Tuesday, November 15, 2011

Libatkan rakyat Kelantan dengan pelancongan

KUALA LUMPUR, 15 Nov: Kerajaan BN menerusi Kementerian Pelancongan digesa mengambil beberapa langkah bagi menggalakkan lebih ramai rakyat Kelantan terlibat dalam bidang pelancongan.

Gesaan tersebut dibuat memandangkan negeri Kelantan mempunyai potensi besar untuk turut maju dalam bidang pelancongan kerana mempunyai pelbagai tempat menarik.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub berkata, faktor tersebut ditambah lagi dengan sikap rakyat Kelantan itu sendiri yang sememangnya banyak yang berminat untuk turut memajukan bidang pelancongan di negeri itu.

Menurut beliau, berdasarkan perkembangan semasa, negeri Kelantan semakin banyak didatangi pelancong dari dalam dan luar negara, sehingga menyebabkan banyak rakyat negeri itu yang mengusahakan homestay bagi menampung keperluan pelancong.

Katanya, namun usaha mereka agak terbatas kerana kekurangan peruntukan dari pihak Kerajaan BN untuk membantu mereka mempertingkatkkan usaha mendirikan lebih banyak hotel, homestay dan yang seumpamanya.

"Minat rakyat Kelantan untuk turut memajukan bidang pelancongan tidak boleh diperkecilkan, malah kebanyakan mereka yang mendirikan homestay itu sendiri adalah dari golongan nelayan.

"Ini terutamanya  di kawasan saya sendiri yang terkenal dengan perkampungan nelayan, tetapi mempunyai keunikan tersendiri dalam menarik perhatian para pelancong ke Kelantan," katanya ketika berucap membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2012 Peringkat Jawatankuasa pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Sehubungan itu, beliau yang juga Naib Presiden PAS mendesak pihak Kementerian Pelancongan mengadakan dan mempertingkatkan peruntukan serta insentif-insentif bagi rakyat negeri itu khasnya memajukan industri yang ternyata boleh mendatangkan keuntungan besar itu kepada negeri dan negara.

Beliau turut kesal kerana pihak Kementerian Pelancongan sehingga kini masih gagal memanfaatkan kewujudan dua tempat yang menarik di Kubang Kerian iaitu Pulau Kot dan Tanjung Piai bagi mengembangkan industri pelancongan negara.

"Pada hal kedua-dua tempat itu telah dimasukkan dalam destinasi pelancongan oleh pihak kementerian, sejajar dengan kedudukannya yang menarik sebagai tanah paling hujung di benua Asia," katanya.

Kegagalan pihak kementerian memberikan perhatian terhadap tempat itu, katanya, menjadikan kedua-dua tempat tersebut gagal menarik lebih banyak pelancong asing, walaupun ia mempunyai keistimewaan tersendiri seperti juga di negara-negara lain terutamanya di Afrika yang juga mempunyai tempat seperti itu.

"Jadi saya ingin tahu, apakah peranan kementerian terhadap usaha untuk memajukan pelancongan di kedua-dua tempat itu? Adakah pihak kementerian menyediakan peruntukan khas dan peruntukan tambahan untuk memajukannya?" tanya beliau.

No comments: