Thursday, December 22, 2011

Program khas sempena tahun baru 2012

Kejohanan Badminton Piala Naib Ketua DPPKM

Ceramah Isu - Isu Semasa

MB dibenar pulang dari HUSM

KOTA BHARU, 22.Dis - Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dimasukkan ke hospital USM baru-baru ini telah dibenarkan keluar pagi kelmarin.

Menurut Setiausaha Akhbarnya Mohd Fadzli Shaari ketika dihubungi sebentar tadi oleh gegarkelantan.net mengesahkan keadaanya agak stabil.

” Tok Guru kini pulih seperti biasa dan dijangka akan dapat bertugas kembali pada minggu depan” ujar beliau.

Menurut fadli lagi, doktor telah memberi nasihat agar Tuan Guru mendapat rehat secukupnya di rumah sebelum meneruskan tugasnya pada minggu depan.

Isnin lepas Tuan Guru Nik Abdul Aziz dimasukkan ke HUSM selepas mengalami sakit perut dan keletihan, beliau yang turut muntah ketika berada di pejabat pagi tersebut terus dibawa ke hospital untuk mendapat rawatan.

Jangan pertikai dasar PAS

Negara Berkebajikan adalah dasar PAS. Ianya suatu dasar yang diluluskan sebulat suara dalam Muktamar Tahunan PAS ke-57, di Markaz Tarbiyyah PAS Pusta Taman Melewar, 3 hingga 5 Jun lepas.

Ianya dimuatkan dalam Ucapan Dasar Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sewaktu merasmikan Muktamar, dihurai dan diperbahaskan oleh sebahagian perwakilan dan diluluskan dalam Muktamar yang dihadiri lebih 2 ribu perwakilan.

PAS adalah sebuah parti Islam, yang senantiasa melaksanakan dasar-dasarnya selaras dengan ajaran Islam. Perwakilan dalam Muktamar PAS mengandungi Ahli-ahli Majlis Syura Ulama, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, AJK Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat PAS Pusat, serta kepimpinan PAS dari seluruh negara.

Bermakna, ianya mencakupi pelbagai latar belakang keilmuan agama dan profesional bergabung membentuk hala tuju ideologi PAS. Ketokohan ulama-ulama PAS dalam pelbagai disiplin ilmu agama, sehingga kini tidak dapat disaingi atau dicabar keampuhannya oleh mana-mana pihak.

Di dalam Perlembagaan PAS, dimaktubkan bahawa hukum tertinggi PAS selain al-Quran dan as-Sunnah, adalah ijmak ulama atau ditakrifkan sebagai kesepakatan ulama dalam isu-isu yang dibangkitkan. Dalam sistem demokrasi berparti, keputusan dalam Muktamar atau Mesyuarat Agung, adalah dianggap hukum tertinggi, yang harus diterima, diamal dan dilaksanakan oleh seluruh ahli PAS di semua peringkat.

Justeru apabila PAS melulus dan mengemukakan konsep Negara Berkebajikan, ianya adalah dasar yang selaras dengan Islam. Ianya adalah suatu dasar yang dikemukakan golongan ulama, dibahas dan diluluskan oleh sebahagian besar ulama dalam PAS.

Malangnya, mutakhir ini wujud golongan yang mendabik dada dan menunjuk pandai, lebih dari golongan agamawan dalam PAS. Siapakah kita yang mendakwa diri kita betul sehingga mempertikaikan PAS dengan mendakwa konsep Negara Islam PAS tersasar dari perjuangan asal PAS? Siapakah kita yang hendak mendakwa PAS sudah tergelincir dari landasan Islam.

Jika mereka yang mempertikai PAS itu merupakan orang luar PAS, kita tidak mengambil endah kerana mereka memang senantiasa berusaha menjatuhkan PAS. Namun, agak malang apabila segolongan yang bertitle ustaz dan berstatus AJK PAS Pusat, menggunakan media pro Umno-Barisan Nasional untuk menyerang dasar PAS.

Jika golongan ini mengikut wala dan adab-adab berjemaah, mengapa tidak membuat bantahan itu sewaktu ianya dikemukakan dalam Muktamar atau dalam mana-mana mesyuarat tertutup PAS. PAS senantiasa terbuka. Sila tunjukkan pada fasa mana yang dasar PAS dalam soal Negara Berkebajikan ini tidak menepati Islam.

Sila buktikan pada fasa mana, hala tuju perjuangan PAS tersasar dari landasan? Mengapa anda mempergunakan platform musuh untuk menyerang PAS? Adakah anda lupa bahawa, kedudukan, kuasa serta pengiktirafan yang anda terima hari ini adalah berasal dari perjuangan PAS dan sokongan ahli-ahli PAS?

Inilah bukti bahawa anda terperangkap dengan agenda Umno. Umno tidak mahu PAS menjalankan dasar kebajikan kerana, menerusi dasar itu mereka berjaya merasuah rakyat. Dalam keadaan Umno hampir pupus, ia tidak mampu mempunyai saingan lain.

Oleh itu Umno memang senantiasa mahu PAS melaung-laungkan soal Negara Islam kerana Umno mahu PAS terperangkap dengan persepsi rakyat. Persepsi buruk terhadap dasar Islam PAS sengaja dimomok-momokkan Umno menerusi media massa pro mereka, menentang dan mengecam dasar Islam PAS.

Apakah bodohnya anda, tidak memahami perangkap musuh, bahawa dengan media itu juga anda mempersoalkan PAS sudah lari dari landasan Islam, sedangkan media itu juga memaki hamun dasar Islam yang dibawa PAS sejak berzaman.

PAS tiada jalan lain selain membersihkan dirinya dari anai-anai yang merosakkan perjuangan Islam.

Ulamak PAS ucap syabas pada Nasharudin

KUALA LUMPUR, 22 Dis: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib (gambar) mengucapkan syabas kepada Ustaz Nasharuddin Mat Isa kerana terus menyatakan tekad memperjuangkan risalah Islam melalui wadah PAS walaupun terpaksa mengharungi pelbagai rintangan senang dan susah.

Beliau menyampaikan ucapan syabas itu setelah kenyataan rasmi oleh Nasharuddin disiarkan semalam oleh media yang menegaskan bahawa beliau akan tetap bersama-sama PAS menjunjung risalah Islam walaupun apa jua keadaan.

“Syabas kepada beliau kerana bertekad untuk bersama-sama menjunjung risalah Islam melalui wadah PAS dulu, kini dan selama-lamanya.

"Inilah satu sikap yang ditunggu oleh seluruh ahli PAS, penyokong-penyokong PAS dan orang-orang yang belum memasuki PAS, syabas kepada Ustaz Nasharuddin.
“Kita percaya dengan penegasan beliau yang terbaru ini, akan menyebabkan parti PAS akan terus diyakini oleh seluruh anggota masyarakat di seluruh Malaysia sama ada mereka yang beragama Islam atau yang  masih belum beragama Islam atau mereka yang masih belum menyokong perjuangan PAS,” tegas beliau yang juga Adun Manir, Terengganu ketika ditemui semalam.

Sebelum ini, Nasharudin dipetik dalam Harakahdaily semalam berkata beliau akur sepenuhnya dengan tariqud dakwah (jalan dakwah) yang dilalui ketika ini telah lebih awal disusuri oleh para anbia’, sahabat dan ulamak terdahulu daripada mereka yang memilih PAS sebagai pentas perjuangan  politik dalam konteks sistem demokrasi berparlimen sedia ada di Malaysia.

Jelas bekas Timbalan Presiden PAS itu lagi, dakwaan kononnya beliau ‘terperangkap dalam agenda permainan musuh politik PAS iaitu Umno’ adalah sesuatu yang terlalu jauh menyimpang daripada kebenaran dan langsung tidak berasas.

Hasan, Nasha dan Saari dipanggil beri penjelasan

KUALALUMPUR, 22 Dis: PAS hari ini memutuskan untuk memanggil bekas Pesuruhjaya Selangor, Datuk Dr Hasan Ali, bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa dan Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungip untuk memberikan penjelasan berhubung beberapa isu berbangkit mutakhir ini yang dilihat membazir masa parti.

“Penjelasan ini mesti dilakukan, supaya parti tidak lagi perlu membazir masa melayan pertikaian yang timbul akibat kecil hati terhadap sesuatu kesilapan yang kecil, ego berlebihan dan keengganan sesetengah pihak menerima keputusan parti dan jamaah,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) dalam satu kenyataan hari ini.

Melihat situasi pilihanraya umum yang semakin hampir, PAS kata Tuan Ibrahim tidak akan bertolak ansur dalam sebarang sabotaj sama ada dari dalam mahupun luar yang mengganggu persiapan akhir parti.
“Semua ahli mesti memainkan peranan sebagai team player untuk memastikan jamaah bergerak dalam keadaan baik dan harmoni.

Seluruh tumpuan kerja mesti difokus kepada persiapan akhir ini daripada melayan karenah-karenah segelintir pemimpin yang ada berbeza pandangan terhadap dasar parti yang dijamin arahnya oleh Majlis Syura,” tegas Pesuruhjaya PAS Pahang itu dipercayai membalas kenyataan Hasan yang mempertikai dasar-dasar parti yang diputuskan muktamar dan Majlis Syura.

Menggunakan media lawan milik Umno, Utusan Malaysia, Hasan, yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat mempertikaikan dasar "Membangun Negara Berkebajikan" yang menjadi tema PAS sekarang ini.

Bagi Hasan, PAS sepatutnya kekal dengan dasar negara Islam yang telah menjadi perjuangan asal PAS.
Membalas hujah Hasan, Tuan Ibrahim menerangkan bahawa PAS ialah sebuah parti jamaah yang berdemokrasi, segala keputusan bukanlah keputusan individu tapi keputusan jamaah.

“Apabila keputusan telah dibuat, dan Majlis Syura telah mengesahkan bahawa keputusan tersebut selari dengan dasar Islam, setiap ahli PAS perlu bergerak pada arah yang sama untuk membawa parti mencapai matlamat yang disasarkan dan memenangkan Islam,” tegas beliau.

Dalam kenyataannya itu, Tuan Ibrahim turut mengingatkan ahli-ahli PAS kepada ungkapan ‘apa yang ada ialah hari ini, yang lepas tidak akan datang kembali, yang depan tidak menentu lagi.

“Oleh itu, pendamkan dendam, buangkan kekecilan hati, ketepikan kepentingan individu  dan kembalikan fokus dan bergerak ke depan untuk memenangkan parti,” nasihat beliau.

Kemuncup perjuangan, dasar PAS dijamin Majlis Syura

Mehnah atau tribulasi dalam perjuangan Islam adalah sunnatullah, bagi menguji dan memperkukuhkan jamaah dan membina kekuatan mujahadah bagi ahli.

Dalam sejarah perjuangan Islam yang panjang ini, kita meyaksikan betapa beratnya ujian atau mehnah yang dihadapi oleh jamaah dan ahli yang mendokongi jamaah tersebut. PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang lama di  negara ini telah lali dengan pelbagai mehnah yang dihalakan kepada jamaah ini. Kita pernah diharamkan, dibatalkan logo, disekat aktiviti, didenda dan sebagainya, namun parti  terus berkembang hingga kini.

Manakala tribulasi kepada ahli berlaku setiap hari, sama ada kecil atau besar, ujian tersebut ianya akan pasti berlaku. Panduan kita ialah kenyataan:

"Andainya anda menyertai mana-mana jamaah Islam, lalu anda tidak menerima apa jua mehnah dan ujian, maka semak semula jamaah yang anda sertai itu, kerana mungkin ianya bukan jamaah yang menepati kriteria jamaah Islam.”

Sekiranya setelah anda semak dan teliti, ternyata benar ianya adalah jamaah Islam, maka semak pula apakah anda bekerja untuk Islam atau tidak. Kerana mungkin kalau anda tidak menerima apa jua ujian atau mehnah, mungkin sebenarnya anda tidak bekerja untuk Islam, melainkan untuk diri sendiri.”

Kenyataan itu mencerminkan betapa mehnah dalam perjuangan Islam adalah lumaraha dan sunnatulLah. Itulah yang menyebabkan kita merasai kemanisan berada dalam jamaah dan kenikmatan bersama jamaah memperjuangkan Islam sebagai cara hidup ummah, selaras dengan tuntutan Islam.

Dalam sejarah yang panjang ini, PAS menyaksikan ada ahli dan pimpinan yang muncul dan hilang. Kehilangan dari medan terkadang bukanlah lari dari perjuangan, ianya hanya rehat sementara dari kepenatan yang panjang atau menceburi jalan dan uslub lain yang sesuai dengan jiwa dan tenaga semasa.

Apapun, ianya adalah manik-manik embun waktu pagi bersinar mengerlip dengan cahaya matahari, tapi ianya akan kering dek kepanasan matahari yang menyerinya diawal pagi.

Namun ada jua yang terus hilang dari medan perjuangan. Kenapa ianya hilang? Semua ada jawapan sendiri,  kita tidak perlu berbahas di atas hujah masing-masing. Apa yang penting jamaah mesti dipelihara, dijaga dan dimantapkan bagi meneruskan agenda besar yang menjadi kewajipan perjuangan Islam.

Kita tidak perlu meratapi kehilangan, walaupun kita sanga sedih di atas kehilangan itu. Kita mesti terus memandang kehadapan dangan penuh yakin bahawa satu hari Islam akan berada di puncaknya.

Kita hanyalah mata rantai bagi memusingkan roda Islam itu. Kalaulah Allah kehendaki, ia boleh sahaja menukarkan dengan mata rantai lain dan roda itu terus berpusing sampai kemuncaknya.

Suatu hari, bila mana saorang sahabat bertanya Rasulullah s.a.w "siapakah di kalangan manusia yang sangat berat ujiannya, lalu jawab Rasulullah s.a.w yang paling berat ialah nabi-nabi, kemudian mereka yang mengikuti nabi-nabi  (para sahabat) dan mereka yang mengikuti di belakangnya (tabieen).

Hadis ini membuktikan bahawa ujian yang ditempuhi oleh pimpinan tidak sama dengan ahli biasa, demikian juga ujian waktu kalah tidak akan sama dengan ujian di saat kemenangan. Besarnya mehnah ini memerlukan kita istiqamah dalam jamaah, mengikuti tertib jamaah dan sentiasa wala' pada pimpinan. Itulah erti berada dalam jamaah Islam.

Kita tidak perlu bimbang soal sesuatu dasar yang diputus dalam jamaah kerana kita punya Majlis Syura yang memandu jamaah agar semua keputusan jamaah tidak bercanggah dengan dasar Islam yang menjadi teras perjuangan.

Majlis Syura Ulamak yang terdiri dari Mursyidul Am, Tuan Guru Nik Aziz, dan timbalannya Datuk Dr Haron Din dan jawatankuasa adalah badan pemantau perjalanan parti agar selaras dengan dasar Islam yang menjadi dasar parti.

Majlis Syura juga adalah badan penapis segala program parti, bahkan kesemua calon yang akan bertanding dalam mana-mana Pilihanraya akan disahkan oleh Majlis Syura. Mekanisme ini tiada dalam mana- mana parti lain, sehingga semua hala tuju dan dasar parti mesti menepati kehendak syarak.

Manakala Muktamar Agung adalah ruang terbuka untuk membahas dan membincang hala tuju atau masa depan parti, begitu juga kewujudan dewan-dewan yang menjadi sayap penting parti bagi memastikan dasar yang telah diputus dapat berjalan dengan sempurna dan berimbang.

Andainya ada pihak yang mempertikai sesuatu yang telah menjadi dasar parti, maka itu bermakna mempertikaikan keputusan syura, muktamar agung dan pendirian parti. Ianya tidak sepatutnya berlaku.
PAS tidak pernah lari dari dasar perjuangan. Kita tetap dengan dasar yang sama yang telah termaktub dalam perlembangaan parti. Hal itu tidak perlu dipertikai lagi.

Apa yang perlaku ialah PAS telah membuat anjakan paradigma perjuangan, dengan pendekatan baru yang lebih terbuka dari sudut pendekatan bagi menterjemahkan realiti Islam sebagai rahmatul lil alamin.

Perubahan dan anjakan ini selaras dengan perkembangan semasa dengan arus perubahan pemikiran, media dan realiti rakyat. Perubahan kaedah atau uslub, bukan bermakna perubahan dasar dan prinsip. Namun sebahagian yang biasa dengan pendekatan lama yang statik akan menganggap ianya perubahan dasar dan prinsip perjuangan. Ianya seumpama menukar cover sofa dan mengalihkannya dengan susunan baru, serta menukar warna  langsir agar lebih ceria. Namun perubahan ini ada yang merasakan perubahan seluruh ruang tamu itu.

Perkembangan ini menggerunkan musuh, dan mereka mula menyerang bahawa PAS yang berkembang ke arah rahmatul lil alamin telah terpesong daripada dasarnya. Motif mereka hanya satu, mereka tidak ingin melihat PAS berkembang, mereka hanya ingin melihat PAS kekal jumud dan terbelakang. Sepatutnya sebagai ahli PAS, kita harus membantu jamaah menerangkan perkara ini dan bukannya menyanyikan lagu musuh di media musuh mempertikaikan dasar parti sendiri.

Apapun, ini hanyalah kemuncup dalam perjuangan. Kita mempunyai tugas dan kerja besar yang perlu dilakukan. Ibarat bermain bola, jangan sibuk  mencabut kemuncup yang lekat di seluar atau stokin; teruskan mainan sehingga selesai perlawanan ini. Tumpuan kepada usaha memenangi perlawanan menyebabkan kita tidak akan terasa adanya kemuncup di seluar dan stokin. Jangan leka mencabut kemuncup sehingga gol terlopong tanpa penjaga.

Jika ada pemain yang dilihat semakin tidak menjadi team player dan menyusahkan seluruh pasukan kerana beliau tidak setuju dengan taktik 4-4-2 yang diputuskan, jurulatih pasukan terpaksa bertindak untuk menegur, dan sekiranya keadaan tidak berubah, menggantikannya dengan pemain lain yang lebih bersifat team player. Ini terpaksa dilakukan supaya pasukan itu dapat memfokuskan segala tenaganya untuk menembus gawang gol lawan daripada membazirkan masa menjawab dan memotivasikan pemain mengapa taktik 4-4-2 digunakan hanya kerana beliau lebih sukakan 6-4-0.

Diharap sedikit kiasan ini dapat membantu jamaah dan ahli-ahli PAS untuk bergerak ke hadapan dengan hala tuju yang sama.
Salam perjuangan.

Tuan Ibrahim Tuan Man,
Ketua Penerangan PAS Pusat
21 Disember 2011

Tuesday, December 20, 2011

NFC membarah: Kondo RM10 juta di Singapura pula

SHAH ALAM, 20 Dis: Umno perlu membuat keputusan segera untuk bertindak kepada pihak yang bertanggungjawab dalam skandal NFC atau terus dimalukan.

Skandal Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) semakin membarah apabila PKR hari ini mendedahkan NFC membeli sebuah kondominium bernilai hampir RM10 juta di Singapura.
(Kondominium mewah Orchard Scotts di Singapura. Disinilah NFC membeli unitnya bernilai kira-kira RM10 juta)

Kondominium ini dibeli pada harga S$4,107,600 dan luasnya adalah 2,282 kaki persegi, iaitu salah satu unit yang terbesar di bangunan kondominium mewah di tengah-tengah kota Singapura itu.

Pendedahan kali ini dibuat oleh tiga pemimpin kanan PKR dalam sidang media mereka hari ini.

Ketiga-tiga mereka adalah Saifudin Nasution Ismail (Setiausaha Agung), Zuraida Kamarudin (Ketua Wanita) dan Rafizi Ramli (Pengarah Strategik).

Sebelum ini, pelbagai pihak dalam Umno menekan agar Datuk Seri Shahrizat Jalil meletakkan jawatan. Turut memberikan tekanan adalah  bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir.

Ini kerana, NFC dikendalikan oleh suami dan anak-anak beliau.

Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu beranggapan, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ketika pinjaman itu diluluskan, Tan Sri Muhyidin Yassin mesti bertanggungjawab ke atas penyelewengan ini kerana projek ini terletak di bawah penyeliaan kementerian yang beliau jaga.

Pembelian harta mewah oleh keluarga menteri ini lebih memualkan bila mana ia didaftarkan terus di atas nama mereka.

"Carian rasmi menunjukkan ia didaftarkan secara bersama di atas nama Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail, Wan Shahinur Izran Mohamad Salleh dan Wan Izzana Fatimah Zabedah Mohamad Salleh," kata kenyataan mereka bertiga.

Pendedahan dibuat ekoran Umno dan Shahrizat  belum memberi tanda-tanda akan ada pertanggungjawaban kepada penyelewengan dana rakyat melalui NFC seperti yang dituntut rakyat.

"KEADILAN akan terus membongkar penyalahgunaan dana awam bagi kepentingan peribadi keluarga menteri berkenaan," kata mereka.

Menurut kenyataan itu, mereka ada bukti-bukti pembelian sebuah kondominium mewah beralamat 7 Anthony Road, #14-24, Orchard Scotts, Singapore 229955 oleh keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil pada 27 Januari 2010.

Kondominium ini dibeli pada harga S$4,107,600 dan luasnya adalah 2,282 kaki persegi, iaitu salah satu unit yang terbesar di bangunan kondominium mewah di tengah-tengah kota Singapura itu.


Pendedahan ini melengkapkan dakwaan KEADILAN sebelum ini bahawa dana dari NFC yang sepatutnya digunakan untuk membina industri daging negara telah disalurkan kepada syarikat-syarikat peribadi milik keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil seperti NMLC dan RFC, kata mereka.

Lebih teruk lagi, wang dari syarikat-syarikat seperti NMLC dan RFC kemudiannya disalurkan pula ke syarikat-syarikat milik keluarga  Shahrizat di Singapura iaitu Meatworks (Singapore) Pte Ltd dan Global Biofuture Pte Ltd yang menjalankan operasi perniagaan yang tidak ada kena mengena dengan tujuan bantuan dana kerajaan berjumlah RM250 juta kepada NFC.

Meatworks (Singapore) Pte Ltd dilaporkan menjalankan perniagaan restoran mewah di Singapura, sementara Global Biofuture Pte Ltd pula menjalankan perniagaan perdagangan minyak dan ternakan.

Pada hari ini, KEADILAN boleh mendedahkan satu komunikasi (dalam bentuk email) di antara Saudara Wan Shahinur Izran dengan Saudari Donna Yong yang menguruskan perniagaan restoran di Singapura bagi pihak keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Email ini membincangkan pemindahan wang yang diperlukan untuk membiayai perniagaan restoran mewah di Singapura.

Bagi tempoh 3 bulan di antara Oktober 2010 dan Disember 2010, keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil dianggarkan memindahkan sejumlah S$530,000; bersamaan RM1.3 juta dari dana milik kerajaan untuk membiayai perniagaan peribadi di Singapura.

Jika ini berlaku sepanjang tahun 2010 dan 2011, kemungkinan jumlah wang yang telah dilarikan mencecah RM10 juta hanya untuk satu perniagaan di Singapura.

Amalan ini sudah tentu turut berleluasa dengan syarikat-syarikat lain yang dimiliki oleh mereka di Singapura, kata mereka.

Oleh kerana syarikat-syarikat ini adalah milik penuh keluarga  Shahrizat Jalil, wang dari NFC boleh sahaja dipindahkan terus ke akaun syarikat-syarikat ini, kemudiannya dikeluarkan oleh keluarga menteri untuk membiayai pembelian peribadi seperti kondominium mewah di Orchard Scotts.

"Datuk Seri Najib Tun Razak tidak boleh berdiam diri lagi kerana pendedahan demi pendedahan membuktikan berlaku penyelewengan berleluasa dalam penggunaan dana rakyat berjumlah RM250 juta itu.

"Kami mendesak beliau mengambil tindakan segera membekukan kesemua akaun bank dan perbelanjaan NFC serta syarikat-syarikat berkaitan yang dimiliki oleh keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil, sementara siasatan yang lebih telus dan serius dijalankan secepat mungkin," kata kenyataan itu.

Pakatan Rakyat Perak diperkukuh


(Pemimpin muda PAS dan PKR Perak bertemu secara rasmi hujung minggu lalu)
IPOH, 20 Dis: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak telah mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Angkatan Muda Keadilan PKR Negeri Perak bagi mengukukuhkan hubungan antara kedua parti yang kini dalam Pakatan Rakyat di Negeri Perak.

Rombongan Pemuda PAS Perak diketuai oleh Timbalan Ketuanya, Dr Raja Ahmad Al-Hiss bersama 10 orang Ahli Jawatankuasa Kerjanya membuat kunjungan itu hujung minggu baru-baru ini.
Angkatan Muda Perak pula diketuai oleh Ketuanya, Dr Meor Ahmad Isharra Ishak bersama Ahli Jawatankuasa Kerjanya menyambut kedatangan Pemuda PAS Perak.

Perbincangan lebih kearah untuk mengukuh peranan anak muda di dalam PR Perak bagi memastikan PR akan kembali memerintah Negeri Perak setelah dirampas dengan cara kotor awal Februari 2009 yang lalu.

Perbincangan hampir sejam tersebut banyak membincangkan persiapan jentera pilihanraya kedua-duanya.

Pemuda PAS Perak juga akan bertemu selepas ini dengan Ahli Jawatankuasa Kerja Pemuda Sosialis DAP Negeri Perak dalam masa terdekat untuk meneruskan agenda mengukuhkan hubungan dengan parti tersebut menjelangnya persiapan jentera Pilihan Raya Umum ke - 13 nanti.
Futsal Pemuda Perak meriah

Sebelum ini, Dewan Pemuda PAS Negeri Perak melalui Lajnah Kesenian, Kebudayaan dan Sukan (DACS) telah menganjurkan kejohanan Futsal tahun 2011 kali ini.

Sebanyak 33 pasukan telah menyertai kejohanan kali ini yang datang daripada seluruh Negeri Perak. Pasukan yang telah menyertai kali ini dipilih oleh Dewan Pemuda PAS Kawasan-kawasan seluruh Perak.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengarah Pilihanraya PAS Perak, Haji Asmuni Awi.

Manakala kehadiran daripada kepimpinan Pemuda PAS Perak terdiri daripada Timbalan Ketuanya, Dr Raja Ahmad Al-Hiss dan Setiausahanya, Salman Saleh.

Kejohanan kali ini diserikan dengan cabutan bertuah yang menarik berikutan hadiah-hadiah yang disediakan oleh pihak penganjur menarik minat hadirin untuk tunggu hingga ke saat akhir.

Adun DAP Bukit Gasing meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 20 Dis: DAP hari ini mengucapkan takziah terhadap keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Gasing, Edward Lee, yang meninggal dunia akibat barah kolon pagi tadi.

Lee, 61, menghembuskan nafas terakhir berikutan barah yang telah merebak ke hati dan tulangnya, lapor Roketkini.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, beliau terkejut dan sedih dengan pemergian Lee.

“Takziah kepada keluarga beliau. Malaysia telah kehilangan seorang patriot yang tekun dan rajin. Rest in peace,” katanya melalui mesej Twitter.

Lee memenangi kerusi Dun Bukit Gasing dalam pilihan raya umum 2008 atas tiket DAP setelah menewaskan calon penyandang Gerakan Datuk Dr Lim Thuang Seng dengan majoriti 8,812 undi.
Sebelum itu, mendiang adalah aktivis alam sekitar di Petaling Jaya, khususnya bergiat untuk menyelamatkan Bukit Gasing untuk dikekalkan sebagai kawasan hijau di Selangor.

Pengerusi DAP Selangor Teresa Kok berkata, Leed yang beliau kenal merupakan seorang yang jujur dan perihatin terhadap masyarakat khususnya golongan yang tidak bernasib baik.

“Takziah kepada keluarga beliau, semoga tabah dan kuatkan azam terhadap mendiang,” katanya.
Lee merupakan Pembantu Exco Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Selangor, Elizabeth Wong.

Mendiang juga merupakan salah seorang anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Selangor Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat). – Roketkini.com

SBPA: Jangan rosakkan masa depan rakyat, negara

KUALA LUMPUR, 20 Dis: PAS kesal dengan sikap kerajaan yang sentiasa mengambil langkah tergesa-gesa dalam menentukan sesuatu polisi.
“Terkini ialah dengan memaksa kakitangan kerajaan untuk menandatangani skim Saraan Baru Perkhimatan Awam (SBPA) yang diumumkan oleh kerajaan,” kata AJK PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik (gambar).

Katanya, seperti yang diketahui, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) masih perlu berunding dengan kakitangan kerajaan untuk menyetujui skim tersebut.

Tetapi hari ini, katanya pihak guru-guru telah diminta untuk menandatangani segera skim tersebut, walaupun tempoh akhir masih belum sampai iaitu pada 31 Disember 2011.

PAS, jelasnya telah melalui pengalaman di mana pihak kerajaan telah menyekat bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang menyebabkan banyak SAR terpaksa ditutup.

Tambahnya, tujuan kerajaan ialah supaya mereka menyerah diri kepada skim Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dalam rangka pihak kerajaan menguasai pendidikan Islam dalam negara ini.

Menurutnya, pada 2006, PPSMI telah dipaksa kepada rakyat dan ternyata PPSMI telah membawa kepada kerosakan kepada kemajuan pendidikan kebangsaan yang berasaskan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Justeru, katanya apabila skim-skim yang membabitkan pendidikan dilaksanakan tanpa rundingan yang sebaik-baiknya dengan pihak kerajaan, PAS bimbang akan banyak lagi masalah yang akan timbul dalam bidang pendidikan yang akan merosakkan falsafah pendidikan di negara ini.

“Memadailah ibu bapa bimbang terhadap akhlak anak-anak mereka disebabkan kegagalan dasar pendidikan moral atau kelemahan dasar dalam pendidikan akhlak,” ujarnya yang juga Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, PAS berharap kerajaan menyelesaikan segera isu-isu besar seperti ini di samping membuat perancangan yang betul dalam bidang pengurusan, kerana perancangan semasa yang dibuat secara tergesa-gesa telah menyebabkan banyak kerosakan termasuklah soal penempatan guru-guru lepasan institusi pengajian tinggi dalam bidang pendidikan yang gagal diselesaikan sehingga hari ini.

“Begitu juga apabila SBPA mahu dilaksanakan, pastikan ia membawa kebaikan kepada rakyat keseluruhan, bukan untuk sesuatu kepentingan yang boleh merosakkan masa depan rakyat dan negara,” ujarnya.

Umno lemah hadapi ugutan komponen BN

TEMERLOH, 19 Dis: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan kerajaan yang diteraju Umno berada dalam keadaan lemah sehingga sesuatu keputusan menjadi berubah-ubah apabila diugut oleh beberapa pihak.

Pesuruhjaya PAS Pahang itu mendakwa, ini terbukti dalam isu novel Interlok di mana akhirnya kerajaan mengalah dengan tidak lagi menggunakan buku tersebut mulai tahun hadapan hanya kerana mahukan undi kaum India.

Katanya, novel karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain itu sepatutnya tidak mencetuskan kontroversi jika kerajaan mengambil kira semua aspek sejak daripada mula.

“Namun begitu perkembangan terbaru seperti diumumkan oleh Presiden MIC Datuk G. Palanivel, kabinet memutuskan untuk menarik balik novel Interlok daripada silibus sastera tingkatan lima kerana dibantah parti komponen BN itu menunjukkan kelemahan Umno sendiri.

“Apa faedahnya kerajaan berbelanja sehingga berjuta untuk mencetak, kemudian menampal beberapa perkataan yang dianggap menghina masyarakat India tetapi akhirnya ditarik balik selepas novel sudah dirosakkan,” katanya.

Tambahnya, keputusan berubah-ubah itu turut melibatkan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang pada mulanya setuju dimansuh tetapi kemudiannya ditangguh apabila dibantah sesetengah pihak.

“Jadi secara jelas sikap flip-flop ini menunjukkan betapa lemahnya Umno,” kata Tuan Ibrahim ketika berucap merasmikan Seminar Penerangan PAS Pahang di Darul Amin Sungai Gau, dekat sini hari ini.

Kira-kira 300 peserta hadir. Turut membentangkan kertas kerja Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, Pegawai Penerangan Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Anuar Hashim dan Ketua Penerangan PAS Pahang, Suhaimi Saad.

Mengenai pilihan raya umum (PRU) kali ini, Tuan Ibrahim berkata ia merupakan yang paling sengit sehingga diakui dalam Perhimpunan Agung Umno yang baru-baru ini sebagai PRU menentukan hidup mati Umno.

Tambahnya, selepas PRU 2008 yang menimbulkan kejutan, sudah ada mood rakyat untuk melakukan perubahan.

“Pemerhati meramalkan jika tsunami dulu berpusat di Kedah sehingga membuatkan negeri di utara Semenanjung jatuh ke tangan PR, kali ini dijangka berpusat di Negeri Sembilan di mana akan menjatuhkan negeri-negeri di selatan tanah air pula,” katanya.

Mengenai Pahang, beliau berkata pergantungan kepada pengundi Felda menjadi penentu kerana di negeri ini terdapat 27 kerusi Dun melibatkan kawasan Felda daripada 42 kesemuanya.

Tambahnya, dengan perkembangan terbaru isu-isu Felda PR mungkin menerima lonjakan undi luar biasa asalkan kerja-kerja penerangan dilakukan secara berterusan.

Serentak itu, beliau mahu saluran maklumat melalui dunia internet dipergunakan semaksimum mungkin dalam penyebaran maklumat termasuk melalui portal berita, blog, facebook dan twitter.

Dakwaan 120 sertai Umno di Bachok karut

BACHOK. 19 Dis: Dakwaan 120 orang ahli PAS keluar parti di Kampung Beoh dalam Cawangan Redang, dekat sini adalah karut, malah anak Mohd Nor Jusoh yang dikatakan menyertai Umno tidak menyertai bapanya.

Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Bachok, Abdul Aziz Kadir (gambar kiri), ketika ditemui memberitahu apa yang berlaku hanya empat orang satu keluarga sahaja menyertai Umno.

Sambungnya, Datuk Awang Adek kini memang kerap keluar masuk kampung serta memberikan pelbagai janji pada rakyat agar mereka menyertai Umno.

“Adik beradiknya (Awang Adek) belum tentu menyokong perjuangannya, apa lagi rakyat,”ujarnya ketika ditemui pada majlis bubur as-syura, di Kampung Beoh, dekat sini semalam.

Baru-baru ini beberapa buah akhbar termasuk televisyen melaporkan seorang penduduk Mohd Nor Jusoh, mewakili 120 orang penyokong kuat PAS menyertai Umno kerana tidak yakin dengan perjuangan parti itu.

Malah salah seorang anaknya, Mohd Adnan Mohd Nor, 28, (gambar kanan) mendakwa bukan semua anggota keluarga mengikut ayahnya.

Jelasnya, apa yang dilakukan hanya untuk memburukkan perjuangan PAS.

"Saya langsung tidak berminat dengan Umno kerana tidak ada sebab saya menyertai parti itu apa lagi perjuangan PAS terbukti benar-benar membela rakyat,”ujarnya.

Hadir sama pada pertemuan itu Penghulu Mukim Lubuk Tembesu, Beoh, Mohd Sabri Mat Nawi dan Ketua PAS Cawangan Beoh, Mohd Idris Mat.

Monday, December 19, 2011

Mahasiswa bukan budak hingusan

KUALA LUMPUR, 19 Dis: “Saya ucapkan selamat berjuang, sabar dan tabah mendepani ujian buat seluruh mahasiswa yang berani dan benar,” kata Nasrudin Hassan.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia itu berkata mahasiswa adalah agent of change dan ilmu yang mereka miliki meletakkan mereka sebagai intelek muda dan ia merupakan aset untuk berani, yakin dan bertanggungjawab dengan tindakan yang mereka ambil.

“Mereka bukan lagi budak hingusan yang boleh ditempelak, dipulas telinga dan ditampar, apa lagi untuk diludah,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, mereka mampu bangkit membentuk gelombang third force yang berkesan ke arah membangkitkan ummah dari lena yang panjang lantas mencetus perubahan dan meletakkan negara selamat serta bebas dari anasir yang meruntuhkan peradaban seperti rasuah, pecah amanah, ketidaktelusan dan sebagainya.

Katanya, kerajaan sekali-kali tidak wajar mengkesampingkan tuntutan mereka apatah lagi memperkecilkan mereka.

“Saya lihat inilah masanya, mahasiswa menyusun kebangkitan lalu memposisikan diri mereka selayaknya, sesuai dengan ilmu dan semangat yang mereka miliki. Usah gentar berkelana di alam buana ini, menggalas cita-cita perjuangan,” ujarnya.

Tambahnya, tidak sekadar berjuang untuk membebaskan mahasiswa tetapi juga menggerak kesedaran serta kebangkitan rakyat.

Justeru, katanya Dewan Pemuda PAS Malaysia mengucapkan syabas kepada thaurah yang mula menampakkan rentak kebangkitan mahasiswa.

Kini, ujar beliau mereka mula melepaskan diri dari pasung puaka yang membelenggu leher mereka sejak sekian lama.

“Kami pastinya bangga dengan perkembangan ini.

“Menuntut ilmu biarlah seiring dengan semangat perjuangan. Jangan abaikan salah satu dari keduanya. Ilmu adalah senjata berkesan bagi perjuangan yang kita dukung,” tegasnya.

Beliau menambah, ada senjata tetapi tidak menghunusnya untuk perjuangan suci itu hanya memperlihatkan kita lemah.

“Demikian juga berjuang tanpa senjata (ilmu) membuatkan kita salah memilih hala tuju yang benar,” jelasnya.

IMF: Tun Mahathir cuba alih isu

KUALA LUMPUR, 18 Dis: Mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad dilihat berada dalam keadaan terdesak dan tertekan apabila tindakan beliau meminjam dari Bank Dunia sudah terbongkar walaupun selama ini beliau menafikannya.
Ketika dihubungi harakahdaily, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar memberitahu Mahathir sekarang terkedu dan terdesak dan sedang cuba mencari alasan untuk mengalih pandangan rakyat dari isu beliau meminjam wang dari Bank Dunia pada tahun 1999.

"Rekod yang mengatakan beliau melakukan pinjaman juga telah didedahkan oleh laman web Bank Dunia dan sekarang Mahathir memikirkan cara terbaik untuk menutup pembohongan beliau iaitu memfitnah Anwar yang merupakan Menteri Kewangan krtika itu.

"Kenapa beliau takut dan kalau betul baik mengaku sahaja jangan melepaskan apa yang beliau lakukan kepada orang lain," katanya.

Tambahnya lagi pendedahan pinjaman itu menunjukkan ianya berlaku pada tahun 1999 iaitu selepas Anwar dipecat sebagai Menteri Kewangan dan juga Timbalan Perdana Menteri.

Laman web Bank Dunia mendedahkan bahawa Malaysia membuat pinjaman sebanyak tiga kali pada tahun 1999 dan sekali pada 1998 yang berjumlah AS$400 juta dan pinjamam itu dibuat setelah Anwar dipecat dari kabinet.

Pinjaman Mac 1999 itu atas nama projek "Malaysia Education Sector Support Project", "Malaysia Social Sector Support Project" dan "Malaysia Year 2000 Technicial Assistance Project" manakala pada 18 Jun 1998 bagi projek "Malaysia Economic Recovery and Social Sector Loan".

"Dulu beliau cuba tunjukkan dirinya sebagai 'hero' yang tidak akan tunduk kepada Bank Dunia yang bersikap 'kapitalis'.

"Tetapi sekarang segalanya terbukti bahawa Mahathir diwaktu siang beliau bermusuh dengan Bank Dunia tetapi malam menjadi teman perbualan telefon.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, rakyat sendiri boleh melihat sikap berpura-puraan dan berbohong Mahathir hanya untuk kepentingan sendiri.

Katanya, dalam isu itu Mahathir yang sepatutnya perlu bersumpah bukan Anwar, dan seluruh rakyat sedang menunggunya.

"Beliau sepatutnya bersumpah yang beliau tidak pernah memohon bantuan dari Bank Dunia, dan jika laporan tersebut itu tidak benar maka beliau perlu mengambil tindakan undang-undang.

"Tapi adakah beliau seberani itu untuk bertindak, yang saya pasti beliau akan terus menyerang Anwar kerana baginya isu Bank Dunia sewaktu Anwar berada dalam kabinet beliau," kata Mahfuz.

Hudud: MCA hina, DAP sekadar beza pandangan

MACHANG, 18 Dis: Kefahaman mengenai hudud di antara pemimpin MCA dan DAP jauh berbeza, di mana MCA sampai ke peringkat menghina, sebaliknya DAP hanya mempertikai aspek perlembagaan sahaja.
Buktinya Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek baru-baru ini mendakwa pelabur akan meninggalkan Malaysia dan negara bakal berhadapan dengan kemusnahan jika hukum hudud dilaksanakan.
Sebaliknya pemimpin DAP terutamanya pengerusinya Karpal Singh sebelum ini hanya sekadar menganggap hudud bercanggah dengan perlembagaan.
Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, berdasar kepada kenyataan presidennya pemimpin MCA secara jelas menghina hudud.
“Soi Lek mendakwa pelabur akan lari dan negara bakal musnah apabila perundangan hudud dilaksanakan di negara ini.
“Sebaliknya kalau kita lihat kenyataan pemimpin DAP tidak ada yang menentang sebegitu keras, sebaliknya sekadar menyebut ada percanggahan di sisi perlembagaan sahaja,” katanya pada satu program di Labok semalam.
Menurutnya juga wakil kerajaan Kelantan telah mengadakan perjumpaan dengan pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat yang turut dihadiri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Karpal Singh membincangkan pelaksanaan hudud di Kelantan.
Katanya, Kelantan diwakili beliau sendiri, anggota-anggota Exco, Datuk Takiyuddin Hassan, Dr Muhamed Fadzli Hassan, anggota parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof dan Setiausaha Politik Menteri Besar, Wan Nik Wan Yussof.
Menurutnya pada pertemuan tersebut wakil kerajaan negeri menjelaskan panjang lebar mengenai perundangan hudud, biar pun ketika itu DAP ada pendiriannya tersendiri.
Beliau juga menjelaskan kerajaan negeri telah mewujudkan jawatankuasa teknikal yang dipengerusikan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob bagi mengkaji kaedah pelaksanaan perundangan tersebut.
Katanya, jawatankuasa seramai 20 orang itu turut menyenaraikan Ketua Polis Kelantan, Pengarah Jabatan Penjara, ulama dan pakar perundangan Islam.
Kata beliau penglibatan sama pihak polis dan penjara penting kerana mereka akan menguatkuasa peraturan di bawah perundangan hudud apabila seseorang itu didapati bersalah.
Malah Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhamad sebelum ini menjelaskan pihak-pihak terbabit perlu memberi kerjasama bagi menguatkuasa perundangan hudud.

