Monday, November 19, 2012

PAS bukan parti kampung, sedia tadbir negara

KOTA BHARU: PAS bukan ‘parti kampung’ bahkan sebuah parti yang kini bersedia untuk mentadbir Malaysia, kata Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa.

Beliau berkata PAS kini didukung ahli dari pelbagai lapisan termasuk pegawai tinggi kerajaan dan pegawai keselamatan yang telah bersara.

(Gambar: Husam bersama petugas Harakah di muktamar.)

Husam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri Kelantan berkata Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Tahunan PAS ke-58 meletakkan PAS bukan saja untuk PAS tetapi juga PAS untuk semua.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Muktmar Tahunan PAS ke-58 yang berakhir di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik) dekat sini petang semalam.

“Hendak membentuk sebuah kerajaan mesti ada pelbagai aliran kekuatan termasuk pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan pegawai dari pasukan keselamatan yang telah bersara.

“Dan ini membuktikan PAS tidak lagi sebuah ‘parti kampung’ tetapi sebuah parti yang bersedia untuk mentadbir kerajaan secara yang baik,” ujarnya.

Katanya,, ucapan penggulungan Presiden PAS menunjukkan beliau seorang pemimpin sudah teruji, bahkan bersedia untuk memimpin rakyat Malaysia pelbagai kaum serta menguasai isu-isu governance dengan cekap.

Beliau turut mengulas isu ‘pengkhianatan Umno’  terhadap Melayu.

Husam mendakwa itu merupakan isu besar yang akan diikuti follow-up program-program yang lain selepas ini.

Ini, ujarnya penting supaya rakyat di luar bandar boleh faham bahawa sebenarnya selama ini mereka adalah terpinggir kerana kecuaian atau pun pengkhianatan Umno.

Mengenai calon PAS untuk PRU13, beliau berharap calon itu mestilah seorang berbudi baik dari perspektif Islam,  beriman, bertaqwa dan ada track record serta rapat dan mesra dengan pengundi.

No comments: