Thursday, January 26, 2012

Nama Najib baik tetapi tidak Umno dan BN


KUALA LUMPUR, 25 Jan: Para pemimpin Umno kini mula mempertikaikan tindakan presiden mereka yang berlebihan mempromosikan dirinya sedang nama baik parti dan negara terus menjunam.

Mereka mula menyedari hal ini sejak akhir-akhir ini apabila kajian yang dibuat menunjukkan rating Datuk Seri Najib Razak terus meningkat.
(Hanya nama Najib yang naik ratingnya...yang lain-lain merudum)

Tetapi dalam masa yang sama rating pemimpin kerajaan yang lain, Umno, Barisan Nasional bahkan kerajaan Malaysia sendiri terus merudum.

"Kalau macam ini berterusan, dalam pilihan raya nanti dia je lah yang menang, kami semua lingkup," kata seorang pemimpin Umno yang kini mula bosan dengan apa yang berlaku.

Menurut beliau yang bertanding dalam sebuah Dun tetapi kalah dalam pilihan raya umum 2008 lalu, pelbagai kajian menunjukkan populariti Najib meningkat hatta melampaui Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bahkan, nama timbalan beliau, Tan Sri Muhyidin Yassin terus menjunam ke belakang.

Beliau memberikan contoh bagaimana Najib mengendalikan isu NFC - National Feedlot Centre - di mana Najib menyerahkan isu ini untuk dikendalikan Muhyidin dan Datuk Seri Noh Omar.
(Muhyidin sedang menerima pelbagai tekanan sejak akhir-akhir ini)

Padahal, katanya, Najib yang mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Impak Besar (High Impak Comitte) yang meluluskan projek ini.
Ada juga yang mempertikaikan kenapa Najib tidak menghalang laporan Ketua Audit Negara berhubung dengan NFC ketika dia menerima laporan tentang projek NFC yang bermasalah pada tahun 2010 lalu.
Selain Muhyidin, turut menghadapi masalah di zaman Najib adalah parti-parti komponen BN khasnya MCA, Gerakan dan MIC.
"Dari 15 kerusi Parlimen yang dimenangi MCA sekarang, hanya 7-8 kerusi sahaja yang selamat dalam pilihan raya umum akan datang," kata satu sumber kepada Harakahdaily.
Antara agensi yang dirujuk menaikkan nama Najib adalah Pasukan Komunikasi Kebangsaan (National Communications Team - NCT) dan pasukan penasihat luar negara termasuk Apco.

NCT yang kini beroperasi di Bangsar, selepas berpejabat di The Garden, ditubuhkan di bawah Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Ketuanya yang pertama adalah Jalil Hamid, bekas Timbalan Ketua Biro Reuters di Kuala Lumpur. Kini Jalil mengetuai NST apabila Najib bimbang kalau-kalau petugas NST mengkhianati beliau di sana.

Pengganti beliau adalah Sufi Yusuff, bekas Setiausaha Akhbar Tun Dr Mahathir yang masih bertugas dengan Tun hingga kini.

Di samping itu, NCT juga mempunyai Datuk Khalid Mohamad, bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan yang kini adalah Penasihat NCT.

Di sinilah juga terletaknya beberapa wartawan veteran yang dilantik sebagai konsultan dan pegawai penyelidik.

Peranan NCT adalah untuk memastikan nama baik kerajaan terbela, namun peranan yang selalu mereka jalankan adalah nama baik Najib selaku Perdana Menteri.

Ini menyebabkan mereka tidak tahu, kepada siapakah mereka bertugas...kepada negara atau kepada peribadi perdana menteri Najib.

Sekitar Program Bicara Selebriti ~ Hari Hiburan Islam






















Umno umpan wang misi tawan Kelantan


KOTA BHARU, 25 Jan: Umno dianggap hanya bergantung kepada kekuatan wang ringgit bagi menjayakan misi menawan Kelantan. Sedangkan taktik itu bertentangan dengan perjuangan dibawa Nabi Muhammad saw.

(Gambar: Nik Aziz melepas rombongan Kelantan Ride)

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Umno sejak 20 tahun lalu beriya-iya sangat hendak tawan Kelantan dengan harapan mereka ada kekuatan wang ringgit.

“Boleh jadi kerana mereka ada duit banyak sehingga bercakap begitu, sedangkan semasa Nabi Muhammad saw dahulu, baginda seorang yang miskin dan tetap meneruskan perjuangan Islam menentang golongan kaya seperti Abu Jahal.

“Jadi tidak pelik dan hairanlah kalau kami (PAS) di Kelantan ini juga berusaha mempertahankan Kelantan,” katanya ketika ditemui media selepas melakukan pelepasan rombongan Kelantan Ride di Kompleks Kota Darulnaim hari ini.

Semalam ketika datang ke Kelantan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak melahirkan keyakinan Barisan Nasional (BN) mampu menawan negeri tersebut pada pilihan raya umum ke-13.

Malah, sebelum ini mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah melahirkan keyakinan serupa, mampu merampas Kelantan.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang Mursyidul Am PAS berkata, walaupun Umno berusaha merampas Kelantan, namun PAS tetap mempertahankan negeri ini.

Bagaimanapun menurutnya kekayaan yang dimiliki seseorang tidak digunakan untuk Islam dianggap hanya sia-sia sahaja.

“Firaun kaya, Qarun kaya, Namrud pun kaya kalau nak banding dengan Nabi saw masa itu. Islam menyebut kita ada akhirat dan kemenangan sesuatu kaum itu bukan kerja manusia dan itu semua adalah kehendak Allah SWT,” ujarnya.

Kata beliau juga rakyat Kelantan akan bertanggungjawab di hadapan Allah Taala kelak sekiranya mereka tidak bersungguh-sungguh mempertahankan dasar Islam yang ada sekarang.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda PAS Negeri, Ahmad Fadhli Shaari berkata, tidak nampak sebarang perkembangan luar biasa di sebalik keyakinan Umno mahu  merampas Kelantan.

“Keyakinan itu perkara lumrah dan bukan kali pertama disuarakan pemimpin Umno samada di peringkat pusat mahu pun negeri.

“Pada pilihanraya umum 2008, Umno Kelantan di bawah Tan Sri Annuar Musa juga menyuarakan keyakinan serupa, bahkan mengisytiharkan bakal Menteri Besar Kelantan,” katanya.

Wang zakat akan beli hotel MS Garden?


KUALA LUMPUR, 25 Jan: Majlis Agama Islam Pahang didakwa akan membeli Hotel MS Garden, Kuantan dengan menggunakan wang zakat bernilai RM 50 juta.

Demikian dakwa Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan dalam Facebooknya hari ini.

"Saya difahamkan Majlis Agama Islam Pahang akan membeli Hotel MS Garden (gambar) dengan wang zakat bernilai RM50 juta.

"Mohon pihak berwajib siasat perkara ini dan pastikan ia tidak berlaku justeru masih ramai rakyat dlm negeri Pahang yang memerlukan zakat," tulis Nasrudin dalam facebooknya itu.

Sebelum ini, wang zakat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dikatakan telah digunakan untuk membayar kos guaman Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharun.

Kos guaman itu adalah untuk bayaran pembelaan beliau atas saman yang dikemukakan datuk Seri Anwar Ibrahim ke atas beliau ekoran isu qazaf Saiful Bukhari Azlan.

Dalam pada itu, Nasrudin berkata, Badan Tindak Khas Anti Penyelewengan Zakat DPPM yang dipengerusikan oleh Kamaruzaman Mohamad akan pantau dan kaji perkara ini agar wang zakat ummah dapat di selamatkan dari kerakusan sang penguasa.

"Jika benar satu tindakan tegas mesti diambil," kata beliau dalam facebook itu.

Kekerapan Najib turun ke Perak timbul tanda tanya

IPOH, 25 Jan: Kekerapan Predana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga Presiden Umno turut ke Perak sejak kebelakangan ini menimbulkan pelbagai persoalan termasuk adakah BN pnegeri itu sedang menghadapi masalah besar.

Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri Perak, Salman Saleh berkata, beliau tidak menolak kemungkinan itu malah menambah ianya juga mungkin kerana BN tidak yakin pada PRU-13 nanti rakyat Perak akan bersama mereka.

Menurut Salman, umum maklum bahawa pada 13 Januari yang lalu, Najib telah pun berada di Perak dalam satu program khas untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN seluruh negara yang berkampung di Perak ketika itu.

Kini, selang dua minggu pula, Najib akan sekali lagi turun di Perak sempenan Sambutan Tahun Baru Cina Peringkat Kebangsaan pada 28 Januari ini di Setiawan, tambahnya lagi.

Malah jadual Naib dikhabarkan begitu padat dalam tempoh terdekat untuk turun ke Perak dalam tempoh dua bulan yang akan datang.

"Adakah ianya juga ada kaitan dengan kajian UM tentang prestasi BN Perak yang juga dilaporkan baru-baru ini?

"Malah, kami juga melihat kenyataan terbaru Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abdul Kadir yang terus menafikan berlaku masalah menentukan kerusi bagi BN Perak turut menyumbang kehadiran Datuk Sri Najib ke negeri Perak sekali lagi," ujarnya.

Keyakinan itu juga jelasnya dapat dilihat dengan kehadiran Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaludin ke Perak pada 23 Januari yang lalu.

Menurutnya, kehadiran Khairy itu memberikan gambaran jelas bahawa Umno BN Perak berada dalam keadaan terdesak untuk memastikan BN mendapat kembali mandat rakyat Perak di dalam Pilihan Raya Umum ke –13 yang akan datang.

Soalnya, dana RM250 juta NFC ikut peraturan kewangan atau tidak?

KUALA LUMPUR, 25 Jan: Soal kekeliruan Laporan Ketua Audit Negara tidak lagi berbangkit kerana terlalu banyak perkara meragukan mengenai Fidlot Nasional Corp (NFCorp) yang didedahkan, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

Beliau menekankan, isu utama berkaitan dengan NFCorp ialah adakah dana RM250 juta yang diterima dari kerajaan oleh syarikat milik keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang kini bercuti dari jawatannya sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dibuat mengikut peraturan kewangan kerajaan.

"Itu isu utama mengenai NFCorp. Adakah pemberian dana RM250 juta kepada NFCorp dibuat mengikut peraturan kewangan kerajaan?

"Selain itu, isu utama yang lain ialah pendedahan mengenai pembelian unit kondominium di Bangsar dan Singapura masing-masing berharga RM13.8 juta dan RM9.9 juta dan kereta mewah jenis Mercedes Benz berharga RM534,622 serta dua bidang tanah bernilai RM3,363,507 di Putrajaya," kata Mahfuz.

Malah, kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu, tidak ada langsung penjelasan yang meyakinkan ke atas dakwaan mengenai penggunaan wang NFCorp yang dikatakan membiayai percutian keluarga Ketua Wanita Umno itu di luar negara, selain disalurkan kepada restoran-restoran mewah yang juga milik keluarga Shahrizat.

Tidak ada juga penjelasan yang memuaskan terhadap dakwaan penggunaan sehingga RM600,000 dari dana yang diperuntukkan untuk projek lembu NFCorp bagi membayar hutang kad kredit pada tahun 2009, kata Mahfuz lagi.

Oleh sebab itu, kata beliau, tidak perlulah Pengerusi NFCorp yang juga suami Shahrizat, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail membangkitkan isu kekeliruan dalam laporan Ketua Audit Negara antara NFCorp dan  Pusat Fidlot Nasional (NFC).

"Jawablah dahulu pendedahan-pendedahan yang dibuat itu sehingga umum yakin dan percaya bahawa NFCorp tidak menyalahgunakan wang RM250 juta untuk projek lembu itu memandangkan Salleh sendiri sebelum ini mengakui wang tersebut digunakan untuk membeli kondominium kononnya untuk pelaburan

"Jangan mudah membuat dakwaan kononnya ada kekeliruan dalam laporan Ketua Audit Negara," kata Mahfuz.

Salleh sebelum ini mendakwa, entiti perniagaan yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara yang berada dalam keadaan kucar kacir bukanlah NFCorp.

Menurutnya, pihak pengaudit telah terkeliru antara NFCorp, sebuah syarikat persendirian, dengan NFC, syarikat kepunyaan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Mempersoalkan dengan lebih lanjut mengenai pelbagai perkara yang meragukan dalam NFCorp, Mahfuz bertanya, mengapa timbul dakwaan bahawa seorang pegawai yang dipecat dari syarikat milik suami dan anak-anak Shahrizat itu menjual maklumat kepada pembangkang?

"Sebagai andaian, katakanlah maklumat dijual kepada Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli.

"Jika tidak ada sebarang perkara yang meragukan dan perniagaan berjalan NFCorp berjalan dengan telus dan bersih, tidak mungkin Rafizi, seorang akauntan bertauliah mahu membeli maklumat yang didakwa dijual oleh pegawai NFCorp yang dipecat itu," kata beliau.

Mahfuz menambah, jika benar ada rahsia NFcorp yang dijual, ia bermakna ada perkara yang dirahsiakan.

"Rahsia apa? Adakah rahsia mengenai perbelanjaan yang tidak ada kaitan dengan projek lembu yang membolehkan NFCorp mendapat dana RM250 juta itu dari kerajaan?" soal beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pengarah Jabatan Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang memberitahu beliau akan memberikan penjelasan terperinci berkaitan berhubung dakwaan kekeliruan dalam laporan pihaknya itu.

Wednesday, January 25, 2012

"Sinergi Mahasiswa Machang 2012"

Rampas tanah rakyat petanda kejatuhan Umno T'ganu



DUNGUN, 24 Jan: Pemimpin Umno cawangan yang memimpin Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dikecam hebat oleh masyarakat setempat kerana “merampas” tanah yang sebelum ini dimiliki oleh Sekolah Rendah Islam Darul Bayan (SRIDB) di Kampung Kolam Mak Tagar, Jalan Santong, Paka, Dungun.

Harakahdaily dimaklumkan, tanah berstatus Lesen Menduduki Sementara (TOL) kepunyaan pihak sekolah agama rakyat itu seluas dua ekar dirampas serta diagihkan kepada pihak Umno dan JKKK kawasan itu.

SRIDB yang ditubuhkan pada tahun 2001 merupakan sebahagian dari Markaz Tarbiyyah Islamiyyah Darul Bayan (MTIDB) yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) sebagai Sekolah Rendah Agama Rakyat.

Manakala, tapak kompleks bangunan sekolah yang seluas dua ekar tersebut telah diluluskan oleh kerajaan negeri pada 22 Oktober 2003.

Antara yang telah dibangunkan iaitu bangunan tetap satu tingkat bagi menampung 10 kelas, bilik guru, pejabat, surau dan kantin.

Bahkan, dalam tempoh 11 tahun dari tarikh kelulusan tersebut kini kompleks SRIDB telah pun mempunyai beberapa buah bangunan bagi keperluan 350 pelajar serta 38 orang guru dan kakitangannya.

Mengikut pelan pembangunan SRIDB, cadangan pembangunan seterusnya untuk tapak parkir, pembinaan bangunan tambahan, pembesaran kantin, perumahan guru serta asrama anak yatim Darul Bayan.

Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik menyifatkan tindakan pihak JKKK Kampung Limbong yang bertindak ‘merampas’ tanah Sekolah  Rendah Islam Darul Bayan sebagai zalim.

Kata beliau, tindakan merampas tanah tersebut satu kezaliman yang tidak boleh dimaafkan dan mesti ditentang oleh rakyat seluruhnya.

“Ini bukan pertama kali kerajaan Umno dan Barisan Nasional buat perkara yang memalukan dan kerana hendak memuaskan nafsu JKKK, mereka sanggup menafikan hak rakyat dan hak Darul Bayan.

“Tanah ini kita (sekolah) telah bayar Lesen Menduduki Sementara (TOL) sejak tahun 2003, 2004 dan 2005 lagi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Ceramah Isu Semasa “JKKK Rampas Tanah SRIDB” di perkarangan SRIDB, Kampung Kolam Mak Tagar, Paka, Dungun.

Menurut Ustaz Abu Bakar, sejak tahun 2006 pihak kerajaan negeri di bawah Menteri Besarnya, Datuk Seri Idris Jusoh telah membekukan pembayaran lesen TOL tersebut.

Beliau yang juga bekas Exco Kerajaan Terengganu menjelaskan pendidikan bukan isu biasa tetapi menjadi isu yang lebih penting dari isu-isu lain.

Ini kerana, katanya melalui pendidikanlah agama dapat disemai dalam diri setiap manusia dan rakyat menjadi baik.

“Kita (PAS) harap pihak berkenaan pulangkan semula hak (tanah) ini kepada pihak sekolah (SRIDB) sebelum berlaku sesuatu yang tidak diingini, kerana Allah SWT itu Maha Adil dan Bijaksana,” tegasnya.

Sementara itu, Pengerusi Lajnah Tarbiah PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata tindakan pihak Umno dan JKKK merampas tanah SRIDB petanda kejatuhan kerajaan BN Terengganu.

Menurutnya, tindakan serupa pernah dilakukan sebelum ini terhadap sekolah Institut Berakan (IB) di Kuala Terengganu tahun 1991.

“Ini (tindakan) petanda Umno-BN akan jatuh di negeri Terengganu kerana perbuatan zalim rampas tanah sekolah agama rakyat (SRIDB).

“Mereka (Umno) pernah rampas dan roboh Institut Berakan tahun 1991 dan akhirkan mereka jatuh kerajaan tahun 1999.
“Ini bukan sekolah untuk berniaga, buat duit tetapi untuk mendidik anak-anak kita termasuk anak yatim dengan ilmu agama (Islam),” ujarnya.

Katanya, rakyat perlu membuat perubahan dalam pilihan raya dengan menolak Umno dan kerajaan BN serta memilih PAS dan Pakatan Rakyat pada PRU13 akan datang.

Nana teruja dijemput buat persembahan di Kelantan



KOTA BHARU, 24 Jan
: Penyanyi berimej baru Siti Nordiana atau lebih dikenali dengan Nana, 28, mengakui mungkin kerana imejnya yang sudah bertudung, beliau diundang oleh kerajaan Kelantan untuk membuat persembahan di negeri itu semalam.

Artis yang terkenal lagu duetnya ‘Paling Comel’ bersama allahyarham Achik itu juga tidak menduga beliau akan dijemput menjayakan program anjuran kerajaan negeri melalui Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan.

Menurutnya, beliau memang sedar kerajaan Kelantan mempunyai dasarnya sendiri berhubung hiburan dan bukan mudah untuk membuat persembahan di negeri itu.

“Tetapi apabila saya tiba-tiba diundang, memang terkejutlah saya dan saya rasa begitu gembira dan dihargai,”ujarnya yang buat pertama kali membuat persembahan secara  tertutup sepanjang kariernya sebagai seorang penyanyi.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily, ketika ditemui selepas membuat persembahan Ladies Nite 2012  di Kota Bharu Trade Centre (KTC), malam tadi sempena program Kite.

Walaupun beliau belum pernah membuat persembahan tertutup khusus untuk penonton wanita sahaja, namun pengalaman manis itu membuatkan beliau mudah bergerak untuk membuat persembahan.

“Tak adalah saya nak ‘control’ sangat macam sebelum ni, sebab semuanya wanita, sound sistempun wanita, begitu juga keselamatan terdiri dari kaum wanita,”ujarnya.

Beliau juga turut teruja dengan penonton wanita Kelantan yang begitu ‘sporting’ apabila turut menyanyi bersamanya.

Sempena persembahannya, beliau mendendangkan enam buah lagu termasuk lagu hitnya ‘paling comel’.

Sehubungan itu beliau mengucapkan terima kasih pada kerajaan Kelantan kerana sudi mengundangnya dan berhasrat untuk datang lagi sekiranya diundang.


Bukan kerana trend

Menyentuh tentang penghijrahannya yang kini imej bertudung beliau berkata ianya bermula akhir Ramadan tahun lalu.

Nana bagaimanapun menolak imejnya itu ada kaitan dengan trend artis kini yang semakin ramai bertudung.

Sambungnya, apa yang berlaku kerana keinsafan diri bersesuaian dengan usia semakin hari semakin bertambah.

“Jadi saya perlu memberi contoh yang baik untuk anak tunggal saya yang kini berusia empat tahun,”ujarnya.

Nana yang mula bergiat dalam bidang nyanyian sejak tahun 1999 kini telah berjaya menghasilkan enam album, termasuk dua album duetnya.

Kejohanan Karom Peringkat UPU Di Dun Pulai Chondong














Polis diminta siasat pengacau program ABU


KUALA LUMPUR, 24 Jan: Sebuah NGO, Activist901 telah membuat laporan polis berkenaan insiden kekacaun yang berlaku sewaktu program 'Asal Bukan Umno' (ABU) dan Hindraf di Dewan Orang Ramai Majlis Bandaraya Shah Alam, Jalan Kebun tempoh hari.

Penyelaras Activist901, Azura Aziz menjelaskan sebagai sebuah badan NGO yang baru ditubuhkan menentang keras perbuatan individu yang membuat kekecohan tersebut sambil melontarkan perkataan yang berbaur perkauman dan hasutan kepada kaum India yang berada di sana.

"Kami menggesa pihak polis untuk menjalankan siasatan yang menyeluruh dan mengenal pasti identiti sekumpulan individu yang telah membuat kekecohan tersebut kerana melalui bukti video dan jugak gambar yang ada.

"Individu tersebut telah mengeluarkan perkataan-perkataan yang mengancam keselamatan kaum India yang berada di situ," jelasnya.

Tambahnya lagi, cacian yang dilemparkan oleh kumpulan tersebut jelas tidak mengambarkan semangat 1Malaysia jika ia dilakukan oleh pihak Umno.

"Kita tidak pasti apa motif sebenarnya mereka bertindak sedemikian sehinggakan berlaku kecederaan kepada orang awam.

"Sama ada ia bermotif politik ataupun bersifat iri hati, pihak polis harus bertindak segera kerana kita tidak mahu kejadian tersebut berulang lagi," sambungnya lagi.

Sebelum ini, dalam insiden tersebut, seorang belia kaum India telah tercedera kerana dan dimasukkan ke Hospital pakar Seri Sentosa, Klang.

Turut hadir semasa laporan polis itu adalah Soladiriti Anak Muda Malaysia (SAMM) dan juga Hindraf.

Laporan dibuat di IPD Dang Wangi tengah hari tadi.

Nik Aziz sedia isytihar harta, Najib bagaimana


KUALA LUMPUR, 23 Jan: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana kesediaan beliau untuk mengisytiharkan harta sekiranya undang-undang menetapkan demikian.

Ketua Penerangan DPPM, Riduan Mohd Nor (gambar) menganggap kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz menunjukkan sikap keterbukaan dan ketelusan pemimpin PAS sebagaimana juga yang ditunjukkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan anggota Exconya yang telah mengisytiharkan harta mereka.

Katanya, kesediaan mengisytiharkan harta menunjukkan bahawa PAS dan Pakatan Rakyat sanggup meletakkan keutamaan rakyat melebihi kepentingan diri mereka sendiri.

“Malah pemimpin PAS sanggup ‘membahayakan’ dirinya sendiri dengan menafikan kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz yang mengelak untuk mengisytiharkan harta mereka kerana takutkan ‘bahaya’ yang menimpa mereka,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Katanya, DPPM berpendapat, rakyat berhak mengetahui aset pemimpin mereka supaya mereka mengerti bahawa pemimpin yang diangkat benar-benar ikhlas memperjuangkan rakyat, bukan diri mereka sendiri.
Menurutnya, mengisytiharkan harta boleh mengelakkan berlakunya penyelewengan kuasa dan rasuah dari kalangan pemimpin negara.

“Tidak timbul isu pemimpin ‘bershopping’ secara bermewah dan melampau dalam berbelanja. Juga tidak akan berlaku pemimpin korup yang mengambil kesempatan di atas kedudukan dan kuasa yang mereka miliki,” ujarnya.

Malahan, ujarnya DPPM serta seluruh rakyat khususnya penduduk negeri Kelantan boleh berbangga dengan cara hidup berserdehana Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Katanya lagi, meskipun telah memerintah negeri Kelantan lebih dari 20 tahun, namun gaya hidup pemimpin itu tidak menggambarkan beliau seorang yang rakus dalam membaham harta rakyat.

“Beliau masih duduk di rumah sendiri, makan di kedai-kedai seperti insan yang lain, solat berjemaah di masjid-masjid tanpa kawalan ketat pengawal peribadinya, rumahnya yang mudah dikunjungi tanpa protokol, mengelak mengambil pelbagai elaun yang diberikan, berkunjung ke pasar-pasar tanpa kekok,” katanya lagi.
Tambahan lagi, ujarnya Tuan Guru dan keluarganya tidak pernah dilaporkan berbelanja mewah di luar negara, tidur di hotel-hotel ternama yang mahal, serta menaiki jet peribadi atau kenderaan import yang berharga jutaan ringgit.

Jelasnya, lebih membanggakan apabila pemimpin kerajaan beliau selama ini tidak pernah dipalitkan dengan apa juga kesalahan rasuah atau penyalahgunaan kuasa.

“DPPM dengan ini mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan seluruh pemimpin kabinet untuk bersedia mengisytiharkan harta mereka kepada awam sekiranya benar mereka adalah pemimpin rakyat dan bersih dari sebarang penyelewengan.

“Tidak apa yang perlu dirisaukan sekiranya mereka tidak bersalah bahkan tindakan ini adalah suatu kebanggaan kepada seluruh rakyat di negara ini,” katanya.

P'raya di Mesir bukti masyarakat minat parti Islam


KUALA LUMPUR, 23 Jan: Kemenangan besar yang dicapai oleh parti-parti beraliran Islam di Mesir pada pilihanraya Parlimen di negara itu merupakan satu tamparan hebat bagi rakyat negara ini jika tidak menyokong PAS dan Pakatan Rakyat pada PRU Ke-13 yang akan diadakan tidak lama lagi.

Kemenangan parti-parti Islam di Mesir itu jelas memberikan isyarat bahawa majoriti penduduk dunia kini mulai memberikan kepercayaan kepada parti Islam untuk memerintah mereka berbanding parti-parti lain.    

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan At-Tantawi berkata, sebelum keputusan pilihanraya Parlimen Mesir diumumkan kelmarin, penduduk di beberapa buah negara lain di seluruh dunia sebelum ini telah pun menunjukkan minat masing-masing kepada parti-parti Islam.

Menurutnya, perkembangan tersebut jelas menunjukkan abad ini merupakan abad kebangkitan Islam dan ia menepati kata-kata ulama-ulama kontemporari termasuk Dr Yusuf Al-Qaradawi.

Katanya, oleh itu, rakyat negara ini juga perlu bangkit bersama penduduk di negara-negara lain di seluruh dunia dengan memberikan kepercayaan kepada parti Islam untuk memerintah mereka bagi menyokong kebangkitan Islam.

"Jika tidak, rakyat negara ini pasti akan ketinggalan, walaupun arus kebangkitan Islam sudah mula tercetus di tanah air kita sejak akhir tahun 1980-an lalu," katanya ketika dihubungi Harakahdaily di sini hari ini.

Sebelum ini, menurutnya, rakyat negara ini telah sekian lama dimomokkan oleh Umno BN kononnya golongan ulama tidak boleh menjadi pemimpin bagi sesebuah kerajaan.

Katanya, momokan itu menjadikan golongan ulama di tanah air terasa rendah diri walaupun hakikat sebenarnya golongan ulamalah yang lebih layak menjadi pemimpin.

"Tetapi kemenangan parti-parti Islam di Mesir dan di negara-negara lain sekarang jelas menafikan pandangan negatif Umno BN itu, sebaliknya orang ramai di seluruh dunia ternyata lebih meyakini kemampuan golongan ulama menjadi pemimpin berbanding bukan golongan ulama," tegasnya.

Dari segi hakikatnya, tambah beliau, golongan ulamalah yang lebih berkelayakan menjadi pemimpin kerana ia sejajar dengan ilmu dan kewarakan yang ada kepada mereka.

"Orang ramai bagaimanapun menjadi terkeliru dengan realiti itu disebabkan momokan Umno BN, tetapi dengan perkembangan terbaru yang berlaku di Mesir dan di beberapa buah negara lain mutakhir ini diharap akan menyedarkan kembali rakyat negara ini dengan perkara itu," ujarnya.

Beliau berharap agar golongan agama dan ulama di tanah air turut sedar dengan hakikat itu, dengan turut turun ke tengah masyarakat bagi menyedarkan orang ramai agar melakukan perubahan terhadap landskap politik tanah air pada PRU Ke-13 nanti.

Negara kita, tegasnya, telah sekian lama berada di bawah pemerintahan BN, manakala BN pula ternyata gagal melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik sehingga menyebabkan pelbagai kepincangan berlaku di negara ini.

"Jadi sekarang tibalah masanya bagi golongan agama dan ulama turun ke tengah masyarakat bagi membetuli kepincangan itu termasuk dalam aspek politik, ekonomi, pendidikan dan sosial demi kepentingan negara dan rakyat," katanya.

Beliau menyarankan golongan agama dan ulama di negara ini agar tidak lagi terasa rendah diri, segan dan malu-malu untuk berbuat demikian bersama aktivis lain kerana itu semua adalah tanggungjawab mereka sendiri yang mesti dilaksanakan dengan baik.

Jika tanggungjawab itu dilaksanakan dengan baik dengan niat kerana Allah, beliau yakin rakyat negara ini akan sedar tentang kepentingan mereka menyokong PAS dan Pakatan Rakyat pada PRU Ke-13 akan datang, bagi membolehkan mereka bersama-sama melakukan perubahan di negara ini ke arah yang lebih baik.

Semangat 'naga air' tolak perkauman sempit Umno


Gong Xi Fa Cai buat kaum Tiong Hua.

Tahun ini cukup istimewa kerana ialah tahun naga air. 'Naga air' yakninya bersifat 'cool' di luar tapi sudah semestinya mempunyai hembusan apinya lebih hebat sehingga air pun tidak mampu melenyapkannya.

Atas semangat kiasan itulah, diharap kaum TiongHua meneruskan agenda untuk berubah "換“ (huan) ke arah pendamaian jiwa. Sebagaimana yang kita sedar, di Malaysia, pendamaian jiwa sukar dicapai dengan kerajaan kini, yang suka berflip-flop dan menegakkan benang basah dari segala sudut urusan negara.

Pentadbiran PAS dan Pakatan Rakyat telah terbukti menjunjung prinsip keadilan, iaitu asas terulung dan terpenting untuk mencapai pendamaian jiwa.

Ayuh, mari bersama PAS dan Pakatan Rakyat menjadikan tahun naga air ini menjadi titik noktah terakhir kepada kecelaruan jiwa yang ditimbulkan oleh dasar perkauman sempit Umno-Barisan Nasional.

Selamat Tahun Baru Cina. “新年進步”Xin Nian Jing Bu!

Mohamad Sabu,

Timbalan Presiden PAS

Rosmah, Najib dicabar saman akhbar Australia

KUALA LUMPUR, 22 Jan: Rakyat sedang menunggu apakah penjelasan Datin Seri Rosmah Mansor dan juga suaminya Datuk Seri Najib Razak terhadap laporan akhbar Australia semalam. Semalam, akhbar Sydney Morning Herald (SMH) melaporkan isteri Perdana Menteri itu berbelanja sehingga A$100,000 (RM325,000) di sebuah butik di Sydney dua minggu lalu.
Menurut Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar, jika sekali lagi akhbar Australia membuat laporan tidak benar mengenai tabiat berbelanja mewah Datin Seri Rosmah Mansor, maka satu tindakan undang-undang perlu diambil terhadap akhbar dan sumber berita akhbar tersebut.
"Jika Rosmah dan Najib enggan berbuat demikian, ia memberikan gambaran kepada rakyat bahawa apa yang dilaporkan itu betul seperti yang berlaku apabila Najib enggan mengambil tindakan undang-undang terhadap begitu banyak akhbar di serata dunia yang pernah mendakwa tentang kaitan beliau dengan kes Altantuya Shaariibuu.
"Kalau banyak kali sangat dilihat takut mengambil apa-apa tindakan undang-undang, rakyat akan percaya apa yang dilaporkan mengenai Najib dan keluarganya itu benar," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
Sebelum ini, akhbar Australia yang lain membuat laporan yang didakwa tidak benar mengenai tabiat berbelanja Rosmah tetapi Najib dan keluarganya tidak pula mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap akhbar itu.
"Rakyat yang berfikiran waras sudah tidak tahan lagi melihat wujudnya watak seperti itu di negara ini yang mengingatkan mereka kepada Laila Trabelsi, wanita yang mengambil kesempatan atas kedudukannya sebagai isteri Presiden Tunisia," kata Mahfuz lagi merujuk kepada isteri Zine El Abidine Ben Ali yang dihambat dari kekuasaannya oleh kebangkitan rakyat tahun lalu.
Perlu disiasat
Bagaimanapun, kata Mahfuz, jika laporan akhbar Australia itu memang benar berlaku dan bukan rekaan semata-mata, satu siasatan terperinci tentang kehidupan mewah isteri Perdana Menteri itu mesti dijalankan segera.
"Mesti disiasat dari mana sumber kewangannya sehingga Rosmah dilaporkan begitu bermewah-mewah dalam kehidupannya sehingga dilihat melebihi dari kemampuan isteri seorang Perdana Menteri," kata beliau sambil membangkitkan Bernama sebelum ini pernah melaporkan Rosmah menderma RM1.5 juta kepada Tabung Gaza.
Apa yang berlaku itu, kata Mahfuz, memperlihatkan Rosmah mempunyai kekayaan yang sangat luar biasa yang menimbulkan pelbagai tanda tanya.
Beliau juga menggesa supaya Najib dan Rosmah serta anggota kerajaan dan keluarga masing-masing segera mengisytiharkan harta mereka.
"Jangan lagi membuat pelbagai alasan yang menipu rakyat untuk mengelakkan harta mereka diisytiharkan," katanya.