Saturday, March 10, 2012

Ulama juga insan seni - Nik Aziz


KOTA BHARU, 9 Mac: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, meminta masyarakat memahami pengertian insan seni sebenar kerana ulama juga tergolong dalam golongan artis.


Menurutnya, sekiranya artis dimaksudkan dengan insan seni malah golongan ulama juga mempunyai keseniannya yang tersendiri.

Katanya, kerana keseniannya itu golongan ulama berjaya meyakinkan golongan bukan Islam atau yang jauh dari Islam untuk mendekati dan menerimanya hasil kelunakan seni bahasa yang disampaikan ulama.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena kunjungi selebriti Oki Sentiana Dewi, heroin filem Ketika Cinta Bertasbih dari Indonesia dan selebriti dakwah Kapten Hafiz, di JKR 10, petang tadi.

Kedua-dua selebriti berkenaan akan menjayakan program ‘Bicara Selebriti’ ke-4, anjuran kerajaan negeri di Kelantan Trade Cantre mala mini.

Menurut Tuan Guru, sebelum ini masyarakat hanya mengenali pelawak, pelukis, pelakon, penyanyi sebagai artis, namun golongan ulama sebenarnya adalah artis.

“Cara Rasulullah berdakwah juga mengikut seni sehingga manusia terpikat dengan ajaran Islam, al-Quran juga mempunyai seninya yang tersendiri sehingga bila mendengarnya manusia akan terpegun,” ujarnya.

Pada masa yang sama beliau melahirkan rasa syukur pada golongan artis termasuk Oki Sentiana Dewi yang sudi datang ke Kelantan bersama ibunya.

Katanya, dengan kehadiran artis ke negeri ini akan melenyapkan tohmahan buruk masyarakat Kelantan menolak golongan terbabit.

Majlis pertunangan anak Najib dibiaya kerajaan?


PETALING JAYA, 9 Mac: PKR hari ini mendakwa kerajaan telah menaja majlis pertunangan anak perempuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang berjumlah RM409,767.00.

Pengarah strateginya, Rafizi Ramli berkata, dokumen rasmi dari sebuah hotel di Kuala Lumpur yang diperolehinya itu membuktikan bahawa segala bayaran bagi majlis tersebut dibiayai oleh Pejabat Perdana Menteri.

Rafizi berkata, ianya berupa bayaran majlis bankuet di Hotel Shangri La yang didakwa menyediakan katering untuk majlis berkenaan.

"Hari ini PKR mengemukakan bukti kukuh bahawa majlis tersebut dibiayai oleh rakyat apabila keseluruhan urusan tempahan dan pembayaran dibuat oleh Pejabat Perdana Menteri.

"Ini dokumen untuk bukti-bukti yang jelas, yang mana perbelanjaan sepenuhnya sebanyak RM409,767 ribu telah digunakan," jelasnya pada sidang media di pejabat PKR hari ini.

Perbelanjaan tersebut menurut Rafizi meliputi kos jamuan VIP seramai 36 orang sebanyak RM18,792, kos jamuan tetemu seramai 862 orang sebanyak RM309,975 dan juga kos pengendalian majlis RM81,000.

Menurut Rafizi lagi, PKR juga telah membuat semakan dan berjaya mengesahkan bahawa individu-individu di dalam dokumen tersebut adalah sahih dan bekerja di organisasi masing-masing.

"Dengan pendedahan ini PKR berpendapat sudah sampai masanya satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan menyiasat penyelewengan wang rakyat oleh Perdana Menteri termasuk barisan kabinetnya.

"Kita mahu Najib menjawabnya pada sidang dewan rakyat minggu depan, dari mana peruntukan itu diambil," katanya lagi.

Pakatan Rakyat kuat, rakyat dapat nikmat


KUALA LUMPUR, 9 Mac: Kualiti hidup rakyat semakin meningkat sejak Pakatan Rakyat kuat, kata AJK PAS Pusat, Idris Ahmad.


Selama ini, katanya pemimpin BN melayan rakyat sekadar melepas batuk di tangga yang mana banyak nikmat yang diperolehi oleh rakyat apabila BN tenat.

Di samping itu, tambahnya berbagai usaha dilakukan untuk menarik hati rakyat  supaya menyokong BN dalam keadaannya tenat.

Menurutnya, antara faedah yang rakyat perolehi, terbaru kerajaan  memansuhkan tol di Batu 9 menghala Kuala Lumpur dan tol di Batu 11 menghala ke Kajang selain memansuhkan tol Lebuhraya Pantai di Kampung Medan menghala ke Kuala Lumpur.

Di samping itu, katanya GST, saman ekor, cukai 6%  pra bayar telefon, 1Care Malaysia telah ditangguhkan.

Begitu juga, ujarnya kadar tol tidak dinaikkan, harga petrol juga tidak dinaikkan semuanya gara-gara takut rakyat menolak BN di dalam PRU13 nanti.


“Rakyat tidak pernah terbayang sejak merdeka 55 tahun, tiba-tiba kerajaan memberi wang RM500 kepada rakyat yang pendapatan isi keluarga bawah RM3,000. Kerajaan terpaksa mencari wang sebanyak RM2.5 bilion,” ujarnya.

Menurutnya lagi, begitu juga RM100 kepada setiap pelajar sekolah dan RM200 untuk pelajar universiti.

“Semuanya gara-gara tidak tahan dengan asakan tawaran Buku Jingga Pakatan Rakyat,” ujarnya lagi.

Friday, March 09, 2012

Forum pru 13

Najib panik, batalkan SBPA menjelang pilihan raya


KUALA LUMPUR, 8 Mac: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak disifatkan panik menghadapi tekanan kakitangan awam sehingga membatalkan Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang dicadangkan sebelum ini.

Demikian kata ADUN Pantai Jerejak, Pulau Pinang, Sim Tze Tzin melalui twitternya hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan, kerajaan membatalkan rancangan untuk menggunakan SBPA berikutan bantahan kakitangan awam.

Najib berkata, kerajaan akan menggunakan skim yang ada iaitu Skim Saraan Malaysia (SSM) dengan penambahbaikan.

Najib juga mengumumkan, satu suruhanjaya khas dibentuk bagi mengkaji perkhidmatan awam negara.

Langkah kerajaan untuk menangguhkan SBPA adalah kerana takut reaksi kakitangan awam yang mungkin memberontak dalam pilihan raya akan datang.

Namun dipercayai, ia akan kembali kepada skim ini selepas pilihan raya umum nanti jika Barisan Nasional (BN) kekalkan berkuasa.

"Ha ha ha...tiada keputusan sehinggalah pilihan raya," kata anggota Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong dalam Twitternya mengulas keputusan kerajaan mengenai hal ini.

Namun begitu, dengan pengumuman Najib, jurang gaji antara kakitangan awam akan terus meningkat dengan penyelarasan gaji yang diumumkan Najib.

Ini kerana, perbezaan peratus kenaikan gaji antara kakitangan awam peringkat rendah hanya sedikit sahaja berbanding dengan kakitangan peringkat atasan.

Najib berkata, kumpulan pengurusan dan profesional akan naik 13 peratus, kumpulan Utama dan khas A, B dan C 9 peratus, Turus 3 dan 2 8 peratus manakala Turus 1 dan KSN 7 peratus.

Walaupun peratusan kakitangan bawahan lebih tinggi tetapi oleh kerana gaji mereka hanya kecil sahaja, kenaikan ini rendah sahaja.

Misalnya jika kakitangan awam RM500, dengan kenaikan gaji 13 peratus, mereka akan mendapat kenaikan gaji sebanyak RM65 sahaja.

Namun untuk KSN dan Turus 1, oleh kerana gaji mereka tinggi misalnya RM12,000 sebulan, dengan kenaikan gaji 7 peratus, mereka mendapat kenaikan gaji sebanyak RM840 dalam pelarasan ini.

Kenaikan ini dilihat lebih baik berbanding SBPA yang dikatakan kakitangan paling rendah hanya mendapat kenaikan RM1.70 sahaja berbanding RM8,000 kakitangan paling tinggi.

Bagi Ketua Angkatan Muda PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin, Pakatan Rakyat mempunyai saham dalam perubahan ini kerana hasil desakan merekalah SBPA tidak jadi dilaksanakan.

"SBPA dibatalkan & Sistem Saraan Malaysia (SSM) ditambahbaik. Tentunya hasil desakan PR," katanya dalam Twitter.

Anak Muda Pertahan Dun Kemuning

Hari Wanita: Kelantan buka rumah Sinar Harapan





(Datin Tuan Sabariah memotong reben sebagai tanda perlancaran rumah Sinar Harapan.)

KOTA BHARU, 8 Mac: Simbolik kepada sambutan Hari Wanita Sedunia hari ini, Kerajaan Kelantan telah membuka dengan rasminya rumah perlindungan wanita ‘Sinar Harapan’.

Rumah empat bilik yang terletak di Pengkalan Chepa itu telah dirasmikan oleh isteri Menteri Besar, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak pagi tadi.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan negeri, Wan Ubaidah Omar, timbalannya Rohani Ibrahim, Anggota Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman, Anggota Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof dan Ahli Dewan Negara, Mumtaz Mohd Nawi.

Ubaidah (gambar) ketika berucap pada majlis itu berkata, rumah perlindungan untuk kaum wanita telah lama dirancang oleh kerajaan negeri, bagaimanapun hanya hari ini ianya dapat dirasmikan sepenuhnya.

Beliau memberitahu, antara tujuan ianya ditubuhkan untuk membimbing dan mendidik para penghuni sementara di rumah berkenaan supaya kembali ke pangkal jalan.

“Bukan semua kaum wanita yang bermasaalah dapat tinggal di sini, hanya mereka yang benar-benar memerlukan sokongan seperti diusir dari rumah, mangsa penderaan rumahtangga, keluarga.

“Mangsa rogol, penderaan seks atau yang dirujuk oleh mahkamah, Jabatan Halehwal Agama Islam, polis, badan-badan NGO dan berbagai lagi yang bertauliah,” ujarnya.

Beliau berkata, tempoh jagaan sementara paling maksimum enam bulan sebelum mereka diserahkan kepada pihak yang lebih berwajib, sama ada ke pangkuan keluarga, berdikari atau sebagainya.

Tegasnya, beberapa aktiviti telah diatur sebagai motivasi diri kepada mereka, iaitu kaunseling, motivasi dan peningkatan jatidiri, kemahiran asas, kemahiran kerjaya, rawatan perubatan apabila diperlukan.

Menurutnya lagi, penganiayaan terhadap wanita termasuk kanak-kanak semakin berleluasa.

“Penganiayaan terhadap golongan ini bukan sahaja secara fizikal, sebaliknya mental seperti mengeluarkan kata-kata yang kasar, menghina dan berbagainya.

“Ekoran itu golongan terbabit rasa tertekan dan tidak bersemangat untuk meneruskan hidup, kerana itu sokongan pihak lain perlu untuk membantu mereka,” ujarnya.

Sinar Harapan yang bertemakan ‘Datang Dengan Seribu Kenangan…Pulang Dengan Seribu Impian’ telah menyediakan beberapa kemudahan untuk golongan terbabit.

Antaranya tempat penginapan, buku-buku untuk bacaan semasa di samping kuliah agama dan motivasi yang akan disampaikan oleh kaunseling.

Pemuda PAS simpati nasib Imam Hoslan




(Imam Hoslan ketika bercakap dengan Harakahdaily sebelum ini)

KUALA LUMPUR, 8 Mac: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melahirkan rasa simpati ke atas Tuan Haji Hoslan Hussin yang telah dijatuhkan hukuman penjara setahun atas kesalahan menghina mahkamah ekoran tindakan beliau membaling kasut ke arah panel hakim bulan lepas.

Keberanian tindakan beliau  sememangnya telah menggemparkan negara dan ia kejadian yang jarang berlaku di negara ini, kata Ketua Penerangan Pemuda PAS, Riduan Mohd Nor.

Bagi DPPM, apa yang berlaku ke atas beliau adalah suatu manifestasi kemarahan rakyat bawahan yang cuba mempertahankan hak mereka untuk diadili secara adil.
Beliau berjaya mencuit perhatian ramai pihak termasuk masyarakat antarabangsa supaya mengambil berat terhadap kes beliau, kata Riduan (gambar).

DPPM, katanya, mengharapkan supaya beliau mendapat perbicaraan yang adil di mahkamah terbuka di negara ini.

Kes yang menimpa beliau menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya jangan memperkecilkan golongan rakyat bawahan, tegasnya.

"Akhirnya, DPPM mendoakan semoga Haji Hoslan tabah menghadapi ujian yang melanda beliau.

"DPPM juga berusaha membantu keluarga meringankan beban mereka beliau sepanjang tempoh hukuman dikenakan ke atas beliau," katanya.

Thursday, March 08, 2012

KONSERT KEMBALILAH

Majlis Pelancaran Bilik Gerakan Pemuda PAS Dun Kemuning

Impian Kita

PAS Johor sasar menang 17 kerusi


KUALA LUMPUR, 7 Mac: PAS Johor mensasarkan sekurang-kurangnya 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) untuk dimenangi pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 akan datang.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Mazlan Aliman (gambar) berkata, sasaran itu ditetapkan berdasarkan perubahan positif rakyat negeri itu yang kini menyambut baik Pakatan Rakyat khususnya PAS yang disifatkan 'tidak pernah berlaku sebelum ini'.

Menurutnya, melihat mood positif rakyat, beliau bukan sahaja yakin PAS boleh menang di kerusi sasaran itu, malah Pakatan Rakyat secara keseluruhan juga tidak mustahil akan menerajui negeri itu.

"Kita (PAS) kini sedang fokus kepada 17 Dun sasar.

"Mungkin orang kata saya bermimpi, atau angan-angan, tapi dengan sambutan kepada kita pada waktu ini, saya yakin kejutan akan berlaku, Johor mungkin jatuh kepada Pakatan Rakyat," katanya kepada Harakahdaily.

Pada PRU ke-12 lalu, PAS bertanding 39 daripada keseluruhan 56 kerusi, manakala PKR dan DAP masing-masing 9 dan 12 kerusi.

Dari jumlah ditandingi itu itu PAS hanya menang di dua kerusi iaitu di Dun Maharani dan Sungai Abong.

Menurut Mazlan lagi, perbezaan ketara sokongan rakyat Johor terhadap Pakatan rakyat berbanding 2008 boleh dilihat dengan sambutan terhadap program-program mereka di negeri itu sejak kebelakangan ini.
Sambutan luar biasa itu katanya, telah menyebabkan ada pihak 'tak senang duduk' sehingga mengupah kumpulan tertentu mengganggu dan membuat kecoh khususnya di ceramah-ceramah anjuran mereka.

Manifesto 15 perkara dasar


Menurut Mazlan lagi, PAS Johor juga telah selesai berbincang berhubung manifesto pilihan raya peringkat negeri yang akan ditawarkan.

Tanpa menjelaskan secara terperinci, beliau berkata ianya menggariskan 15 perkara dasar antara lain tawaran penyelesaian masalah tanah dan tawaran pengurusan pentadbiran lebih baik.

"Kita telah siap seminar manifesto, dan sedang timbang dengan PKR dan DAP.

"Kita yakin menifesto ini akan menjadi kekuatan utama kita untuk ambil Johor," katanya lagi.

Muhyiddin mula gusar

Mengulas kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin kononnya Johor masih 'tiang seri' BN pada PRU-13 akan datang, Mazlan berkata, ia sebenarnya menggambarkan kebimbangan timbalan perdana menteri itu.

"Kenyataan Muhyiddin tu menggambarkan kebimbangan beliau.

"Saya nak bagi tahu (kepada Muhyiddin), 'tiang seri' itu sudah dimakan anai-anai. Bila-bila pun boleh patah," katanya yang juga AJK PAS Pusat

Menurut Mazlan lagi, beliau mendapat maklumat Umno sememangnya gusar dengan kedudukan mereka di Johor sekarang ini.

Katanya, tidak pernah selama ini, Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman turun berkampung di setiap kawasan parlimen seperti yang terpaksa dilakukan sekarang ini.

Malah katanya, selepas lawatan Muhyiddin semalam, Najib pula dijangka turun ke Johor dalam masa terdekat.

"Orang Johor ni dia pandai, dia senyap-senyap sahaja, dia tak tunjuk sokong kita," jelasnya.

PRU13: Tsunami kecil bakal berlaku di selatan


KUALA LUMPUR, 7 Mac: PAS menjangkakan satu tsunami kecil akan berlaku di selatan tanahair pada Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang.

Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, Zulkefly Mohamad Omar (gambar), berkata ia berikutan perkembangan politik terbaru yang menyaksikan kesedaran di kalangan rakyat semakin meningkat.

Selain sambutan baik terhadap program Pakatan Rakyat yang diadakan, tahap kesedaran di kalangan anak muda yang semakin meningkat turut memberi impak kepada Pakatan Rakyat.

"Lebih-lebih lagi, apabila terdapat anak muda yang bekerja di bandar yang menyampaikan maklumat kepada ibu bapa mereka, yang akhirnya dapat mengubah serba-sedikit pandangan mereka," jelas Zulkefly.

Katanya di Negeri Sembilan, komposisi penduduknya bercampur-campur, di antara pengundi Melayu, Cina dan India, khususnya di kawasan bandar.

"Kedudukan tersebut sebenarnya memberikan keselesaan kepada kita kerana masyarakat Cina seolah-olah menolak terus kepimpinan BN. Kalau unjuran dibuat, hari ini sokongan masyarakat Cina boleh meningkat sehingga 80 peratus, saya berkeyakinan Negeri Sembilan boleh jatuh ke tangan Pakatan Rakyat," tegas beliau dalam wawancara dengan Harakahdaily.

Tambah beliau, di Negeri Sembilan, Pakatan Rakyat memerlukan lebih kurang empat kerusi untuk menang.

Manakala, kata Zulkefly, tujuh lagi kerusi yang kalah dengan majoriti 1,300 ke bawah memerlukan lonjakan tiga hingga lima peratus untuk menang.

"Mana-mana analisis politik mengatakan jika tiga hingga lima peratus lonjakan diperlukan, ia paling kritikal. Cuma, bagaimana kita memastikan perubahan itu terus berlaku," tegasnya sambil menekankan soal calon, gerak kerja dan strategi yang digunakan untuk mencapai kemenangan.

Tambah beliau, sokongan Melayu kepada Pakatan Rakyat juga tidak menurun, tetapi dilihat meningkat dan keadaan itu bukan sahaja di Negeri Sembilan, tetapi juga di Melaka dan Johor.

Di Johor, kata Zulkefly, suasana politiknya juga berkembang di mana beberapa kawasan parlimen dijangka boleh ditawan Pakatan Rakyat seperti Pulai dan Simpang Renggam.

"Jika di Simpang Renggam, komposisinya 55, 45 peratus.  Kalau mereka undi kita 65 hingga 80 peratus, sudah tentu kita boleh buat lonjakan baru di Johor hingga Menteri Besar Johor, Dato' Abdul Ghani Othman sendiri mengeluarkan kenyataan bahawa tidak semestinya BN akan terus berkuasa di Johor.  Ia satu mesej yang jelas BN Johor bimbang," tegas beliau lagi.

Menjelaskan sambutan rakyat terhadap program Pakatan Rakyat, beliau berkata sebagai 'waiting government', PAS bekerja secara menyeluruh dengan melihat rakyat secara keseluruhannya.

Katanya, kesan dari turun padang yang dilaksanakan, sokongan di peringkat akar umbi dilihat meningkat dan banyak aduan berkaitan masalah setempat disampaikan terus kepada PAS.

Lebih menarik, tambahnya yang membuat aduan itu bukan hanya ahli PAS sahaja, tetapi juga ahli Umno.

"Saya sendiri banyak menyelesaikan masalah yang dihadapi ahli Umno.  Baru-baru ini datang rakyat dari kawasan BN yang mengadu tentang nasib mereka yang tidak mendapat bekalan air.  Jadi, kita tidak pandang parti.  Kita cuba atasi segala masalah dan aduan rakyat apabila bekerja sebagai 'waiting government'," jelas Zulkefly.

Bagi menangani beberapa perkara berkaitan kuasa DAP yang dibimbangi menjadi penghalang masyarakat Melayu mengundi Pakatan Rakyat, Zulkefly berkata PAS menggunakan pendekatan penerangan kepada rakyat.

"Kita selalu membangkitkan isu, bagaimana DAP hendak menguasai kerajaan persekutuan, sedangkan semua maklum parlimen mempunyai 222 kerusi dan DAP hanya bertanding 49 atau 50 kerusi.  Tidak sampai satu pertiga majoriti," jelas beliau.

Sehubungan itu, tegas beliau rakyat perlu tahu kedudukan kerusi yang ditandingi DAP, yang mana DAP hanya akan berlawan dengan MCA, manakala PAS dan PKR akan menentang Umno.

"Bagi mengelakkan kekeliruan, kita bergerak dari rumah ke rumah sambil mengedarkan risalah tentang tohmahan kononnya jika Pakatan Rakyat menang, DAP akan menjadi Perdana Menteri," kata Zulkefly.

Sedangkan, kata beliau pada konvensyen DAP, Setiausaha Agung parti itu, Lim Guan Eng sendiri menyebut parti itu tidak akan menghantar calon Perdana Menteri sekiranya Pakatan Rakyat memerintah.

Beliau turut mengulas tentang perdebatan antara Guan Eng dengan Presiden MCA, Dato' Seri Chua Soi Lek yang jelas menunjukkan MCA berpegang kepada perkauman.

"DAP sering dikaitkan sebagai cauvinist, sedangkan MCA sebenarnya bersifat sedemikian.  Kenyataan Soi Lek jelas menjatuhkan maruah Umno apabila nekad menentang Umno sekiranya melaksanakan undang-undang syariah," tegas beliau.

Manakala, Guan Eng pula bersikap sebaliknya apabila menyatakan DAP menghormati pengamal agama lain sekiranya PAS melaksanakan undang-undang Islam, dan berkeyakinan dalam masa sama PAS juga menghormati amalan agama penganut lain.

Sikap Guan Eng itu, jelas Zulkefly membuktikan DAP bukanlah sebuah parti cauvinis, sebaliknya dengan MCA apabila berhasrat menentang Umno sekiranya mengamalkan undang-undang Islam.

"Saya dimaklumkan, Soi Lek sebenarnya tidak berkemampuan untuk bertutur dalam bahasa Mandarin.  Tetapi meminta debat diadakan dalam bahasa tersebut. Kenapa?  Kerana dia tidak mahu orang Melayu tahu intipati perdebatan tersebut yang jelas bersifat perkauman," tegas beliau.

Hutang Kafa dengan KTC tiada kaitan Harakah, PAS

KOTA BHARU, 8 Mac: Kelantan Trade Cantre (KTC)  menafikan tuntutan hutang terhadap Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), sebelum ini langsung ada kena mengena dengan Harakah apa lagi PAS.

Ianya merupakan isu berlainan antara sebuah parti, agensi akhbar dan pihak pengurusan KTC.

Ketua Pegawai Operasinya, Aziz Desa berkata, dalam melaksanakan tanggungjawabnya itu langsung tiada kaitan dengan mana-mana politik.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily berikutan menerima beberapa  kritikan terhadap usahanya menuntut bayaran sewa Restoran The Red Warriors dari Kafa.

“Ini adalah soal bisnes semata-mata. Jadi saya menuntut hutang ini adalah kerana tanggungjawab saya, walaupun dalam facebook ada pihak yang mendakwa saya ni tidak berlaku adil.

“Jadi untuk keadilan saya perlu menilainya dalam pelbagai sudut, di mana kakitangan kami di sini lebih 50 orang yang semuanya bergantung harap di sini,” ujarnya.

Tambahnya, jika hutang yang tidak dibayar lebih RM72,000 adalah terlalu banyak.

Lagipun, beliau mendakwa surat peguam juga telah dihantar agar segala urusan berjalan baik, namun semuanya gagal.

“Saya hantar surat ‘mesra’ pun tak jawab juga walaupun saya ada tanggungjawab untuk menyita restoran tersebut, tapi saya tidak lakukan pun,” ujarnya.

Sambungnya, lagipun beliau bimbangi surat yang dihantar tidak sampai kepada Presiden Persatuan Kafa, Tan Sri Annuar Musa, dan apa yang berlaku itu memang betul.

Aziz seterusnya berkata, dengan kritikan dan dakwaan dalam facebook yang mengatakan Presiden Kafa tidak mengetahui Restoran TRW ada hutang adalah benar sebagaimana yang didakwa.

Beliau turut menegaskan, tindakan yang diambil pihaknya memberi kebaikan pada pihak Kafa sendiri secara tidak langsung presiden mengetahui tentang perkara itu.

“Jadi saya tak naklah peminat nanti salah tafsir berterusan, dakwa nak buat stadium berjuta-juta tetapi bila kita cerita fasal ada hutang yang tidak dibayar, camana kan,”ujarnya.

Sambungnya, peminat bola sepak melihat TRW adalah satu pasukan yang kuat dan begitu unggul kini, jadi diharap ianya juga turut hebat dari segi pengurusannya.

Sehubungan itu, beliau mengharapkan peminat bola sepak khususnya Kelantan atau pihak tertentu tidak mengaitkan isu tuntutan ‘hutang’ dengan Harakah atau PAS, kerana ianya langsung tidak ada kena mengena dengan pihak berkenaan.

Mahathir terus gumba idea burukkan pembangkang

Benarlah barang kali Mahathir Mohamad seorang pendendam. Dia tidak akan diam selagi orang yang didendaminya tidak lenyap dari bumi ini. Episod pendendaman Mahathir ini bersiri, banyak kalau hendak dihuraikan. Kekalahannya dalam pilihan raya 1969 kepada Yusof Rawa menyebabkan beliau dendam kepada Pas dan orang Cina sampai ke hari ini. Peristiwa itu boleh disimpulkan sebagai dendam beliau yang pertama kepada orang Cina.


Mahathir menghukum kekalahan itu disebabakan Cina sedangkan dia lupa tindakan orang Cina tidak mengundinya kerana keceluparan mulutnya juga yang mengatakan dia tidak memerlukan undi Cina. Kesombongan Mahathir itu menyebabkan orang Cina di Kota Star menolak beliau.

Kekalahan itulah menyebabkan beliau berdendam dengan orang Cina. Kalau beliau menerima ia hanya bermuka-muka saja. Mahathir hanya dekat dan mesra dengan orang Cina yang menjadi tauke saja tetapi tidak dengan Cina marhain. Antara Cina kaya yang menjadi rakannya ialah Vincent Tan dan lain-lain.

Dia juga dendam dengan Tengku Razaleigh sehinggakan sanggup melupai persetiaan dalam persahabatan serta memungkiri amanat Hussein Onn. Dendam itu menyebabkan beliau terus menganiaya dan mendendami Tengku Razaleigh. Puncanya bukan apa sangat, Mahathir mengatakan kekalahannya dalam pertandingan merebut jawatan naib presiden Umno tahun 80-an yang mendapat undi ketiga terbawah disebabkan Tengku Razaleigh. Itu saja.

Hanya kerana prejudis menyebabkan beliau mendendami Tengku Razaleigh sekaligus mengkhianati amanah dan akhirnya menyebabkan Umno jadi porak peranda. Perpecahan tahun 1987 yang membawa kepada penubuhan Semangat 46 adalah angkara Mahathir.

Demikian dendam dan kebenciannya kepada Anwar hari ini adalah kesinambungan kepada episod kebencian dan dendam itu. Mahathir tidak pernah berniat untuk menerima baik Anwar. Otaknya penuh dengan prejudis dan prasangka. Walaupun Anwar sudah beberapa kali membuat pengisytiharan memaafi Mahathir namun tidak pernah disambutnya.

Terbaru Mahathir sekali lagi melemparkan fitnah dengan niat hendak mengkhianati Anwar dengan membuat andaian NGO yang sokong Anwar telah disokong oleh Amerika. Tuduhan ini satu lagi kerja jahat Mahathir Mohamad pada saat orang sedang menggali lubang lahad kehidupannya. Tidak ada bukti yang disertakan beliau hanya mengandaikan saja. Kenapa harus kaitkan Amerika dengan Anwar Ibrahim?

Kata Mahathir Amerika akan menyokong sesiapa saja menentang pimpinan yang tidak sebulu dengan negara itu. Saya hendak tanya apakah selama Mahathir memerintah Malaysia 22 tahun beliau diancam oleh Amerika? Rasanya tidak. Kalau begitu apakah bermakna pemerintahannya sebulu dengan Amerika kerana Amerika tidak memeranginya?

Tidak dinafikan Amerika agak mencampuri urusan Malaysia dengan mengkritik dasar Mahathir dari beberapa sudut. Perkara paling jelas apabila kerajaan Mahathir bertindak zalim kepada rakyat Malaysia. Sebagai sebuah negara memperjuangkan hak asasi manusia negara itu tidak akan dapat berdiam diri bila berlaku kekejaman di mana-mana pun. Kebetulan pada akhir tahun 90-an Mahathir telah berlaku kejam ke atas bekas timbalannya, Anwar Ibrahim. Apa yang Mahathir lakukan terhadap Anwar dikecam oleh sesiapa saja kerana ia terlalu sadis dan jijik.

Apakah apabila Amerika memberi simpati kepada Anwar maka Mahathir terus menuduh Amerika hendak menjatuhkan kerajaan Malaysia? Mahathir lupa yang menjatuhkan beliau bukan Amerika tetapi Umno sendiri. Umnolah yang mendesak Mahathir agar berundur di mana mereka menggunakan kebencian rakyat yang simpati kepada Anwar ketika itu yang mengadakan tunjuk perasaan.

Mahathir sudah tidak sesihat dulu. Ingatan dan ulasan sejarah politiknya yang dilalui pun dilupai. Kerana itu tuduhan beliau NGO yang sokong menentang kerajaan hari ini disokong Amerika juga adakah satu kelupaan Mahathir sendiri. Ulasan beliau itu tidak lebih untuk menyerang kerajaan untuk memastikan UBN berkuasa kerana dengan cara itu saja beliau boleh menimbus dosa-dosanya. - http://www.msomelayu.blogspot.com/

Saman: Shahrizat digesa angkat 'bendera putih'

PETALING JAYA, 7 Mac: Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin dan Pengarah Strategi, Rafizi Ramli akan mengemukakan pembelaan mereka terhadap tuntutan saman berjumlah RM100 juta yang dikemukakan Datuk Seri Shahrizat Jalil pada 9 Mac ini di Mahkamah Jalan Duta.

Zuraida berkata, beliau dan Rafizi telah membincangkan secara mendalam mengenai strategi pembelaan mereka jika Shahrizat meneruskan tuntutan saman tersebut selepas mahkamah mendengar pembelaan mereka.

"Saya dan Rafizi bercadang untuk memanggil kesemua pimpinan kanan negara yang pernah terlibat dalam membuat keputusan berhubung NFC atau pernah memberikan komen mengenai NFC untuk dipanggil memberikan keterangan sebagai saksi," kata beliau pada sidang media di ibu pejabat PKR di Tropicana, hari ini.

Sehubungan itu beliau menasihatkan Shahrizat agar menghentikan hasratnya untuk meneruskan saman tersebut jika tidak mahu berhadapan tindakan mahkamah.

" Saya nasihatkan Shahrizat, angkat bendera putihlah. Kalau teruskan juga di mahkamah, dia sendiri yang akan susah sebab mahkamah akan panggil semua nama yang kami sebutkan untuk menjadi saksi," katanya.

Ahli Parlimen Ampang itu juga menambah, beliau yakin apabila Shahrizat dipanggil menjadi saksi, beliau terpaksa mengaku bahawa beliau sendiri pernah menghabiskan masa di kondominium mewah yang dimiliki keluarga mereka dan dibeli menggunakan dana awam.

"Ini menimbulkan persoalan besar sama ada beliau betul-betul tidak tahu menahu bahawa keluarga beliau telah menyalahgunakan dana awam untuk membeli harta peribadi, seperti keterangan beliau dalam tuntutan saman," katanya.

Januari lalu, Sharizat yang merupakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, memfailkan saman ke atas  Zuraida dan Rafizi berhubung projek kontroversi Pusat Fidlot Nasional (NFC).

Shahrizat dalam saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendakwa, Zuraida dan Rafizi telah memfitnah dan memburuk-burukkan beliau.

Beliau yang diwakili peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah menuntut RM50 juta untuk ganti rugi am dan RM50 juta untuk ganti rugi teruk dan teladan.

Fitnah: PAS kaji tindakan kepada Mashitah

KUALA LUMPUR, 7 Mac: PAS mempertimbangkan untuk mengambil tindakan bersesuaian berhubung tulisan Datuk Dr Mashitah Ibrahim yang memfitnah Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pihaknya akan mendapatkan nasihat peguam sebelum satu langkah diambil berhubung tulisan tersebut.

"Kita sedang meneliti perkara tersebut, dan kini sedang dalam rangka mendapatkan nasihat peguam sebelum tindakan susulan diambil, sama ada mengambil tindakan undang-undang, atau sebagainya," jelas beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Pada 2 Mac lalu, Mashitah dalam tulisannya di akhbar Sinar Harian mengaitkan penahanan Ahli Majlis Tertinggi PKR, Badrolamin Baharon dengan beberapa skandal seks kononnya membabitkan pemimpin Pakatan Rakyat.

Dalam tulisannya, Mashitah menyebut Abdul Hadi pernah dikaitkan dengan skandal membabitkan anak dara kira-kira 10 tahun lalu dan mengambilnya sebagai isteri ketiga, bagaimanapun ia dinafikan Abdul Hadi

Monday, March 05, 2012

Kota Bharu bermandi cahaya sempena TMK@12




(Salah sebuah kereta berhias sempena TMK@12)


KOTA BHARU, 5 Mac: Puluhan ribu masyarakat Kelantan pelbagai kaum membanjiri Bandar Kota Bharu bermula Bandar Baru Tunjung untuk mengikuti perarakan citrawarna kereta berhias sempena Tahun Melawat Kelantan (TMK@12) malam semalam.

Mereka mengambil kesempatan untuk menyaksikan citrawarna perarakan kereta berhias itu dengan mengambil tempat di laluan kanan dan kiri jalanraya dari Bandar Baru Tunjung dan berakhir di Dataran Rehal.

Sebanyak 36 kontinjen yang mengambil bahagian dalam perarakan itu, antaranya majlis-majlis daerah seluruh negeri itu, perarakan motosikal klasik, beca, vespa dan lain-lain acara lagi.

Selain itu persembahan kebudayaan di atas kereta berhias oleh tiga kaum utama di negeri itu, Melayu, tarian singa oleh masyarakat Cina, India dan Siam juga diadakan.

Walaupun hujan lebat telah melanda di negeri itu, khususnya Kota Bharu sejak dua hari lalu, namun cuaca yang baik membuatkan perarakan kereta berhias berjalan lancar.

Turut hadir memeriahkan majlis berkenaan, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaacob, anggota exco kerajaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan, Datuk Mejar (B) Md Anizam Abdul Rahman dan lain-lain pimpinan.

Sementara itu, Majlis Daerah Tanah Merah muncul johan pada pertandingan itu.

Dengan kemenangan itu, majlis daerah berkenaan membawa pulang RM3,000 dan sijil penghargaan.

Umno ‘candu’ rakyat guna wang menjelang PRU13


KOTA BHARU, 4 Mac: Sejarah kejayaan Inggeris menawan China dengan mengumpankan candu menggamatkan persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan hari ini.

Drs Zainuddin Awang Hamat (PAS-Limbongan) berkata, tentera China tewas ketika itu kerana mereka sudah dimabukkan dengan candu sehingga memudahkan penjajah Inggeris menawan negara terbabit.

“Situasi seperti itu seakan berulang sekarang apabila kerajaan Barisan Nasional seumpama mengumpan ‘candu’ kepada rakyat melalui pelbagai bantuan menjelang musim pilihan raya sekarang.

“Candu itu berupa wang RM500, RM200 dan RM100 yang diagihkan kepada rakyat di seluruh negara sekarang.

“Tujuannya bagi memancing hati rakyat. Taktik tersebut seperti mengulangi apa yang pernah dibuat penjajah Inggeris,” katanya ketika membentang usul merakam ucapan menjunjung kasih.

Sejak awal tahun ini kerajaan BN sibuk mengagihkan Bantuan Rakyat 1Malaysia sebanyak RM500, baucer buku kepada pelajar institusi pengajian tinggi RM200 dan bantuan khas awal persekolahan sebanyak RM100 kepada 5.5 juta pelajar sekolah.

Sedangkan kata Zainuddin yang Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kelantan sejarah tamadun manusia membuktikan hati mereka tidak mudah dibeli dengan umpan kebendaan.

“Sebaliknya hanya agama yang mampu mengubah hati manusia,” katanya.

Tuan Zamri Ariff Tuan Zakaria (PKR-Guchil) berkata, pemimpin yang terlalu lama berkuasa akan menjadi buta hati.

Katanya, kalau sudah lama menjadi wakil rakyat mereka tidak lagi nampak tanggungjawab terhadap rakyat, sebaliknya lebih berminat mencari keuntungan peribadi.

Namun kata beliau ia berlainan dengan pemimpin berjuang mendaulatkan Islam kerana kuasa yang ada digunakan memartabatkan agama.

Sunday, March 04, 2012

Isu Kedah selesai, diumum dalam masa terdekat


KUALA LUMPUR, 4 Mac: Pertemuan khas antara Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dengan Badan Perhubungan PAS Kedah malam tadi telah mencapai keputusan yang dijangka akan menyelesaikan kemelut kepimpinan yang berlaku di negeri itu.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub (gambar) ketika dihubungi pagi ini berkata, keputusan yang dicapai malam tadi mengambil kira pelbagai pandangan yang dibincang.

"PAS sudah ada keputusan. Ia sangat mengambil kira pelbagai pandangan yang kita bincang.

"Kita akan umum keputusan tersebut secara rasami dalam masa terdekat," katanya kepada Harakahdaily.

Malam tadi, pertemuan khas bagi mencari penyelesaian isu Kedah itu berlangsung lebih lima jam bermula sekitar jam 9.30 malam sehingga jam 3 pagi tadi di kediaman rasmi Menteri Besar di Seri Mentaloon, Alor Setar.

Ianya berhubung isu Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi dan Dr Ismail Salleh yang enggan dilantik semula sebagai Exco Kerajaan Negeri Kedah yang dilihat tidak selari dengan Menteri Besar, Datuk Seri Ust Azizan Abdul Razak.

Phahrolrazi dan Dr Ismail masing-masing merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri I dan II manakala Azizan adalah Pesuruhjaya PAS Negeri.

Difahamkan pertemuan malam tadi itu dibahagikan kepada dua sesi iaitu pertama pertemuan empat mata antara Salahudin dengan Phahrolrazi, kemudian dengan Ustaz Azizan.

Ia kemudiannya disusuli dengan pertemuan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dengan Badan Perhubungan PAS Negeri yang dipengerusikan presiden parti sendiri.

Menurut Salahudin lagi, keputusan sebulat suara malam tadi itu juga dibuat dengan meletakkan kepentingan parti sebagai asas utama.

Malah katanya, keputusan itu juga telah dimaklumkan kepada Phahrolrazi.

"Keputusan itu telah kita sampaikan kepada Yb Phahrolrazi," ujarnya.

Sekitar Pameran Kereta Berhias Tahun Melawat Kelantan 2012














Durian runtuh: Warga Felda buat laporan polis


TEMERLOH, 3 Mac: Lapan orang warga Felda sekitar Jengka hari ini membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah (IPD) di sini berikutan tindakan pengurusan Felda yang menghantar surat pekeliling meminta peneroka menyerahkan dokumen penting.

Laporan tersebut menamakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad dan pengurus-pengurus Felda yang mengeluarkan pekeliling berkenaan untuk disiasat.

Antara lain pekeliling tersebut meminta peneroka menyerahkan salinan kad pengenalan berwarna, geran ladang dan rumah, maklumat pentadbir tanah, maklumat anak-anak, status bank, salinan akaun Maybank dan nombor keahlian Koperasi Permodalan Felda (KPF).

Serentak dengan kekeliruan dihadapi peneroka berikutan pekeliling yang mula diedarkan sejak dua minggu lalu itu, mereka mendesak pihak polis menyiasat tujuan dokumen tersebut diperlukan.

Polis juga didesak menyiasat sejauh mana benarnya pekeliling berkenaan kononnya peneroka dijanjikan dengan durian runtuh (hasil penyenaraian saham) sedangkan mesyuarat (EGM) KPF telah dibatalkan.

Polis juga diminta menyiasat kebimbangan dan kemungkinan geran hak milik peneroka akan dicagar untuk tujuan tertentu di sebalik penubuhan Syarikat Tujuan Khas (SPV) seperti diumumkan Isa Samad.

Jurucakap warga Felda yang membuat laporan polis berkenaan, Aris Fezul Ismail berkata, mereka amat dukacita disogokkan dengan gambaran akan mendapat durian runtuh dalam bentuk saham dan wang tunai melalui pekeliling berkenaan.

“Peneroka terpedaya dengan menuruti semua kehendak pengurusan Felda tanpa memikirkan risiko apabila dokumen yang sangat penting seperti geran hak milik diberikan.

“Penyenaraian FGVH ke Bursa Malaysia masih samar-samar ekoran EGM KPF pada 22 Februari yang lalu dibatalkan sedangkan durian runtuh itu apabila disenaraikan.

“Jadi terdapat sebahgian warga Felda yang keliru dengan pekeliling tersebut, adakah pengurusan Felda hanya menjadi alat kepada agenda pemimpin tertentu (Ahmad Maslan dan Isa Samad) yang mempertegaskan penyenaraian FGVH akan tetap diteruskan,” katanya.

Tambah Aris, sehingga ke hari ini tidak ada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pegawai tertinggi Felda justeru polis diminta menyiasat sejauh mana kebenaran pekeliling tersebut bagi mengelakkan peneroka terpedaya dengan sandiwara pemimpin tertentu yang berselindung di sebalik tawaran durian runtuh.

Sementara itu, kira-kira 200 peneroka hadir memberi sokongan. Turut hadir Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman, peguam Harris Abdullah, Ketua Pemuda PAS Pahang Shahril Azman Abdul Halim serta ketua-ketua peneroka.

Dalam pada itu Mazlan menyokong tindakan warga Felda membuat laporan polis supaya siasatan dibuat kerana semua dokumen penting yang diminta boleh dimanipulasi untuk tujuan tertentu.

“Segala kemungkinan boleh berlaku, umpamanya mungkin dokumen penting yang diserahkan dibimbangi untuk tujuan tetap menyenaraikan Felda di bursa saham dan tidak mustahil geran hak milik ladang dan rumah dijadikan cagaran sebab geran besar tanah peneroka ada dalam simpanan Felda.

“Saya juga mendesak pekeliling yang amat mengeliru dan membimbangkan peneroka ini ditarik balik dengan segera oleh Felda atau laporan polis akan dibuat seluruh negara,” tegasnya.

Bawa keluar negara atau Himpunan Hijau 3.0


KUALA LUMPUR, 3 Mac: PAS dan pelbagai NGO menuntut supaya bahan sisa dari kilang Lynas di Gebeng di bawa keluar dari negara ini.

Ini kerana, sisa itu mempunyai bahan radioaktif yang bakal kekal di bumi Malaysia jutaan tahun dan memudharatkan penduduknya di masa depan.

"Jika tuntutan ini tidak diharaukan, kita tidak menolak Himpunan Hijau 3.0 dianjurkan," kata Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PASA, Zulkefli Mohd Omar kepada Harakahdaily.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan, sisa dari kilang Lynas di Gebeng akan dibuang di tempat lain yang akan dikenalpasti kemudian.

Ia bertujuan untuk menghilangkan kerisauan penduduk tempatan walaupun pihak kerajaan yakin ia selamat.

Anggota Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong dalam komennya mencadangkan kepada Najib agar mengumumkan saja tempat baru sisa itu adalah dalam kawasan parlimennya iaitu Pekan.

Hujjah Najib kononnya sisa ini tidak bahaya juga ditolak oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berdasarkan apa yang berlaku kepada kilang ARE yang terletak di Bukit Merah, Ipoh sebelum ini.

Kerajaan terpaksa membuang semua tanah seluruh tapak kilang dan kawasan sekitarnya di  Bukit Merah dan di simpan dalam tong dan seterusnya di masukkan ke dalam sebuah bukit di Perak.

Persoalannya, sampai berapa lama 80,000 unit tong drum 200L dan kawasan takungan itu akan selamat dan tidak pecah atau rosak akibat perubahan cuaca dan jenis tanah di kawasan itu.

Sedangkan, separuh hayat kepada bahan radioaktif yang dihasilkan dari Thorium itu akan berumur ribuan tahun kalau tidak jutaan tahun pun.

Menurut laporan sebuah akhbar Cina, Menteri Kesihatan telah mencapai kata sepakat dengan Menteri Perindustrian Antarabangsa agar sisa ini dihantar balik ke Australia atau sekurang-kurangnya luar dari Kuantan.

Namun, Australia telah membuat keputusan tidak akan menerima sisa itu balik ke negara mereka.

Dalam kes kilang ARE Bukit Merah yang dimiliki syarikat Jepun, Mitshubishi, tuntutan juga dibuat agar sisa yang memenuhi sebuah bukit itu dibawa balik ke Jepun.

"Membenarkan Lynas membuang sisa kilang ini di Malaysia adalah satu subsidi besar buat syarikat Australia itu," kata Presiden CAP, S M Mohamad Idris.

Jangkaan pendapatan yang mungkin diperolehi dari kilang ini adalah sebanyak RM30 juta untuk lima tahun.

"Namun,  kesan kepada ekonomi, sosial, alam sekitar dan kos kesihatan kepada pekerja, masyarakat sekitar, tanah, air, lautan dan jenerasi akan datang dijangka berjumlah sehingga RM150 juta," kata S M Mohamad Idris lagi.

Sekitar Pesta Air Tahun Melawat Kelantan 2012











TH kena jelas kenapa pelaburannya selalu rugi


KUALA LUMPUR, 3 Mac: Lembaga Tabung Haji (TH) bertanggungjawab menjelaskan kepada penyimpan-penyimpannya mengapa beratus-ratus juta ringgit pelaburannya mengalami kerugian, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Penyimpan-penyimpan akaun TH rata-ratanya adalah umat Islam terutama yang mahu mengerjakan haji.

"TH perlu menjelaskan mengapa wang mereka dileburkan dalam perniagaan-perniagaan yang merugikan. Amat malang bagi mereka jika TH terus meleburkan wang mereka dan bukan melabur," kata beliau.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu menyatakan kekesalan apabila  saham Silver Bird Group Berhad (Silver Bird) merudum sehingga bernilai serendah 20.5 sen sahaja.

TH merupakan pemegang saham terbesar dalam Silver Bird iaitu sebanyak 22.19 peratus manakala Koperasi Permodalan Felda Bhd pula mempunyai 12.7 peratus saham dalam syarikat pembuat roti dan kek itu.

Kejatuhan saham syarikat pembuat roti dan kek itu berpunca dari akaun syarikat itu yang tidak teratur yang melibatkan jumlah yang dianggarkan sehingga RM111.5 juta.

Akibat kemelut kewangan itu, tiga pegawai kanan Silver Bird digantung tugas termasuk pengarah urusannya, Datuk Jackson Tan Han Kook.

"TH bertanggungjawab menjelaskan adakah wang penyimpan-penyimpan akaun TH terpelihara?

"Perlu juga dijelaskan mengapa tatacara pelaburan dan pengurusan serta pemantauan TH begitu lemah?" Mahfuz (gambar) mempersoalkan sambil membangkitkan apa yang terjadi dalam Silver Bird itu bukan yang pertama kali.

Sebelum ini, katanya, rakyat mendengar TH rugi beratus-ratus juta dalam pelaburan yang dilaporkan melibatkan percaturan dalam tukaran wang asing sehingga dua pegawainya yang tidak bersalah diheret ke mahkamah dan diaibkan walaupun akhirnya didapati tidak bersalah dan misteri siapa yang sebenar bersalah tidak pernah terungkai.

"Kita juga mendengar pelaburan TH dalam Lityan Holdings Bhd mengalami masalah. Amat malang sungguh nasib penyimpan-penyimpan TH apabila wang mereka dileburkan dengan begitu tidak berhemah," katanya.

Silver Bird adalah pengeluar roti High 5 yang menghadapi kempen boikot oleh pengguna apabila tersebar gambar-gambar yang didakwa diambil di kilang roti tersebut yang menunjukkan proses pembuatannya yang sangat kotor.

Perjanjian strategik antara TH dan Silver Bird ditandatangani pada 2008.

Ketika tersiar berita mengenai pelaburan TH dalam Silver Bird itu, ramai pihak membantah tindakan itu.