Sunday, April 01, 2012

Nik Aziz: Dari 'anak pondok' jadi menteri besar


KOTA BHARU, 31 Mac: Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menggesa umat Islam di negara ini supaya berhujah dengan  ‘menggunakan fikiran’ ketika berhadapan dengan pihak tertentu yang sewenang-wenang menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi mempertahankan pemerintahannya.
“Ketahuilah bahawa Islam menggesa supaya menggunakan ‘fikiran’. Haatuu…. burhaanakum, bukannya ‘haatuu….ISA’.  Tidak, tidak. Haatuu…gari tangan, tidak.

(Gambar: Tuan Guru melihat replika Masjid Maahad Muhammadi Perempuan.)

“Sikit-sikit, ISA, terutama kepada pejuang Islam dan penyokong PAS terdiri dari ulama dan tuk guru pondok,  suatu masa dahulu.

“Pejuang PAS dan tuk guru Pondok ramai telah dikenakan ISA, bahkan berada dalam tahanan ISA itu sendiri tidak boleh diziarahi keluarga, tidak boleh dihubungi peguam. Punya ganas perbuatan itu, lebih daripada komunis," katanya.

Beliau yang juga Mursyidul Am PAS mendakwa demikian ketika mengkisahkan kezaliman dilakukan pihak pemerintah masa lalu terhadap ahli dan penyokong PAS di negeri ini, menguatkan tekadnya berjuang dalam PAS.

Beliau berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Jubli Intan Maahad Muhammadi, Pelancaran Logo Jubli Intan, Penganugerahan Tokoh Jubli Intan dan Pelancaran Tabung Pembinaan Masjid Maahad Muhammadi Perempuan (MMP) di sini tengah hari tadi.

Turut hadir Speaker Dewan Negeri Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri , Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Zainuddin Ibrahim, Mufti Kerajaan Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad dan timbalannya Datuk Nik Abdul Kadir Nik Muhamad.

Pengarah Yayasan Islam Kelantan Tengku Azmi Tengku Jaafar, Pengetua Maahad Muhammadi Lelaki dan Maahad Muhammadi Perempuan serta Yang Dipertua Persatuan Bekas Pelajar Maahad Muhammadi (Alumni MM) Muhammad Yunan Mahmood.

Tuan Guru Nik Aziz turut mengkisahkan sejarah awal pembabitannya dalam PAS apabila dicalonkan bertanding di Dewan Undangan Negeri Kelantan Hilir melawan calon Perikatan, Tengku Noor Asiah.

Kekosongan kerusi itu kerana kematian Allahyarham Haji Mat Prai.

“Justeru, apabila pilihanraya berlangsung, saya menang dengan kelebihan 3,000 undi. Dan mulai hari itulah saya menjadi wakil rakyat sehingga ke hari ini, dan nak berhenti  bila, tidak tahu," ujarnya.

Mursyidul Am PAS itu berkata, dalam perkembangan terbaru politik PAS, beliau dikunjungi rombongan kaum Cina merayu supaya beliau terus bertanding walaupun Umno BN sangat anti beliau menjadi Menteri Besar.

“Perkembangan terbaru, kaum Cina datang berjumpa saya.  Mereka kata, Tuk Guru kena bertanding, menjadi Perdana Menteri dan Tuk Guru jangan mati.

“Cina tak beri saya mati. Umno tidak setuju kepada saya, tapi Cina setuju. Mereka kata, Tuk Guru jangan mati, bahkan bertanding di Dun dan Parlimen," katanya.

Beliau melahirkan kebangaannya kini menjadi Menteri Besar, dari seorang ‘anak pondok’ kemudian menjadi Menteri Besar dan melakukan banyak dasar negeri yang diselaraskan dengan Islam dan PAS.

Beliau telah mengarahkan supaya wang simpanan kerajaan negeri yang disimpan dalam bank yang mengamalkan riba disimpan dalam Bank Islam.

Menteri Besar turut mengarahkan penggubalan Undang-Undang Hudud yang kemudiannya diluluskan Dewan Undangan Negeri sebagai Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993.

Pada majlis itu Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat diisytiharkan Tokoh Jubli Intan, Maahad Muhammadi.

No comments: