Sunday, November 18, 2012

Perwakilan berjaya tepis tohmahan dan provokasi

KOTA BHARU: Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Muktamar Tahunan PAS kali ke-58 yang berlangsung sejak semalam menunjukkan betapa kematangan perwakilan PAS yang tidak termakan sebarang provokasi dan fitnah pihak lawan.

Sebagai contoh katanya, walaupun media pihak lawan melakukan provokasi kononnya isu Nurul Izzah akan menjadi topik hangat dalam muktamar kali ini, namun perwakilan yang tampil berbahas langsung tidak membangkitkan isu ini.

Malah katanya, perwakilan dilihat matang membangkitkan isu khsusnya melontarkan kritikan membina kepada pimpinan parti ke arah menjadikan PAS lebih mantap berdepan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

"Ini juga menunjukkan bahawa PAS bukan macam kepimpinan (Ayatullah) Khomeini yang tidak boleh ditegur," katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan penggulungan ucapan dasar Presiden PAS petang ini.

Beliau turut mengingatkan ahli agar tidak termakan dengan mainan media musuh yang cuba memecah belahkan PAS.

Sebaliknya ujar beliau, penerangan PAS termasuk Harakah dan Harakahdaily perlu dijadikan sumber rujukan walaupun berdepan dengan pelbagai kekangan.

"Biarpun berdepan pelbagai kekurangan, namun Harakah dan Harakahdaily ditakuti musuh stakat ini," katanya.

Beliau juga mahu ahli dan pimpinan tahu membezakan pendirian rasmi parti dan pandangan peribadi apabila seseorang ahli atau pimpinan mengulas sesuatu isu kepada media khususnya media perdana.

"Saya ingatkan bahawa pendirian rasmi parti hanya oleh presiden, timbalan presiden, naib-naib presiden, setiausaha dan ketua penerangan.

"Sementara isu-isu tertentu hanya dikeluarkan oleh presiden dan ketua penerangan sahaja," katanya.

Justeru katanya, ahli selain pimpinan yang disebutkan itu boleh melontarkan pandangan tetapi harus menjurus kepada apa yang diputuskan kepimpinan parti.

Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih kepada semua perwakilan yang telah memberi teguran dan kritikan khususnya berkait penerangan PAS.

Kesemua teguran itu katanya akan diambil perhatian oleh lajnah penerangan untuk tindakan seterusnya.

No comments: