Thursday, May 31, 2012

Tunggu kejutan di Himpunan Hijau esok


KUALA LUMPUR: Dijangkakan akan ada beberapa kejutan akan diumumkan oleh PAS dalam Himpunan Hijau ke Putrajaya yang akan berlangsung di Stadium Darul Aman Alor Setar esok.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali ketika ditanya berhubung 'kejutan' itu, beliau berkata ianya mungkin diumumkan pada acara kemuncak di sebelah malamnya.

"Malam esok adalah program kemuncaknya di mana semua pimpinan utama PAS akan hadir.

"Semestinya mungkin ada beberapa orang baru nak isytihar masuk PAS," katanya.

Sebelum ini desas-desus menyebut beberapa lagi tokoh berpengaruh dan pernah memegang jawatan tinggi negara akan membuat perisytiharan meyertai PAS pada Himpunan Hijau ini.

Sejak kebelakangan ini, ramai tokoh dan salebriti yang cenderung kepada agama mengumumkan secara terbuka menyertai PAS.

Ianya termasuk bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Fauzi Shaari, dan penyanyi Wan Aishah Wan Ariffin atau Aishah.

"InsyaAllah, tokoh penting," kata Mustafa lagi.

Sementara itu, Himpunan Hijau esok akan bermula dengan program tertutup di sebelah pagi di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut.

Program yang dinamakan 'Amanat Khas Pimpinan' itu akan menghimpunkan seluruh pimpinan PAS dari semua peringkat.

Kemuncak program pada pagi itu adalah ucapan amanat Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

"Ucapan Presiden PAS itu nanti semacam ucapan dasar waktu muktamar juga lah.

"Ianya semestinya akan fokus juga kepada persiapan dan unsaha menghadapi pilihan raya," kata Mustafa lagi.

Program terbuka kepada umum pula akan bermula seawal jam 4 petang di Stadium Darul Aman yang dinamakan Xpresi Hijau Anak Muda ke Putrajaya.

Program itu akan menampilkan penceramah tersohor, Ustaz Azhar Idrus dan selebriti Bob Lokman yang akan mempersembahkan sketsa bertajuk Belantan Pusaka Durjana.

Program kemuncak sebelah malamnya pula juga di Stadium Darul Aman dan akan bermula dengan solat Maghrib secara berjemaah, solat hajat dan munajat perdana.

Program ceramah oleh pimpinan utama dan 'kejutan' akan dimulakan sejurus selepas solat Isyak.

Himpunan Belia: Pemimpin turut terkinja-kinja


KUALA LUMPUR: Himpunan Jutaan Belia yang berakhir pada Ahad lepas 27 Mei menyaksikan berbagai-bagai suka, duka, gelagat dan aksi belia-belia negara sepanjang program itu berlangsung di Putrajaya.

Himpunan yang diadakan saban tahun, dan untuk kali ini sambutan itu agak luar biasa dengan pelbagai program yang disajikan kepada anak muda selama lima hari berturut-turut bermula 23 Mei.

Banyak program yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan, di mana kebanyakannya memenuhi citarasa anak muda hari ini apatah lagi program berbentuk hiburan dan sukan.

Tinjauan Harakahdaily pada Sabtu lepas, kehadiran anak muda belasan tahun cukup mengagumkan dengan bermacam-macam aksi dan gelagat mereka. Terkinja-kinja, terjerit-jerit pendek kata semua gelagat ada di sana.

Di tambah pula suasana hingar-bingar dengan tiupan terompet mini (gambar) hampir kesemua orang ramai yang hadir. Terompet yang dibeli dengan harga RM5 setiap satu, ada warna merah, biru dan kuning.


Terdapat sekumpulan anak muda mengenakan 't-shirt' putih dan merah yang tertera '1 love PM', tidak kurang hebat juga anak muda Belia 4B yang rata-rata wujud di segenap ruang di himpunan itu.

Belia 4B pula menawarkan orang ramai menaiki beca berhias dengan dikenakan caj RM10 untuk dua orang, difahamkan mereka mencari dana tambahan.

Tidak kurang hebatnya, anak gadis yang mengenakan pakaian menjolok mata, berseluar pendek hingga ke pangkal paha dengan betis putih melepak bagaikan bunting padi menarik perhatian belia lelaki.

Apa yang menarik perhatian wakil Harakahdaily, seorang anak muda tanpa rasa bersalah 'mengambil' basikal yang disewanya daripada pihak penganjur himpunan.

Ketika terserempak, anak muda itu sedang menunggu sekumpulan kawannya yang turut sama membawa balik basikal yang disewa RM5 untuk dua jam.

"Ambil je, basikal ini. Hari ini hari belia, sayakan belia jadi basikal ini untuk belia. Tak salah kan? Ramai lagi kawan-kawan saya yang ambil bawa balik rumah," katanya sebaik sahaja wakil Harakahdaily mempersoalkan perbuatannya itu.

Malah anak muda itu, pula mengajak wakil Harakahdaily untuk sama-sama 'kebas' basikal yang dianggarkan berharga tidak kurang RM500.

"Banyak lagi basikal yang disediakan. Ambil je...ramai yang buat macam itu," katanya yang meminta diri berlalu dengan sekumpulan kawannya.

Banyak 'booth' dibuka untuk orang ramai daripada kementerian-kementerian sehinggalah 'booth' jualan syarikat telekomunikasi sehinggalah 'booth' usahawan tempatan.

Dalam tinjauan itu, Harakahdaily tertarik dengan 'booth' Umno Pembela Rakyat. Kelihatan beberapa wanita yang berada di gerai itu tidak menang tangan melayan orang ramai mengisi borang keahlian Umno.

Harakahdaily cuba mendekati, orang ramai memenuhi 'booth' sedang mengisi borang keahlian, mereka yang siap mengisi akan diberi cenderahati 'keychain' dan 'button' Umno.

Selain itu, di 'booth' yang sama kelihatan tiga orang wanita Umno sedang giat mengedarkan buku 'Bersih 3.0 yang kotor' kepada pengunjung himpunan.

Lebih menarik perhatian, Umno turut menghidangkan kuiz kepada orang ramai dengan soalan-soalan yang berkaitan pertubuhan itu, mereka yang berjaya menjawab soalan dengan tepat akan dihadiahkan hamper. Soalan diajukan oleh seorang pelawak Osman Kering yang cukup menarik perhatian pengunjung.

Lebih mengujakan dan dinanti-nanti belia sudah tentu hiburan, dengan konsert artis luar negara yang sedang digilai anak muda 'K-pop' di tambah pula tidak kurang hebatnya konsert rock dari artis tempatan.

Bukan sahaja, anak muda yang teruja. Pimpinan negara pun turut sama dengan barisan belia 'meraikan' artis K-pop dan menjerit-jerit menyantuni artis tempatan.

Justeru, apa yang disusun atur oleh Kementerian Belia Sukan dalam Himpunan Sejuta Belia tempoh hari, itulah yang disukai malah dicari-cari oleh belia pada hari ini. Belia dengan hiburan sukar untuk dipisahkan.

Naib Ketua Umno Hulu Selangor keluar parti


KUALA LUMPUR: Naib Ketua Bahagian Umno Hulu Selangor Yusri Ishak mengisytiharkan keluar Umno serta merta dengan rela hati tanpa ada desakan mana-mana pihak.

Ekoran tindakannya itu, menyebabkan ramai pengikutnya bertindak mahu mengikut jejak langkah beliau.

Mereka bertepuk tangan sambil menjerit 'semua ikut' sebaik sahaja ditanya sama ada kehadiran mereka sebagai tanda sokongan atau turut sama keluar parti.

Dalam sidang media sebagaimana dipetik dalam satu video, Yusri berkata keputusannya itu mungkin memeranjatkan politik di Hulu Selangor.

"Keputusan ini adalah kehendak saya dan tiada paksaan mana-mana pihak.

"Saya Yusri Ishak, nombor ahli 0062549 dengan ini isytihar akan tinggalkan parti Umno berkuat kuasa serta merta," katanya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Cawangan tidak akan menyertai mana-mana parti selepas pengundurannya itu kerana mahu menumpukan perhatian kepada perniagaan dan keluarganya.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak akan timbul persepsi negatif sesetengah pihak ekoran tindakannya itu memandangkan pilihan raya umum akan berlaku tidak lama lagi.

"Saya harap pucuk pimpinan bahagian pusat menghormati keputusan saya ini.

"Mungkin sudah sampai waktunya. Saya rasa waktu saya bersama Umno hanya setakat ini. Ini sudah ditakdirkan Allah SWT," katanya yang enggan menceritakan lanjut sebab pengundurannya itu.

Dalam pada itu, Yusri menafikan beliau mempengaruhi keputusan pengikutnya turut mahu keluar Umno.

"Saya tidak mengajak mereka untuk keluar Umno sama-sama, kalau mereka nak kerluar bukan kehendak saya. Saya tidak pengaruhi mereka.

"Mungkin sokongan selama ini, saya sudah bersama-sama mereka sejak 12 tahun lalu, ini mungin balasan mereka pada saya," katanya.

Rakyat malu PM dikaitkan dengan skandal Scorpene


MELAKA: Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli (gambar) berkata rakyat Malaysia merasa malu kerana mempunyai seorang Perdana Menteri yang dikaitkan dengan isu skandal kapal selam Scorpene.

"Kalau di negara lain bekas-bekas pemimpin sahaja yang dikaitkan dengan mahkamah, Hosni Mubarak di Mesir, Zaen-Abidin Ben Ali di Tunisia tetapi di Malaysia Perdana Menteri kita sendiri yang dikaitkan dengan isu kapal selam Scorpene dan beliau dipanggil menjadi saksi perbicaraan tersebut.

"Malah kes ini juga dikaitkan dengan Altantuya yang mati dibunuh dengan kejam oleh pengawal peribadi Najib sendiri," ujar Dr Hatta pada ceramahnya di Majlis Perasmian Jentera Pakatan Rakyat Parlimen Bukit Katil di Bukit Beruang di sini malam tadi.

Beliau berkata lebih malang lagi Perdana Menteri langsung tidak memberikan komen kepada isu ini apabila beliau ditanya.

"Perdana Menteri jawab 'no comment', Timbalan Perdana pun jawab 'No Comment', ini isu besar bukannya isu kecil, mengapa mereka tidak mahu komen.

"Ayah Altantuya baru-baru ini semasa berkunjung ke Malaysia untuk mengetahui perkembangan kes anaknya di sini berkata beliau melihat Altantuya, Razak Baginda dan Najib Razak dalam satu gambar tetapi gambar itu tiada dalam simpanannya," tambahnya.

Ceramah yang julung kali dianjurkan atas nama Pakatan Rakyat Parlimen Bukit Katil malam tadi dihadiri ribuan rakyat yang majoritinya orang Tionghua.

Turut berceramah pada program tersebut ialah Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming, Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dr Yaakob Sapari dan Pengerusi PKR Melaka, Shamsul Iskandar Md Akin.

Tidak puas hati, Orang Asli pulang wang RM200



TEMERLOH: Kira-kira 100 penduduk Orang Asli Kampung Sungai Leleh, Lanchang semalam bertindak membantah dan memulangkan kembali wang sebanyak RM200 kepada Risda kerana dianggap tidak munasabah.

Menurut mereka, wang tersebut dikembalikan demi maruah mereka berikutan didapati berlaku ketidakadilan dan mungkir janji pihak kerajaan kepada persetujuan asal berdasarkan minit mesyuarat.

Mereka mendakwa, mesyuarat diadakan antara wakil penduduk dengan Pejabat Tanah dan Daerah Temerloh tahun lalu itu, diadakan berikutan projek mengeluarkan bijih besi oleh anak syarikat kerajaan negeri Mentiga Mining Sdn Bhd yang memusnahkan ladang sawit Tanam Semula Kelompok (TSK) milik penduduk.

Pengerusi jawatan kuasa bertindak penduduk, Rawi a/l Gaud berkata, berdasarkan minit mesyuarat mereka sepatutnya menerima RM350 sebulan, 15 peratus keuntungan hasil pelombongan bijih besi dimasukkan ke akaun dan tanah seluas 50 hektar sebagai gantian kerosakan tanaman akibat aktiviti perlombongan bijih besi.

Namun begitu, katanya, semua janji tersebut tidak ditepati sejak lebih dua tahun yang lalu kecuali yang mereka dapat sebanyak RM200 beberapa hari lalu.

“Ladang sawit kami habis musnah apabila syarikat Mentiga masuk melombong besi sejak 2010. Air sungai tercemar teruk, sekarang kalau hari panas kami dapat habuk kalau hari hujan kami dapat jalan becak.

“Bila keadaan dah jadi macam ini mereka nak bayar kami RM200. Sekarang kami nak pulangkan semula duit tu sebab tidak munasabah dan tidak setimpal dengan kerugiannya,” katanya tegas.

Kampung Orang Asli Sungai Leleh meliputi kawasan tanah seluas 365 hektar dan 95 hektar daripadanya ditanam dengan sawit dengan 86 orang peserta. Terdapat kira-kira 100 keluarga daripada suku Temuan dengan lebih 400 penduduk.

Rawi menjelaskan, mula-mula dulu penduduk mengusahakan kebun sawit sendiri sehingga mampu meraih pendapatan RM1,000 sebulan. Tetapi apabila diambil alih oleh Risda jadi TSK dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) mereka hanya dibayar RM500 sebulan.

Tambahnya, apabila syarikat perlombongan masuk ke situ tanah kebun mereka musnah sehingga menghadapi kesempitan untuk mencari sumber rezeki.

“Kami kesal orang lain yang tidak berkuasa ke atas tanah kami telah tanda tangan bersetuju menggali kawah lombong besi di sini sehingga 40 kaki ke bawah tanah.

“Lebih menakutkan, kalau diikutkan pelan yang dikeluarkan oleh Unit Perancangan Ekonomi Negeri kawasan perlombongan bijih besi akan meliputi sehingga ke semua kawasan penempatan dan rumah penduduk.

“Itulah yang menyebabkan penduduk ketakutan kerana bimbang tiada kawasan lagi untuk penduduk diami dan kawasan hutan sudah semakin pupus untuk mencari rezeki,” katanya.

Sementara itu seorang penduduk tua di kampung berkenaan, Gaud a/l Batin Kang, 72, berkata penduduk hanya menuntut hak mereka sahaja yang sepatutnya diiktiraf sebagai warganegara serta penghuni asal dan tidak mahu meminta hak kepunyaan orang lain.

Menurutnya, kampung berkenaan telah wujud sejak lebih 100 tahun yang lalu dan ayah beliau sendiri iaitu Batin Kang, pernah menjadi pembantu kepada Orang Kaya Semantan Datuk Bahaman.

Turut hadir memberi semangat kepada Orang Asli peguam Ahmad Nizam Hamid dan pelakon Abdul Kadir Abdul Manap atau Pak Jabit.

Kelantan dipinggirkan Umno sejak 1959

KOTA BHARU: Pada 1959 kerajaan PAS memohon kepada kerajaan pusat bagi membina jambatan merentangi Sungai Kelantan. Ketika itu jurutera perunding menganggarkan kosnya RM5 juta.

Selepas tiga tahun tidak dihiraukan kerajaan pusat, kerajaan negeri mengambil keputusan membina sendiri pada 1962. Pembinaannya dimulakan pada 1963 dan siap pada 1965 dengan kos RM6.7 juta.

Sebelum itu Umno menjanjikan mahu membina jambatan berkenaan, namun selepas tewas pada 1959 peruntukan projek Jambatan Sultan Yahya Petra dibawa Pahang.

Begitu juga projek rancangan tali air Kemubu melibatkan kos RM45 juta yang diperolehi kerajaan PAS daripada pinjaman Bank Dunia.

Semua projek itu dianggap mustahil bagi pemimpin Umno ketika itu, namun akhirnya menjadi kenyataan. Begitu juga projek lebuh raya rakyat Kota Bharu-Kuala Krai juga dinafikan Umno.

Senator Mumtaz Mohd Nawi berkata, lebuh raya rakyat akan menjadi kenyataan dengan sokongan semua pihak.

“Kita boleh lihat sendiri pada majlis pecah tanah pembinaan lebuh raya berkenaan lebih RM1 juta derma berjaya dipunggut daripada orang ramai.

“Rakyat simpati selepas kita didera begitu lama bagi mendapat kemudahan seperti negeri-negeri lain,” katanya di sini.

Menurutnya sejak Rancangan Malaysia ke-5 (RMK-5) hingga RMK-10 kerajaan Persekutuan tidak menyenaraikan pembinaannya dalam Rancangan Malaysia.

Baru-baru ini Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed menyifatkan lebuh raya rakyat sebagai gimik politik dan menganggap kerajaan negeri tidak mampu membinanya.

Anggota Parlimen Tanah Merah, Amran Ab Ghani berkata, kenyataan pemimpin Umno terbabit hanya menutup aib mereka sendiri kerana meminggirkan rakyat Kelantan sejak sekian lama.

Adun Tanjung Mas, Rohani Ibrahim berkata, biar pun sumber kewangan kerajaan negeri terbatas, namun demi kepentingan pembinaan lebuh raya Kuala Krai-Kota Bharu tetap diteruskan.

“Kerajaan negeri mengambil tanggungjawab itu ekoran masalah yang ditinggalkan Umno,” katanya.

Bekas pegawai kanan kerajaan Ubaidah Yaakub berkata, lebuh raya yang dicadangkan di Kelantan bagi manfaat rakyat dan bukannya bertujuan mendapat keuntungan seperti lebuh raya di tempat lain.

CAKNO RAKYAT DUN TEMANGAN 2012









Wednesday, May 30, 2012

Siapa menganut ajaran sesat - Presiden PAS


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia mengambil inisiatif menerbitkan sebuah buku bagi menjawab tuduhan Umno bahawa PAS parti ajaran sesat.

Buku bertajuk 'Siapa Menganut Ajaran Sesat?' itu memuatkan ucapan penuh Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang semasa persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu pada 27 November 1984.

Beliau ketika itu ada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Marang merangkap Ketua Pembangkang di Dun Terengganu.

Dalam ucapan itu beliau antara lain menyentuh perbezaan ketara PAS dan Umno seperti dinyatakan dalam perlembagaan parti masing-masing.

"Fasal 7, Perlembagaan PAS menyatakan bahawa kuasa tertinggi di dalam PAS ialah al Quran, Hadis Nabi, Ijmak Ulama dan Qias.

"Fasal 3 Perlembagaan Umno menyatakan bahawa Umno adalah sebuah parti politik yang progresif, berjuang menurut lunas-lunas demokrasi dengan tujuan menghasilkan cita-cita kebangsaan," katanya.

Selain itu, Tuan Guru Abdul Hadi turut mengemukakan bukti satu kenyataan yang dibuat bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abbas dalam seminar di Universiti Kebangsaan Malaysia pada 27 Julai 1984.

Kenyataan itu antara lain berbunyi; "Bahawa negara Malaysia memakai-undang-undang sekular iaitu sistem undang-undang Barat yang tidak berasaskan agama bahkan berasaskan kepada kepintaran akal manusia sahaja".

Buku setebal 42 muka surat itu turut merekodkan kenyataan-kenyataan pemimpin Umno yang menghina hukum Islam.

Ianya termasuk kenyataan dari bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi serta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung perlaksanaan hudud.

"Bekas Perdana Menteri Malaysia yang pertama menyatakan dalam ucapan menyambut salah satu hari jadinya, Umno yang menjadi tulang belakang kerajaan ini hendaklah mengekalkan Malaysia sebagai negara sekular," katanya.

Buku ini antara lain bagi menjawab dakwaan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dalam siri ceramanya di negeri itu menuduh PAS sebagai parti ajaran sesat.

Ianya akan dilancarkan pada 1 Jun ini sempena program Himpunan Hijau ke Putrajaya yang diadakan di Stadium Darul Aman, Alor Setar Kedah.

Dialog Anak Kelantan Di Perantauan


Kelantan minta Soi Lek jangan prejudis


KOTA BHARU: Presiden MCA Datuk Seri  Chua Soi Lek diminta tidak bersikap prejudis terhadap kerajaan Kelantan kerana kesannya amat tidak baik baginya sebagai seorang pemimpin besar bangsa Cina di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan (gambar) berkata Soi Lek seharusnya tidak begitu emosional dalam membuat kenyataannya yang berkaitan kerajaan Kelantan kerana ideologi politik yang berbeza.

Beliau berkata demikian dalam sidang medianya semalam ketika menjawab kenyataan bekas menteri itu dua hari lalu yang mendakwa kerajaan Kelantan telah menolak permohonan Persatuan Buddhist Kelantan yang ingin membuat rumah ibadat di bandar Kota Bharu.

Soi Lek dalam kenyataannya yang disiarkan oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris itu juga mendakwa persatuan berkenaan kini sedang membuat rayuan pada kerajaan negeri agar permohonan mereka dipertimbangkan.

Jelas Takiyuddin lagi,  tidak timbul kerajaan negeri menolak dan tidak timbul persatuan terbabit membuat rayuan pada kerajaan negeri memandangkan persatuan itu tidak pernah membuat permohonan dari kerajaan negeri.

Beliau berkata demikian pada sidang medianya semalam bagi mengulas kenyataan Chua Soi Lek dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris.

“Andainya pihak persatuan tidak pernah membuat sebarang permohonan pada kerajaan negeri, bagaimana ianya boleh timbul penolakan.

“Kerajaan negeri boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap kenyataan itu, kerana ianya berbaur fitnah, tetapi rasanya cukup dengan pejelasan itu dan biarlah rakyat yang menentukannya,” ujarnya.

Sambungnya lagi, beliau baru selesai mengadakan pertemuan dengan beberapa orang anggota jawatankuasa persatuan itu untuk mendapatkan penjelasan.

Tambahnya, pihak mereka mengakui tidak pernah membuat sebarang permohonan sebagaimana yang berkaitan, bagaimanapun hanya berhasrat untuk membina sebuah dewan komuniti sahaja.

Kerajaan Kelantan, katanya sentiasa bersikap toleransi dengan pelbagai anutan agama walaupun kerajaan negeri dipimpin oleh bukan Islam.

“Kerajaan negeri sejak awal lagi telah menetapkan bangunan sebegini tidak akan disyaratkan mengikut cirri-ciri Islam, kerana ianya rumah ibadat atau komuniti masyarakat bukan Islam,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan  pihak lawan tidak mengambil kesempatan terhadap kenyataannya sebelum ini yang mengingatkan pihak PBT atau individu yang ingin membena bangunan baru diminta menerapkan seni bina Islam.

Katanya, di bawah penyeragaman pembenaan bangunan perniagaan hanya gedung perniagaan sahaja yang terlibat dengan seni bina Islam, bagaimanapun bagi pembinaan rumah ibdat, ianya langsung tidak ada kaitan ciri-ciri itu.

Mengapa Najib, Umno takut debat dengan Anwar?


Di saat budaya debat mula diterima rakyat negara ini sebagai medium membuat penialaian terhadap sesuatu isu, namun masih ada lagi yang melihat debat tidak mendatangkan apa-apa faedah.

Malangnya, kenyataan 'memperlekeh' debat itu yang seolah-olah dilihat hanya mendatangkan keburukan, datang dari pemimpin negara sendiri.

Terbaru, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim yang menyifatkan debat tidak menguntungkan mana-mana pihak sebaliknya mendorong kepada perbuatan tuduh menuduh dan kata-kata nista.

Beliau merujuk kepada keperluan debat antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dicadangkan banyak pihak.

Sebelum ini, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor juga mengeluarkan pandangan serupa bahawa, debat di antara Najib dengan Anwar tidak perlu.

Beliau memberi alasan pembangkang khususnya Anwar akan mencetuskan suatu keadaan untuk mendapatkan 'mileage' politik dalam debat itu.

Apa yang menjadi persoalan kini, adakah pemimpin Umno ini tidak melihat contoh depan mata debat antara Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli berhubung Pemansuhan PTPTN pada 22 April lalu?

Rata-rata melihatnya sebagai sesuatu yang positif, dan langsung tidak timbul persoalan siapa menang siapa kalah antara mereka.
Bagaimana pula debat antara Anwar dengan Datuk Ahmad Shabery Cheek pada Julai 2008 untuk menurunkan harga minyak. Adakah debat tersebut mendatangkan keburukan?

Terbaru sebuah NGO Asli sekali lagi mahu menganjurkan debat antara Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng selepas debat serupa dianjurkan mereka Februari lalu.

Malah Guan Eng yang Ketua Menteri Pulau Pinang dengan hati terbuka menerima tawaran debat itu hari ini.

Jika benar budaya debat tidak membawa kebaikan, patut hapuskan sahaja pertandingan debat di sekolah mahupun di universiti yang sudah diamal sejak sekian lama.

Dalam isu debat Najib-Anwar ini, saya tidak tahu kenapa Najib dan Umno perlu mengelak sampai rapat ke dindidng.

Kenyataan dari pemimpin Umno yang mewakili suara Najib menolak debat ini hanya akan dilihat sebagai 'mengampu' bos sahaja.

Manakala sikap sepi perdana menteri menyahut debat ini hanya mengesahkan pandangan rakyat bahawa Najib sememangnya takut untuk berhadapan dengan Anwar.

Penulis ialah Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia.

PM: Tunku Aziz selari dengan Nik Aziz



(Sidang media Tunku Aziz di rumahnya semalam)

PETALING JAYA: Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berpandangan selari dengan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa Perdana Menteri negara ini seharusnya beragama Islam tanpa mengira kaum.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang menyuarakan pendirian beliau untuk melihat seorang calon bukan Melayu jika pembangkang mendapat mandat memerintah negara.

“Mana-mana kaum di Malaysia boleh menjadi Perdana Menteri, asalkan beragama Islam. India Muslim, Cina Muslim sekalipun boleh memerintah, yang penting agama mesti Islam,” kata beliau pada sidang media di rumahnya semalam.

Karpal baru-baru ini mengeluarkan kenyataan bahawa Perlembagaan Negara tidak menetapkan apa-apa peraturan yang menetapkan hanya orang Melayu yang boleh menjadi Perdana Menteri.

DAP juga mendakwa, kenyataan yang disiarkan oleh Utusan Malaysia tidak benar apabila melaporkan Karpal berkata sampai mati beliau akan memperjuangkan agar seorang bukan Melayu menjadi Perdana Menteri.

Luar biasa bila Hanif teruskan siasatan


KUALA LUMPUR: Tindakan yang paling luar biasa di akhir-akhir ini adalah apabila Tun Hanif Omar berkeras untuk terus mempengerusikan “panel penyiasatan bebas” terhadap keganasan Bersih 3.0.

Ini kerana, hampir semua pihak kecuali kerajaan Umno dan BN yang mengiktiraf perlantikan itu.

Demikian kata Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dalam kenyataannya hari ini.

Beliau mengulas tindakan Hanif yang terus mempengerusikan jawatankuasa siasatan yang tidak berwibawa dan ekoran itu tidak berani berdepan dengan wartawan.

Sesi sidang media yang telah dirancang lebih awal oleh Hanif dan panelnya telah dibatalkan semalam dan sebagai ganti hanya kenyataan media yang telah diedarkan.

"Ini merupakan satu bukti yang jelas bahawa Hanif dan panel bebas ini sedar yang orang awam tidak yakin panel ini boleh bertindak secara bebas, adil dan saksama terhadap keganasan Bersih 3.0 tanpa mengira jika mangsa-mengsa itu adalah kakitangan polis, wakil media dan perserta perhimpunan aman itu," kata Lim Kit Siang yang juga anggota Perlimen Ipoh Timur itu.

Sebelum ini, Hanif meminta agar pihak yang mengkritik serta meragui integritinya untuk mengetuai panel penasihat bebas mengenai perhimpunan BERSIH 3.0 supaya melihat kembali rekod lama semasa menganggotai beberapa jawatankuasa penyiasatan.

Namun, rekod Hanif yang tidak menjumpai ayat Al Quran yang mengharamkan judi adalah track rekodnya yang paling jelas.

Kalau ayat menentang judi tidak ditemuinya bagaimana beliau mahu memberikan keadilan kepada perhimpunan Bersih 3.0.

Bagi Lim Kit Siang (gambar), sememangnya luar biasa – apabila bekas Ketua Polis Negara Tun Hanif Omar berkeras untuk mempengerusikan “panel penyiasatan bebas” terhadap keganasan Bersih 3.0 padahal beliau dan ahli-ahli panel yang lain patut mengundur diri.

"Apa yang Kabinet patut lakukan adalah membatalkan panel ini dan sokongan penuh diberi kepada penyiasatan awam Suhakam terhadap apa-apa pencabulan hak asasi manusia dalam perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 Aprilm," kata beliau.

Dalam tempoh sebulan yang lalu, kerajaan telah melancarkan satu kempen fitnah untuk mencerca Bersih 3.0 dan pakatan Rakyat boleh dianggap sebagai ‘watak utama’ dalam kempen fitnah ini.

Hanif sendiri memegang ‘watak utama’ dalam kempen fitnah ini dari awal lagi apabila memberi sokongan membuta tuli terhadap dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang perhimpunan Bersih 3.0 sebenarnya adalah satu percubaan oleh pihak pembangkang untuk merampas kuasa dan menggulingkan kerajaan, katanya.

Apa yang lebih menghinakan, kata Kit Siang, adalah apabila Hanif berkata yang beliau dapat mengenalpasti individu-individu pro-komunis di Bersih 3.0.

Ia dibuat berdasarkan demonstrasi-demonstrasi 1970an dan memberitahu media yang ajen-ajen provokasi dan kanak-kanak digunakan dalam Perhimpunan Bersih 3.0 sebagai “taktik komunis”.

"Bagaimana Hanif akan menukar prasangka buruk mengenai Bersih 3.0 melainkan beliau menarik balik prasangka ini?" soal beliau.

Dalam beliau mempertahankan integriti beliau dan perlantikan sebagai pengerusi panel penyiasatan itu, Hanif masih tidak sedar akan situasi sebenarnya.

Jika Hanif masih tidak mahu menarik balik kenyataan prasangka mengenai Bersih 3.0, beliau haruslah mengambil tempat sebagai “saksi utama” dihadapan mana-mana penyiasatan Bersih.

Ia bertujuan untuk memberi justifikasi pendirian beliau dan bukan mempengerusikan panel tersebut untuk menyiasat apa yang benar-benar telah berlaku di Bersih 3.0.

"Jika tiada bukti yang didapati selepas penyiastan dijalankan, adakah Hanif bersedia untuk mengumumkan secara terbuka yang kedua-kedua Perdana Menteri dan diri beliau mengaku salah dalam dakwaan yang perhimpunan Bersih 3.0 adalah satu percubaan oleh pihak pembangkang untuk menggulingkan kerajaan?" soalnya lagi.

Berbanding dengan kenyataan Tun Dr Mahathir yang mengambil alih kempen fitnah ini dengan tuduhan perhimpunan Bersih 3.0 adalah “persediaan” Pakatan Rakyat untuk mencetuskan kekecohan dan keganasan bagi menolak keputusan Pilihanraya Umum Ke-13, nampaknya rakyat lebih membenci dan menolak panel Hanif, dakwa Kit Siang.

Dalam tiga tahun yang lepas, selepas menjadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sering menyebut “era kerajaan serba tahu sudah berakhir” (“the era the government knows best is over”).

Oleh itu, bagi Kit Siang, ini merupakan satu ujian samada beliau akan benar-benar mengotakan yang disebut itu dan menerima hakikat bahawa rakyat Malaysia menolah panel Hanif itu.

Najib mesti bertindak dengan lebih tegas untuk meyakinkan rakyat Malaysia bahawa beliau dan kerajaan beliau serius dan ikhlas dengan membatalkan terus panel Hanif dan kerajaan memberi sokongan padu terhadap penyiasatan Suhakam dalam Bersih 3.0.

Sokongan terhadap PAS di Putrajaya meningkat

PUTRAJAYA: Sejak akhir-akhir ini, sokongan rakyat terhadap PAS khususnya kakitangan awam yang menetap di Putrajaya dilihat sangat memberangsangkan.

Biarpun Putrajaya terkenal sebagai pusat pentadbiran kerajaan persekutuan di mana masyarakatnya majoriti kakitangan awam, namun mereka kini tidak lagi takut untuk mendekati PAS.

Sabtu lalu, masyarakat Putrajaya mengambil peluang mengenali PAS secara lebih dekat sempena lawatan rasmi PAS Pusat di sana.

Menurut Yang DiPertua PAS Putrajaya Mohd Nazir Zakaria, sambutan yang menggalakkan dikalangan masyarakat menunjukkan PAS bukan asing pada mereka.

"Ini membuktikan yang PAS sudah bertapak di hati mereka dan sokongan terhadap PAS di Putrajaya pada hari ini telah meningkat hampir 5 kali ganda berbanding tahun 2011.

"Perkembangan ini sangat baik yang memberi satu gambaran yang jelas tentang keupayaan PAS dan Pakatan Rakyat untuk mara ke Putrajaya," katanya.

Terdahulu, lawatan tersebut adalah anjuran bersama Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan bersama PAS Kawasan Putrajaya.

Antara Pimpinan PAS Pusat yang hadir sempena program ini ialah Setiausaha Majlis Syura PAS Pusat Ustaz Nik Zawawi, dan Pengarah Jentera Pilihanraya PAS Pusat Dr. Hatta Ramli.

Pimpinan tertinggi PAS Putrajaya pula ialah YDP PAS Putrajaya Mohd Nazir Zakaria, Timbalan YDP Kamaruzaman Mohamad merangkap Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.

Selain petugas PAS Putrajaya, program ini dibantu oleh petugas-petugas dari Bandar Tun Razak, Cheras dan Segambut.

Program dimulakan dengan solat Maghrib secara berjemaah di Surau Al-Mizan, Presint 8 dan diikuti dengan tazkirah Maghrib yang disampaikan oleh Ust. Nik Zawawi.

Selepas solat Isyak yang diimamkan sendiri oleh Ustaz Nik Zawawi, rombongan peserta telah beramai-ramai ke Medan Selera Presint 9 untuk acara seterusnya.

Acara dimulakan dengan ceramah santai yang dikendalikan oleh Kamaruzaman Mohamad dengan ucapan dimulakan oleh Dr. Hatta.

Beliau telah menyeru kepada semua penduduk Putrajaya supaya memberikan peluang kepada PAS untuk menang di Putrajaya dan seterusnya mentadbir Malaysia.

Di dalam ucapannya, beliau turut mengucapkan takziah kepada peserta yang kemalangan dalam acara perlumbaan sempena Karnival Hari Belia di Putrajaya.

Ucapan seterusnya disampaikan oleh Ustaz Nik Zawawi. Beliau telah mengingatkan para hadirin bahawa hanya Islam sahaja yang mampu menyelamatkan negara Malaysia yang kian parah ini.

Program diakhiri dengan para pimpinan mengambil kesempatan untuk bersalaman dengan para hadirin yang menjamu selera di medan selera tersebut.

Monday, May 28, 2012

Ceramah Perdana Pemimpin Bersama Rakyat

PROMO Himpunan Hijau Ke Putrajaya


Tun M beri isyarat undi Pakatan kalau mahu aman?


KUALA LUMPUR, 28 Mei: Adakah Tun Dr Mahathir Mohamad memberi isyarat kalau mahu negara aman undilah Pakatan Rakyat (PR) apabila beliau mendakwa akan berlaku keganasan jika PR kalah, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan.

Ditemui selepas majlis ceramah anjuran PAS Wilayah Persekutuan di sini, beliau berkata dakwaan Dr Mahathir bahawa akan berlaku keganasan jika PR kalah dalam pilihan raya umum akan datang boleh mendorong sesetengah pihak membuat kesimpulan untuk mengundi PR kerana mahu memastikan keamanan berkekalan.

"Dr Mahathir fikir dia boleh untung dengan kenyataan itu, tetapi saya nampak dia akan lebih banyak rugi dari untung," katanya.

Mahfuz bagaimanapun mengucapkan tahniah kepada bekas Perdana Menteri itu kerana semakin pandai membuat rakyat tertawa.

"Dalam keadaan Dr Mahathir dilaporkan yakin benar bahawa kerajaan (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) berada dalam keadaan yang lemah, saya setuju dengan pandangan salah seorang penyokong PR yang menyatakan bahawa bekas presiden Umno itu sebenarnya semakin paranoid dan merasakan PR boleh buat apa sahaja, buat Avatar, buat 911, apa sahaja," kata beliau sinis.

Sebelum itu, dalam ceramahnya, Mahfuz berkata beliau yakin negeri-negeri PR tidak ada masalah untuk tidak mengadakan pilihan raya berasingan asalkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersetuju melaksanakan apa yang dituntut oleh rakyat.

"Asalkan SPR bersetuju dengan tuntutan rakyat supaya daftar pengundi dibersihkan dan satu suruhanjaya diraja ditubuhkan untuk menyiasat semua amalan tidak bersih dan tidak adil dalam perjalanan pilihan raya yang dikendalikan oleh SPR, saya yakin negeri-negeri di bawah kerajaan PR bersetuju untuk tidak mengadakan pilihan raya berasingan," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Diminta mengulas lanjut mengenai perkara itu, Mahfuz bagaimana tetap tidak yakin kerajaan Umno dan SPR di bawah kekuasaannya bersedia untuk mengadakan pilihan raya yang adil dan bersih.

"Apabila Timbalan Pengerusi SPR (Datuk Wan Ahmad Wan Omar) kata 92 peratus rakyat dalam kajian Merdeka Centre yang hilang keyakinan terhadap sistem pilihan raya sebenarnya tidak tahu apa yang mereka katakan dan kemudiannya mendakwa pula kajian itu tidak mencerminkan pemikiran rakyat Malaysia atas alasan terlalu kecil dan rawak, ia terang-terangan membuktikan keengganan SPR untuk memperbaiki apa yang dituntut oleh rakyat," katanya.

Mahfuz kesal apabila SPR berdalih dengan pelbagai alasan dan dakwaan sedangkan sebelum ini berkali-kali Umno sendiri mengiktiraf dan meraikan kajian Merdeka Centre termasuk mengenai tahap penerimaan rakyat terhadap Perdana Menteri.

Majlis Pecah Tanah Lebuhraya Rakyat Oleh YAB Tuan Guru



 







Mustapa risau apabila Kelantan buat lebuhraya


MACHANG: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan kenyataan Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Mustapha Mohamad yang berkata Kelantan buat lebuhraya sendiri sebagai gimik politik seumpama orang yang sedang risau.

"Tok Pa risau takut Kelantan berjaya buat, sedangkan kerajaan pusat yang kaya nak halang walaupun dah rancang sejak RMK ke 5

"Dia nak risau, risaulah tetapi kita berdoa pada Allah. Moga berjaya buat, berkat sokongan semua," kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Mustapha selepas majlis perasmian pembinaan Lebuhraya Kota Bharu - Kuala Krai di Felcra Berangan Meka Nab dekat sini pagi ini.

Lebuhraya  sejauh 64 km akan dibuat oleh kerajaan negeri berasaskan sumbangan kerajaan negeri, anak-anak syarikat dan orang ramai.

Semalam Mustapha mendakwa Kelantan membuat lebuhraya ini sebagai gimik pilihanraya semata-mata.

Tok Guru Nik Aziz sendiri menyumbangkan RM5,000 wang peribadinya hari ini untuk menjayakan projek ini.

Anak syarikat kerajaan negeri, Ladang Sungai Terah menyumbang RM1 juta manakala syarika Ufuk Budiman menyumbang RM100,000 kepada projek ini.

Di majlis itu, Tok Guru Nik Aziz menyeru semua lapisan masyarakat turut derma atas rasa tanggungjawab dan rasa hak bersama.

"Iapun bertepatan dengan Islam derma yang menggalakkan kita buat jalan selain masjid dan kita akan dapat pahala berpanjangan," katanya.

Menurutnya, sepanjang 22 tahun mentadbir Kelantan, beliau sudah dituduh dengan pelbagai fitnah "termasuk buat jalan pun akan hadapi masalah yang sama."

Exco kerajaan negeri yang menerajui projek lebuhraya ini, Datuk Husam Musa berkata, Kelantan telah dipinggirkan dalam pembangunan negara sejak sekian lama.

Antara projek yang menjadi mangsa adalah projek lebuhraya dan lapangan terbang.

"Anak Kelantan di luar bagaikan didera apabila kepulangan kereka ketika cuti sekolah dan hariraya terpaksa melalui jalan yang sukar kerana kesesakan," kata Husam.

Selangor perlukan 60 guru tetap



(Khalid bersama-sama berikrar di hari Guru Jais)

SABAK BERNAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid  Ibrahim mengumumkan kerajaan negeri meluluskan permohonan kenaikan pangkat guru JAIS Gred DG41 ke Gred DG44 dan kenaikan pangkat Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma Gred DGA29 ke Gred DGA32.

Kata Abdul Khalid, dalam tempoh terdekat ini, kerajaan negeri akan mengiklankan kekosongan 60 jawatan tetap guru bagi gred jawatan DG41, DGA29, DG48, DG44 dan DG41.

Pada masa yang sama juga bagi mengisi perjawatan gred DGA34, DGA32 dan DGA29, katanya.

Tambahnya lagi, sistem pendidikan Islam kelolaan JAIS yang bermula sejak tahun 1945 dan apabila mengambil alih pentadbiran negeri pada tahun 2008, banyak perubahan dibuat terhadap sistem pendidikan Islam.

Antaranya, penstrukturan semula dasar dan hala tuju pendidikan Islam dengan menjadikan Al-Quran sebagai kukikulum teras pendidikan Islam, penambahan bilangan sekolah agama dan perlaksanaan Skim Pinjaman Buku Teks kepada semua murid.

(Khalid menyampaikan hadiah kepada salah seorang guru cemerlang)

Pada masa ini, JAIS mengurus sebanyak 12 buah Pra Sekolah, 11 buah Sekolah Rendah Agama Integrasi, 2012 buah Sekolah Rendah Agama, 286 buah KAFA Integrasi, 23 buah Sekolah Agama Menengah dan dua buah Sekolah Agama Menengah Tahfiz Sains dan Teknologi.

"Justeru, untuk menampung kekurangan guru pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Kerajaan Negeri Selangor bersetuju menambah 5,161 jawatan guru agama di negeri ini,” kata Abdul Khalid.

Sementara itu, Exco Pendidikan, Pendidikan Pembangunan Modal Insan Dr Halimah Ali pula berkata, kerajaan negeri memiliki kemampuan kewangan yang mencukupi untuk melaksanakan penambahan jawatan ini bagi menampung kekurangan guru masa kini.

“Setakat ini seramai 9,128 orang guru mengurus dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran seramai 238,572 pelajar," katanya.

Jumlah pertambahan pelajar setiap tahun menyebabkan guru yang dipertanggungjawabkan tidak mencukupi, katanya.

Jumlah guru itu juga merangkumi pelbagai jawatan sama ada tetap, kontrak dan sambilan, katanya ketika ditemubual media dalam Majlis Sambutan Hari Guru JAIS Peringkat Negeri Selangor di Kompleks Pendidikan Islam JAIS, Bagan Terap, Sabak Bernam, di sini.

Hadir sama, Pengarah JAIS, Datuk Marzuki Hussin.

Wan Ahmad angkuh tolak kajian Merdeka Center


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS WP (DPPWP) menyifatkan kenyataan Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang menolak hasil kajian Merdeka Center sebagai angkuh.
Dalam kajian tersebut menyatakan bahawa hampir separuh pengundi tidak percaya pada pemilihan proses pilihanraya di Malaysia.

“Seharusnya Timbalan Pengerusi SPR tersebut berterima kasih di atas kajian tersebut yang mana ianya suatu 'check and balance' kepada SPR,” kata ketuanya, Kamaruzaman Mohamad (gambar).

Katanya, SPR kini menghadapi situasi yang mana kepercayaan rakyat kepada institusi tersebut semakin terhakis.

Menurutnya, beberapa insiden seperti isu kad pengenalan sementara, daftar pemilih ragu, pengundi hantu telah meletakkan SPR bukan lagi suatu badan yang boleh dipercayai dan ketelusan SPR dalam menguruskan pilihanraya semakin diragui.

Beliau berkata, SPR juga dilihat ingin menegakkan benang yang basah dalam mempertahankan segala tindakannya yang dilihat berat sebelah.

“Kajian Merdeka Center ini sepatutnya dijadikan muhasabah buat SPR kerana inilah suara respons rakyat Malaysia terhadap badan pengurusan pilihanraya ini dan bukannya menolak mentah-mentah,” katanya kepada Harakahdaily.

DPPWP juga, ujar beliau berasa kesal dengan tindakan Wan Ahmad yang memandang lekeh terhadap sampel kajian tersebut, ianya seolah-seolah menghina rakyat Malaysia dan sekaligus memandang rendah suatu kajian ilmiah.

“Apakah beliau benar-benar tidak ingin melaksanakan proses pilihanraya dengan bersih dan adil?

“Apakah SPR ingin terus memekakkan telinga dan melaksanakan pilihanraya mengikut acuan kerajaan Umno BN?” soal Kamaruzaman.
Katanya, persoalan-persoalan itulah yang terus bermain di fikiran rakyat Malaysia sekiranya SPR terus bersikap demikian.

Ceramah Khas. “ Etika Perniagaan Dalam Islam”






Wasatiyyah kosmetik pada Himpunan Jutaan Belia


KUALA LUMPUR: Mungkin ada segelintir masyarakat yang teruja terhadap Himpunan Jutaan Belia di Putrajaya tetapi yang pastinya ramai yang terkesima dan kecewa.

Justeru, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) melahirkan kekecewaan kerana ruang yang baik sudah tersedia, tetapi kenapa perlu dicemari dengan budaya-budaya yang tidak elok.

Presidennya, Akram Ikrami Taib Azamudden (gambar) berkata, usaha pembentukan belia perlu dipandang serius oleh semua pihak.

“Semua maklum bahawa belia merupakan aset negara yang mesti digilap, bukan dibiarkan sahaja tanpa mendapat bimbingan yang betul,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, penganjuran Himpunan Jutaan Belia pada 23 hingga 27 Mei 2012 di Putrajaya mungkin merupakan sebuah projek mega kerajaan untuk menggilap potensi golongan belia.

Namun, kata beliau program hiburan yang melampau, bukan sekadar menghilangkan nilai-nilai ketimuran, malah yang lebih teruk ialah mencalarkan imej Islam yang sudah lama terpahat pada Malaysia.

Justeru, tambah beliau konsep wasatiyyah yang seringkali dilaungkan oleh kerajaan, hakikatnya telah terpesong dari matlamat.

Jelasnya, wasatiyyah bukannya bermaksud mengambil separuh yang baik lalu dicampur dengan separuh yang buruk, maka jadilah wasatiyyah.

“Kesilapan dalam memahami konsep ini secara betul akan mencemarkan lagi pandangan masyarakat terhadap Islam, apatah lagi menggunakan nama Islam untuk mencantikkan perkara yang buruk.

“Kita amat risau sekiranya wasatiyyah (atau yang lebih sesuai digunakan dalam konteks ini ialah moderate) yang dicananangkan oleh kerajaan sebenarnya adalah boneka kepada Amerika,” jelasnya lagi.

Hal ini, ujarnya seperti yang dilaporkan oleh Yayasan RAND iaitu sebuah pusat pemikiran terbesar di dunia yang berpusat di wilayah California, Amerika.

Beliau berkata, ia menjadikan agenda kesederhanaan (moderate) sebagai medium untuk menghalang gerakan islam lain dari bangkit.

Malah, katanya lagi kesederhanaan dan ciri-cirinya perlulah mengikut kefahaman Amerika Barat, bukannya kefahaman Islam yang syumul.

“Perlu ditegaskan, Islam adalah agama yang praktikal tidak cukup sekadar teori,” katanya.

Islam juga, kata beliau bukannya agama rasmi sahaja yang berlegar dalam majlis-majlis keramaian, solat dan seumpamanya tetapi agama yang ‘hidup’ dalam kehidupan kita seperti yang disifatkan oleh Hujjatul Islam Imam Ghazali terhadap golongan al-Mutarasimun iaitu golongan yang mengamalkan agama yang bersifat rasmi tanpa penghayatan mendalam.

Beliau berkata, projek pembangunan belia mesti dipandang serius sama ada dari sudut pengisian mahupun teknikal.

Gagasan tersebut juga, ujar beliau sewajarnya melalui perbincangan dengan golongan cendekiawan.

“Justeru, Gamis melihat aspek utama yang perlu dititikberatkan ialah rohani dan keilmuan.

“Belia wajar digilap dari sudut keilmuan dan kerohanian supaya perkembangan belia menjadi seimbang disamping aspek-aspek sampingan disemai ke dalam jiwa belia,” katanya.

Selain itu, kata Akram ruang yang wujud dalam projek membangunkan belia iailah melalui kebajikan boleh diperkasakan untuk belia.

“Contohnya pendidikan percuma, prasarana yang lengkap bagi sukan dan kebudayaan di kawasan pedalaman, kurangkan tahap pengangguran dengan mewujudkan institusi-institusi belia yang efektif bagi membantu ekonomi belia dan sebagainya.

“Tuntasnya, dalam keghairahan kita membangunkan ‘peradaban’ sehingga kita terlupa perkara asas yang menjadi tonggak kepada peradaban tersebut. Seperti pesanan seorang reformis Islam, Malek Bennabi ‘membangunkan peradaban tanpa kerohanian adalah gagal’,” ujarnya.

PAS tanding 3 kerusi di Kuala Lumpur



(Tuan Guru Abdul Hadi menerima borang permohonan menjadi ahli PAS dari penjaja Chow Kit)

KUALA LUMPUR: PAS akan bertanding di tiga kerusi Parlimen Wilayah Persekutuan iaitu Putrajaya, Titiwangsa dan Setiawangsa.

Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Nor Mohamad berkata, PAS negeri sedang memberikan fokus kepada tiga Parlimen ini.

"PAS Wilayah Persekutuan meletakkan dua strategi dalam menghadapi pilihan raya umum iaitu mengekalkan kemenangan di Titiwangsa dan mencipta kemenangan baru di Parlimen Setiawangsa dan Putrajaya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Harakahdaily selepas taklimat jentera PAS Wilayah Persekutuan bersama Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di bangunan Yayasan Selangor, Kampung Baru, hari ini.

Beliau berkata, persiapan PAS di Wilayah Persekutuan sudah mencapai 80 peratus selain memberi tumpuan kepada isu-isu tempatan sebagai kempen pilihan raya.

"Kita telah menggerakkan jentera yang kita atur di semua peringkat di samping mengumpul dana yang perlu dan setakat ini persiapan kita telah hampir sempurna tinggal lagi bagaimana kita nak menghadapi beberapa isu yang besar di Wilayah Persekutuan," katanya.

Menyentuh soal calon pula, PAS Wilayah Persekutuan menyerahkan sepenuhnya kepada PAS pusat.

"Siapa calon kita serah kepada pusat untuk tentukan, cuma kita persiapkan jentera," katanya lagi.

Dalam pilihanraya umum lalu, PAS bertanding di dua kawasan Parlimen iaitu Titiwangsa dan Putrajaya.

Di Titiwangsa, Calon PAS Allahyarhamah Dr Lo' Lo' Ghazali menang dengan majoriti 1,972 undi.

Bagaimanapun, calonnya Mohammad Nor sendiri tewas di kerusi Putrajaya dengan majoriti 2,734.

Sementara itu, seramai 200 peniaga Pasar Chow Kit menyerahkan borang keahlian PAS kepada Ustaz Hadi dalam majlis dialog dan minum petang bersama pimpinan PAS.

Majlis itu merupakan salah satu program yang diatur dalam lawatan kerja Ustaz Hadi ke Wilayah Persekutuan hari ini.

Majlis Pecah Tanah Pakej 1 Lebuh Raya Rakyat Kota Bharu-Kuala Krai