” kata bekas Timbalan Panglima Angkatan Tentera Darat itu.

Beliau berucap demikian depan hampir 2,000 perwakilan pada Konvensyen Pakatan Rakyat ke-4 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini hari ini.

Ghafir berkata, peralihan kuasa nanti akan berjalan lancar tanpa sebarang kekacauan seperti yang didakwa Umno BN.

“Saya percaya tidak akan ada revolusi yang akan terjadi kerana rakyat kita adalah rakyat yang berbudaya,” kata Ghafir.

“Saya juga ingin memberi jaminan bahawa angkatan tentera kita adalah profesional dan taat kepada Yang DiPertuan Agong.

“Sekiranya pemimpin-pemimpin Pakatan dipanggil mengangkat sumpah untuk membentuk kerajaan, saya yakin angkatan tentera akan berada di belakang pimpinan ini,” ujarnya disambut tepukan gemuruh.

Dalam pada itu, beliau menyokong penuh Manifesto Pakatan Rakyat yang disifatnya terbukti menjamin keadilan untuk rakyat.

“Tahniah kepada pimpinan Pakatan kerana berjaya hasilkan manifesto terbaik untuk mengangkat martabat rakyat khususnya rakyat miskin.

“Ia ternyata bukan sekadar retorik, tapi ada implikasinya,” kata Ghafir.~keadilandaily

MAJLIS PELANCARAN SKUAD SEBAR DAN TEMU MATO RAKYAT JELATA YANG DIADAKAN DI BILIK GERAKAN PAS KAWASAN MACHANG