Sunday, July 19, 2009

benarkah roh umno hidup kembali?


Manek Urai hidupkan kembali roh Umno

Sama ada benar atau palsu janji dilafazkan dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) Dun Manek Urai, namun hakikatnya dari sudut fizikal Umno-Barisan Nasional (BN) telah berjaya mempengaruhi hampir 95 peratus pencapaian majoriti PAS pada pilihan raya umum (PRU) 2008.
Secara tidak langsung percaturan politik Tan Sri Muhyiddin Yasin selaku Timbalan Presiden Umno, seolah-olah hampir memberi pukulan maut tidak mampu disangkal oleh PAS.
Sebagaimana dilaporkan, BN mendominasikan seluruh jentera kerajaan sebagai senjata kempennya. Tetapi umpan dilihat paling berkesan ialah janji projek jambatan baru, kota agropolitan dan anak emas.
Selain itu taktik paling buruk dan kotor seperti mana didakwa pihak lawannya ialah sogokan rasuah bernilai tinggi sehingga mencecah ribuan ringgit.
Sejauh manakah kebenaran itu, tuhan saja yang maha tahu. Yang pasti kemenangan tipis PAS menggambarkan keupayaan Umno mengubah senario politik semasa di Manek Urai. Secara tidak langsung Umno boleh berbangga walaupun tewas di pertarungan kali ini.
Tinjauan The Malaysian Insider sepanjang tempoh berlangsungnya kempen pilihan raya ternyata PAS lebih terkehadapan menguasai keadaan berbanding Umno.
Hampir setiap tempat, bermula dari Sungai Sok hingga ke Laloh program PAS sentiasa sesak, laungan takbir tanda sokongan padu kepada parti itu tidak pernah menyepikan kesunyian malam.
Apatah lagi kalau melihat tiga malam terakhir, mengikut adat Umno sudah boleh gulung tikar dan angkat bendera putih. Kehadiran Anwar Ibrahim di kampung Peria disambut 5,000 penyokong. Tetapi program Umno yang diadakan bersebelahan cuma dihadiri penonton seramai paling tinggipun 50 orang. Betapa nazak sambutan diberi kepada BN.
Benar kata orang, di dalam politik serba kemungkinan. Sebab itu banyak telahan dan spekulasi jarang menepati sasaran hatta dari penganalisis politik hebat sekalipun.
Kehadiran ribuan audien tidak boleh dijadikan referendum kekuatan sesebuah parti kerana mungkin ia terdiri daripada penyokong-penyokong luar kawasan. Jadi, tidak wajar persoalan ke mana pergi ribuan penyokong yang pernah membanjiri ceramah PAS sebelum ini dikaitkan dengan kemenangan tipis dialaminya.
Sebaliknya PAS akan diihat lebih rasional sekiranya cuba beralternatif mencari di mana pengundi luar seramai lebih 1,000 orang dikatakan penyokong tegar PAS dilaporkan pulang dan memberi jaminan mengundi bulan?
Mengambil sikap berterusan menyelar parti lawan menggunakan rasuah selepas keputusan sudahpun muktamad bukan jalan penyelesaian sesuatu masalah. Jika benar dakwaan itu serahkan saja kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan selanjutnya. Mengadakan 'domestic inquiry' parti barangkali lebih utama.
Walau apapun, perspektif politik pasca PRK Dun Manek Urai 14 Julai menjadi momentum baru kepada kedua-dua parti menghadapi PRU akan datang.
Justeru PAS tidak wajar berbangga dengan bayang-bayang sendiri menjulang kemenangan tipisnya itu. Sebaliknya PAS mesti sedar bahawa roh Umno telah kembali pulih di Manek Urai bagi mengisi methodologi baru menjejaki rentak lawan.