Berhemah tangani krisis, elak perang di media

KUALA LUMPUR, 18 Dis: Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Nasrudin Hassan mahu segala perbezaan pandangan dalam PAS diurus dengan berhemah bagi mengelakkan tercetusnya pertelagahan.

Perbezaan pandangan yang timbul katanya mempunyai punca dan sebab yang tersendiri dan pemimpin tertinggi parti harus bijak menanganinya dengan mencari mekanisme terbaik selain menggunakan saluran terbuka melalui media.

"Masaalah dalaman organisasi atau jamaah kita janganlah didedah kepada media atau masyarakat umum justeru ia laksana membuka pekong di dada sendiri. 

"Berlapang dada dan ikhlas dari kesemua pihak yang ber"krisis" adalah asas penyelesaian masaalah yang dihadapi," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Tenang dan tidak cepat menghukum serta berlaku adil dan saksama kepada semua pihak pula katanya antara sikap yang perlu diambil sewaktu berdepan dengan situasi sebegini.

Selain itu juga, beliau menasihatkan semua pihak merendahkan keegoan dan ketepikan kepentingan diri demi memudahkan segala krisis yang berlaku mencapai jalan penyelesaian terbaik.

Prinsip 'Amal Islami' juga harus diutamakan dengan tidak mudah tunduk pada emosi dan juga desakan pihak luar yang tidak berhak mencampurinya.

"Jaga jamaah bukan merosakkannya. Bina ukhuwwah bukan meruntuhkannya. Bimbing ahli yang bermasaalah bukan menghalaunya. 

"Sebagaimana kita gigih mengajak orang menyertai jamaah, maka kita juga mesti tekun berusaha untuk memastikan mereka tidak pula meninggalkan jamaah kita," katanya.

NFC: Tun M perlu desak Najib arah Muhyiddin undur

KUALA LUMPUR, 18 Dis: PAS menggesa Tun Dr Mahathir Mohamad mendesak Datuk Seri Najib Razak agar mengambil tindakan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Sri Shahrizat Abdul Jalil yang terpalit dengan skandal RM250 juta Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).

AJK PAS Pusat Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, Tun M yang juga bekas perdana menteri diyakini sangat tahu tentang kerakusan pemimpin di dalam Umno yang mengambil wang rakyat untuk untuk kepentingan peribadi termasuk dalam isu NFC.

"Mahathir perlu mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak serta barisan kabinetnya agar mengarahkan Muhyiddin dan Shahrizat meletak jawatan.

"Jika beliau ingin Najib lakukan tranformasi, maka skandal tersebut perlu disiasat secara telus tanpa ada sebarang perlindungan," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas skandal projek NFC bernilai RM250 juta yang diberikan kepada syarikat suami Shahrizat yang sehingga kini belum ada apa-apa tindakan dari pihak kerajaan.

Selain Shahrizat, ianya juga didakwa membabitkan Muhyiddin selaku menteri pertanian ketika projek itu diluluskan.

Sementara itu, Dzulkefly juga turut membidas kenyataan Tun yang mendesak Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tunjukkan surat yang ditulis beliau kepada Bank Dunia untuk bantuan dana semasa krisis kewangan 1999.

Katanya, cabaran Tun itu tidak lebih dari cuba mengalihkan isu skandal NFC dari diperkatakan oleh rakyat khususnya berdepan pilihan raya umum yang dijangka tidak lama lagi.

"Saya tidak pasti tujuan sebenar dan mungkin ia ingin mengalihkan perhatian rakyat dari isu lembu kepada desakan tersebut.

"Ini adalah cara Umno sebenar bila terdesak mereka akan mengalihkan isu, bagi saya isu tersebut sudah lama," katanya.

Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Kreatif di Kelantan

KOTA BHARU, 18 Dis: Kerajaan Negeri Kelantan akan menganjurkan Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Kreatif Kelantan yang bakal berlangsung selama dua hari bermula 20 Disember ini.

Program tersebut sebagai usaha kerajaan membantu rakyat di negeri itu mendapatkan peluang pekerjaan serta pendedahan bagaimana untuk memulakan perniagaan.

Sekurang-kurangnya lebih 3,000 peluang pekerjaan akan ditawarkan dengan penyertaan beberapa syarikat besar.

Program berkenaan akan diadakan di Kelantan Trade Cantre (KTC).

Sementara itu Dewan Pemuda PAS Kelantan yakin ekonomi Kelantan akan terus berkembang dalam tempoh lima tahun akan datang dengan adanya penganjuran program Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Kreatif Kelantan seperti itu.

Pengarah Jabatan Kerajaan Dan Swasta (JKS) Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, Dr Rosli Allani Abdul Kadir berkata, pihaknya yakin sasaran kerajaan negeri Kelantan untuk menyediakan 100,000 pekerjaan dalam lima  tahun akan datang akan tercapai.

“Dengan ini sekaligus dapat menjawab tohmahan pihak pihak tertentu khususnya Barisan Nasional  bahawa Kerajaan Negeri tidak bersungguh sungguh dalam berusaha mewujudkan peluang pekerjaan di negeri ini,”ujarnya dalam satu kenyatan media semalam.

Menurutnya lagi, dengan penyertaan banyak pihak seperti Universiti Lim Kok Wing, Zentrum Future Studies, Zuldesign Autotronics, PROFIMA dan pelbagai pihak lagi dapat menyuburkan industri kreatif di Kelantan seterusnya memesatkan perkembangan ekonomi negeri ini.

“Program ini membuka peluang kepada rakyat Kelantan khususnya anak muda yang berbakat dan kreatif untuk menyalurkan daya inovasi dan kreativiti mereka,”ujarnya.

Sehubungan itu beliau mengalu-alukan penyertaan seramai mungkin belia khususnya para graduan yang masin mencari peluang pekerjaan.

Sunday, December 18, 2011

Kuliah Maghrib Bersama Ust Azhar Idrus

Karnival Kerjaya & Keusahawanan Kreatif Kelantan 2011


Jauhi tuduh menuduh, sayangi sesama ahli

KUALA LUMPUR, 17 Dis: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib (gambar) meminta agar semua ahli PAS tidak tuduh menuduh di antara satu sama lain sesama ahli jamaah.

“Ini kerana kita sayang kepada semua ahli kita tanpa membezakan di antara satu sama lain,” katanya mengulas tentang perkembangan terkini yang berlaku dalam organisasi PAS seperti mana yang hangat diperkatakan oleh media arus perdana sejak mutakhir ini.

Menurutnya, menyayangi sesama ahli adalah satu tanggungjawab syarie.
“Dan kita hendaklah berusaha agar mereka tidak lari daripada ikatan jamaah Islam, usaha ke arah menyayangi mereka dan mengekalkan mereka dalam jamaah adalah satu yang wajib dilakukan dalam hidup berjamaah,” ujarnya yang juga Adun Manir, Terengganu.

Tambahnya, ini adalah prinsip perjuangan PAS yang bersandarkan kepada ajaran Islam.

“Kita telah berusaha sedaya upaya untuk mencari ahli, untuk menambahkan keahlian PAS, maka sudah tentu kita bertanggungjawab di sisi Allah untuk menjaga ahli dan menyayangi mereka sebagai ahli jamaah seperti mana yang terkandung dalam dalam prinsip perjuangan kita yang berdasarkan kepada tuntutan Islam,” tegas beliau lagi.

Sekitar Taklimat Isu Pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah Kelantan II (HUDUD)



Piala Tok Guru – Pasir Mas Ke Separuh Akhir

Tahniah kepada pasukan Pasir Mas kerana berjaya menjadi pasukan pertama menempah slot ke peringkat separuh akhir setelah menewaskan pasukan Gua Musang dengan keputusan 5-3.Tahniah juga diucapkan kepada pasukan Gua Musang kerana berjaya mara sehingga peringkat suku akhir.

Piala Tok Guru – Pengkalan Chepa menang bergaya.

Mahasiswa bangkit tuntut hak, perjuang kebebasan

KUALA LUMPUR, 17 Dis: Mahasiswa hari ini bangun mendesak hak kebebasan mereka serta menuntut agar kerajaan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) serta tidak takut ditangkap kerana memperjuangkan kebebasan.
Gabungan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) bersama Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) yang mengadakan perhimpunan perarakan dari Masjid Jamek ke Pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan seterusnya ke bangunan Umno menuntut agar kerajaan hari ini peka dengan hak yang dikehendaki oleh pelajar.
Pengerusi Sigma Gamis, Rohayu Rusli memjelaskan bahawa hari ini anak muda Malaysia mencipta sejarah telah turun ke jalanan menyatakan pendirian hak bersuara serta prinsip bahawa mahasiswa mahasiswi dan anak muda Malaysia.

"Kita tidak akan pernah berhenti menyuarakan kebenaran dan keadilan, menuntut hak yang selama ini dikekang.

"Hari ini juga turut memperlihatkan bahawa partisipasi mahasiswi dalam himpunan, turut bersuara, turut hadir membarisi barisan anak muda, sejarah hari ini memberi amaran kepada pemerintah agar tidak bersenang lenang sedangkan rakyat dan mahasiswa dalam keperitan," jelasnya.

Sementara itu, Presiden Gamis, Akram Taib Azamudden semasa berucap menberitahu hari ini menyaksikan satu himpunan dan perarakan laungan kebenaran memenuhi Bandaraya Kuala Lumpur.
"Ini bukti bahawa mahasiswa cukup muak dan benci terhadap akta zalim yang kita tuntut untuk dimansuhkan.
"Gamis mengucapkan tahniah kepada Pengerusi Bebas, Safwan Anang serta seluruh pimpinan front mahasiswa yang telah menggerakkan kekuatan ahli untuk terjun bersama ke lapangan rakyat menyatakan pendirian kebenaran," katanya.

Dalam pada itu beliau agar pihak kerajaan, bebaskan mahasiswa untuk memanfaatkan seluas mungkin daya intelek yg mereka pasak sewaktu di universiti.

Katanya lagi, Gamis akan terus mendokong apa sahaja kebenaran khususnya Bebas dengan menggerakkan seluruh jentera dalam memastikan kebenaran itu tertegak selari dengan tuntutan Islam.

Suhakam teliti memorandum
Sementara itu, Pesuruhjaya Suhakam, Muhammad Sha'ani Abdullah yang menerima memorandum dari gabungan mahasiswa itu menjelaskan pihaknya akan meneliti kandungan memorandum tersebut dan ia akan dibawa ke peringkat jawatankuasa.

"Saya melihat apa yang mahasiswa hari ini bangkit menuntut hak mereka dalam menyuarakan kebebasan dan bagi saya ia bukan satu jenayah jika mereka berhimpun kerana negara ini adalah sebuah negara demokrasi.

"Kita mempunyai pelbagai cara untuk menarik perhatian pihak yang bertanggungjawab dan apa yang dilakukan oleh mahasiswa hari perlu diambil perhatian oleh kerajaan.

"Kerajaan perlu beri perhatian terhadap isu yang dibangkitkan ini, hak kebebasan bersuara tidak salah di negara ini dan kerajaan sepatutnya perlu meneliti Auku adakah ia perlu dipinda ataupun dimansuhkan terus," jelasnya.

Ketika ditanya mengenai Persidangan Meja Bulat yang dianjurkan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah hari ini, beliau memberitahu itu adalah cara terbaik bagi menyelesaikan kemelut Auku sekarang.

"Cara perbincangan yang diadakan hari ini adalah satu yang baik, kita perlu mendengar pendapat dari semua pihak sebelum sesuatu perkara itu diputuskan.

"Saya pasti setiap pihak yang dijemput berpeluang menyatakan pendapat mereka terhadap perlaksanaan Auku di sebalik kesannya terhadap pelajar serta pendidikan di negara ini, kerajaan perlu menilai sebelum membuat sebarang keputusan," sambungnya lagi.

Oley!!

Masa untuk jatuhkan Umno BN, bukan bertelagah

TASEK GELUGOR, 17 Dis: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan teguran Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali terhadap Datuk Dr Hasan Ali dan Ustaz Nasharudin Mat Isa umpama pemimpin yang sayangkan sahabatnya.

Beliau ketika ditemui di majlis Tawaran PAS Negara Berkebajikan di Dewan Orang Ramai Pajak Song, Kepala Batas pagi tadi menambah, apa yang diperkatakan oleh Mustafa itu bukan untuk memanjangkan isu sebaliknya untuk memberitahu kedua-dua tokoh tersebut bahawa mereka telah terjerat dengan agenda Umno.

"Apa yang ditegurkan oleh Datuk Mustafa Ali umpama teguran seorag pemimpin yang sayangkan sahabatnya yang dilihat sudah memasuki zon musuh.

“Jika tidak ditegur mungkin mereka terperangkap terus dalam kancah untuk merosakan PAS dari dalam, tambahan lagi ketika berhadapan dengan pilihan raya umum akan datang," jelasnya dalam program anjuran Lajnah Penerangan PAS Negeri Pulau Pinang.

Sambungnya, fenomena itu tidak sepatutnya berlaku jika semua pihak lebih berhati-hati dan tidak mengeluarkan kenyataan mendahului kepimpinan.

Sekarang ini, katanya masa lebih memerlukan kepada kerja untuk menjatuhkan Umno dan Barisan Nasional (BN), bukan pertelagahan sesama sendiri dalam isu yang kecil.

“Masa ini kita patut memperkasakan kedudukan menjadi lebih mantap bersama Pakatan Rakyat agar rakyat lebih percaya Pakatan Rakyat yang dibarisi parti seperti PAS, PKR dan DAP daripada Umno dan BN yang jelas meruntuhkan negara dalam jangka masa panjang.

"Marilah kita bersatu hati merancang menjatuhkan Umno dan BN dengan memperkemaskan semua jentera parti dalam Pakatan Rakyat, mudah-mudahan PR dapat mengulang kejayaan nanti," kata Tuan Ibrahim lagi.

Nik Aziz seru rakyat Kelantan isi borang BR1M

KOTA BHARU, 17 Dis: PAS akan mensasarkan keahlian seramai 100,000 ahli seluruh Kelantan dalam tempoh dua bulan akan datang.

Pengerusi Lajnah Pemerkasaan PAS Kelantan, Datuk Abdul Fatah Mahmood, berkata setiap Dewan Undangan Negeri (Dun) perlu mendaftar keahlian seramai 2,000 orang.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas satu majlis yang dirasmikan oleh Pesuruhjaya PAS Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Putik malam tadi.

Sambungnya, usaha itu dibuat bertujuan untuk menarik lebih ramai lagi orang ramai khususnya pemuda menjadi ahli PAS.

“Mood sekarang juga turut memperlihatkan PAS sebagai sebuah parti yang menjadi impian masyarakat terutama sekali golongan pemuda bakal penentu masa depan negara,” ujarnya.

Lebih 2,000 orang anggota parti seluruh Kelantan menghadiri program tertutup itu.

Turut berucap pada majlis itu, Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Zulkifli Mamat, Timbalan Pengerusi Lajnah Pemerkasaan, Datuk Omar Mohamed dan Fatah sendiri.

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, Tuan Guru menyeru rakyat Kelantan mengisi borang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) termasuk orang PAS.

Bantuan itu, katanya tiada kena mengena dengan keahlian mana-mana parti kerana wang yang diagihkan milik rakyat.

“Tak ada kena mengena dengan perlu tanda tangan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung.

“Andainya ia bermasalah atau penyokong PAS dipertikaikan dalam menerima sumbangan wang ini, kita akan ketahui sebenar sumbangan itu untuk membantu rakyat atau tujuan politik,” ujarnya.

'Durian runtuh' hanya sekali, rugi RM2b setahun

KUALA LUMPUR, 17 Dis: Jaminan Perdana Menteri untuk memberikan "durian runtuh" kepada para peneroka dari usaha penyenaraian Felda Global Ventures Holding ke bursa saham ternyata hanyalah sebagai "gula-gula" kerana pemberian itu hanyalah dalam bentuk "one off", berbanding kerugian yang akan dialami Felda sebanyak RM1.5 hingga RM2 bilion setahun.

Sehubungan itu, Felda pasti akan mengalami masa depan yang cukup gelap selepas itu kerana pasti gagal melaksanakan pelbagai kebajikannya kepada para peneroka ekoran kerugian seteruk itu setiap tahun.

Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Senator Dr Syed Husin Ali berkata, sebaliknya janji tersebut hanyalah dibuat sebagai langkah bagi memudahkan rancangan untuk menyenaraikan Felda Global Ventures Holding Bhd di bursa saham pada separuh pertama tahun 2012.

Menurutnya, dalam masa yang sama, jaminan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad dan Ketua Eksekutif Felda, Datuk Sabri Ahmad bahawa Felda bakal dibayar RM1 bilion setahun selama 99 tahun bagi meneruskan aktiviti pertanian dan pembangunan sosio-ekonomi peneroka amat disangsikan.

Katanya, kesangsian itu mempunyai asas yang cukup kuat kerana tidak ada jaminan bertulis mengenai perkara tersebut dalam Perjanjian Pajakan tanah antara Felda dan Felda Global Ventures.

"Rekod buruk Felda Global Ventures itu sendiri pun sudah diketahui dengan jelas oleh orang ramai. Felda Global Ventures bukanlah sebuah syarikat yang diurus dengan baik.

"Syarikat itu telah mengalami kerugian sehingga ratusan juta ringgit dalam pelaburan luar negara seperti pelaburan dalam Twin Rivers Technologies dan pembelian apartment di Mekah," katanya ketika dihubungi.

Ketua Eksekutif syarikat itu pula, menurut beliau, pernah disyaki terlibat dalam salah laku yang mengakibatkan kerugian RM120 juta di Syarikat Golden Hope Plantation Bhd.

"Setelah disiasat oleh KPMG Forensics, Ketua Eksekutif syarikat itu akhirnya terpaksa meletakkan jawatan sebagai Penasihat Intergrasi Kumpulan Sime Darby, seperti dilaporkan dalam Straits Times bertarikh 11 Jun 2008 lalu," jelasnya.

Sehingga kini, tambahnya, Felda Global Ventures hanya memiliki 42,000 hektar tanah di Kalimantan yang masih dalam peringkat penanaman dan semaian.

"Jadi, untuk tujuan penyenaraian ini, Felda berhasrat untuk memajakkan 350,000 hektar tanahnya kepada Global Ventures. Memajakkan tanah Felda dengan tujuan penyenaraian ini adalah bertentangan dengan semangat Akta Kemajuan Tanah yang dihasratkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Razak," ujarnya.

Di peringkat ini, tegasnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak lagi perlu meneruskan segala perancangan yang telah dibuat ke arah penyenaraian itu, sebaliknya perlu dengan telus memberikan penjelasan yang lengkap kenapa Pengarah Besar Felda, Datuk Dzulkifli Wahab diarahkan untuk mengambil cuti belajar selama lapan bulan?

"Sebelum ini, semasa Datuk Dzulkifli sedang melakukan umrah, Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad merampas kuasa Pengerusi Permodalan Felda dengan melanggar Akta Koperasi melalui Agenda Khas Mesyuarat Lembaga Pengarah Felda. Mengikut maklumat, perubahan struktur ini dirancang oleh Ketua Eksekutif Felda, Datuk Sabri Ahmad," katanya.

Beliau difahamkan tujuan perubahan itu dilakukan adalah untuk memungkinkan Isa mengambil tindakan meluluskan pelepasan pegangangan ekuiti Koperasi Permodalan Felda dalam Felda Holdings dan merombak pengurusan dan ahli lembaga pengarah, mengetuai jawatankuasa pelaburan dan merubah polisi sedia ada yang menjaga kepentingan ahli koperasi.

Ia juga, tambahnya, untuk menutup mata kakitangan Felda yang menjadi ahli Koperasi Permodalan Felda dari mengetahui bahawa mereka bakal kehilangan majoriti 55 peratus dalam saham Felda Holdings Bhd.

"Struktur selepas penyenaraian akan menyaksikan penguasaan saham Koperasi Permodalan Felda dalam Anak-anak Syarikat Felda susut kepada 30 peratus sahaja dan baki 70 peratus lagi ditawarkan kepada pelabur luar," jelasnya.

Sekitar Program Pelancaran 100 Ribu Keahlian PAS Di PUTIK














RM1,077 bilion wang negara dibawa lari, lapor GFI

KUALA LUMPUR, 16 Dis: Rakyat Malaysia kehilangan “satu dekad yang telah hancur dek korupsi”, di mana wang haram sebanyak RM1,077 bilion telah dibawa keluar dari negara kita dalam tempoh 10 tahun dari 2000-9.

Mengikut laporan terkini badan pemerhati kewangan Washington Global Financial Integrity (GFI), wang haram sebanyak RM150 bilion (USD47 bilion) telah dikeluarkan dari Malaysia dalam tahun 2009 sahaja.

RM150 bilion ini adalah tambahan kepada kerugian besar RM927 bilion (USD291 bilion) dalam tempoh 9 tahun dari 2000 hingga 2008. Laporan GFI ini telah mengejutkan kita semua, terutamanya apabila Malaysia kini berada di kedudukan 5 negara yang tertinggi untuk pelarian modal haram yang terbesar.

Demikian kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (gambar) dalam satu kenyataan medianya hari ini.

Menurut Lim, laporan terkini GFI yang bertajuk “Aliran Kewangan daripada Negara Membangun Dalam Dekad Berakhir 2009” telah disediakan oleh ahli ekonomi Sarah Freitas dan Dev Kar, yang pernah menjadi ahli ekonomi kanan di Tabung Kewangan Antarabangsa.
Mengikut penulisnya, kata Lim Guan Eng, unjuran tersebut adalah berdasarkan kira-kira bayaran, perdagangan dua hala dan data hutang luar negeri yang dilaporkan negara-negara ahli IMF dan Bank Dunia.

Kata Lim, mereka menekankan bahawa aliran haram ini merupakan “ketirisan modal yang tidak direkod melalui... pemindahan wang secara haram yang terhasil daripada rasuah, pencurian, sogokan dan pengelakan cukai.
Dalam erti kata lain, ia merujuk kepada wang rasuah yang diperolehi secara haram dan tambahan pula tidak diedar semula ke dalam ekonomi negara, katanya.

Bagi Ketua Menteri Pulau Pinang itu, ketirisan lebih RM1,000 bilion yang amat besar dan tidak bertanggungjawab ini adalah akibat daripada rasuah dan sukar untuk ditebus semula.

"Hakikat bahawa hasil rasuah sebanyak RM1,000 bilion telah dialirkan keluar daripada negara kita dalam tempoh 10 tahun yang lalu bermakna bahawa rakyat Malaysia telah kehilangan satu dekad yang telah hancur dek korupsi.

"Sudah tiba masa untuk menghapuskan lanun-lanun yang telah merompak negara kita," tegas Lim.

Antaranya, projek-projek seperti Port Klang Free Trade Zone (PKFZ), skandal saham Bumi RM52 bilion, skandal “lembu dan kondo” RM250 juta NFC, “komisyen” setengah bilion untuk pembelian dua kapal selam kelas Scorpene, dan banyak lagi projek kaitan kerajaan yang penuh dengan kos “overrun” atau kos berlebihan tanpa apa-apa kebertanggungjawaban.

Ia termasuk juga pendedahan Lapora Ketua Audit Negara terkini tentang RM3.7 bilion yang terlebih dibelanja oleh jabatan-jabatan kerajaan, yang telah menjadikan Malaysia sebagai raja wang haram, tambahnya.

"Tidak hairanlah kenapa prestasi negara kita telah merosot mengikut laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2011 badan pemerhati rasuah Transparency International (TI) yang menunjukkan bahawa Malaysia telah jatuh kepada tangga ke-60 daripada 183 negara, berbanding tangga ke-37 pada tahun 2003 apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih pucuk pimpinan negara sebagai Perdana Menteri.
"CPI Malaysia pula telah menurun kepada 4.3 pada tahun ini, dan Timbalan Presiden TI Malaysia Mohammad Ali juga berkata bahawa CPI Malaysia terus merosot kerana “unsur-unsur kerajaan” yang memudahkan “rasuah besar” masih lagi tersebar luas," katanya.

Pendedahan terkini oleh GFI tentang wang haram sebanyak RM1,077 bilion yang telah dialirkan keluar daripada negara kita sedikit sebanyak menunjukkan betapa banyak kerugian yang dialami rakyat Malaysia.

"DAP menyesal kerana Kerajaan BN mengambil ringan kajian bereputasi ini yang telah dijalankan oleh sebuah badan yang bebas dan berprestij.

"Rakyat Malaysia harus bersatu untuk menyelamatkan negara kita daripada BN, membersihkan rasuah yang berleluasa dan mendapatkan balik RM1,077 bilion yang telah kehilangan ini," tegas beliau.