Tuesday, April 03, 2012

Mengapa pengundi tidak tahu alamat ditukar?


KUALA LUMPUR, 2 April: “Bagaimanakah SPR boleh menukarkan tempat mengundi seseorang pemilih secara sembrono tanpa ada siasatan yang teliti terhadap borang permohonan seseorang pemilih,” kata Pengarah Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Mohd Sany Hamzan (gambar).

Sehubungan itu, tegasnya pihaknya mengecam tindakan tidak bertanggungjawab pihak-pihak yang cuba melakukan perbuatan khianat dengan memindahkan seseorang pemilih berdaftar dari Dun atau kawasan Parlimen sedia ada ke Dun dan Parlimen yang lain tanpa pengetahuan pemilih tersebut.

Seorang pengundi, Zawawi Abdul terkejut apabila semakan di laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendapati alamat tempat mengundinya telah ditukar tanpa pengetahuannya.

Beliau yang merupakan pengundi di Peti Undi Bukit Lintang dalam Dun Ayer Molek sejak tahun 1970-an lagi kini ditukar menjadi pengundi di Dun Duyong.

"Sejak dari tahun 70-an saya mengundi di Sekolah Kebamgsaan Bukit Lintang tidak pernah pindah tempat mengundi, saya terkejut bila menyemak di laman web nama saya ada di Dun Duyong," kata Zawawi kesal.

“Adakah ini satu cara penipuan secara halus yang cuba dilakukan oleh SPR untuk mempastikan kekalahan Pakatan Rakyat di dalam pilihanraya umum yang akan datang?” soal Mohd Sany.

Katanya, Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia meletakkan sepenuh kesalahan dan kelalaian ini ke pundak SPR sebagai entiti yang bertanggungjawab ke atas akses dan maklumat pemilih yang telah berdaftar.

Menurutnya, Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia merasakan kemungkinan masih banyak lagi kes yang melibatkan pengundi berdaftar “dipindahkan dan dilenyapkan” tanpa pengetahuan mereka.

“Maka Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia menasihatkan kepada semua pemilih-pemilih yang telah berdaftar supaya menyemak semula status pengundian mereka dan membuat laporan polis sekiranya berlaku perubahan status tanpa disedari,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Justeru, beliau mengingatkan Dewan Pemuda PAS negeri dan kawasan perlu memainkan peranan untuk membantu menyemak status pengundi di setiap Dun dan parlimen masing-masing.

Pihaknya juga, kata Sany ‘menasihatkan’ pihak SPR supaya lebih bertanggungjawab dan berintegriti di dalam melaksanakan tanggungjawab mereka supaya tidak berlaku penipuan di dalam pilihan raya umum yang akan datang.

“SPR perlu menjadi pihak yang benar-benar berkecuali dan bukan menjadi ‘budak suruhan’ untuk memenangkan Umno dan Barisan Nasional,” ujarnya lagi.

No comments: