Monday, February 18, 2013

Majlis Pelancaran Liga Dun Temangan, Kemuning Dan Pulai Chondong 2013


Jika Johor dapat ditawan bonus kepada Pakatan


SUBANG JAYA: PAS berkeyakinan bahawa Pakatan Rakyat (PR) dapat menawan 12 kerusi Parlimen di Johor pada Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menjelaskan perkara tersebut ketika menghadiri Majlis Makan Malam Demi Rakyat di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Beliau turut memberitahu, selain daripada 12 kerusi Parlimen yang bakal dimenangi, jika Johor dapat ditawan ia merupakan bonus kepada PR.

"Saya pasti kita dapat melumpuhkan Barisan Nasional (BN) di Johor, setakat malam ini PR akan dapat menumbangkan BN di 12 kerusi parlimen.

"Saya tidak mahu cakap besar kalau PR dapat memerintah Johor ia merupakan bonus kepada kita, yang pasti 12 kerusi dapat kita tawan," ucap beliau di hadapan 1,000 orang yang hadir.

Salahuddin memberitahu jika beliau mementingkan kedudukan dan pendapatan bulanan  setiap bulan, beliau boleh untuk terus mempertahankan kerusi di Kubang Kerian.

Namun, ujarnya demi untuk mengembalikan kesejahteraan rakyat Johor perkara tersebut dikorbankan semuanya.

"Saya boleh minta untuk kekal di Kubang Kerian kalau saya mahu mendapat balik elaun dan gaji saya.

"Tetapi saya lupakan itu semua yang penting balik ke Johor dan robohkan kubu Umno untuk ke Putrajaya, ini kepentingan rakyat dan masa depan negara," kata beliau lagi.

Tambah beliau lagi, walaupun ada pemimpin Umno menyatakan tindakan beliau kembali ke Johor umpama menbunuh diri, tetapi perkara tersebut tidak mematah semangat.

"Tunggu saya balik dan kita lihat siapa bunuh siapa pada PRU13 nanti," tegasnya.

Jelas beliau, walaupun usia masih muda, namun PAS, PKR dan DAP dapat membuktikan PR berada pada satu posisi untuk memberi kebaikan kepada rakyat.

Beliau yakin, perpaduan yang ditunjukkan di dalam PR serta sokongan rakyat akan menghasilkan satu kemenangan yang besar pada PRU13 nanti.

Teliti maksud mendalam kenyataan Presiden PAS



SUBANG JAYA: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menegaskan agar jangan ada pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tanpa memahaminya terlebih dahulu.

Kata beliau, kenyataan Tuan Guru Abdul Hadi bahawa PAS akan keluar dari Pakatan Rakyat (PR) sekiranya kerjasama dengan PKR dan DAP merugikan Islam dan Melayu perlu ditelitikan kerana ia mempunyai maksud yang mendalam.

"Apa yang diperkatakan oleh Ustaz Hadi semalam mempunyai maksud yang perlu kita telitikan. Saya tegaskan jadi jangan ada mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan atas kenyataan tersebut tanpa memahaminya," jelas beliau.

Salahuddin menjelaskannya ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Demi Rakyat PKR Cabang Kelana Jaya di sebuah hotel di sini, malam ini

Menurut Salahuddin, sekiranya Pakatan Rakyat tidak menghormati Islam dan Melayu sebagai matlamat perjuangan negara selama ini sudah pasti PAS tidak akan bersama Pakatan Rakyat sejak sekian lama.

Namun perkara tersebut tidak berlaku apabila ketiga-tiga parti PAS, PKR dan DAP memahami apa yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai agenda utama mereka.

"Jika Pakatan Rakyat tidak menghormati Islam dan Melayu selama ini sudah parti PAS tidak bersama-sama Pakatan.

"Tetapi itu tidak berlaku, kerjasama semakin kukuh kerana kita memahami  apa yang telah diputuskan, apatah lagi ini semua terkandung dalam perlembagaan," jelas beliau lagi.

Ahli Parlimen Kubang Kerian memberitahu rakyat negara ini tidak kira apa jua kaum tidak perlu risau dengan apa yang berlaku kerana konsep yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan sentiasa dihormati oleh semua parti di dalam Pakatan Rakyat.

PAS tubuh cawangan baru di Pulau Gaya


PUTATAN: PAS Kawasan Putatan mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya menubuhkan cawangan di Pulau Gaya pada hari ini.

Penyerahan borang keahlian PAS dilakukan oleh wakil penduduk, Tuan Ahmadi Munaf kepada Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa sebagai simbolik penubuhan cawangan PAS Pulau Gaya.

Sebelum itu, dalam ucapan  Tuan Ahmadi Munaf berjanji akan memberi penerangan ‘apa itu PAS’ kepada masyarakat setempat agar misi dan visi perjuangan PAS dapat difahami oleh penduduk Pulau Gaya.

Sokongan yang diberikan daripada  ahli keluarga beliau banyak membantu untuk menubuhkan cawangan PAS di Pulau Gaya.

Seterusnya, pimpinan PAS Negeri Sabah bersama Husam mengambil kesempatan untuk bertanya masalah yang dihadapi oleh penduduk Pulau Gaya, antara masalah mereka adalah ketiadaan pusat kesihatan (klinik) di kawasan tersebut.

Bekalan air juga menjadi masalah utama penduduk yang terpaksa membeli air dalam tong dari Kota Kinabalu.

Selain itu, penduduk Pulau Gaya juga berharap agar madrasah ta’lim dan kelas fardu ‘ain dapat diadakan di kampung mereka.

Di akhir majlis, pimpinan PAS Negeri Sabah bersama Husam menyampaikan sumbangan beras kepada masyarakat.

Hormati pendirian dan prinsip PAS


KUALA LUMPUR: PAS tetap mempertahankan prinsip Islam dalam sebarang isu yang melibatkan kepentingan agama Islam yang menjadi teras perjuangan dan prinsip PAS.


Lantaran itu, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib berharap rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat dan seluruh rakyat Malaysia hendaklah memahami dan mengerti akan perjuangan dan prinsip Islam yang dibawa oleh PAS.

Berikut ialah kenyataan penuh beliau.

PAS tetap mempertahankan prinsip Islam dalam sebarang isu yang melibatkan kepentingan agama Islam yang menjadi teras perjuangan dan prinsip PAS.

Lantaran itu, rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat dan seluruh rakyat Malaysia hendaklah memahami dan mengerti akan perjuangan dan prinsip Islam yang dibawa oleh PAS.

Prinsip PAS tidak sama sekali akan berubah untuk mempertahankan Islam seperti mana yang termaktub dalam perlembagaan Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Namun PAS tidak berbelah bahagi serta meletakkan komitmen yang paling maksimum dalam perjuangan menumbangkan kezaliman dan membela golongan yang tertindas yang dilakukan oleh kerajaan Umno Barisan Nasional atau mana-mana pihak yang lain.

Sehubungan dengan itu, gesaan mana-mana pihak khususnya oleh Pengerusi DAP, YB Karpal Singh supaya pihak Majlis Syura Ulamak PAS mengkaji semula isu seperti mana yang dibangkitkan oleh beliau terjawab dengan penjelasan yang telah saya berikan seperti di atas.

Kita menegaskan bahawa pihak kami tidak bersetuju tindakan Pengerusi DAP, YB Karpal Singh yang dilihat mencampuri urusan Majlis Syura Ulamak PAS yang telah diputuskan secara kolektif.

Berkenaan isu Perdana Menteri pula ianya bergantung kepada sokongan serta populariti seseorang calon tanpa perlu menamakan nama-nama individu tertentu. Agenda utama kita adalah meruntuhkan kezaliman Umno BN.


Rakan-rakan dalam PR juga diminta supaya bersabar dan apa yang perlu dilakukan hanyalah menunggu keputusan Pilihan raya Umum diisytiharkan untuk mengetahui siapa yang sebenarnya paling layak menjadi pemimpin nombor satu negara nanti. Kerja kita masih banyak lagi untuk menumbangkan Umno BN.

Pemuda PAS tawar 7 agenda anak muda




KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia menawarkan Tujuh Agenda Anak Muda Berkebajikan demi kebajikan dan kesejahteraan mereka di masa akan datang.

Tujuh agenda tersebut sebahagiannya diambil dari dokumen Negara Berkebajikan PAS.
Agenda tersebut adalah, pendapatan boleh guna, keupayaan sara hidup, keusahawanan belia, pendidikan berkebajikan, rumah mampu milik, capaian pengangkutan dan kesejahteraan hidup.
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan berkata, tujuan mereka kemukakan tujuh agenda itu kerana anak muda pada hari ini sedang berdepan dengan masalah yang cukup menghantui mereka termasuklah keupayaan untuk memiliki rumah.
"Hari ini anak muda tidak dapat memiliki rumah sendiri kerana harga rumah yang terlalu mahal.
"Begitu juga dalam hal kenderaan seperti kereta, anak muda tidak berjaya untuk memiliki kerana pelbagai cukai dikenakan sehingga harga kereta melambung tinggi," katanya.
Oleh sebab itulah, katanya PAS akan melaksanakan tujuh agenda ini sekiranya diberikan mandat selepas pilihan raya nanti.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan 7 Agenda Anak Muda Berkebajikan di hadapan pusat membeli belah Sogo,  jam 3.30 petang tadi dan berakhir sejam kemudian. (Gambar atas)
Sekitar 200 orang ramai termasuk anak muda membanjiri perkarangan Sogo bagi mendengar tawaran agenda tersebut yang disampaikan oleh Nasrudin.
Turut mencuri tumpuan ramai Pemuda PAS menyajikan persembahan nyayian oleh Man John bersama Zainal Abidin Ayub.
Di kesempatan itu juga, Pemuda PAS turut mempelawa pemuzik jalanan bersama-samanya yang kebetulan sedang membuat persembahan di situ.
Beberapa pimpinan termasuk Timbalan Pemuda PAS Nik Abduh Nik Aziz dan exconya turut mengedar risalah berkenaan kepada orang ramai di sekitar pusat membeli belah itu.
Nasruddin berharap anak muda dapat menghayati tujuh agenda ini sebagai usaha PAS untuk merelisasikan Negara Berkebajikan.
"Anak muda boleh menghayati tawaran kita dengan detil dalam laman web kita selepas ini," katanya.

PRU13: Mungkinkah SPR lanjut masa mengundi?




KUALA LUMPUR: AJK PAS Pusat, Abang Ahmad Kardee Abang Masagus menerangkan kepada petugas Pilihanraya PAS Bukit Gantang semalam bahawa tempoh pengundian boleh ditentukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tanpa diberi notis, lapor blogger Sisi Bukit.

“Cukup sekadar pengumuman biasa sahaja. Jadi tempoh mengundi boleh dipanjangkan sehingga 7 malam, jika SPR merasakan perlu untuk berbuat demikian,” ujarnya.

Justeru itu, beliau meminta pengundi yang mengundi PAS mesti dipastikan telah keluar mengundi.

Beliau yang juga seorang peguam menjelaskan celup jari menggunakan dakwat bukannya ada dalam perlembagaan tetapi ia cuma peraturan sahaja.

Jadi SPR juga mungkin bersikap seperti tahun 2008 yang mencipta isu atas faktor keselamatan untuk menidakkan keperluan menggunakan dakwat kekal.

PAS jamin kerjasama dalam Pakatan tidak rugikan Melayu


(Ustaz Hadi berucap di HKR PGU di Banggol Peradong semalam)

KUALA TERENGGANU: PAS mengulangi pendirian tegas bahawa kerjasama parti itu dalam Pakatan Rakyat bersama DAP dan Parti KeADILan Rakyat (PKR) tidak merugikan orang Melayu dan Islam.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata PAS akan meneruskan kerjasama dengan parti-parti dalam Pakatan Rakyat seperti DAP dan PKR selagi dapat mempertahankan Melayu Islam.

Namun, katanya jika kerjasama itu merugikan Melayu dan Islam, PAS tidak ragu-ragu untuk keluar dari Pakatan Rakyat.

“PAS memberi jaminan kerjasama dengan parti Pakatan Rakyat dengan DAP, dengan KeADILan (PKR) selagi dapat mempertahankan Melayu Islam. Sekiranya kerjasama itu merugikan Melayu Islam, merugikan Islam…PAS keluar dari Pakatan Rakyat dan tidak ada ragu-ragu lagi. Sehingga hari ini, kita (PAS) bersama Pakatan Rakyat.

“Apabila DAP, orang bukan Islam dalam Pakatan Rakyat menerima Islam sebagai agama Persekutuan, hak-hak agama lain diberi (kebebasan) hak dengan adil. Hak istimewa orang Melayu Bumiputera dan hak kaum lain (diberi) adil. Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, bahasa ibunda diberi (kepada semua kaum). Raja mengikut Perlembagaan. Semua parti Pakatan Rakyat menerima perjanjian ini,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Himpunan Kebangkitan Rakyat PAS Ganti Umno (PGU) 7.0 di Kampung Banggol Peradong, Dewan Undangan Negeri (Dun) Teluk Pasu, Kuala Nerus, hari ini.

Hadir sama pada majlis tersebut Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Ahli Parlimen Kota Raja Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik, Timbalan Pesuruhjaya I PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat, Pengerusi DHPP Terengganu, Dr Bala Chandran GK, Bendahari PKR Terengganu, Wan Ismail Wan Long dan Pengerusi DAP Terengganu, Ng Chai Hing. 

Datuk Seri Abdul Hadi menjelaskan PAS menerima hakikat kehidupan masyarakat dalam negara ini berbilang kaum.

Katanya, semua rakyat berbilang kaum yang terdapat dalam negara ini merupakan rakyat Malaysia.

“Kita (PAS) menerima hakikat kita (rakyat) adalah masyarakat majmuk. Semua rakyat pelbagai kaum adalah rakyat kita. Ini sudah jadi kenyataan yang tidak boleh dinafikan.

“Semua kaum menerima Melayu Islam adalah sebagai teras. Penganut semua agama menerima Islam yang ada dalam Perlembagaan. Tapi Umno tidak pandai hendak jaga Islam, apa hendak jadi dia (Umno) tidak peduli. Asal Umno menang sudah, Islam hendak jadi apa ikut sukalah. Yang halal diharamkan dan yang haram dihalalkan.

“Sebab itu, PAS mengadakan kerjasama dengan orang Islam dan bukan Islam dalam DAP dan dalam PKR,” ujarnya di hadapan 10,000 hadirin.

Justeru, beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan PAS mengajar ahlinya berpolitik dengan mengabdikan diri kepada Allah serta tidak berkompromi dalam perkara halal dan haram.

“PAS mengajar berpolitik mengabdikan diri kepada Allah. Apa yang halal itu halal dan yang haram itu haram. Bukannya yang ada lesen halal dan yang tidak ada lesen itu haram,” ujarnya.

Sehubungan itu, Ustaz Abdul Hadi turut menyangkal dakwaan Umno yang melabelkan PAS sebagai ‘kuda tunggangan’ DAP.

Sebaliknya, kata beliau, Umno telah lama menjadi kuda tunggangan kepada parti komponen Barisan Nasional (BN) seperti MCA, MIC dan Gerakan.

“Umno kata PAS jadi kuda tunggangan DAP. Umno sudah lama jadi ‘kuda tunggangan’ MCA, MIC dan Gerakan.

“Sedarkah kita (rakyat) apabila MCA kalah, MIC kalah, Gerakan kalah…Umno bagi kerusi (Parlimen) Melayu kepada MCA, MIC dan Gerakan. Umno sanggup bagi kerusi Melayu kepada orang lain demi dia (BN) mengekalkan kuasa memerintah negara. Dia (Umno) tidak kira bagaimana kekuatan politik orang Islam,” jelasnya.

Sertai PAS



(Datuk Mohamad Nazli disarungkan baju baru tanda menyertai PAS)

Pada himpunan tersebut Abdul Hadi menerima penyerahan borang keahlian menyertai PAS oleh bekas Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian Malaysia, Datuk Mohamad Nazli Abdul Majid.

Datuk Mohamad Nazli, 62, berasal dari Perak yang kini menetap di Paka, Dungun berkelulusan Bachelor of Agriculture Science (Universiti of Tasmania, Australia) dan master of Science Agriculture, SHSU, Texas, USA.

Beliau bersara tahun 2006 yang pernah bekerja di Jabatan Pertanian tersebut selama 30 tahun iaitu 12 tahun sebagai Pengarah Projek Pembangunan Pertanian di Besut, dua tahun di Johor selaku Pengarah Johor Barat, tiga tahun di Melaka dan lima tahun di Kedah sebagai Pengarah Pertanian Negeri.