Thursday, August 23, 2012

Tak setuju tak apa tapi jangan hina hukum hudud


TEMERLOH: PAS mengingatkan sesiapa yang tidak bersetuju dengan hukum hudud agar jangan sesekali mengeluarkan kenyataan menghina hukum yang termaktub di dalam al-Quran itu kerana ia bakal mengundang kemarahan umat Islam tanpa mengira fahaman politik.

“Hudud bukanlah undang-undang baru. Ia telah dilaksanakan ribuan tahun dan pernah menjadi sistem ratusan negara di dunia Islam dan ia telah terbukti berjaya mencegah peningkatan kadar jenayah di zamannya, sebelum perundangan barat mengambilalih di negara yang dijajah mereka,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika dihubungi Harakahdaily.

Tuan Ibrahim mengingatkan bahawa penghinaan kepada asas pegangan suatu agama akan mengundang kemarahan umat Islam tanpa mengira fahaman politik.

Beliau berkata pihak yang tidak bersetuju dengan hudud tidak perlulah mengeluarkan kenyataan menghina hukum itu seperti keberkesanannya dalam menangani jenayah dan sebagainya.

Kata Pesuruhjaya PAS Pahang itu, penghinaan terhadap hukum hudud, walaupun tidak dilaksanakan lagi di dalam negara boleh mengguris hati umat Islam kerana ia seolah-olah menghina Allah.

Dalam mempertahankan pendirian DAP dalam menolak hukum hudud, Presiden DAP Kebangsaan Karpal Singh baru-baru ini terlajak sehingga cuba merendah dan mempertikaikan keupayaan hukum hudud dalam mengatasi jenayah.

Sebelum ini, Karpal hanya menolak hukum hudud dari sudut perundangan dan perlembagaan negara. Tapi kali ini, Karpal dilaporkan berkata hukum hudud bukanlah satu undang-undang yang adil untuk semua pihak kerana hukumnya memerlukan bukti yang 100 peratus tanpa keraguan berbanding undang-undang jenayah sivil sedia ada yang hanya memerlukan bukti tanpa keraguan yang munasabah.

Karpal juga memberikan contoh dalam kes rogol, adalah mustahil untuk mendapatkan 4 orang saksi dan kesannya, tidak ada suspek yang akan didapati bersalah.

“Ini masalah Karpal. Dia tak faham bahawa dalam Islam, selain hudud dan qisas ada hukuman takzir iaitu kesalahan-kesalahan yang hukumannya merupakan dera, iaitu penjenayah-penjenayah tidak dijatuhkan hukuman hudud atau qisas. Hukuman takzir adalah hukuman yang tidak ditentukan kadar atau bentuk hukuman itu di dalam Al-Quran dan Hadis.

"Tapi beliau tidak beriman pada Allah, jadi tak pelik beliau menolak. Tapi lebih elok senyap daripada mempertikai apa yang beliau tidak arif kerana ia mengundang kemarahan apabila pertikaian itu bersifat menghina,” kata Tuan Ibrahim.

Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan Tantawi pula memberikan amaran bahawa kenyataan Karpal bakal mengundang kemarahan umat Islam.

"Saya saran DAP nasihatkan Karpal supaya tidak pertikai hukum hudud sekali gus jaga sensitiviti umat Islam serta hubung baik sesama (Pakatan Rakyat) PR," kata beliau menerusi Twitter malam tadi.

Nasrudin juga menyatakan kekesalannya terhadap MCA yang juga mempertikai hukum hudud.

“Umno pula membisu, Majlis Fatwa kaku. Untuk semua: Tolong jangan pertikai hukum Allah," katanya lagi.

Untuk kenyataan Karpal, Tuan Ibrahim berkata PAS berharap DAP memahami kesan pada usahanya untuk keluar daripada parti yang dianggap parti Cina dan menyerahkan urusan dalaman ahli DAP kepada kebijaksanaan parti tersebut untuk mengambil tindakan.

“Kita sudah bersetuju untuk tidak bersetuju dalam isu hudud, dan isunya selesai di situ. Tidak perlu mempertikaikan perjuangan PAS yang inginkan hukum hudud. PAS sedar banyak halangan dan banyak tentangan – tapi ini tidak bermakna PAS akan henti berusaha untuk mencapai cita-citanya,” tegas Tuan Ibrahim.

“Penghalang utama PAS melaksanakan hudud selama ini ialah Umno-BN di Kelantan dan Terengganu, ketika itu DAP tidak berkawan dengan PAS dan DAP tidak mempunyai kuasa menghalang sedemikian, walaupun pendirian mereka menentang,” tambah beliau.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Dr Tan Seng Giaw berpendapat isu agama tidak perlu dicampuri oleh kaum lain yang tidak mengena dengan agama tersebut.

“Kita tak perlu nak masuk campur dalam isu agama lain yang akan beri kesan… sensitiviti pada kaum itu. Saya sendiri tak mahu sentuh isu seperti hudud kerana saya tahu itu akan menimbulkan rasa tidak senang kepada kaum lain,” kata beliau yang dipetik Sinar Harian Online.

Timbalan Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Abdul Aziz pula berkata segala kritikan pada Karpal, juga turut sama terpalit pada Tun Dr Mahathir dan Umno.

“Jika Karpal  terus menentang, apa bezanya dengan Tun? Bahkan apa bezanya dengan Umno?
Bahkan lagi, selama mana DAP menentang hudud, udara keruh berjerebu itu akan dihirup oleh Umno,” tulisnya di blog sambil menambah penyebab utama lambatnya penerimaan masyarakat terhadap hukum hudud adalah Umno.

Fitnah Ladang Rakyat, mohon maaf di mahkamah


PASIR MAS: Pihak tertentu yang tidak sebulu dengan kerajaan negeri Kelantan, khususnya berhubung Ladang Rakyat, diingat tidak menyebar sebarang fitnah kerana dibimbangi akan mengalami nasib yang sama sehingga terpaksa memohon maaf di mahkamah.
Mereka juga diingatkan supaya berhati-hati dengan menyemak fakta terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa kenyataan berkenaan Ladang Rakyat.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, ketika memberitahu Harakahdaily berkata projek Ladang Rakyat sekali lagi menghadapi fitnah pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menuduh telah menjual 1,400 hektar ladangnya di Limau Kasturi, Gua Musang kepada syarikat swasta.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis Aidilfitri Majlis Tindakan Dun Tendong, dekat sini petang tadi (gambar) bagi mengulas kenyataan Adun Paloh, Datuk Norzula Mat Diah.

Norzula dalam sebuah akhbar harian hari ini berkata, kerajaan negeri melalui Ladang Rakyat telah menjual 1,400 hektar tanah Ladang Rakyat kepada syarikat swasta.

“Baru-baru ini blogger mesra Umno Syed Azidi Syed Abdul Aziz (Kickdefella), memohon maaf kepada Ladang Rakyat di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu atas fakta yang tidak benar berhubung Ladang Rakyat,” ujarnya.

Ahmad seterusnya berkta, tidak berlaku sebarang penjualan atau pindah milik tanah Ladang Rakyat di Limau Kasturi.

Tambahnya, sebaliknya tanah berkenaan dimajukan pihak swasta melalui satu kaedah pemajuan yang biasa diamalkan oleh agensi kerajaan, iaitu pajakan.

“Hak milik tanah kekal di atas nama Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat negeri Kelantan,” ujarnya.

Pada masa yang sama, beliau menolak dakwaan yang mentatakan tanah Ladang Rakyat di Limau Kasturi perlu diserahkan kembali pada rakyat adalah tidak berasas.

Tambahnya, ini kerana kerja-kerja pengukuran ladang telahpun dibuat, termasuk kawasan rentahan orang kampung juga turut dikelurkan dari kawasan Ladang Rakyat.

“Oleh itu, sebagai penjelasan kawasan Ladang Rakyat Limau Kasturi tidak pernah terbabit dengan kawasan terokaan orang kampung,” ujarnya.

Umno panik khatib sentuh isu semasa dalam khutbah

JELI: Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan (BBC) menyifatkan tiada cacatnya khutbah Aidilfitri yang disampaikan kebanyakan khatib di masjid dan madrasah pada 1 Syawal lalu biar pun menyentuh isu semasa.

Presidennya, Abdullah Ya’kob berkata, khutbah tersebut disampaikan khatib jemputan atau imam menyentuh isu semasa yang berlaku dalam kehidupan seharian.

“Tidak pula sampai menjejaskan rukun khutbah kerana ramai khatib di Kelantan berkebolehan menyampaikan khutbah dengan isi yang lebih menarik.

“Biar pun ada teks disediakan pihak Maik, namun tidak menjadi halangan bagi mereka menokok tambah supaya lebih menarik dan segar,” katanya di sini.

Hari ini Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dilapor melahirkan rasa kesal khatib di beberapa kampung di Kelantan menyampaikan khutbah Aidilfitri dengan menanam sikap benci kepada pemimpin negara.

Abdullah yang juga Adun Air Lanas berkata, berdasar kepada pengamatannya khutbah Hari Raya di beberapa tempat didapati isu yang disentuh lebih dekat dengan keadaan semasa.

“Kalau ada khutbah menyentuh sikap pemimpin tertentu yang flop flip dalam isu royalti, ia tidak boleh dinafikan lagi kerana ia benar-benar berlaku.

“Ada pemimpin yang sebelum ini bermati-matian membuat kenyataan perairan Kelantan tidak terbabit dengan carigali minyak dan gas.

“Namun sekarang cuba digambarkan seolah-olah dia pula yang menjadi juara bagi mendapatkan hak ke atas royalti petroleum. Apakah jenis pemimpin macam ini. Mereka kelihatan begitu panik sekarang,” katanya.

Kata beliau, rakyat sudah muak dengan lagak pemimpin seperti itu, dan tidak menjadi kesalahan bagi mereka untuk menterjemahkan dalam khutbah Aidilfitri atau mana-mana ucapan.

Sementara itu dalam perkembangan lain malam tadi berlangsung ceramah perdana sempena Aidilfitri di Air Lanas.

Biar pun hujan turun dengan lebatnya orang ramai tetap hadir bagi mengikuti perkembangan isu-isu semasa yang berlaku sekarang.

Hadir sama Speaker Dun Kelantan, Datuk Nasuruddin Daud, bekas Setiausaha Gerakan Kelantan, Lau Chin Chua, Presiden R, Nazri Deraman, Abby Abadi, Yang Dipertua PAS Jeli, Apandi Mohamad dan Abdullah.

Wednesday, August 22, 2012

Rumah Terbuka Idulfitri Mahasiswa Kelantan,3 Syawal 1433H/2012M.







Majlis Mesra Aidulfitri Pemimpin Bersama Perantauan 1433H/2012M.

















Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Dun Pulai Chondong







Perpaduan bersama Umno buang masa

KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan seruan pihak tertentu agar bersama Umno untuk menjamin perpaduan rakyat khususnya Melayu di negara ini hanya sebagai membuang masa.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, rekod dan sejarah telah membuktikan bahawa Umno telah gagal menunjukkan perpaduan termasuk dalam parti itu sendiri.

Menurutnya, Parti Negara, Parti Semangat 46 dan Parti Keadilan semuanya ditubuhkan oleh mereka yang pernah memimpin Umno.

Malahan golongan agama di dalam Umno menubuhkan PAS kerana tidak puas hati dengan Umno dalam isu judi, apabila suara ulamak diketepikan begitu sahaja.

Tetapi katanya, Umno sampai sekarang masih menganggap mereka adalah parti keramat yang menjadi rukun perpaduan Melayu, walaupun rekodnya dipenuhi dengan perpecahan.

"Setiap kali menjelang pilihanraya maka suara perpaduan Melayu akan berkumandang di udara. Kayu ukur perpaduan, mesti bersama Umno. Jika luar daripada Umno, perpaduan tidak akan tercapai. Seolah-olah bersatu dengan Umno adalah rukun perpaduan Melayu.

"Umno sering mendakwa penubuhan PAS menyebabkan orang Melayu berpecah. Padahal sebelum Umno ditubuhkan 1946 sudah ada Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM)  yang ditubuhkan pada tahun 1945 yang tidak bersedia menjadi tali barut penjajah seperti Umno," katanya.

Oleh kerana itu katanya seruan perpaduan bersama  Umno hanya membuang masa apatah lagi perpaduan atas dasar bangsa yang tidak kekal lama.

Menurut Idris lagi, perpaduan atas dasar bangsa ibarat api dalam sekam dan akan berakhir dengan perpecahan.

Hanya perpaduan atas dasar Islam sahaja ujarnya yang akan mengenepikan perasuah, penzina, perampas harta rakyat dan pengkianat amanah rakyat walaupun sesama bangsa.

"Atas asas ini, perpaduan akan dapat diwujudkan, jika tidak ia hanya perpaduan palsu yang hanya retak menunggu pecah sahaja.

"Umno hanya boleh disatukan dengan benda sahaja, bukannya atas kesedaran ideologi. Mampukah Umno bertahan jika sudah kehilangan kuasa kerana tidak boleh memberi benda," soalnya.

Komunis ada kerajaan, mengapa Islam tidak boleh?

KOTA  BHARU: Menteri Besar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata terdapat anggota masyarakat terpesona dengan ‘permainan’ Barat menyebabkan terpengaruh dengan dakwaan ‘agama lain, politik lain’.

Bahkan Islam dianggap mampu mengawal manusia dalam aspek ibadat dan urusan keluarga saja sedangkan Kerajaan Islam lebih mustahak ditegakkan di muka dunia.

“Dunia ini bukan Arab yang buat, bukan Melayu yang buat, tetapi diciptakan Allah swt.

“Namun oleh kerana kita lena dengan ‘permainan' Inggeris, Peranchis, Itali dan sebagainya, maka ada rakyat biasa atau golongan terpelajar, bahkan di kalangan tuk guru sendiri terasa bahawa dakwaan ‘agama suku, politik suku’ itu betul,” katanya.

Malahan menganggap agama hanya untuk  menjaga manusia dalam aspek ibadat dan urusan kekeluargaan saja.

Beliau yang juga Mursyidul Am PAS berkata demikian semasa menyampaikan khutbah Hari Raya Aidilfitri di Masjid Pulau Melaka dekat sini, semalam.

“Sesungguhnya dalam perkara ‘urusan agama’ dan ‘politik’ mestilah selari.

'“Itulah perbezaan di antara hidup 'beragama’ dengan hidup 'berdemokrasi’ yang tidak disebut Eropah,” katanya.

Beliau berkata, kalau komunis ada kerajaan, demokrasi ada kerajaan, maka kenapa ‘Islam’ tidak boleh ada kerajaan, selaras dengan bumi dan manusia serta segala benda di dunia ini dijadikan Allah.

Justeru, kata Nik Aziz, Kerajaan Islam lebih mustahak didirikan di muka dunia ini.

Bahkan dalam perkara agama, sangat penting bagi manusia mengikuti jalan Nabi-Nabi termasuk dalam urusan rumah tangga, peperangan dan lain-lain.

Beliau menambah terdapat manusia yang sibuk dengan ‘kebangsaan’ dan ‘Melayu’.

Justeru secara sinis beliau meminta golongan itu supaya mencari ‘Nabi Melayu’.

“Ini kerana Nabi Muhammad bukan orang Melayu tetapi orang Arab.

"(Oleh itu) carilah Nabi Melayu, jangan cari Nabi Arab.

Mengulas sambutan hari raya Aidilfitri 1433 Hijriah, beliau mencadangkan untuk tahun hadapan, kad ucapan Selamat Hari Raya ditambah ‘dunia akhirat’ pada rangkaian ucapan  ‘Selamat  Hari Raya, Maaf Zahir Batin’.

Ini penting bagi membolehkan semua kaum mengingati apa itu ‘akhirat’.

“Melayu baca teringatkan akhirat, Cina baca teringatkan akhirat.  Orang putih baca, teringatkan akhirat.

“Ini membolehkan kita berdakwah apabila mereka bertanya apa itu ‘akhirat’,” ujarnya.

Tuan Guru menambah, selepas manusia mati dihidupkan semula, mereka akan ditanya diberi Al-Quran sama ada membacanya atau tidak, diberi telinga sama ada mendengar nasihat Al-Quran atau tidak.

Demikian juga diberi kaki sama ada digunakan pergi ke masjid, diberikan tangan sama ada menggunakan untuk mengundi ke arah mendaulatkan Islam atau menjahanamkan manusia.