Monday, February 25, 2013

Pancing BR1M: Presiden PAS nasihat rakyat jadi ikan cerdik


ALOR SETAR: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menasihatkan rakyat agar menjadi ikan yang cerdik berhadapan dengan pancing BR1M yang ditaja Barisan Nasional.

Bercakap di Karnival Tahun Baru Cina di Alor Setar baru-baru ini, beliau berkata BR1M yang diberi tatkala pilihanraya sudah dekat adalah untuk memperbodohkan rakyat.

“BR1M diberi masa pilihanraya. Ini membodohkan rakyat. Dia bagi kita ambil. Kita mesti menjadi ikan yang cerdik, kita makan umpan bukan makan kail. Jangan jadi ikan bodoh, telan kail kita sangkut,” kata beliau sambil mengajak rakyat membuat perubahan.

Tuan Guru Abdul Hadi berkata pelbagai masalah yang dialami rakyat kini adalah hasil pemerintahan yang tak betul.

“Setelah 50 tahun, kita melihat banyak rakyat dalam keadaan malang, miskin dan mengganggur dan tak ada tanah tempat kediaman – masih mengalami pelbagai masalah.

“Walaupun negara kita banyak hasil, negara kita berada di tempat hubungan laluan antarabangsa. Kita jadi begini kerana pemerintahan yang tak betul,” tegas beliau.

Ahli Parlimen Marang itu berkata melalui sistem demokrasi rakyat akan menjadi hakim untuk memilih kerajaan yang memerintah 5 tahun sekali.

“Pepatah Cina kalau nak tolong bagi kail, pancing dan tali. Bukan bagi ikan. Kalau bagi ikan, dia akan minta ikan lagi. Tak boleh selesai lagi masalah. Bagi kail bagi pancing selesai masalah. Dia berdiri diri sendiri.

“Cukuplah BN memperbodohkan kita dengan BR1M. BR1M, bagi duit, bagus bagi duit. Inikah cara untuk meningkatkan ekonomi rakyat?” tambah beliau.

Di dalam ucapan tersebut di majlis tersebut, beliau buat pertama kalinya cuba memberikan ucapan dalam bahasa mandarin untuk mengalu-alukan kedatangan hadirin.

“Berharap tahun baru ini dapat membawa kelebihan, kebaikan dan kesejahteraan kepada kita semua,” katanya di dalam bahasa Mandarin yang mendapat tepukan gemuruh daripada hadirin.

Beliau turut berseloroh dengan percubaan bertutur dalam bahasa Mandarinnya.

“Saya minta maaf kerana Bahasa Mandarin saya pelat Bahasa Melayu Terengganu,” katanya yang menghiburkan para hadirin.

No comments: