Saturday, July 02, 2011

8 tuntutan Bersih sangat munasabah

SHAH ALAM, 2 Julai: Dewan Pemuda PAS Selangor menyifatkan lapan tuntutan Bersih adalah sangat munasabah kerana telah lama dilaksanakan di negara lain.
Ketuanya, Ustaz Hasbullah Mohd Ridzwan berkata, tuntutan itu merupakan kehendak rakyat yang inginkan suasana pilihan raya berada dalam bersih dan bebas.
Kerana ketiadaan lapan perkara itulah maka Bersih terpaksa menganjurkan himpunan 9 Julai ini.
Hasbullah mempersoalkan kenapa susah sangat untuk kerajaan BN laksanakan semua tuntutan kerana ia paling mudah dilakukan.
Kecualilah, ujarnya, pihak terbabit mempunyai agenda tersendiri yang menyebabkan mereka tidak berani dan gagal memahami kehendak rakyat yang ingin suasana bersih di dalam pilihan raya.
Himpunan Bersih yang digerakkan berbagai NGO akan diadakan di Kuala Lumpur pada 9 Julai dalam usaha menyerahkan lapan tuntutan kepada Istana Negara.
Lapan tuntutan itu adalah Bersihkan senarai undi, Mereformasikan undi pos, Gunakan dakwat kekal, Masa kempen minima 21 hari, Akses media yang bebas dan adil, Kukuhkan institusi awam, Hentikan rasuah dan Hentikan politik kotor.
Exco Pemuda PAS Malaysia itu menyatakan perkara ini ketika menjawab soalan media dalam Majlis Ramah Mesra Pemuda PAS Selangor bersama Media dekat sini, petang semalam.
Menurutnya, pihak penganjur memberi jaminan tentang keselamatan dan peserta himpunan sama sekali tidak akan membawa sebarang jenis senjata.
Bagi mereka, ia adalah himpunan aman yang dibenarkan oleh Perlembagaan Negara.
Dalam hal ini, Hasbullah menyatakan kekesalannya kerana pihak Kerajaan BN menghalang satu himpunan aman yang jelas dibenarkan oleh perlembagaan.
"Jika kerajaan tidak izinkan Bersih ini, kenapa pula perlembagaan dengan jelas membenarkannya?
"Halangan sebegini juga adalah antara sebab rakyat hendak berhimpun sangat pada 9 Julai ini.
"Apatah lagi bagi umat Islam, himpunan seumpama ini sangat digalakkan selagi mana ia diadakaa dalam keadaan aman seperti ibadat haji di Makkah," tegasnya.

PAS pertikai polis tutup pintu rundingan

KOTA BHARU, 2 Julai: Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu, mempertikaikan tindakan polis yang menutup pintu rundingan dengan pihak penganjur Bersih 2.0
(Mohamad Sabu disambut para jamaah masjid Darul Qarar)
Ini kerana Bersih adalah pencinta demokrasi dan keamanan, apa lagi untuk dikena tindakan ISA terhadap mereka yang menyertai Bersih.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung perkara itu selepas majlis ramah mesra bersama beliau di masjid Darul Qarar di sini hari ini.
Menurutnya, Bersih adalah pencinta keamanan dan demokrasi. Namun begitu, Umno dan BN dilihat terlalu takut dengan Bersih.
Ia dibayangkan dengan tindakan menangkap pemakai baju Bersih serta bertindak kepada mana-mana pihak yang menganjurkan program berkaitan Bersih.
Hampir 100 sudah ditangkap ekoran cadangan perhimpunan Bersih 9 Julai ini.
"Amat tidak wajar jika pintu rundingan ditolak,"ujarnya lagi.
Turut berucap pada majlis itu, Naib Presiden  Datuk Mahfuz Omar dan yang dipertua PAS Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Abdullah.
Pada masa yang sama Mohamad Sabu berkata, PAS tetap akan menyokong perhimpunan Bersih demi untuk kepentingan rakyat pada masa akan datang.
"PAS tetap akan sertainya, kerana Bersih hanya untuk menuntut keadilan dalam pilihanraya dan bukannya untuk menggugat kestabilan negara," ujarnya lagi.
Terdahulu  ketika berucap pada majlis itu beliau berkata Umno dan BN sebenarnya takut pada kebenaran yang bakal dibawa oleh Bersih.
Tegasnya, kemenangan BN kini hanya diperolehi dari undi pos dan Felda sahaja.
"Undi individu dah lama tak ada, apa lagi sekarang ini golongan muda juga semakin menyokong Pakatan Rakyat,"ujarnya.
Sementara itu, Mahfuz pula berkata PAS menuntut pilihanraya secara bersih dan gentleman, bukan dengan cara himpunan haram.
Katanya, PAS dan Pakatan Rakyat bukan ingin memerintah negara dengan cara demontrasi dan bukannya dengan cara mengguling kerajaan yang ada.
"Kita gentleman, bukan nak  guling kerajaan, kalau dia (BN) nak terguling sendiri, terpulanglah," ujarnya yang dipercayai mengulas tindakan BN yang seolah-olah sangat takut dengan Bersih.

Khutbah hentam Bersih, Jawi jadi alat Umno

KUALA LUMPUR, 1 Julai: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) amat kesal dengam khutbah Jumaat keluaran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan dibacakan di masjid-masjid di seluruh Kuala Lumpur hari ini, memandangkan ia jelas memburukkan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) dan perhimpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan 9 Julai ini.
Di tengah kita menyambut Israk dan Mikraj yang mengandungi amat banyak pengajaran besar, Jawi hari ini telah melakukan kesilapan besar dengan mengeluarkan khutbah tersebut yang jelas melampau dan bertentangan dengan ajaran Islam.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), Riduan Mohd Nor menegaskan, pada hal di dalam negara kita ini amat banyak perkara yang perlu diketengahkan oleh Jawi termasuklah usaha-usaha untuk mengatasi gejala sosial dan penghinaan terhadap syariat Islam.
Menurut beliau, tiba-tiba mimbar Jumaat di seluruh Wilayah Persekutuan hari ini dicemari dengan propaganda Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi APCO.
Katanya, DPPP amat kesal apabila masjid yang mulia dicemari dengan politik kotor dan hina yang menjadi pegangan Umno BN selama ini.
"Pada hal jika kita kembali kepada sirah Rasulullah s.a.w, khutbah merupakan medium dakwah yang penting yang mengandungi pelbagai nasihat dan ajaran berguna. Ia disampaikan dengan penuh semangat dan ketika menyampaikan khutbah, Nabi sendiri turut memegang tombak dan pedang.
"Oleh itu, dalam Islam, setiap makmun diwajibkan mendengar khutbah dengan teliti. Malah Nabi sendiri pernah menegur seorang sahabatnya kerana bermain-main dengan anak batu ketika khutbah dibaca," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini.
Isi khutbah, menurut beliau, mesti didengar dan dihadam oleh setiap makmun dan dengan itu ia secara jelas memberikan pengajaran kepada kita bahawa setiap khutbah yang dibacakan di mimbar-mimbar masjid mestilah yang menepati ajaran Islam.
Katanya, bagaimanapun, perkara itu amat berbeza dengan khutbah yang dibacakan di mimbar-mimbar masjid di Kuala Lumpur hari ini kerana ia jelas telah diperalatkan oleh BN untuk propaganda politik murahannya.
"Dengan itu, setiap umat Islam wajib menolak khutbah yang bersalut propaganda politik murahan BN itu dan sebaliknya turut memberikan kerjasama dengan Bersih untuk menolak politik kotor dan hina dan pilihanraya yang kotor dan hina di negara kita," tegasnya.
Rakyat di seluruh negara, katanya, diyakini amat faham dengan tujuan Bersih hendak mengadakan Perhimpunan Aman Bersih 2.0 pada 9 Julai ini yang bukannya untuk melakukan kekacauan, tetapi untuk menuntut kerajaan melaksanakan pilihanraya dengan bersih dan adil.
"Oleh itu, di tengah BN menyerang Bersih termasuk dengan menggunakan mimbar masjid, saya yakin sejuta umat Islam akan turun berhimpun di Kuala Lumpur pada 9 Julai ini, bagi mendesak kerajaan BN yang korup melaksanakan pilihanraya dengan bersih dan adil kerana rakyat sendiri sudah tidak tertahan dengan permainan politik kotor BN sejak sekian lama," katanya.       
Sementara itu, PAS Wilayah Persekutuan turut kesal dengan teks khutbah Jumaat hari ini yang dikeluarkan oleh Jawi untuk menghentam Bersih.
Dalam keadaan mereka beria-ia menolak politik kepartian di dalam masjid, tetapi Jawi hari ini telah terjebak sebagai alat politik Barisan Nasional (BN).
Ketua Penerangan PAS Wilayah Persekutuan, Mohd Nasaie Ismail berkata, tindakan menggunakan platform agama untuk mengharam dan melabelkan pelampau kepada Himpunan Bersih 2.0 dikira melampau dan bertentangan dengan ajaran Islam.
Menurut beliau, label pelampau dan haram dikaitkan kononnya Bersih hendak menimbulkan kekacauan dan kerosakan jelas merupakan satu fitnah yang dilakukan terang-terangan menggunakan mimbar Jumaat.
Katanya, PAS Wilayah Persekutuan amat kesal kerana mimbar Jumaat dijadikan tempat sebaran fitnah, sedangkan umum mengetahui tujuan Bersih adalah untuk berhimpun secara aman bagi mendesak pilihanraya yang bebas dan adil, bukan untuk melakukan kerosakan dan huru-hara.
"Tetapi khutbah yang dikeluarkan oleh Jawi ini melaporkan sebaliknya," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini.
PAS Wilayah Persekutuan juga, menurutnya, kecewa kerana Jawi menggunakan platform khutbah yang berbentuk komunikasi sehala untuk memfitnah himpunan Bersih.
"Kita mohon supaya Jawi sedia berdialog secara terbuka dengan umat Islam dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bagi memastikan di mana haram dan melampaunya himpunan Bersih?
Jika JAWI tidak sedia berdialog, beliau secara tegas mengatakan, itu tandanya JAWI sebenarnya melaksanakan arahan Barisan Nasional.
"Kita hendak ingatkan Jawi supaya tidak menjadi alat BN dan merasakan masjid-masjid di Wilayah milik Barisan Nasional sehingga tergamak melakukan hal ini.
"Perlu diingat, 9 daripada 10 Parlimen di Kuala Lumpur ini dimenangi oleh Pakatan Rakyat dan sudah pasti yang mendengar khutbah itu majoritinya menolak politik kotor Barisan Nasional," tegas beliau.
Beliau juga memberitahu PAS Wilayah Persekutuan akan menurunkan lebih 20 ribu orang ahli-ahli dan penyokong-penyokongnya ke Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini.
Mereka, katanya akan turun dengan disiplin yang tinggi sebagaimana amalan biasa dalam PAS dan seperti yang telah sedia dimaklumi oleh pihak polis sendiri berhubung akhlak dan disiplin ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS sepanjang puluhan himpunan yang pernah diadakan sebelum ini. 
Ketua Penerangan PAS Wilayah Persekutuan, Mohd Nasaie Ismail menjelaskan, kesediaan PAS Wilayah Persekutuan menurunkan ahli-ahli dan penyokong-penyokongnya ke perhimpunan itu adalah selaras dengan arahan Mursyidul Am dan Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Menururut beliau, PAS Wilayah Persekutuan juga menyeru ahli-ahlinya supaya menjadikan diri mereka sebagai saksi-saksi sejarah terhadap perubahan demokrasi yang bebas dan bersih dengan penglibatan mereka dalam himpunan itu.
Katanya, himpunan aman yang diadakan itu adalah untuk mendesak kerajaan memulihkan sistem pilihanraya yang kotor selama ini dan ia akan memberi kesan yang cukup besar jika berlaku perubahan.
"Ia akan menjadi catatan sejarah yang akan dibaca dan dipelajari oleh anak-anak dan cucu kita pada masa akan datang dan sudah pasti ibu bapa dan datuk neneknya dahulu salah seorang daripada saksi sejarah tersebut," katanya.
PAS Wilayah Persekutuan juga, menurut beliau, mengalu-alukan kehadiran ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS dari seluruh negara ke ibu kota bagi menjayakan perhimpunan itu.
Katanya, sehingga kini keadaan di ibu kota begitu aman dan tidak ada sebab untuk ahli-ahli PAS dan orang ramai tidak hadir ke Kuala Lumpur pada tarikh tersebut.
"Tambahan pula dengan jumlah anggota polis yang ramai, sudah pasti keamanan lebih terjamin. Di samping itu, 400 peguam yang disediakan parti sepanjang perhimpunan ini akan dapat membantu memastikan peserta sentiasa patuh pada undang-undang," tegasnya.

Polis diminta bebaskan remaja demo bantah Bersih

TEMERLOH, 1 Julai: Enam remaja yang berdemonstrasi di hadapan bangunan pejabat Badan Perhubungan PAS Pahang, dekat sini selepas solat Jumaat tadi, diberkas polis dan dibawa ke balai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh.
 
Mereka sebahagian daripada kira-kira 20 orang yang berhimpun di jalan Dato’ Bahaman di sini yang dikatakan bertindak membantah perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini.
 
Budak-budak lepasan sekolah itu memegang sepanduk “Kami NGO Temerloh bantah himpunan BERSIH” sambil  memekik “Selamatkan Malaysia” dan berada kira-kira dua minit di depan pejabat PAS.
 
Mereka yang berasal dari kampung-kampung berdekatan itu kemudiannya bertempiaran lari dan menunggang motosikal masing-masing apabila diusir oleh anggota mata-mata termasuk polis wanita sementara enam orang daripadanya dimasukkan ke dalan van polis.
 
Sementara itu salah seorang peserta demo tersebut ketika ditanya, mengaku menerima wang upah antara RM20 hingga RM30 seorang daripada pihak tertentu. 
 
Turut hadir memerhatikan gelagat mereka ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Semantan, Syed Hamid Syed Mohamad, Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pahang, Ahmad Nizam Hamid, puluhan anggota Unit Amal serta ahli-ahli PAS yang turut berkumpul di depan pejabat PAS.
 
Sementara itu, Ahmad Nizam yang juga pengamal undang-undang meminta enam remaja yang ditahan polis itu dilepaskan segera kerana mereka mempunyai hak untuk berhimpun.
 
“Mereka mempunyai hak untuk berhimpun secara aman membantah sesuatu yang tidak disukai kerana ia termaktub dalam perlembagaan.
 
“Jadi kita harap pihak polis segera bebaskan mereka,” katanya.

Sedihnya negara hilang tanah KTMB selamanya

KUALA LUMPUR, 1 Julai: Seluruh rakyat Malaysia terutama yang tinggal di Johor sepatutnya bersedih mulai hari ini, apabila tanah Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) yang telah dipajak selama 79 tahun hilang buat selama-lamanya dari pemilikan Malaysia kerana diserahkan kepada pihak Singapura.
Sebagai balasannya, pihak Singapura akan menggantikan kepada Malaysia (Johor) dengan tanah bertaraf antarabangsa di empat lot Marina South dan satu bidang di Ophir Rochor.
Exco Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), Suhaizan Kaiat berkata, penyerahan tanah KTMB yang berlaku hari ini menjadi satu sejarah penting kepada negara dan memberi banyak pengajaran kepada generasi akan datang.
Menurut beliau, pangajaran yang paling besar adalah Kerajaan Malaysia sanggup menyerahkan tanah KTMB kepada Singapura demi mengejar keuntungan material semata-mata dengan mengenepikan persoalan maruah rakyat dan negara tercinta ini.
Katanya, Pemuda PAS Negeri Johor amat sedih dengan catatan sejarah duka ini kerana ia tidak sepatutnya dialami oleh seluruh rakyat Johor dan Malaysia.
"KTMB mempunyai  tanah pajakan dengan Kerajaan Singapura selama 999 tahun bermula tahun 1932 seluas 217 hektar. Tanah sepanjang 30 km ini adalah dari Woodland, Kranji, Tanjung Pagar dan 3 lot di Bukit Timah (lot 76-2Mk 16, lot 249 Mk 4 & lot 32-10 Mk 16)," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini.
Tanah tersebut, menurut beliau, cukup strategik kerana terletak di tengah-tengah Singapura, terlengkar dari utara di Woodland hingga ke Selatan di Tanjung Pagar.
Katanya, perjanjian pajakan yang telah dimeterai dengan pihak British telah menyatakan bahawa tanah tersebut hanya boleh digunakan untuk tujuan keretapi sahaja.
Ini bermaksud bahawa jika KTMB membuat aktiviti lain daripada keretapi, katanya, maka perjanjian pajakan akan terbatal dan Singapura berhak untuk merampas tanah tersebut.
"Persoalannya, mengapa perjanjian yang mengikat negara ini tidak dipinda semasa Singapura keluar daripada Malaysia?" tegasnya.
Hari ini, ujarnya, tanah tersebut tidak akan kembali lagi kepada kita dan digantikan dengan tanah di empat lot Marina South dan satu bidang di Ophir Rochor yang akan dibangunkan oleh syarikat usahasama Malaysia dan Singapura, M-S Pte Ltd yang dimiliki 60 peratus ekuiti oleh Khazanah Nasional Berhad dan 40 peratus ekuiti oleh Temasek Holdings. 
"Persoalannya, mengapa Syarikat M-S Pte Ltd belum menunjukkan sebarang progres projek tetapi tanah KTMB sudah dilepaskan kepada Singapura?
"Di manakah maruah rakyat dan negara Malaysia jika Syarikat M-S Pte Ltd gagal sedangkan tanah KTMB telah diserahkan kepada Singapura?" katanya.
Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Johor menegaskan, tanah di Marina South dan Ophir Rochor yang dibangunkan oleh M-S Ptd Ltd itu bakal dijual kepada pasaran setelah siap dibangunkan.
"Oleh itu, tanah ini akan terdedah kepada pemilikan bebas. Berkemungkinan tanah ini sedikit demi sedikit akan hilang daripada pegangan Khazanah Nasional.
"Akhirnya rakyat Malaysia sudah tidak memiliki tanah di Singapura yang boleh dibanggakan oleh generasi akan datang. Apakah jaminan tanah di Marina South dan Ophir Rochor tidak terlepas kepada pihak luar?" ujar beliau.

Dewan Pemuda PAS Kawasan Machang Buat Laporan Polis


30//6/2011(Khamis)-Beberapa org AJK DPPKM yang di ketuai oleh Hatman Abdullah selaKu Ketua Pemuda PAS Kawasan Machang(DPPKM) membuat report berkenaan dengan isu kegagalan pihak TNB meningkatkan mutu bekalan elektrik di Negeri Kelantan menyebabkan timbulnya msalah bekalan air..Report trsebut telah dibuat di Balai Polis Machang pada pukul 5.10ptg..Menurut Htman Abdullah Bekalan elektrik terputus mengambil masa yg panjang untuk dipulihkan semula menyebabkan sumber air loji tidak dapat berfungsi..Selalunya sekiranya bekalan elektrik terputus selama 1 jam akan menybbkan bekalan air akan terganggu selama hampri 1 hari.. pihak kerajaan pusat sepatutnya mengambil tindakan sewajarnya dengan menyegerakan peruntukan tambahan kpd pihak Air Kelantan Sdn. Bhd(AKSB) bg mengatasi masalah tersebut..

PAS alu-alukan Najib kumpul 3 juta ahli Umno

KUALA LUMPUR, 1 Julai: PAS mengalu-alukan kenyataan Datuk Seri Najib Razak yang dengan penuh bangga untuk menghimpunkan seramai 3 juta ahli Umno.
“Persoalannya bolehkah beliau mengumpul ahli sebanyak itu?” tanya AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.
Katanya, sedangkan untuk menghimpunkan 1 juta belia pada 27 hingga 28 Mei lalu pun gagal, yang hanya dihadiri lebih kurang 10 ribu orang sahaja.
Najib selaku Presiden Umno, berkata jika ia mahu, Umno mampu mengerahkan tiga juta anggotanya untuk menentang habis-habisan hasrat golongan yang mahu mewujudkan kekacauan melalui demonstrasi jalanan.

"Kita (Umno) ada tiga juta ahli, tidak termasuk parti komponen (Barisan Nasional)...kita boleh kumpulkan tiga juta orang yang tunggu isyarat. Kalau semboyan dibunyi, mereka juga akan berjuang habis-habisan... tetapi apakah itu satu cara yang bertanggungjawab," katanya ketika berucap pada satu majlis di Sipitang, Sabah, semalam.
Idris berkata, pengalaman Umno dalam siri-siri himpunan mereka berakhir dengan kegagalan, seperti program Semarak, himpunan untuk membuang kekebalan Raja-Raja Melayu dan pemimpin bersama rakyat walaupun mereka membuat kerahan kepada pegawai-pegawai kerajaan.
Baginya, apabila Presiden Umno mengaku boleh mengumpulkan 3 juta ahli hanya merupakan satu ilusi semata-semata kerana Umno di era ini bukan ada ruh perjuangan sebaliknya menyertai Umno hanya untuk mendapat benda.
Menurutnya, bertempit sorak marah kepada kerajaan Pakatan Rakyat bukan kerana rakyat ditindas, tetapi kerana saluran pernafasan pemimpin Umno semakin sempit kerana projek tidak diperolehi dengan mudah seperti zaman pemerintahan Umno BN.
Mereka, ujarnya tidak sanggup berhimpun jika tidak dibayar tambang dan nasi bungkus.
Ini, ujarnya boleh dilihat ketika hari penamaan calon pilihan raya, mereka tidak tahan lama untuk berhimpun, kadang- kadang beredar sebelum pengumuman dibuat.
“Ia berlainan dengan penyokong Pakatan Rakyat ia hadir dengan jiwa yang tulus dan suci sanggup berjemur dan berpanas semata-mata untuk menuntut pilihan raya yang adil,” katanya.

Monday, June 27, 2011

Matilah BN kali ini

Mengapa Barisan Nasional (BN) takut dengan Himpunan Bersih 2.0, 9 Julai ini kalau benar dia anak jantan? BN sebenarnya takut kepada bayang-bayang sendiri. BN boleh berdiam diri, tidak perlu menggelabah dengan mengaitkan nama Yang di-Pertuan Agong, mendakwa berlaku huru hara dan menggunakan polis untuk provokasi himpunan tersebut, jika parti itu sendiri anak jantan.
Pengerusinya, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak, tidak payah mendakwa pembangkang bukan anak jantan kerana ia bukan anjuran parti pembangkang tetapi anjuran NGO yang ada kaitan dengan rakyat dan tuntutan mereka dari segenap lapisan masyarakat.
BN begitu bacul dengan sikap tak endahnya, apabila bukti terang-terangan adanya pengundi hantu dalam daftar pemilih terbaru yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM) 13 Mei lalu yang didedahkan Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali di Parlimen baru-baru ini.
Ia diperakui kemudiannya oleh SPRM sendiri. Mengapa BN diam? Mengapa tidak bertindak terhadap bukti tersebut dengan membuat pembersihan semula daftar pemilih itu.
Bersih menuntut 8 perkara, mengapa tidak menerima tuntutan tersebut yang telah dikemukakan sejak tahun 2008 lagi. BNlah bukan anak jantan kerana tidak telus dan terbuka membuat pembetulan. Jika terima tuntutan tersebut, BN percaya dia akan kalah dalam pilihan raya.
Takut apa kalah pilihanraya kalau kita di pihak yang benar. Hari ini orang benci dengan sikap telus dan terbuka kita, esok orang akan suka semula sikap kita tersebut. Itulah sikap anak jantan.
Jadi, jelas BN berkuasa atas penipuan, penyalahgunaan kuasa, rasuah, diktatorship, tamak haloba, takut kalah dan  takut hilang kuasa sebagaimana Najib berkata, susah jadi naib johan sebagaimana ucapannya dalam satu majlis baru-baru ini.
Najib menyindir dan menggambarkan BN berada dalam situasi tertekan dan 'pessimistic'  (putus harapan) untuk menarik sokongan rakyat umum yang sudah bosan dengan kerenah pemerintahan parti itu.
Sekaligus BN sudah berada  di persimpangan jalan. BN tidak relevan lagi untuk mendokong cita-cita dan harapan rakyat untuk melihat suatu pemerintahan yang adil dan berkebajikan kerana parti itu tidak mendokong cita-cita rakyat.
Parti  itu  begitu sukar untuk menukar warna kelam dan hodoh  terpalit di mukanya selama ini dalam waktu terdekat kerana rakyat sudah kenal siapa BN atau Umno yang juga parti teras Barisan Nasional itu. Jika datang kepada rakyat dalam keadaan, menyembah-nyembah sekalipun ia sukar lagi diterima, melainkan mereka menerima segala tuntutan rakyat terhadap pilihan raya adil dan bersih.
Tetapi bahananya akan menimpa BN kalau ditunaikan tuntutan tersebut, iaitu kalah pilihan raya. BN memang takut kalah kerana kalau kalah pilihan raya, kata orang 'matilah BN'. Parti itu hidup dengan penipuan dan penyelewengan. Tanpanya parti itu mati. jadi kalau parti itu bersih sebagaimana tuntutan Himpunan Bersih 2.0, kekotorannya hilang.
Pemimpinnya memang suka mempertahankan kekotoran itu  kerana mereka hidup dengan kekotoran tersebut.

Bersih 2.0: Siapa pengkhianat

KUALA LUMPUR, 26 Jun: Tuduhan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengatakan penganjur Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih) mengkhianati perjuangan rakyat adalah tuduhan yang tidak tepat.
“Persoalannya siapakah pengkhianat sebenar?” tanya AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar).
Beliau juga mempersoalkan kenapa Bersih 2.0 yang didukung oleh NGO dan parti-parti politik bertegas juga hendak berhimpun secara aman pada 9 Julai ini.
Tambahnya, Timbalan Presiden Umno itu perlu ingat yang menganggotai penganjur Bersih 2.0 bukan mereka yang bodoh dan boleh dicucuk hidung oleh mana-mana pihak.
Katanya, jika mereka mahu mencari jalan selamat dan selesa lebih baik mereka menyertai Perkasa dan Pemuda Umno yang sentiasa mendapat perlindungan dan kekebalan daripada pihak pemerintah.
“Apakah salah sebagai rakyat yang hendak menuntut pilihan raya yang adil seperti penggunaan dakwat, menghapuskan undi pos?”
“Kenapa kerajaan berdolak dalih?  Susah sangatkah hendak laksanakan,” tanya beliau.
Beliau berkata, jika kerajaan tidak bersedia untuk menerima tuntutan rakyat, maka sahlah kerajaan BN yang mengkhianati kepada rakyat.
Tambahnya, oleh kerana rakyat sayangkan negara daripada mala petaka buruk kerana pencabulan demokrasi, maka mereka sanggup turun ke perhimpunan aman Bersih.
Sepatutnya, kata beliau Muhyiddintidak boleh menuduh perserta himpunan Bersih khianat kepada keamanan negara.
“Sepatutnya kerajaan sudah matang untuk mempertingkatkan ketelusan perjalanan pilihan raya dan usaha penambah baikan perjalanan pilihan raya , apabila pihak kerajaan melihat amarah rakyat ketika Bersih 10 November 2007 yang dihadiri lebih 100 ribu orang,” katanya.
Sebaliknya, kata beliau lagi walaupun  berlaku beberapa pertemuan yang dibuat oleh parti-parti politik dengan SPR, segala pandangan yang diberi seperti mencurah air di dalam daun keladi.
“Kesemua ini terjadi kerana SPR, masih tidak bebas dan berada di bawah dagu pemimpin BN,” ujarnya.

Umno macam musang jaga reban ayam

POKOK SENA, 26 Jun: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) menyifatkan sikap Umno BN seperti musang yang disuruh menjaga reban ayam.
Beliau berkata, jika rakyat terus memberikan kuasa kepada Umno BN, samalah seperti rakyat merelakan mereka terus ditipu dan ditindas.
"Bagi (kuasa) kat Umno ni serupa bagi jebon (musang) jaga reban ayam.
"Jebon ni kalau kita lepas ayam dari reban, bukan setakat ayam dia makan dengan reban-reban sekali hilang," kata beliau mencuit hati hadirin dengan loghat Kedah di majlis ceramah dan pelancaran Bersih 2.0 di dataran pejabat PAS kawasan Pokok Sena, Pekan Langgar malam tadi.
Mahfuz memberi contoh tindakan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyerahkan projek pengagihan beras ST 15 kepada kroni mereka.
Beras ST 15 merupakan beras hancur yang diberikan subsidi untuk dijual kepada golongan miskin.
Namun apa yang berlaku kata Mahfuz, beras itu sangat sedikit berada di pasaran kerana syarikat kroni Umno yang membeli beras itu dengan harga yang murah dari syarikat Beras Nasional Berhad (Bernas) membahagikannya kepada tiga gred.
Syarikat berkenaan membahagikan beras tersebut kepada beras hancur, lima peratus hancur dan sepuluh peratus hancur.
Beras lima peratus dan sepuluh peratus hancur lebih banyak di pasaran dan dijual dengan harga yang tinggi kerana ia bukan barang kawalan.
"Kerajaan peruntukkan RM46 juta sebulan untuk beras ST 15 iaitu beras subsidi nak bagi orang miskin makan.
"Caranya dia lantik beberapa kroni untuk dapat kuota ni. Dapat kuota, beli dengan dengan Bernas dapat harga murah kemudian jual dengan harga lain.
"Syarikat kroni dapat untung, orang miskin beli beras dengan harga mahal sebab dah dijadikan tiga gred," katanya di hadapan hampir 5,000 hadirin.
Mahfuz yang juga ahli Parlimen Pokok Sena berkata, perkara itu diakui oleh menteri, Datuk Noh Omar di Dewan Rakyat minggu lalu.
"Ini diakui oleh menteri. Saya berdebat dengan dia minggu lepas. Menteri kata mereka dah ambil tindakan ke atas syarikat itu tapi saya kata bohong. Saya tunjuk senarai nama projek beras ST 15 ini.
"Senarai syarikat yang dapat kuota pada 2008 sama dengan syarikat yang dapat kuota pada tahun ini," katanya.
Di Dewan Rakyat minggu lalu, Mahfuz menggesa projek itu dihentikan segera kerana tidak memberi manfaat kepada golongan miskin.
"Mereka buat kekayaan di atas duit yang kononnya untuk peruntukan orang miskin.
"Sebab itu kita tak  boleh lagi nak beri peluang kepada Umno BN," katanya.
Turut berceramah di pentas sama ialah ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh, ahli Parlimen Kuala Kedah, Ahmad Kasim dan ketua pemuda PAS Kawasan Pokok Sena, Ahmad Izzat Shauki yang juga Adun Bukit Lada.

Sunday, June 26, 2011

Bersih 2.0: Aktivis PSM, Suaram masih ditahan

KEPALA BATAS, 26 Jun: Sehingga awal pagi ini, 35 aktivis aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Suaram yang ditahan di Tol Sungai Dua sekitar pukul 3.30 petang semalam masih belum dibebaskan.
Mereka termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr. Jeyakumar Devaraj dalam rangka lawatan ke Sungai Ara, Pulau Pinang untuk menghadiri kempen Bersih dan 'Udah La.. Bersaralah!!' dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Kepala Batas untuk disoal siasat.
Harakahdaily difahamkan sebenarnya rombongan yang bertolak dari Ipoh tengah hari semalam akan mengadakan lawatan ke beberapa lokasi di Pulau Pinang sebelum bertolak pula ke Perlis untuk menghadiri majlis yang sama pada malam ini.
Beberapa orang kepimpinan PSM, Suaram, PKR dan PAS turut berada di luar IPD sehingga larut malam menanti mereka yang ditahan dibebaskan namun semuanya hampa.
Antara kepimpinan PAS yang hadir ialah Yang Dipertua PAS Kepala Batas, Rosidi Husein, Yang Dipertua PAS Tasek Gelugor, Ustaz Khalid Man, Ketua Penerangan PAS Kepala Batas, Osman Ayub, Ketua Penerangan Tasek Gelugor, Abdul Rahman Kasim, Ketua Cabang PKR Kepala Batas, Latif Abdullah dan ramai lagi.

Umno BN sangat bimbang 8 tuntutan Bersih

KUBANG PASU, 25 Jun: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kerajaan Umno BN sangat bimbang dengan lapan tuntutan Bersih 2.0 sehingga meningkatkan usaha menyekat rakyat hadir ke himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini.
Beliau mempersoal undang-undang yang dipakai Umno BN yang melarang rakyat memakai dan menjual baju kuning.
"Di Malaysia ini begitu ganas dan zalimnya pimpinan Umno, bila pakai baju kuning dan jual baju bersih dianggap satu kesalahan.
"Undang-undang mana yang mereka pakai? Ini satu bentuk keangkuhan kuasa dan tindakan terdesak kerajaan sebab mereka tengok kita minta pilihan raya Bersih.
"Ada mereka pertahankan kebersihan pilihan raya?" katanya pada sidang media selepas merasmikan Pusat Khidmat Dun Bukit Kayu Hitam dan Pejabat PKR Kubang Pasu petang tadi.
Anwar yang juga ketua pembangkang berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai beberapa orang yang ditahan dan disoal siasat kerana memakai baju berlogo Bersih 2.0 malam tadi dan hari ini.
Beliau turut mendakwa pilihan raya di Malaysia tidak ada bezanya dengan pilihan raya di Mesir sehingga rakyat bangkit melakukan perubahan.
Katanya lagi, rakyat negara ini turut mahu melakukan perubahan terutamanya apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri mengakui wujudnya pertindihan daftar pemilih.
"Pilihan pilihan raya di Malaysia tidak ada beza dengan siapa yang boleh nafikan ada masalah daftar pengundi?
"Bukan sahaja PKR PAS lebih terperinci bawa kes ini yang saya lihat sendiri dari jauh. Ada ruang media yang bebas? Tidak ada.
"Apa beza pilihan raya Najib Tun Razak  dengan pilihan raya Hosni Mubarak di Mesir, tolong jelaskan.
"Mengapa rakyat dan dunia menyokong perubahan pilihan raya di Mesir dan adakah salah kita menuntut pilihan raya yang sama?" soalnya yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh.
Tambahnya, Pakatan Rakyat tidak menuntut pilihan raya untuk kepentingan mereka tapi demi rakyat.
"Kita tidak minta perubahan yang memihak kepada Pakatan Rakyat kita minta perubahan yang tunduk kepada peraturan dan ketelusan," katanya.
Mengulas mengenai tahanan dua mahasiswa yang terlibat dalam program masyarakat di Gebeng, Kuantan petang tadi, beliau menyifatkan ianya untuk menakutkan golongan muda.
"Dia akan tangkap sesiapa yang dilihat ke depan untuk menakutkan rakyat," katanya.

300 peguam sertai himpunan Bersih 2.0

SHAH ALAM, 25 Jun: Rakyat tidak bimbang untuk hadir dalam Himpunan Bersih 2.0 kerana lebih 300  peguam sedia membantu mereka jika berlaku sebarang tangkapan.

Untuk tujuan itu, Dewan Pemuda PAS Malaysia telah menggerakkan bilangan peguam yang ramai kali ini memandangkan sambutan terhadap Bersih amat menggalakkan.

Ketua Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM) Negeri Selangor, Peguam Zainal Said berkata, ramai dalam kalangan peguam telah memberikan komitmen untuk hadir 9 Julai depan.

“Jangkaan kehadiran rakyat dalam Bersih 2.0 ini amat menggalakkan dan kita mempunyai kemampuan untuk menggerakkan seberapa ramai peguam yang kebanyakannya telah memberi komitmen,” tegasnya.

Zainal juga adalah Exco JUHAM Dewan Pemuda PAS Malaysia merangkap Ketua Pemuda PAS Kawasan Kota Raja.

Beliau ditemui ketika memberikan khidmat nasihatnya kepada seorang Pemuda PAS Shah Alam ditahan polis hanya kerana memegang baju Bersih 2.0 berwarna kuning malam tadi.

Musfari Azmi, 27, ditahan jam 11.30 malam sebaik selesai mesyuarat sukaneka di Padang Jawa, dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, dekat sini.

Sekitar jam 2 pagi beliau dibebaskan dan diraikan oleh sahabat pemuda pula dalam satu majlis ringkas berhampiran Pejabat Pemuda PAS Shah Alam, di Seksyen 7.

Turut serta adalah Setiausaha PAS Selangor, Peguam Mohd Khairuddin Othman, Timbalan YDP PAS Shah Alam, Haji Azli Yusof, Ketua Pemuda kawasan, Mohd Hilmi Radzuan dan Pengarah Jentera Pilihan Raya PAS Shah Alam, Jefri Zain.

Menurut Musafri, ketika beliau keluar sebaik selesai mesyuarat persiapan menganjurkan sukaneka di cawangan mereka, empat anggota polis berpakaian awam menahannya.

Mengikut Musafri Azmi, 27, beliau mengakui tidak biasa dengan tindakan polis cawangan khas (SB), terus menahan sebaik mengenal pasti terdapat lapan unit baju Bersih di tangannya.

Bendahari Pemuda Padang Jawa Petaling sambil berseloroh berkata kepada pihak polis ketika disoal siasat, tidak berbaloi beliau ditahan dari 11.30 malam hingga 210 pagi hanya kerana hendak menjual lapan helai baju yang hanya untung RM3.

Seriusnya, beliau sempat berhujah dengan anggota polis tentang sahnya Himpunan Bersih kerana Malaysia adalah sebuah negara demokrasi.
Lalu, jelasnya, mereka meminta beliau menghuraikan pula apa definisi demokkrasi dan menyatakan apa itu Bersih serta tuntutan lapan perkara.

Lebih dari itu, ujarnya, soalan pihak polis lebih terarah kepada siapa pengedar baju dan penggerak Bersih.

Sementara itu, Peguam Khairuddin mendesak pihak polis agar bertindak mengikut undang-undang sedia ada kerana jika betul tindakan mereka, baharu rakyat dapat menerimanya dengan baik.

“Malang bila kita minta di bawah undang-undang mana pemuda kita ditahan, mereka tidak dapat menjelaskannya dengan baik dan terperinci.

“Kerana itu, saya juga menyeru rakyat agar hadir beramai-ramai dalam Himpunan Bersih 9 Julai kerana pihak polis tidak mempunyai hak untuk menahan sesiapa pun kerana himpunan kita aman,” tegasnya.

Pakar Perlembagaan Malaysia, Dr Abdul Aziz Bari menyatakan polis tidak boleh membuat penghakiman awal berhubung himpunan itu  dan jika dilakukan juga, jelas mereka menentang undang-undang.

Paling teruk apabila ia bertentangan dengan hak yang dijamin dalam perlembagaan negara .

Katanya, mengikut Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan, polis tiada sebarang hak melarang perhimpunan aman yang dijamin.

"Hatta mahkamah juga tidak boleh melakukannya," kata pensyarah undang-undang UIAM itu.

Sebelum itu, pihak polis juga menahan Timbalan Ketua AMK Pusat, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin atau Jonah di Uptown Shah Alam ketika menanti makanan sampai, minta kad pengenalan, digari dan dibawa ke IPD sama.

Beliau menyerahkan kepada Peguam Latheefa Koya yang turut hadir untuk mengambil tindakan undang-undang kerana menahan beliau kerana memakai baju Bersih tanpa sebarang alasan kukuh.

Pihak polis mengawal jalan masuk ke Uptown sejak jam 7 malam hingga jam 4 pagi kerana ada iklan di facebook menyatakan satu majlis Pra Bersih akan dilancarkan di situ.

Kawasan pentas yang selalunya diadakan program karaoke dan juga ceramah agama sebulan sekali itu ditalimerahkan oleh pihak keselamatan. IBH

Bersih: Umno diingat tidak libatkan Agong

KUALA LUMPUR, 25 Jun: PAS menyelar sikap pihak tertentu yang didakwa mahu menggunakan Yang di-Pertuan Agong bagi menghalang himpunan aman Bersih 2.0 di ibu negara pada 9 Julai ini.

Bercakap kepada Harakahdaily hari ini, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berkata, tindakan tersebut adalah sangat tidak wajar kerana Agong merupakan tempat mengadu rakyat yang terakhir.

"Tidak sepatutnya pihak tertentu mengguna Agong untuk halang hak rakyat.

"Tindakan ini sangat tidak patut, kerana seluruh rakyat bernaung di bawah Agong dan berhak bertemu dengan baginda untuk mengadu sesuatu masalah", katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas desas desus yang mendakwa Umno sedang berusaha mendapatkan campurtangan Agong bagi menghalang himpunan Bersih 2.0 dari diadakan.

Himpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) itu sebelum ini mendapat kecaman khususnya dari pimpinan Umno BN.

Tidak hanya melalui kenyataan terbuka, kecaman sama juga dibuat semasa sesi perbahasan dalam Dewan Rakyat.

Himpunan tersebut yang dianggarkan disertai hampir 800 ribu orang, akan berarak ke Istana Negara dengan menggunakan warna tema pakaian kuning.

Selain bagi menjunjung institusi Diraja dan demokrasi, warna kuning itu juga sebagai lambang kebebasan, ketulasan dan keadilan.

Sehingga hari ini lebih 10 orang sudah ditahan dan diambil keterangan oleh polis kerana memakai dan menjual baju kuning bercetak "Bersih 2.0" kepada orang ramai yang bakal diguna pada perhimpunan itu nanti.

Ianya dilihat usaha pencegahan awal oleh pihak polis yang memberi amaran sebelum ini untuk membuat tangkapan awal.

"Kita mengharapkan bahawa perubahan yang dituntut rakyat ini diterima oleh SPR,"katanya.

'Ketua Umno SPR' didesak letak jawatan

KUALA LUMPUR, 25 Jun: Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali sekali lagi mengulangi desakannya agar Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar perlu meletak jawatan.

Desakan itu dinyatakannya hari ini selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengakui wujud "pengundi hantu" dalam rumah ibu Ahli Parlimen Gombak itu yang beralamat di Kg. Klang Gate Baru.

"Wan Ahmad Wan Omar cabar saya buktikan dakwaan wujud pengundi hantu. Saya buktikan dan SPR akui. Wan Ahmad wajib berundur," katanya.
Pada satu kenyataan media hari ini, Setiausaha SPR, Kamaruddin Mohamed Baria mengakui enam individu secara salah didaftar ke alamat rumah Ahli Parlimen Gombak itu.
Kamaruddin berkata, lima keturunan Cina dan seorang Melayu didaftar di alamat rumah Azmin dan mengakui senario itu berlaku di kawasan lain.
Mengakui juga SPR memiliki bidang kuasa terhad bagi mengatasi masalah itu, beliau meminta pengundi hantu di rumah Azmin dan kawasan lain supaya membuat penukaran alamat yang dipercayai berdasarkan alamat kad pengenalan.
Sebelum ini, Azmin dicabar Wan Ahmad agar membuktikan dakwaannya bahawa ada penipuan dalam daftar pemilih yang dikeluarkan SPR.

Wan Ahmad berkata, Azmin tidak bercakap benar dalam isu itu.

Menyahut cabaran itu, Azmin ketika berucap pada Konvenysen Pilihan Raya KEADILAN  minggu lalu kemudiannya mendedahkan rumah diduduki ibunya di Kampung Klang Gate memiliki 11 pemilih berdaftar iaitu enam Melayu dan lima Cina sedangkan ibunya tinggal berseorangan.

Nama yang didaftar di rumah ibunya ialah Mohamed Azmin Ali, Tan Teek Hock, Shamshida Taharin, Mohamed Azwan Ali, Lokman Abdul Rashid, Moufed Yazli Mohd Yazit, Aminudi Harun, Cgee Tom Yahaya, Tan Teek Fong dan Lim Hock Seng.

Bukti penyelewengan itu ujar Azmin berdasarkan daftar pemilih induk terbaru yang diwartakan 13 Mei lalu.

Sehubungan itu beliau mahu Wan Ahmad yang juga disifatkannya sebagai "Ketua Umno dalam SPR" meletak jawatan segera.

"Kekalkan Wan Ahmad Wan Omar di SPR adalah menghina institusi YDP Agong kerana institusi Raja adalah institusi yang mulia dan adil", tulisnya di Twitter.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula menyifatkan penipuan SPR itu sebagai "bodoh" kerana melibatkan rumah pimpinan tertinggi PKR.

Beliau juga turut mencabar Wan Ahmad meletak jawatan dan bertanding atas tiket Umno melawan Azmin di Gombak pada pilihan raya umum nanti.

Pembuktian itu juga jelasnya antara faktor kenapa Himpunan Bersih 2.0 yang dijadual 9 Julai ini wajar diadakan.