Saturday, July 02, 2011

Polis diminta bebaskan remaja demo bantah Bersih

TEMERLOH, 1 Julai: Enam remaja yang berdemonstrasi di hadapan bangunan pejabat Badan Perhubungan PAS Pahang, dekat sini selepas solat Jumaat tadi, diberkas polis dan dibawa ke balai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh.
 
Mereka sebahagian daripada kira-kira 20 orang yang berhimpun di jalan Dato’ Bahaman di sini yang dikatakan bertindak membantah perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini.
 
Budak-budak lepasan sekolah itu memegang sepanduk “Kami NGO Temerloh bantah himpunan BERSIH” sambil  memekik “Selamatkan Malaysia” dan berada kira-kira dua minit di depan pejabat PAS.
 
Mereka yang berasal dari kampung-kampung berdekatan itu kemudiannya bertempiaran lari dan menunggang motosikal masing-masing apabila diusir oleh anggota mata-mata termasuk polis wanita sementara enam orang daripadanya dimasukkan ke dalan van polis.
 
Sementara itu salah seorang peserta demo tersebut ketika ditanya, mengaku menerima wang upah antara RM20 hingga RM30 seorang daripada pihak tertentu. 
 
Turut hadir memerhatikan gelagat mereka ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Semantan, Syed Hamid Syed Mohamad, Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pahang, Ahmad Nizam Hamid, puluhan anggota Unit Amal serta ahli-ahli PAS yang turut berkumpul di depan pejabat PAS.
 
Sementara itu, Ahmad Nizam yang juga pengamal undang-undang meminta enam remaja yang ditahan polis itu dilepaskan segera kerana mereka mempunyai hak untuk berhimpun.
 
“Mereka mempunyai hak untuk berhimpun secara aman membantah sesuatu yang tidak disukai kerana ia termaktub dalam perlembagaan.
 
“Jadi kita harap pihak polis segera bebaskan mereka,” katanya.

No comments: